.

.

29 December 2015

Akhir Tahun 2015

Sejak cik Sony merajuk, memang tak ada mood nak tambah entri. Walhal banyak perkara berlaku.

2015, berlalulah.

2016, selamat datang!

Entri terakhir bagi 2015? Tak tahu.

Menjelang 2016, saya kuncikan hati dan lupakan kata kuncinya. Ngeri untuk buka semula. Biar ia terkurung tidak nampak dunia dari terdedah kepada bahaya yang tidak tertanggung.

31 Disember adalah ulang tahun yang mengerikan. Biarkan ia.

Doa dan pengharapan pada Tuhan.

22 November 2015

A message

Ada seseorang yang saya sudah berkali-kali beritahu, saya tak mahu jumpa mahupun berkomunikasi dengannya walau apa jua cara. Dengan itu, saya beritahu pula di sini, walaupun sudah saya minta seseorang sampaikan. Tak usah cuba-cuba muncul kerana anda mengganggu ketenteraman hidup saya.

Anda tahu siapa diri anda. Sudah berkali-kali saya sampaikan pesan. Tindakan anda yang pada saya adalah degil, menyebabkan ramai orang saya tidak peduli termasuk orang-orang yang Allah perintahkan supaya berbuat baik. Anda adalah salah satu sebab tekanan untuk saya. Sila jauhkan diri anda.

Anda telah membuat pilihan hidup anda sebelum ini, maka biarkan saya dengan pilihan saya. Jiwa saya, setakat ini tidak mudah goyah.

Saya tidak bermaksud untuk bermegah atas kemampuan berdiri sendiri. Tetapi saya hari ini adalah hasil dibiar menyendiri hingga pendirian ini terbina. Maka, jangan sesekali dicabar kerana saya sanggup berbuat apa sahaja agar tidak diganggu gugat.

Ya, saya hari ini sudah tidak sama dengan saya pada tahun 2011, untuk anda khususnya. Harap maklum.

PS: tidak perlu tinggalkan sebarang komen kerana ia pasti dibuang tanpa dibaca. Ya, saya halang anda untuk hubungi saya apa jua cara sekalipun.

15 October 2015

Analisa pendirian dan pemikiran

Saya tidak tahu mahu bermula di mana. Tercampak ke satu arena yang tidak pernah termimpikan sekarang sudah pandai bermimpi. Inilah yang dikatakan rencana Tuhan, kan?

Saya tidak pernah berada di tengah gelanggang itu. Cuma bermain di tepian. Masuk jarang-jarang waktu diperlukan. Itupun bukan sebagai pemain utama. Setakat level buruh kasar. Tertolak masuk ke dalam gelanggang adalah perkara yang disangka. Level mana? Belum muktamad.

Alahai. Saya tidak pasti perkataan bahasa Melayu yang sesuai untuk statement. Penyataan? Yang ingin saya nyatakan disini bahawa kenyataan media 'mereka' tiada kelangsungan serta tidak menampakkan penyatuan (tidak selari). Mereka mendabik dada apabila berjaya menyingkirkan golongan profesional. Tetapi, sekarang mereka membayangkan jenama mereka masih terbahagi dua.

Siapa mereka? Awak rasa siapa? Saya rasa saya tak mahu sebut siapa.

Mereka sebenarnya telah buat saya keliru. Nasib baik pembimbing-pembimbing saya tidak. Jika tidak, tentu saya pun ditipu dan kena tipu. Kita, bila belajar, cari lah banyak guru/pembimbing/rujukan. Bukan berpandu pada satu guru. Yang mana satu yang nak dipakai? jika ada 3 guru, 2 darinya berlainan latarbelakang berpendapat yang sama, maka itulah dia. Selepas itu, pantau pula kelangsungan dan manfaatnya dalam kerangka yang besar. Jika kerangkanya kecil, maka tinggalkanlah kerana wawasan Islam ini besar!

Wawasan Islam ini melangkaui warna kulit, bangsa, agama dan sempadan negara. Wawasan Islam tidak mengundang perpecahan bahkan menggalakkan titik persetujuan bersama. Persetujuan melalui perbincangan, perbahasan dan penghujahan hingga menemui persefahaman perdamaian. Islam tidak mengajar kita agar patuh membuta tuli. Bahkan dalam soal solat pun, imam 4 mazhab bersepakat, jika kamu menemui hujah yang lebih sahih maka tinggalkan ijtihad mereka. Inikah pula hal kepartian yang masih hijau usianya (berbanding fiqh solat).

Cenderung kepada keterbukaan tidak bermakna kita tunduk sesama manusia... kita semua bersetuju bahawa perhambaan sudah tidak ada. Kita semua tahu risalah nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk semua, tidak terhad kepada bangsa tertentu. Mengapa mesti kita sempitkan rahmat itu kepada Melayu dan Islam? Walhal kita berada di dunia yang sama, menghirup udara (berjerebu waktu ini) ini sama-sama..

Berfikir di luar kotak tidak menjadikan anda liberal. Berfikir di luar kotak membawa pemikiran anda ke dimensi dakwah yang lebih besar. Dakwah adalah tawaran berbentuk penerangan. Persetujuan tidak semestinya penerimaan tetapi yang lebih penting adalah persefahaman. Jika sudah faham tetapi masih tidak bersetuju, di sana kita serahkan kepada mereka yang lebih memahami sepak terajang gelanggang ini.

Faham disini membawa maksud, penerimaan dan penolakan berdasarkan maklumat yang jitu yang tidak mempunyai pertikaian sama sekali. Apa yang saya lihat dari luar gelanggang, penyampaian maklumat tidak ada apatah lagi nak capai persefahaman akhirnya 'bertekak' di media massa. Kronologi yang tidak selari.

Gelanggang ini tiada fiqh yang muktamad, ijtihadnya terbuka. Jangan disempitkan dengan ideologi dan kecenderungan peribadi yang membataskan penerimaan manfaat. Gunakan akal sebaik-baiknya agar jadi ulul albab, bukan berfikiran lembab.

24 September 2015

Eidul Adha Mubarak

Ibadah Korban

Berlegar-legar di timeline twitter bahawasanya ada yang memilih yang murah sedangkan itu ibadah. Lalu justify pilihan sendiri tahun ini. Entah. Ibadah korban ni sunat muakkad. Ada satu tahun terpaksa lupakan ibadah ini sebab nak bayar deposit sewa bilik. Tahun mula-mula lagi lah! Kongsi ramai-ramai satu bahagian, punyalah nak belajar...

Nak kata pilih yang murah sebab kedekut... sebenarnya ekonomi kita menuntut supaya memilih yang lebih berpatutan dan ia mestilah memenuhi kriteria mampu. Jika memang kedekut, tak boleh nak kata apa-apa. Tahun ini pemilihan bukan sebab kemampuan tapi sebab lokasi. Dan, tanpa disangka-sangka, harga 1 bahagian lembu di dalam negara lebih RM500!

Jadi, pada saya, ia adalah bergantung pada kemampuan. Selain itu adalah terpulang pada pilihan masing-masing dari segi lokasi. Korban khas hantar daging yang ditinkan ke Palestin cuma RM400 tahun ini. Selain ini, RM420. Ke Syria, RM880. Ini dibawah program Qurban anjuran MyCare Malaysia.

Galakkan diri untuk berkorban, itu lebih utama.

Khutbah Hari Raya

Tiba-tiba tersedar, bahawa selain mahukan anak setampan Nabi Yusuf (padahal Nabi Muhammad pun kacak dan tampan juga), kita juga perlu impikan anak setaat Nabi Ismail... padahal perintah tu dalam mimpi, boleh pertikai... tapi Nabi Ismail memilih taat sekaligus memadam keraguan ayahandanya. Bukan hal korban sahaja, malah bab pasangan hidup! Padahal nabi Ismail ni cuma jumpa ayahandanya beberapa kali sahaja seumur hidup.

Dengar khutbah tapi tak bawa alat mencatat... sedih! Smartphone sedang merajuk. Pening kepala saya... hehe. Tapi suka, khatib sebut tentang muamalat dengan non-Muslim dengan cara yang baik. Dengar cerita di satu felda di Pahang, siap sebut parti tertentu sebagai musuh..

Ada lagi tapi sudah lupa.

Merayakan Eidul Adha

Sudah kali ke empat berhari raya sendiri. Sebagai introvert, memang tak reti nak bersosial jika tiada yang mula. Jadi, hari raya memang sekadar menghadiri solat sunat eid dan mendengar khutbah. Tambah-tambah tak suka nak cerita personal dan berkait keluarga, jadi lebih baik menyendiri.

Pengorbanan

Berkorban sampai terkorban. Apa sahaja demi menyelamatkan pegangan, pendirian dan perasaan. Tak minta pengertian. Dan sekarang, sokongan pun letak tepi. Tak lagi harap apa-apa dari manusia walau kerabat kerana harapan dimusnahkan setiap kali. Jika terjatuh lagi, takkan mampu berdiri lagi untuk selamanya.

31 August 2015

BERSIH 4

Sebulan lalu, apabila mendapat tahu penganjuran BERSIH 4, hati meronta ingin turut serta. 3 Bersih tiada peluang... Maka BERSIH 4 saya nekad untuk ambil bahagian. Perkara pertama adalah kawan.

29 Ogos 2014

Dengan makcik Yan, saya melangkah ke lokasi. Dihantar kak Zanirah ke LRT berdekatan, kami ke Sogo. Sebelum bertolak, saya dapatkan bekalan makanan dan kami juga menunaikan solat Zuhur.

2.05 pm - Setibanya di Sogo, kami meredah lautan kuning mencari port yang sesuai. Saya kelaparan. Duduk dan buka bekal. Ucapan demi ucapan berlangsung. Saari Sungib, Wan Azizah, Rafizi Ramli, Azmin Ali dan ramai lagi. Line internet mula terganggu.

3.10 pm - mula berarak ke Dataran Merdeka. Team up dengan makcik Lina, kak Anfaal dan abang Ammar. Lautan manusia ni kita perlu berada dalam team. Pandang kiri kanan depan belakang... Ya, seperti dalam laporan, majoriti yang turun adalah Cina.

3.47 pm - duduk di atas jalan. Vuvuzela mula menjadi halangan peserta mendengar ucapan. Tetap duduk tidak berganjak. Asap rokok serta vape juga mengganggu keselesaan.

Kami diajar lagu:
Walau panas atau hujan
Kau tetap bersama kami
Di jalanan bersuara
Rakyat Malaysia

Terima kasih
Terima kasih
Abam polis

Menjelang Asar, saya mula susah hati. Kerana tidak tahu jadual perjalanan program selama 34 jam, masuk saja waktu solat, terus solat sambil duduk. Wuduk? Hmmm.. Perlu kreatif dalam keadaan begini.

Antara yang berucap di sini ialah Tuan Haji Nahar dan Lim Guan Eng. Ramai yang berucap tapi begitulah, bukan boleh fokus. Tapi semuanya berkisahkan matlamat BERSIH 4.

Satu perkara yang saya tidak suka ialah bendera parti PKR dan slogan Bebas Anwar. Kita berkumpul untuk 5 tuntutan. Kita tidak melupakan Anwar, tetapi tak usahlah bawa sentimen itu di sini. Hormati penganjur dan peserta yang 'tidak favor' Anwar.

6.00 pm - majlis berehat. Saya dan makcik Yan bergerak ke masjid Jamek. Duduk di sini barulah nampak wajah-wajah Melayu Islam serta orang-orang yang dikenali. Dalam perjalanan, saya katakan pada makcik Yan, "inilah suasana Mina, kan?"

Dari whats app, kami dapat maklumat solat berjemaah akan diadakan di dataran depan pentas. Pada masa yang sama, ABIM juga menganjurkan solat hajat di Masjid Jamek. Saya dan makcik Yan memilih dataran. Kami juga sampaikan maklumat berkenaan kepada orang-orang kami kenali.

Azan Maghrib berkumandang. Pengumuman solat akan diadakan dan peserta diseru berwuduk menggunakan air mineral. Demonstran memberi ruang kepada kami untuk menunaikan solat. Mereka juga bekerjasama untuk diam seketika. Vuvuzela hanya kedengaran dari jauh, bukan berdekatan.

Lelaki dapat banner besar sebagai alas solat. Manakala perempuan cuma sebaris. Kami solat tanpa buka kasut. Ia umpama program street solat. Usai Maghrib, solat hajat pula. Selepas itu diikuti tazkirah Maghrib oleh Tuan Haji Nahar.

Sementara menanti waktu Isyak, Mandeep membuat pengumuman berkenaan keselamatan. Waktu Isyak, yang Muslim terus tunaikan fardhu Isyak.

Pengumuman berkenaan tahajjud dan qiamullail akan diadakan esok pagi dibuat.

9.00 pm - program bersambung semula. Saya dan makcik Yan bercadang pulang jam 10 malam. Jadi kami berjalan-jalan sementara program terus berlangsung.

Dalam perjalanan ke LRT Masjid Jamek, saya dapati ada sesi lain di satu sudut. Malah, jam 9 malam sudah ada yang tidur di atas jalanraya. Apabila sudah mendapat akses internet, barulah tahu bahawa ada kuliah UTAM. Di lorong yang sedikit jauh dari dataran, ada satu lagi pentas yang tidak kurang rancaknya.

Saya dan makcik Yan tidak ingin pulang tetapi kami punya tanggungjawab dan jadual lain esok hari. Tetapi kami akan datang lagi selepas selesai urusan kami.

Saya hantar mesej kepada kak Zanirah minta bantuan untuk ambil kami di stesen LRT. Lebih kurang jam 11 malam, tiba di rumah.

Hari pertama: 8 jam

30 Ogos 2015

Selesai program hari ini, saya terus bergerak ke Dataran Merdeka. Sebelumnya, di media sosial diberitakan Tun M dan Tun Siti muncul di Pasar Seni. Hari sebelumnya, mereka berdua muncul di Dataran Merdeka.

Tiba di masjid Jamek jam 7.10 malam. Hantar sms pada makcik Yan maklumkan mahu berwuduk di Masjid Jamek sebelum ke dataran. Hari ini presiden IKRAM diwara-warakan akan memberikan tazkirah Maghrib.

7.20 pm - ternyata crowd hari ini berbeza dari semalam. Orang dilihat lebih ramai. Lautan manusia berarak dan bunyi bingit vuvuzela perlu saya harungi. Redah dan redah hingga tiba ke depan pentas. Di pertengahan jalan, isyarat supaya diam diberi. Rupanya sudah masuk waktu solat Maghrib.

Usai solat Maghrib dan sunat hajat, Husam Musa diberi peluang berucap. Dikhabarkan beliau tidak sihat dan dinasihatkan supaya tidak hadir ke BERSIH 4 namun beliau tetap terpanggil. Usai ucapan beliau, Presiden IKRAM memberikan tazkirah Maghrib.

Tazkirah Maghrib berkisar amar ma'ruf nahi munkar dan berkenaan pemimpin dan keadilan sosial. Perumpamaan kapal menarik perhatian saya. Yang mana, tidak kira yang diatas atau yang dibawah buat salah dan pentingkan diri, seluruh kapal berhadapan risiko karam.

Acara solat Isyak ditiadakan kerana waktu yang terhad. Tirai acara dibuka dengan persembahan BangsArt. Sebelumnya perkongsian pengalaman beberapa peserta. Saya tertarik dengan ungkapan nenek Damiati dari Bentong, "...yang di dalam hutan sudah keluar..."

Ucapan demi ucapan berlangsung. Rafizi, Dr. Siti Mariah, Tijah mewakili orang Asal, ketua persatuan kumpulan flight attendan, Mat Sabu, Wan Azizah, wakil masyarakat India (ayahnya datang satu kapal dengan ayah Tun M, Tun M sudah jadi Melayu beliau masih India), setiausaha parti Sosialis, Lim Kit Siang, makcik Nashita dan anaknya Asiah, Fadiah Nadwa, steering committee BERSIH 4, Ambiga, Ustaz Ahmad Awang, Maria Chin dan lain-lain diselangi persembahan-persembahan menarik.

Lebih kurang jam 11.20 malam, kedengaran bunyi letupan. Namun MC menenangkan kami.

Menjelang jam 12 malam, saya menyertai makcik Yan dan pakcik Othman bergerak ke LRT. Dalam perjalanan sempat kami sumbangkan sedikit bakti mengutip sampah.

Dalam perjalanan, jumpa orang jual t-shirt, terus beli 2 helai atas permintaan.

12.03 am - sedang memanjat tangga masuk ke stesen LRT, lagu Negaraku berkumandang.

Hari kedua: 5 jam

Jumlah 13 jam tidak mampu menyaingi mereka yang berada di sana selama 34 jam berhujan dan berpanas.

Pengalaman perhimpunan yang benar-benar aman. Lebih utama, kerjasama yang baik dari pihak polis. Helikopter lalu, kami lambai. Drone malaysiakini lalu, kami lambai. Semuanya mahu dilambai. Perhimpunan yang dilabel haram dan baju kuning bernombor 4 diharamkan.

Tahniah warga Malaysia yang telah menjayakan perhimpunan 34 jam ini! Kita telah menjadi sejarah...

27 August 2015

Amanah

Apabila dibangkitkan semula isu tahalluf siasi, saya terasa begitu jahil dan asing. Rupanya istilahnya sahaja yang menyebabkan saya bingung. Rupanya saya faham pelaksanaannya tanpa mengetahui istilah. Macam baca al-Quran secara tartil dan bertajwid tapi bila tanya hukum? Tak dapat ingat.

Ketika PAS mula mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur perpecahan khususnya Pakatan Rakyat, saya sekadar memerhati. Bertenang, segelintir sahaja yang begini. Saya pujuk diri. Namun, apabila ia semakin menjadi-jadi, saya hilang arah. Saya bukan ahli PAS tetapi menaruh harapan yang tinggi pada PAS selaku parti tunggal yang melaungkan perjuangan Islam meski tidak menepati 'citarasa' kefahaman peribadi.

Pada saat PAS mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dianggotai oleh bangsa bukan Melayu dan tidak beragama Islam, pimpinan PAS mula syok sendiri. Kenyataan demi kenyataan saya perhatikan, tidak mengambil kira langsung hati-hati penyokong bukan Islam dan bukan Melayu. Padahal undi dan sokongan mereka sama penting dengan golongan Melayu Islam. Kita semua warganegara yang mempunyai hak sama; memilih pemimpin.

Membaca catatan Khalid Samad di web GHB, saya mengimbau saat almarhum TGNA yang seringkali memurnikan semula pendirian-pendirian yang berbaur perpecahan. Allahu a'lam. Namun suasana hari inilah yang saya bimbangkan apabila mendapat berita TGNA kembali kepada Rabb beberapa bulan lalu. Bukan sahaja TGNA, waktu almarhum UFN pun perasaannya sama. Cuma, waktu itu saya mampu menenangkan diri kerana masih ada TGNA.

Menjelang Bersih 4, PAS semakin agresif menunjukkan perasaan 'unsecure'. Berbagai tohmahan dilemparkan yang mana PAS cuba mempopularkan diri sebagai organisasi tunggal 'keagamaan' sebenar. Membandingkan kekuatan unit Amal dan ARIF adalah suatu perkara yang saya rasakan paling 'ridiculous' di mana, hanya PAS lah yang beramal dengan Islam dari segi pergaulan. Mengapa highlight pergaulan sedang pimpinan kamu tidak menjaga perkataan?

Kita masih dalam proses bereksperimen untuk melihat demokrasi sebenar. Landskap politik Malaysia ini kita mahu ubah agar UMNO tidak lagi berdiri angkuh dengan kuasa kuku besi berselindung di sebalik demokrasi. Kita tidak hanya mahu #NajibTurun tetapi kita mahu memberi pengajaran kepada semua yang menyalahgunakan kuasa. Kuasa ini buat manusia gelap mata seterusnya mengenepikan semua demi mengekalkan kuasa. Kuasa yang menidakkan undang-undang. Kuasa yang membolehkan mereka menyamun dan merompak serta mengenakan 'caj perkhidmatan' atas satu transaksi atau pengurusan projek melibatkan aliran wang negara.

Kita mahu buktikan bahawa suara semua warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas lebih berkuasa dari kuasa yang dimiliki ahli politik. Tidak kira mereka UMNO, MIC, MCA, Gerakan, PKR, PAS, DAP, GHB atau siapa jua. Dan kita tidak mahu pemimpin yang tidak bermoral dan tidak berakhlak. Kita juga tidak mahu pemimpin yang sentiasa mendabik dada dan hanya tahu memekik merekalah paling ikhlas dan paling benar. Apakah amal perbuatan bukan gambaran nafsu?

Kuasa adalah amanah, bukan milik total individu. Sokongan akan sentiasa diperolehi bilamana prinsip perjuangan itu konsisten dan selari dengan perbuatan dan perkataan. Namun, apabila ia bercanggah bersiap sedialah menerima tentangan. Dan ini adalah terjemahan iman!

Moga Allah ampuni kita semua.

31 July 2015

Bad Friday

6.44 am - bas T305 #MyRapidKL dari kedua-dua arah lalu depan mata. Tak dapat buat apa-apa.

Lebih kurang 25 minit kemudian, bas ke arah LRT Sri Rampai sampai tapi tak naik. LRT mutaakhir ini tidak meyakinkan. Maklumat yang disalurkan, 4 minit antara 2 tren. Hello! 7.30 adalah peak hours, ya! Tak kuasa!

7.17 am - bas ke arah Ukay Perdana tiba

7.25 am - tiba di Masjid Ridhuan, Hulu Klang, lintas jalan untuk naik bas U23.

Ada satu bas U23 sampai. Bas cuma ambil penumpang yang entah bila tiba di palang bas rapidkl. Saya yang kat depan sikit tidak dipeduli.

Lebih 1 jam dari saat keluar rumah, belum tinggalkan Lembah Keramat.

Pada masa yang sama, mesej si Nombor 5 melalui whats app. Tak sampai.

Bas U23 seterusnya tiba. Tak ambil pusing jam berapa. Yang pasti sampai ofis jam 8.20 pagi dalam keadaan angin yang tak baik.

Rakan meja sebelah sampai. Entah apa yang mahu diceritakan, potong cakapnya tak mahu dengar apa-apa. Tak marah siapa-siapa pun, just annoyed with ownself. Mood buruk. Tengahari pun tak keluar dan tak makan!

5.20 pm - nak balik. Sampai pagar belakang dah kunci pula padahal baru 5.25! Bengang! Dekat pagar elok je tulis tutup 5.30!

Patah balik keluar ikut pagar utama. Elok lintas jalan, terus dapat bas U23.

Malangnya perangai pengguna benar-benar mencabar sabar. Suka berdiri depan pintu. Penumpang lain mahu turun, berilah jalan! Bukan aku yang nak turun! Destinasi saya masih jauh... Memang kena bambu lah pengguna tersebut. Saya tahu beliau bukan warga Malaysia.

Dah jadi rutin naik bas jam berapa pun, 6.50 petang baru sampai Taman Permata.

Lebih 12 jam sehari di luar rumah kerana kerjaya. Penat! Sebab tu selalu kritik perkhidmatan awam.

24 July 2015

Anekdot #GerakanHarapanBaru

1. Jika (kepimpinan) PAS (sekarang) meraikan perbezaan, #GerakanHarapanBaru tidak akan pernah difikirkan pun.

2. Apabila PAS menganggap #GerakanHarapanBaru sebagai ancaman, maka ia jadi ancaman dlm minda2 mereka sebagaimana sisi yg mereka nampak

3. Sebaliknya jika PAS memahami perbezaan itu sentiasa ada di mana2, maka #GerakanHarapanBaru akan diraikan malah dipeluk erat

4. Mengambil contoh imam 4 mazhab atau sikap Hasan Al-Banna dlm meraikan perbezaan, tidak berlaku saling tuduh menuduh atau ancam mengancam

5. Keperluan mewujudkan #GerakanHarapanBaru atau sebarang nama lain sekalipun, adalah berdasarkan suasana semasa politik tanah air

6. Oleh kerana rakyat Malaysia cintakan kebebasan bersuara, #GerakanHarapanBaru muncul saat banyak suara terpenjara

7. #GerakanHarapanBaru muncul di saat #NegaraBerkebajikan dilupakan membawa #RahmatUntukSemua. Jangan lupa slogan PRU terdahulu.

8. #GerakanHarapanBaru diharapkan membawa imej yang lebih berakhlak, terurus, berdisiplin serta kesatuan pemikiran

9. Jika tidak memenuhi piawai, #GerakanHarapanBaru hanya akan sekadar diingati dalam sejarah politik tanah air

10. Kuasa mengurus (memerintah) boleh menyebabkan hati jadi alpa, mata jadi buta berakhir dengan lidah berkata dusta, maka berhati-hatilah

05 July 2015

Ramadhan: Waktu Untuk Reset

Ramadhan tahun ini disambut tanpa jiwa. Terasa bagai robot yang automatik... Bertukar!!! Secara spontan. Tidak, bukan perwatakan. Hanya rutin harian.

Ramadhan setiap tahun pasti ditunggu. Ketika ini teringat bagaimana Ramadhan dijadikan waktu untuk reset amal. Betapa, Ramadhan tahun ni biarpun tidak dapat menyelami rohnya, biar amalnya kekal hingga Ramadhan akan datang.

Ramadhan tajalla. Sungguh gembira dengan kehadiran Ramadhan. Kadang terasa juga sebagai ramadhaniyyun. Apa boleh buat, itulah waktu yang tak tinggal al-Quran. Baca dan baca supaya dapat capai target.

Reset masa. Bagaimana teraturnya jadual makan. Teraturnya jadual ibadah. Segalanya teratur. Bangun awal tidur pun awal. Reset amal. Ada yang lamanya tak terbuat. Tapi bila Ramadhan, mula buat semula. Alhamdulillah.

Cabarannya adalah selepas Ramadhan. Bagaimana mahu mengekalkan momentum, kerana selalunya terus kecundang pada 1 Syawal. Allahu!

Segala amalan, bacaan AlQuran juga qiamullail... Segalanya... Cabarannya untuk terus istiqamah melakukannya.

Banyakkan berdoa di bulan Ramadhan!

26 June 2015

Operasi Kedai Makan 24 Jam



Semalam susur masa twitter dikejutkan dengan isu ini. Alasan-alasan yang mereka kemuka kan amatlah logik. Bagaimanapun, banyak perkara yang saya fikirkan selain gejala sosial.

Melihat kedai-kedai makan 'hidup' di waktu malam sedang siangnya bagai bangunan tinggal, saya jadi hairan. Orang Malaysia begitu suka makan hingga jalan yang biasa lengang dipenuhi kereta yang diletak di kiri kanan jalan. Kedai makan, tidak hanya mamak, semuanya ada pelanggan.

Pernahkah kita fikirkan akan disiplin kehidupan? Makan dan makan, akhirnya kebanyakan rakyat malaysia menghidap penyakit 3 serangkai akibat terlebih makan. Kolestrol, gula, garam... lebihnya menyusahkan manusia jua. Bukan sedikit kos yang diperlukan bagi 'memperlahankan proses ke arah mati'.

Saya baca komen, bagaimana jika lapar di tengah malam jika tiada restoran yang dibuka 24 jam. Jika dibiasakan waktu makan tidak ditetapkan, begitulah jadinya. Tahukah anda, gastrik juga berlaku akibat terlebih makan dan disebabkan makan tidak berjadual? Jika solat ada disiplin masa, usus juga boleh didisiplinkan.

Lihat saja di bulan Ramadhan. Di masjid-masjid, wajib ada 3 hidangan; sahur, iftar dan moreh. Masyarakat kita ini seolah-olahnya hidup untuk makan. Jika memasak sendiri, hidangan juga begitu mewah. Kadang-kadang ia melebihi apa yang perlu. Begitu juga jika ke kenduri. Hidangan yang disediakan semuanya mahu dimakan, sedangkan semuanya disediakan sebagai pilihan.

Masyarakat kita menukar masanya untuk bersosial di waktu malam sedang Allah jadikan malam untuk rehat. Ulama silam memperuntukkan malam untuk bersendirian, fokus untuk ibadah. Benar, malam sekarang sudah diserikan dengan cahaya lampu. Namun fungsi malam tetap tidak pernah berubah. Apa yang kita nampak, antara isyak dan subuh itu panjang waktunya, Tetapi antara keduanya, tidur adalah lebih afdhal.

Ada juga terdengar suara mengatakan susahlah nak tengok bola bagi mereka yang tak ada astro. Saya lihat semuanya alasan yang diada-adakan. Susah nak makan, susah nak tengok bola, dan sebagainya. Kadang-kadang kita yang menyusahkan diri sendiri. Hidup amat mudah walaupun mati lagi mudah (kos keduanya, tidak dapat dinafikan, membebankan).

Semuanya ada alternatif jika ditiadakan. Sama ada kita peduli akan usia yang nak hidup lama atau kita tidak peduli asalkan dapat penuhkan aktiviti kehidupan yang disukai.

Keyword sebenar adalah 'night life'. Sudah-sudahlah dengan aktiviti malam di luar rumah hingga tidak boleh jika tidak keluar. Di rumah adalah ruang peribadi yang terlalu banyak untuk diterokai aktivitinya. Usah dipandang fizikalnya tetapi bagaimana kita mengisinya. Damainya sesebuah rumah bukan pada perabot dan dekorasinya tetapi pada aktiviti di dalamnya.

A place we call home.

18 June 2015

Ramadhan Mubarak!

Huru hara juga nak menyambut Ramadhan. Tup-tup dah 1 Ramadhan 1436H. Tengok-tengok Quran belum habis lagi, macam mana nak mula bacaan Ramadhan. Gigih semangat nekad untuk habiskan dulu.

Banyak benda yang tidak dapat dirancang dengan baik. Tak tahu kenapa. Tadarus, Tarawih. 10 malam akhir? Yang pasti tiket balik raya sudah ada.

Gembira menyambut Ramadhan. Gembira buat arwah yang telah meninggal dunia. Rehatlah mereka dari azab kubur selama sebulan. 29 hari atau 30 hari, Allahu A'lam. Allah Maha Mengetahui.

Huru hara. Harap taklah sampai akhir Ramadhan.

20 May 2015

Rohingya: Kezaliman yang mesti dihentikan oleh dunia!

Saya pernah menemuramah beberapa wanita Rohingya, sebenarnya untuk didokumentasikan untuk dijadikan buku. Namun, oleh kerana bahan belum mencukupi, ianya masih tergantung.

Kisah Muslim di Burma, saya dihidangkan kisah mengenai mereka semasa di UIA. Malah, salah seorang yang pernah jadi rakan sebilik adalah Muslim dari Myanmar. Berkenalan dengan sebuah negara yang dikenali sebagai Myanmar. Cerita seorang pensyarah mengenai pengalaman beliau belajar.

Tidak lama dulu kita pernah dikejutkan dengan berita orang-orang Budha bergaduh dengan Muslim. Namun ia telah lenyap ditelan susur masa si burung biru dan juga muka buku.

Namun, keadaannya di sana, amat menyayat hati. Saya mungkin belum menemui mereka yang berasal dari Rakhine, tetapi di keseluruhan Burma itu, Muslim telah ditindas dengan menafikan mereka sebagai warganegara! Mereka diberi pendidikan tetapi harta mereka dirampas. Pekerjaan begitu terhad. Peluang-peluang untuk memajukan diri ditutup sepenuhnya. Muslim dibiarkan hidup dihimpit kemiskinan. Apabila rumah terbakar (saya merasakan ia sengaja dibakar), mereka duduk sementara di khemah penempatan sementara.

Saya sudah tiada jiwa ketika masyarakat Malaysia mengutuk kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand kerana tidak membuka pintu untuk mereka masuk. Kronologi yang panjang kerana mereka sebenarnya sudah berbulan-bulan di tengah laut. Bot rosak, baiki. Beri bantuan makanan.

Mereka tiada identiti yang sah. Mereka keluar dari Myanmar membawa satu harapan untuk kehidupan yang lebih baik. Saya secara peribadi, tidak ingin mereka pulang ke Myanmar, kerana nasib mereka bakal menjadi lebih buruk! Ya, ditangkap dan hilang begitu sahaja. Bukankah itu lebih buruk?

Terkandasnya mereka di perairan adalah suara yang perlu didengari. Ia tidak hanya suara memohon kebenaran untuk mendarat, tetapi bukti kezaliman yang dialami di negara asal mereka. Hak untuk menjadi warganegara, hak untuk mengamalkan agama, hak untuk belajar hingga peringkat tertinggi, hak untuk bekerja dan sebagainya.

Persoalannya, siapakah yang membela nasib mereka, di negara mereka?

27 April 2015

Ahad 19 April 2014

Mendoakan keluarga makcik terutama anak-anaknya tabah. Hari pertama belum terasa. Lepas ni cabarannya.

Pak Chik (gelaran kami pada arwah) berusia 45 tahun manakala Chik (panggilan manja) berusia 41 tahun. Alhamdulillah, bila Pak Chik mendapat serangan angin ahmar lepas asar hari Sabtu, Chik dah redha untuk menghadapi kehilangan.

Arwah Pak Chik meninggalkan 7 orang anak berusia antara 3 hingga 16 tahun.

Kata XueJah; 3 orang dalam keluarga kami yang sebaya. Pak Chik, Ayah Teh dan Pak Teh (PokNe). Satu sudah pergi.


Denial

Saat saya menatap mesej jam 5 pagi, saya tidak percaya. Saya tidak dapat khabar Pak Chik sakit mahupun kemalangan. Mesej yang penuh tanda tanya. Hanya seketika sebelum subuh saya mendapat pengesahan. Saya bertanya soalan tetapi tiada jawapan.

6.30 pagi. Otak ligat mencari jalan mahu mendapatkan maklumat. Lalu saya menghubungi XueJah. Xue sudah hendak bertolak dari Kampar jam 7 pagi. Sudah tentulah saya tidak sempat mengejarnya dari Klang!

Saya hubungi nombor 5 bertanyakan mahu pulang atau tidak. Dia mamai tidak tahu apa yang berlaku. Saya hubungi ayah mengatakan mahu pulang. Ayah seolah tidak tahu apa yang sedang berlaku. Ya, telefon bonda mati dan mereka tidak tahu khabar.

7.30 pagi. Nombor 5 menyatakan mahu pulang. Dan saya memang mahu pulang. Minta penganjur bantu urus transport dan saya bersiap untuk ke Subang Airport.


Subang Airport

Dua tiket penerbangan jam 9.45 pagi.

"Awak di mana?"

"KL Sentral."

"Ha? Naik teksi!"

Aduhai adik. Ini kecemasan! Mujur kakak kaunter Malindo bantu untuk check-in!


Kami tidak sempat jua. Terlewat 10 minit gara-gara trafik yang lembab.


Kenangan

Pok Chik adalah keluarga kami sejak 1998. Sejak 1998, saya tak perlu naik bas ke rumah atuk di hari raya. Pok Chik akan singgah ambil kami. Sebelum itu, adalah beberapa kali naik bas. Sekali tu, Pok Chik jemput kami di stesen bas bila dia tahu kami nak ke rumah atuk menaiki bas.

Dengan Pok Chik, kami yang muda boleh berbicara macam-macam isu dari politik sampai ke hal mengaji. Pok Chik kadang-kadang jadi motivator. Pok Chik jugalah melayan kegilaan kami nak tonton hindi movie masa musim itu.

Pok Chik mengajar kami kepentingan pengetahuan mengenai kereta.

Pok Chik mengajar kami tak usah berkurang ajar dengan orangtua kerana berbeza fahaman politik. "Mereka sudah tua, kita yang sekolah ni biar lebih cerdik," katanya dulu.

Pok Chik juga mengajar kami kepentingan menabung secara tidak langsung.

Baru saja hujung bulan Mac, Chik ceritakan hadiah yang diberi Pok Chik. Sedih. Sebak.


Anak-anak

Wajdi. "Kita jual lah rumah kita tu umi, kita duduk rumah atuk."

Pesan saya untuk Kak Ya, "Kalau ingat dekat abah, doakan abah, baca Quran untuk abah."


Monolog diri: orang baik selalu cepat pulangnya. orang lain sakit dulu, orang lain balik dulu. Allah, ampuni Pok Chik, rahmatilah dia.

14 April 2015

Mencari Ikhlas... Sudahkah Bertemu?

Seringkali kita mendengarkan ucapan, nak bertudung kena ikhlas. Buat ibadat kena ikhlas... Ikhlas itu di mana?

The question keep puzzles in my mind. Cakap orang putih sekali sekala. Saya dah tak confident macam dulu. Walaupun bahasa orang putih dah jadi bahasa perbualan sehari-hari sebab persekitaran kerja dengan bukan orang Malaysia.

Ikhlas itu di mana? Apa rupanya? Macam mana nak kenal? Cukup ke sekadar mengetahui maksud ikhlas di dalam buku? Saiz dia macam mana? Cantik ke tidak? Ada jual tak di kedai? Apa ukuran dia? Apa measurement dia? Ada sales tak? Kena GST tak?

Soalan-soalan yang buat sesiapa yang membaca berfikir. Paling-paling tidak akan kata, "apa kaitannya?" ataupun, "betul ke tidak penulis ni?" Hashtag husnuzhon.

Ikhlas ni kompleks. Cerita tentang ikhlas, saya amat gemar memetik scene di dalam filem Kiamat Sudah Dekat. Sebab lebih senang untuk difahami.

Ikhlas dari segi definisi, kata akarnya kho-la-so. Maksudnya habis, finish. Teringat guru-guru bahasa Arab akan tanya, "Kholas?" yang membawa konteks, "dah siap?" bila diberi masa menjawab latihan atau peperiksaan.

Yang saya nak cerita adalah, ikhlas tu tak ada piawai tertentu. Tetapi kita mengenalnya lewat perbuatannya, perkataannya, buah fikirannya. Ikhlas tidak dapat dilafaz. Tetapi dikenal melalui prosa yang digunakan.

Mengapa saya bangkitkan mengenai ikhlas? Kerana perintah itu mesti dilaksanakan. Siapa kata ada option? Larangan pula mesti ditinggalkan. Tidak dapat tidak. La budda.

Boleh pilih masa nak buat? Oh, waktu ajal tu kita boleh set ye dengan malaikat izrail pencabut nyawa? Masuk dalam google calender, set reminder, alarm berbunyi kita snooze dulu; tak juga bertaubat, macam mana? Takkan nak minta second chance yang pasti tak dapat...

Ketahuilah hakikat sebagai hamba. Setiap saat yang kita lalui ini bakal diaudit, dihisab. Masa amat berharga. Cara kita menggunakan masa juga boleh jadi indikator ikhlas. Ingat, bukan manusia yang menilai.

Akhiran, melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya itu sebahagian dari ibadah, maka berusahalah untuk melaksanakannya sekalipun dalam keadaan terpaksa memaksa diri.

13 April 2015

Sementara Menanti...

...makanan siap dimasak.

Orang bujang, duduk menyewa tapi semua urusan sendiri-sendiri. Jadi memang buat semua benda sendiri sendiri. Boleh kongsi masak, tapi saya lah yang tak pandai masak. Tidak adil untuk kongsi.

Saya bukan perajin. Tambah-tambah di rumah saya ada ramai orang yang akan peduli hal sampah dan kebersihan. Makan? Sejak saya dewasa ni, beli aje. Bonda masak jarang-jarang.

Bajet makan harian cuma 15 ringgit maksimum. Nak naikkan, belum berkesempatan. Kalau nak makan mewah, memang saya tengok dulu bajet hari-hari sebelum. Kalau jauh dari RM15, boleh lah bermewah sedikit. Itupun sebulan beberapa kali sahaja. Begini, barulah berbelanja ikut apa yang kita ada. Dengan cara ini juga, di hujung bulan ada baki.

Sebab itu juga, sebelum ni saya jarang shopping. Walaupun rumah sewa sebelum ni dekat dengan giant, saya berbelanja ikut apa yang ada di tangan. Kalau kita belanja dahulu, kemudian nanti jika ada kecemasan, mana nak cekau duit? Dah lah jauh dari mak ayah, simpanan di tempat pegun susah nak keluarkan... Hehe simpanan tu disengajakan. Tapi inilah realiti.

Perkara lain yang menyebabkan saya dah tak merajinkan diri masuk dapur, sebab saya malas nak buang sampah orang. Kalau saya buang sekali, dia seolah komitmen pula saya kena buang.

Makan, pada saya yang tak mahir dan tak gemar memasak, sekadar untuk kelangsungan hidup. Sesekali nak merasa makan sedap tu boleh, tapi hari-hari nak penuhi kehendak usus ni bala di kemudian hari. Obesiti contohnya. Lain-lain; kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi. Faktanya orang di Malaysia ni banyak mati sebab terlebih makan.

Kena ada falsafah makan, bukan orang beritahu sana sini sedap, pegi lah dapatkan. Nafsu makan kena kawal. Sampah pun banyak juga sisa makanan. Cuba bayangkan, ramai yang boleh makan sebenarnya jika kita tidak membazir. Homeless contohnya.

Kalau masak, biar genap-genap je. Setakat makan seorang, kos dia lebih baik beli siap. Bungkus ikat tepi. Eh? Hahaha

Berbelanja begini kena ingat pada yang mampu makan tapi takdelah sampai kita tak cukup makan. Tanda syukur tu. Sebabnya ada orang, Allah tarik nikmat makan. Selera. Sakit yang tak dapat mengunyah. Dan lain lain lagi.

Beringatlah sebelum kena. Itu saja pesanan khidmat masyarakat dari saya.

07 April 2015

Entri ke-10: POTA ~ Prevention of Terrorism Act

Tengah malam tadi, kecoh sebab parlimen masih lagi bersidang. Kerana membahaskan POTA. Bahas punya bahas, berakhir jam 2.30 pagi. [Sumber: twitter]

Saya skrol susur masa. Susur masa ni terjemahan kepada timeline. Dari sebelum tidur sampai bangun tidur, POTA belum habis dibicarakan. Mencari info mengenai POTA. Cadangan POTA di bulan berapa entah sudah boleh dibaca, tetapi rakyat marhaen macam saya, tentulah gelabah bila ia diluluskan. Nasib baik tahu juga sebelum diluluskan malam tadi. Mana peduli sebelum ini.

Sebagai orang yang membantah kekejaman ISA, mana mungkin saya boleh redha dengan POTA. Ya, terdapat rakyat Malaysia berhajat mahu berjuang angkat senjata. Malah ada yang lolos sampai ke Syria. Ada yang syahid, itu saya tidak dapat pastikan.

Harus diingat, rakyat Malaysia yang menyertai juang angkat senjata di Afghanistan tak seorang pun terlepas dari ISA, termasuklah anak kepada almarhum TGNA. Belum cerita hal Al-Maunah. Perjuangan angkat senjata ini tidak pernah direstui oleh mana-mana pemegang kuasa sesebuah negara. Jangan dilupa ahli-ahli Ikhwan yang ditangkap sejurus kembali dari peperangan Palestin. 

Undang-undang yang kejam. Tidak cukup Seditious Act untuk menutup mulut rakyat serta ahli politik tidak lupa kartunis, POTA pula. Takut dengan bayang-bayang sendiri? Ironinya, yang membentang itu merupakan bekas tahanan ISA. Alah, beliau keluar dengan senyum manis. Masa saya baca kisah ahli Ikhwan yang belot.... 

Katanya pro-POTA, yang menyalahkan 22 orang ahli parlimen PR yang gagal hadir persidangan semalam. Kegagalan untuk hadir yang menyebabkan POTA diluluskan, Tidak cukup undi untuk tidak diluluskan. Satu aspek, ianya benar. Dipilih oleh rakyat tapi sidang dewan rakyat gagal hadir, awak bawa suara siapa sebenarnya?

Di bahagian lain, POTA ini entah nak puaskan hati siapa. Setakat sedisyes pun rakyat marhaen acah-acah berani lari ke negara lain. POTA? Setakat sedisyes pun layanan tidak sama rata. Mentang-mentang pro kerajaan, tanya melalui telefon sahaja. Yang kerja membangkang, siap sarung baju penjara diiring tanpa alas kaki.

Oh, POTA ni menyenangkan kerja polis.

Pada saat ini, saya memahami tindakan Polpot. Mana ada dia bagi muka kepada penyokong mahupun pembangkang. Semua dia sapu rata.

18 March 2015

Pening-pening Lalat

Semangat merapu tu masih tinggi. Cuma masa tidak mengizinkan. Kalau ada masa, idea pula hilang. Begitulah lumrah berperang antara keperluan dan kehendak.

Sejak rahsia terbongkar memang tenang sikit. Entahlah. Bukan senang nak berahsia. Cara orang yang berilmu dan beramal tak sama dengan orang yang sekadar berilmu. Ilmu tanpa amal memang tak berguna. Tak dapat memberi manfaat di alam barzakh menanti akhirat.

Bukannya tak takut tak dapat jumpa Tuhan yang dirindu, namun manusia ni memang tak mampu nak buat semua. Tapi jangan pula lupa nak berlapang dada dengan Tuhan. Katanya percaya, tak usahlah pertikai apa yang Tuhan beri.

Mensyukuri nikmat setiap hari pun belum tentu, jadi segan juga nak minta banyak-banyak-banyak. Kerana satu kepercayaan, maka kena minta. Tutup segala pintu ke arah sangka buruk, memburuk-burukkan orang. Jangan sampai aib sendiri dijaja sana-sini.

Kadang tak sekadar aib sendiri tapi juga aib semua orang yang terlibat. Oleh itu diam adalah lebih baik. Elok-elok tutup litup sendiri pegi selak. Seksi, auwww! Seksi itu seksa, tau!

Memang tak mudah tapi kalau dulu tak pernah fikirkan, sekarang masa muhasabah. Nak baiki? Ada hal yang boleh dibaik pulih, jangan lupa ada total lost. Pulangkan pada Tuhan, serahkan pada Tuhan. Namun, perkara yang dalam kawalan perlu diambil kira.

Hidup menanti mati yang pasti macam hidup selama-lamanya. Apa guna bebankan jiwa dengan perkara di luar kawalan? Dulu tak pernah ambil kira consequences, sekarang terhegeh-hegeh?

Hidup terbentang banyak pilihan tapi kebanyakan hanya memilih apa yang dia mahukan. Diri sendiri dan diri sendiri dan diri sendiri. Selepas memilih mahu rewind? Kau ada mesin masa kah?

Masa amat berharga. Yang berlalu terlalu jauh untuk didapatkan semula. Kau sudah memilih, kenapa pilihanku tidak direstu? Hanya kerana pilihan kau menggembirakan manakala pilihanku negatif. Siapa kamu nak memaksa aku?

Ya, entri ini tuju-tuju secara spontan. Untuk ahli keluarga yang punya pertalian darah.

Paksa. Desak. Memang mahu aku gila agaknya. Tak ada insaniyatul bashar betul. Ya, mahu aku lupa? Jangan. Banyak lagi perkara penting perlu diingat.

Kena berhenti. Airmata mengalir.

12 March 2015

Entri ke lapan bagi dua ribu lima belas

Di twitter, indeks isu semasa bergantung kepada trending topic (TT) yang kadang-kadang panasnya 30 minit sahaja jarang-jarang berhari-hari. Penggunaan hashtag turut menyumbang peranannya demi mengekalkan sesuatu isu supaya diletakkan sebagai dalam pemerhatian.

Di mukabuku, maaf, saya tak layak nak komen sebab saya sudah meninggalkannya sejak dua ribu dua belas. Harap maklum.

Di blog, saya masih menggemari penulisan blog. Hanya masa yang tidak mengizinkan untuk blog walking dan mencari blog-blog best untuk dibaca. Blog-blog yang selalu diziarahi dahulu kebanyakannya sudah bersawang, malah ada yang telah menguncikannya sebab tak ada masa nak kemaskini.

Di whats app, saya meninggalkan banyak kumpulan. Cuma ada satu kumpulan tak mampu nak keluar demi maklumat kelas ada atau tidak. Percaya atau tidak, semua grup yang saya sertai tidak ada yang membawa khabar angin. Ya, saya kembali kepada niat asal berwhats app, untuk jalan-yang-diwarisi-dari-ayahanda-dan-bonda.

Di instagram, dah lama tak melepak secara serius memandangkan IG makan banyak data. Malas nak mewahkan telco demi nafsu stalking life orang dekat IG. Sikit-sikit sudah.

Dalam pada itu, kehidupan di alam realiti adalah seperti biasa. Malas juga nak hebah. Blog bukan lagi siaran langsung... Yalah, dulu tu, kalau cerita tiga hari lepas, kira dah basi. Kecuali awak adalah stok-stok terhad dan hot! Ada satu masa tu, diam sehari pun dah kecoh!

Baiklah. Entri pertama di bulan ketiga untuk tahun dua ribu lima belas.

27 February 2015

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat rahimahullah

Berita keberangkatannya diketahui ketika sedang sibuk mendengar perbincangan serius berkenaan amal kolektif. Hari Khamis 12 Februari 2015 jam 9.45 malam menurut saluran media perdana. Tidak kira jam berapa, akhirnya giliran beliau tiba jua.

Beberapa kali keluar masuk hospital, secara peribadi bersedia melepaskan tokoh awam ini yang begitu dekat dengan jiwa saya sebagai individu yang membesar di Kelantan. Kelantan adalah zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa (sebahagian). Ingin melepaskan beliau ke pangkuan Tuhan Rabbul 'Alamin kerana itulah pertemuan yang diimpikan oleh setiap mereka yang beriman.

Saya tidak dididik supaya mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi. Ketika orang berpusu-pusu mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi, saya berada di rumah. Namun saya mengenalnya lewat keluarga cikgu pencen yang punya rutin setiap Rabu malam Khamis dan pagi Jumaat mengikut 'pengajaran' beliau. Cikgu pencen juga merupakan pelanggan tetap akhbar Harakah.

Awalnya saya cuma mengenalnya sebagai Menteri Besar Kelantan. Masih buta politik tetapi mengenal bulan dan warna hijau putih sebagai lambang PAS. Malah, jika meminati warna biru ketika itu akan diejek sebagai BN dan ia sebagai lambang orang jahat. Itu zaman kanak-kanak saya. Usah dikritik. Kena tidak kena, ia sudah berlalu.

Apabila meningkat dewasa, terutama selepas era pemecatan DSAI dari takhta Timbalan Perdana Menteri, saya mula berkenalan dengan landskap politik Malaysia. Saya pernah dilibatkan dengan perbincangan sebuah parti politik semasa usia belum 20 tahun! Rekrutmen? Pada saya itu sebuah pengalaman. Apa kaitannya dengan TGNA?

Selepas peristiwa 1998, landskap politik Malaysia berubah. Tidak keterlaluan jika saya meletakkan sebanyak 180 darjah. Penulisan yang tertangguh menyebabkan saya kehilangan idea.

Bibliografi beliau saya khatamkan ketika usia remaja. Satu-satunya bibliografi ahli politik lokal yang saya baca ketika orangnya masih hidup. Waktu itu baca sekadar baca macam buku cerita, buku sejarah. Selepas itu saya ikuti blognya.

TGNA merupakan orang yang saya hormati lagi saya kasihi. Luasnya pengetahuan dan pemikiran. Jika kebanyakan ahli PAS terlalu memandang kelompok mereka paling baik, tidak boleh bercampur dengan yang lain, TGNA berbeza. TGNA mengalu-alukan badan-badan lain yang mempunyai persamaan mesej seperti PAS untuk bekerja bersama. Sesuai dengan motonya, "Membangun Bersama Islam." Bukan mencantas sedikit perbezaan.

Kala keberangkatannya, perkara pertama yang muncul adalah masa depan pakatan rakyat. 2014 menunjukkan kemerosotan hubungan sesama ahli PR. Muncul berita demi berita termasuk berita PAS yang kononnya mahu bergabung dengan UMNO. Perjuangan TGNA begitu konsisten dari muda hingga akhir hayat di bidang politik. Saya melihat satu perspektif, TGNA begitu mengenal sepak terajang dunia politik.

Politik sesuatu yang tabu. Politik digelar tong taik. Tetapi adanya orang seperti almarhum sebenarnya mengubah persepsi. Ulama' yang umara'. Ulama' yang warak. Meski saya bukan pendengar tegar ceramah-ceramah beliau, namun apa yang saya dengar dari beliau begitu dekat di hati. Tidak bercanggah dari apa yang diajar dalam silibus KBSM.

Apa yang paling saya suka tentang almarhum ialah intonasi suaranya. Saya begitu anti dengan ceramah-ceramah politik. Cuba lihat cara Najib di pentas ceramah politiknya. Lihat Anwar Ibrahim bila berucap di hadapan penyokongnya. Perbezaan ketara adalah gaya ucapannya. Almarhum TGNA, waktu memberi kuliah mahupun di pentas ceramah politik, nadanya sama. Apa yang dibawa tetap sama. Hanya pentas yang berbeza. Sebab itu apabila media massa memburuk-burukkan beliau, saya tidak mahu dengar. Saya tutup segala sumber.

TGNA akan terus diingati. Saya sukakan keberadaan beliau di tengah kemelut politik. Samar-samar dalam ingatan saya, beliau lah yang mendamaikan antara ketiga parti yang berpakat. Jika PAS terus tegar dengan pendirian yang bercanggah dengan pendirian PR, ahli-ahli PAS sebenarnya tidak mampu mendokong apa yang TGNA ajarkan. Sana-sini berforum mengingati murabbi, tetapi tak lain sekadar interest peribadi.

Saya tidak pasti berapa ramai yang seusia TGNA di dalam PAS. TGHH adalah generasi sezaman dengan DSAI juga almarhum Dato' Fadzil Noor. TGNA menggalakkan perpaduan, siapa kata kita berpecah? Jika benar menghormati TGNA, saya cuma mengharapkan PAS kembali kepada asas mengapa dulu bergabung dengan PR.

Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu. Damailah TGNA di sana menanti sebuah pertemuan abadi.

12 February 2015

Penjara

Orang yang berjuang demi kebenaran rela dipenjarakan. Penjara adalah lokasi beruzlah. Penjara boleh jadi pusat islah. Penjara, walau negatif, adalah tempat yang indah jika pandai manipulasikan.

Dua hari lepas, DSAI telah dihukum penjara selama 5 tahun. Semasa beliau dipecat pada tahun 1998, saya adalah remaja yang baru menginjak usia 14 tahun. Baru mahu kenal dunia. Baru seronok mengenali agama. Tiba-tiba (bekas) Perdana Menteri pecat Timbalannya.

Remaja yang tidak mengenal DSAI ketika pemecatan, hari ni tentunya mengucap syukur DSAI dipenjarakan akhirnya! Tidak ingin menyebut tuduhan yang dikenakan terhadapnya, Ah, masa remaja apa peduli dengan politik mahupun pimpinan negara! Zaman remaja waktu itu adalah kegilaan filem hindustan dan cerita-cerita melayu ala-ala Cinta Metropolitan, Cinta Antara Benua, dan sebagainya. Tak dilupakan kegilaan pada Backstreet Boyz, Spice Girl, Elite, Newboyz dan lain-lain.

Saya, tidak mengikuti rapat kes yang dibicarakan. Namun, bila ia 'bikin panas', ambil tahu jugalah. Perkara yang 'obvious' perlu diberi perhatian. Seperti apa? Seperti pejabat PMO mengeluarkan kenyataan media sebelum hakim membaca keputusan. Seperti cerita ini mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Seperti, pilihanraya untuk permatang pauh perlu untuk menggantikan DSAI. Seperti siapa pengganti ketua pembangkang.

Semasa tuduhan kali kedua, mangsa berbeza, saya hampir-hampir percaya. Mujur dengar tazkirah di masjid, bagaimana orang buat cerita supaya masyarakat percaya kepada pembohongan. Ustaz tak sebut pun isu semasa. Ustaz cuma beri ilmu mengenai kisah-kisah terdahulu. Kisah di dalam al-Quran. Dalam surah al-Qalam. Bercerita mengenai nabi Muhammad yang digelar Majnun (orang gila) sehingga masyarakat Mekah percaya... menangis saya dibuatnya menyedari hakikat ini.

Pembohongan perlu diulang bagi meraih kepercayaan. Meskipun ia aib, Meski ia berlawanan dengan norma masyarakat. Meski tidak sesuai dengan semua golongan masyarakat.

Saya tidaklah mengenali DSAI secara dekat. Apa yang saya tahu mengenai beliau, sama banyak dengan maklumat yang boleh di'gugel' hari ini. Mungkin Google tahu lebih banyak. Tetapi, prinsipnya DSAI adalah Muslim dan mempunyai hak agar tidak 'ditelanjangkan' aibnya. Jika kita orang biasa cukup malu orang ambil gambar nampak gemuk dan dikutuk di media sosial, apa lagi DSAI yang sudah bercucu?

Membaca biografi Kak Wan, bahkan DSAI sendiri. Kedua-duanya sememangnya anak orang berada (bila dibandingkan dengan orang banyak yang lain). Dan berperanan dalam UMNO. Maka, tidak hairanlah DSAI menyertai UMNO suatu masa dahulu sehingga ditendang keluar lalu menubuhkan partinya sendiri. Bukan sebarang-sebarang orang yang sedang kita ceritakan.

Jika tahun 1999, minat saya pada DSAI yang dipecat kemudian kes-kes yang dibentangkan begitu memualkan hingga saya rasa orang yang memegang kuasa itu gila, terencat akal, tidak beragama. 2015 ini, orang yang berkuasa sudah hilang arah. Saya lebih berminat untuk menjatuhkan kekuasaan politik yang ada. Bagaimanapun gerimendering tetap akan menyelamatkan kekuasaan sekarang. Kecuali 100% masyarakat Malaysia ingin mengajar kepimpinan yang ada hari ini.

Siapa pun yang memulakan pertuduhan yang memualkan ini, beliau bertanggungjawab atas aib seluruh masyarakat Malaysia yang konon sudah kebaratan tetapi sebenarnya masih mempunyai nilai ketimuran yang mungkin tidak setinggi Jepun tetapi memadai sebagai 'guard'. Aib yang tak hanya mengundang perhatian ulama' besar di seluruh dunia tetapi juga kepimpinan dunia.

Beritahu saya jika ada pemimpin Malaysia lain yang akan dapat perhatian antarabangsa jika perkara yang sama berlaku kepada pemimpin tersebut seperti DSAI. 

Jika World War II itu dicanang merupakan rancangan zionis sekian lama, setakat DSAI sejak 1998 itu kacang saja! Mungkin mereka di kalangan 'The Adjustment Bureau'? Siapa tahu... Ah, movie aje...

Begitu pun, penjara bukan asing buat DSAI. Boleh 'gugel' berapa kali beliau dipenjarakan. Dan berapa ramai pemimpin dunia dipenjarakan. Dari zaman dahulu pun, ulama dipenjarakan. Atas 'kesalahan' politik. Sejarah menunjukkan bahawa penjara sememangnya permainan orang yang berkuasa.

Bukan nak menyamakan atau menaik tarafkan seorang DSAI di mata kalian, namun inilah realiti politik. DSAI ada rupa, ada aura. Ditambah dengan sejarah kepimpinannya dari zaman mahasiswa lagi. Siapa pun DSAI, atas nama kemanusiaan, mengapa tidak dihadapkan kesalahan lain seperti kesalahan rasuah? Fikir-fikirkanlah.

Gelanggang politik tidak kotor. Tetapi pemain yang ingin kekal berkuasa takutkan kekalahan yang mengotorkannya. Jika tidak takut, apa perlunya persempadanan semula?

Penjara hanya jasad. Bukan fikiran. Fikiran seperti internet, tak ada sempadan. Tak percaya, pergi tengok cerita Lucy.

23 January 2015

Remaja Kahwin

Dulu. Ada satu berita. Remaja memilih untuk berkahwin. Tak lama kemudian, bercerai.

2014. Kembali ada cerita remaja berkahwin. Satu sebenarnya tahun 2012 lagi. Video dia viral ke mana-mana tanpa sempadan dan sekatan. Kemudian satu lagi. Yang lelaki calon PT3. Yang perempuan 17 tahun. Semoga mereka berbahagia ke akhir hayat.


Alasan

Alasan untuk berkahwin adalah tidak salah berkahwin muda. Dapat restu keluarga. Kerana cinta. Kau rasa? Sanggup berhenti sekolah. Mahu bekerja menyara keluarga yang telah dibina.

Alasannya tidak salah dari segi agama. Dapat mengelakkan maksiat. Dan seribu satu alasan yang diberi. Oh, ia bukan alasan. Ia adalah sejenis justifikasi.


Usia Baligh

Ketika meniti usia remaja, saya mendengar ceramah-ceramah mengenai keremajaan. Pra-baligh, seorang kanak-kanak tercari-cari identiti. Masa inilah jati diri remaja dibentuk. Siapa yang mereka mahu ikut. Rakan-rakan? Ibu bapa? Abang kakak? Atau hawa nafsu?

Pada waktu yang sama, mereka juga berhadapan dengan keinginan kepada yang berjantina berlawanan. 'Hormon gatal', 'hormon gelenyar', apa pun nama saintifiknya. Sementara menanti mimpi basah bagi anak-anak lelaki, dan musim berdarah bagi anak-anak perempuan, mereka sudah memperlihatkan kecenderungan sebegini.

Apa pun situasinya, usia baligh adalah penanda aras bahawa sistem reproduksi manusia dalam diri seorang anak sudah mula berfungsi.


Sosio Budaya

Ada pun membezakan situasi masa lalu, iaitu sebelum Malaysia merdeka. Atau awal merdeka. Ianya tidak seimbang, apabila yang dibezakan hanyalah usia. Usia remaja hari ini tidak sama dengan atuk nenek moyang yang seusia mereka di zaman dahulu.

Dahulu, bukan semua remaja bersekolah. Hanya yang mampu bersekolah sahaja mendapat pendidikan formal. Manakala yang lain dalam bentuk tidak formal, mungkin pembelajaran sepanjang hayat.

Hari ini, pada usia 10-17 tahun, adalah usia yang diwajibkan bersekolah. Dalam kata lain, mendapat pendidikan secara formal. Hanya ketika berusia 18 tahun diberi kebebasan untuk menyambung ke peringkat tetiari atau mahu bekerja, atau juga berkahwin.


Kesihatan

Kritikan demi kritikan diterima. Malah bab kesihatan juga diutarakan. Ibu muda berisiko tinggi? Hmmm... saya pun pening. Awal berisiko, lewat pun berisiko. Nak ideal sangat, susah juga. Kalau semua nak kejar umur ideal, hmmm.... ini topik panjang.


Worldwide

Yang kita terlupa, ibubapa remaja di barat bukan sesuatu yang pelik. Kenapa? Kerana budaya berzina adalah perbuatan jelik yang bertukar jadi kebiasaan. Tetapi kita lupa, mereka diajar pendidikan seks... yang mana di dalam silibus PMR (sebelum PT3), ia juga diajar (Bergantung kepada cara guru sains menerangkannya).


Agama

Apabila menyentuh soal mengelakkan maksiat, ia berkait dengan agama. Islam khususnya di Malaysia. Kerana orang Islam umumnya tahu perbuatan zina adalah dibawah kategori dosa besar. Maka, agama sering dijadikan jalan keluar. Pada saya, ini perbuatan terdesak. Macam menyalahkan agama. Almaklumlah, banyak sangat larangan agama. Haram sana, haram sini. Yang pandang larangan kenapa padahal banyak lagi perkara yang digalakkan,..


Sebenarnya...

Remaja adalah satu usia yang mana tenaga dan semangatnya seolah tak pernah habis. Mampu berjaga malam. Tidur tak cukup tak jadi hal, boleh lagi lah bagi kerja itu ini. Tapi sekali sorong bantal, mampu lelap seminggu.

Memandang semula lebih 1400 tahun lalu, remaja semasa itu sibuk nak belajar dari Nabi Muhammad. Remaja muslimlah. Yang tak muslim tengah berkira bapak aku betul ke Nabi Muhammad yang betul. Bila seruan jihad panggil ke medan perang, berebut dengan bapa nak pergi juga.

Remaja memerlukan penunjuk arah. Jika dapat buka mata tentang potensi, itu lebih baik. Bukan hanya sibuk mengintai anak dara/teruna orang cari peluang untuk bercinta. Bukan sibuk mencari idola lalu terjumpa K-Pop dan ikut sepenuh hati.

Remaja yang tahu mereka adalah kategori pemuda didalam al-Quran serta mempelajari bahawa usia muda begitu bermakna, tentunya mereka akan cuba memaksimumkan keupayaan dirinya. Cuba mendekati agama, menyusun jadual hidupnya seperti pemuda/remaja zaman nabi. Berusaha melengkapkan diri dengan ilmu... mereka berkahwin juga, tetapi fokusnya bukan pada perasaan mahupun kemampuan menyara keluarga... fokusnya tetap pada peningkatan diri dari segi ilmu dan amal.

Maka remaja, persiapkanlah diri untuk menghadapi masa dewasa mu.

20 January 2015

Buku: Selagi Masih Muda

Tajuk: Selagi Masih Muda Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Bermakna
Penulis: Dr. A'idh Al-Qarni
Penerbit: AQWAM Jembatan Ilmu
ISBN: 978-979-039-108-9

Buku yang masih belum habis dibaca. Masih sedang dibaca. Bukan di masa lapang tapi ketika bosan dalam perjalanan. Angkut sana sini. Maklumlah, rasa tak lengkap bila tak ada sebarang buku di dalam beg tangan.

Asal penulisan buku ini dalam bahasa Arab. Yang saya sedang baca ni terbitan syarikat Indonesia. Nak harap dalam bahasa Melayu? Lambat lagi lah. Kalau nak, ada je tapi bukan karya Dr. 'Aidh tapi karya Dr. Maszlee Malik. Lain kali saya ulas. Belum baca lagipun. Hihi.

Sempena AJL29 yang baru berlalu, satu bab dari buku ini terlalu dekat saya. Saya seorang yang mencintai nyanyian dan muzik. Pendek kata hiburan. Dulu saya pilih genre dahulu baru dengarkan lirik. Seperti apa, itu rahsia. Maaf, tak berminat nak mendedahkan diri *wink*.

Nyanyian dan muzik, ada fiqhnya. Ada yang berpandangan haram mutlak. Maksudnya tidak ada toleran. Tak boleh langsung. Bagaimana pun ada satu buku yang belum pernah saya baca berbicara mengenai hukumnya. Secara praktikalnya, saya mengambil hukum harus selagi ia tidak melalaikan. Mengapa begitu? Sekarang sudah ada lagu-lagu yang mengingatkan pada Tuhan... bukankah ia baik?

Namun begitu, saya terfikirkan perkara yang lebih serius. Mana boleh dicampur aduk dua perkara berbeza. Selepas itu saya tinggalkan fikiran ini tanpa menambah penyelidikan walaupun dengan membaca.

Semasa saya kecil dahulu, kenduri kahwin yang saya hadiri tidak pernah ada pasukan kompang apatah lagi sebarang nyanyian dan tarian. Mungkin orang kampung saya tidak berjiwa seni. Atau tak punya wang untuk membayar hiburan di hari kenduri (sewa peralatan, bayar perkhidmatan nyanyian). Tetapi kemungkinan lain ialah orang kampung saya ada ilmu agama yang berpegang nyanyian dan muzik itu haram.

Maklumlah, jika nak tok guru datang kena pastikan majlis itu 'halal', tidak ada maksiat. Tanda ada kenduri biasanya diletakkan bunga manggar. Sekadar itu.

Hari ini, saya melihat kebanyakan kenduri kahwin tak lepas dari nyanyian dan muzik. Ya, sekarang sudah ada lagu Maher Zain. Nasyid sebenarnya dari dulu dah banyak. Cari Pasangan - Rabbani contohnya, Isteri Solehah - The Zikr contohnya. Macam-macam lagi. Yang buat playlist campur-campur pun ada. Apa-apa sajalah.

Boleh ke tak boleh? Berpada-pada. Sederhana sudah. Tapi kalau buang dari persiapan kenduri, banyak juga dapat jimat. Hihi.

Berbalik kepada buku, saya baca kerana saya masih muda dan saya mahu manfaatkan masa muda. Apa yang Dr. 'Aidh tulis bukanlah baru tetapi saya perlukan sebagai refreshment mendepani sisa-sisa usia muda. Kalau boleh, nak sentiasa muda sebab nabi s.a.w. kata orang muda je masuk syurga. Apa boleh buat, sunnatullah tentang manusia ni bukan kawalan kita.

Sebaik sahaja saya kembali membaca buku ilmiah, saya rasa dapat dunia saya semula. Suka sangat!

Antara perkara yang perlu diambil berat; semangat sebagai orang muda, masa dan qudwah,

Sekian.

15 January 2015

Pelaburan

Pening juga nak memilih pelaburan.

Sekadar corat-coret aje la ni ye.

Rupa-rupanya simpan di Tabung Haji lebih tinggi pulangannya dari mana-mana akaun pelaburan perbankan yang ada. Ni tak termasuk Unit Trust. Belum belajar tentang unit trust. Baru godek-godek maklumat mengenai Commodity Murabahah KFH sepertimana yang diperkenalkan oleh Ummu Amjad.

Rupa-rupanya saham di Koperasi Islah Malaysia Berhad lebih tinggi ganjarannya berbanding Tabung Haji.

Ha kan dah jadi konflik di situ.

Cuba kira-kira di sinihttps://ringgitplus.com/en/fixed-deposit/islamic/, produk KFH. macam tak memberangsangkan pun! rasa macam penat pula nak melabur. Hmmm... Belum ada kekuatan nak salur seratus peratus ke KIMB.

Gaji adalah. Tapi kata menteri, nilai gaji saya kira miskin. Miskin jugaklah rasa dia sebab hanya mampu sewa bilik dan bergantung pada kenderaan awam. Hutang dah langsai. Ada simpanan. KWSP baru mencarum lebih kurang 20 bulan. Kerja baru tak ada kelebihan semua tu.

Keinginan terlalu banyak menjadikan keperluan kewangan tu meruncing. Mana ada benda percuma... Duduk rumah pun masih kena bayar elektrik dan air. Kalau nak membaca, kena beli buku. Mana ada benda percuma!

Sudah-sudahlah. Berbalik kepada perkara pokok, pelaburan. Hari ni, dianggarkan 2 juta diperlukan untuk menampung kehidupan selepas pencen hingga mati. Pegawai kerajaan ok lah, ada pencen. Kerja swasta, kalau tak ada takaful, memang sakit. Pendek kata, jika mahu pendapatan, kena kerja sampai mati. Tapi mampu ke nak kerja lagi masa umur 70? Jadi kena bijak, pandang ke hadapan.

Untuk jangka masa panjang, pilihlah emas. Lain-lain? Carilah alternatif. Saya pun masih belajar.

KIMB ialah Koperasi Islah Malaysia Berhad. Koperasi ni setakat hari ini, keahliannya eksklusif untuk ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia sahaja. Caruman minimum cuma RM25 sebulan yang merangkumi saham, simpanan, pengurusan, infak dan kebajikan. 2013, KIMB isytihar 7% pulangan saham dan 4% hibah atas simpanan. Kan lebih banyak dari Tabung Haji tu?

Apa pun, ini hanya sebahagian kecil aplikasi ilmu kewangan.

Saya tak bercita-cita besar. Sekadar mengimpikan mahu menunaikan haji waktu muda dan mampu bersedekah. Hidup tanpa hutang! Bercuti? Tenangkan fikiran dengan amal kebajikan. Lebih berbaloi. Tapi itu pilihan peribadi.

Apapun, pelaburan ni carilah yang shariah-compliance. Tak rugi ambil pendapat yang berat jika mahu berkat.

13 January 2015

Banjir 2014

Ketika bah melanda negeri Kelantan, saya baru pulang dari Kota Bharu.

Tiba di Kota Bharu pada hari cerah. Rupanya selepas berhari-hari hujan. Tak nampak air di mana-mana. Maklumlah Jambatan Sultan Yahya dah tak nampak kiri kanannya. Selamba sahaja beritahu rakan twitter kota bharu ok. Padahal baru lega dari ancaman banjir.

Hari kedua di rumah barulah merasa musim tengkujuh. Dan mula terasa ancaman banjir terutama semasa keluar dengan ayahanda. Bagai mengulang kisah-kisah dulu kala, memantau paras air setiap kali melalui jambatan. Dahulu ada bukit JPS yang menjadi penanda aras. Bukit JPS serta ladang-ladang semuanya diratakan atas nama pembangunan.

Banjir tiba di rumah. Walaupun reaksi tidak bimbang namun minda di luar sedar merisaukan sehingga tidur lewat. Whats app asyik dijengah bagi mendapatkan berita. 26 Disember 2014, talian internet terputus. Telefon masih berfungsi. Ahli keluarga semua selamat. Tak kira di Kuala Krai, Tanah Merah mahupun di Kutan Hilir sendiri.

Berita demi berita tiba. Amarah rakyat pada Najib kerana khabar bermain golf dengan Obama. Soalan bertanyakan sultan, TG Nik Aziz, MB Kelantan di media sosial. Di samping kritikan terhadap kerajaan negeri Kelantan yang sibuk mahu mengadakan mesyuarat berkenaan hudud pada 29 Disember yang mana akhirnya ditangguhkan. SUK pun banjir!

Risau tak risau, tak boleh buat apa-apa. Lebih baik tidak berkeras untuk pulang dan buat apa yang patut dari jauh. Menyertai pasukan sukarelawan misalnya. Hantarlah bantuan ke tempat yang dapat di capai sahaja, dengan harapan dengan usaha kecil ini Allah lihat dan Allah jaga ahli keluarga sendiri. Tawassul amal? Wallahu a'lam. Jauh di sudut hati, janganlah maksiat yang dilakukan menjadi penyebab kehilangan selama-lamanya.

Gelap kala cerah, umpama berada di tengah perut Nun. Maka berzikirlah mengingati TuhanMu Yang Maha Berkuasa. - Cetusan di Twitter pada 27 Disember 2014

Kelantan jadi pulau. Bantuan makanan tak dapat disalurkan dari Kota Bharu ke Pasir Pekan dan ke atas. Terasa gelap walau di siang hari. Lalu teringat pada keadaan Nabi Yunus a.s. berada di dalam perut ikan. Melihat gambar-gambar kucing yang comel mengingatkan pada kisah Bahtera Nabi Nuh a.s. Sungguh musibah ini menguji tak hanya penduduk setempat tetapi juga saudara mara yang berada jauh dari lokasi banjir. 

Kekuasaan dan Kebesaran Allah menghuni jiwa. Kemuncak banjir di Kelantan pada 26 Disember 2014, ulangtahun ke-10 bencana Tsunami!

Alhamdulillah, misi demi misi daerah yang dihuni, misi ke-4 ke Kuala Krai. Misi pertama dan kedua cuma membantu di pusat pengumpulan barang. Misi ke-3 jadi sukarelawan di lokasi. Juga misi ke-4. Peluang bertemu mangsa banjir dan melihat lokasi selepas banjir merupakan tinggalan buat mereka yang mahu berfikir.

Misi ke-3 ke Kemaman. Berpeluang menyampaikan bantuan. Misi ke-4 ke Kuala Krai, membantu membersihkan SMK Kuala Krai menjelang sekolah dibuka bersama beberapa agensi lain.

Titah sultan Kelantan meruntun jiwa:

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V

Perkembangan muktaakhir ini, negara pada amnya, dan negeri kelantan khasnya telah ditimpa musibah banjir yang agak luar biasa. Banjir yang menimpa rakyat beta adalah sebahagian dari qada dan taqdir allah. Hal ini harus di yakini dan di imani. 
 
Atas dasar keimanan, musibah perlu diterima dengan penuh berlapang dada, bersabar bertawwakal kepada Allah Yang Maha Kuasa. 
 
Ekoran musibah banjir yang melanda ini rakyat beta, berhadapan dengan ketakutan, kelaparan, kerusakan harta benda, kematian, dan kekurangan hasil mahsul. 
 
Beta berharap rakyat dapat menghadapi musibah ini dengan banyak berfikir dan berzikir ke hadrat Allah. 
 
Beta merakamkan ucapan tazkiah kepada mangsa banjir. Beta amat dukacita dan berkongsi rasa simpati atas kerusakan harta benda, kehilangan nyawa, rasa ketakutan dan gundah gulana.
 
Beta mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi negeri, persekutuan, pihak NGO, swasta, individu, seluruh masyarakat yang telah bersatu hati dalam usaha membantu, memberi pertolongan kepada mangsa-mangsa banjir. 
 
Kepada semua ahli masyarakat, harus bersikap peka dan sensitif terhadap musibah ini. Janganlah ada dikalangan ahli masyarakat yang tidak sensitif, ingin menangguk di air keruh, dengan menyebarkan berita-berita yang menambahkan kekeruhan dan kekusutan dalam masyarakat. Ujian sebegini rupa, bukan masa untuk mana-mana pihak menunding jari, menelanjang, menyalahkan pihak-pihak tertentu. 
 
Beta berharap kepada seluruh alim ulama, dan masyarakat terus berdoa, mengadakan sembahyang hajat dimasjid dan surau agar ujian dan musibah ini tidak bertambah buruk, malah segera pulih. 
 
Marilah kita segera meneropong diri, mohon keampunan daripada Allah, serta memperbaiki langkah-langkah kita, yang mungkin telah banyak membuat kesilapan. 
 
Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan dengan alam sekitar. Marilah kita sama-sama sedar bahawa segala macam musibah bencana dan malapetaka yang terjadi semua itu akibat dari olahan tangan-tangan kita. 
 
Semoga Allah mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak. 

Kisah penyertaan misi bantuan akan diceritakan jika saya rasa perlu. Jika tidak disambung, boleh lihat gambar-gambar di sini.

07 January 2015

2015

Bismillah.

Blog baru, alamatnya sama namun tidak menjanjikan sebarang perubahan. Yang menulis masih orang yang sama. Hanya jiwanya saja mengalami perubahan.

Fasa-fasa kehidupan yang kita tidak pernah impikan, tidak pernah sangkakan, tidak pernah dirancangkan, apabila ia berlaku merupakan ujian berlapang dada dengan Tuhan. Tuhan tahu semuanya, yang terluah mahupun tidak.

Ada bahagian jiwa berubah, ada bahagian jiwa masih sama. Jiwa ingin bertemu Tuhan itu yang perlu dikekalkan. Jiwa yang mempercayai Tuhan itu yang mesti diminta agar konsisten. Jiwa yang sering meminta perlindungan Tuhan yang harus diteruskan.

Saya. Bukan ahli sastera. Bukan juga pemuisi. Bukan penyair. Saya cuma menulis. Mungkin luahan sudut dalam jiwa. Mungkin tajuk-tajuk isu semasa. Mungkin juga isi-isi di dalam fikiran yang meminta diluahkan. Buat masa ini, saya obses dengan pengurusan kewangan secara praktikal.

Rabi'ul Awwal. Umur tahun hijrah bertambah lagi.

Berdoalah untuk husnul khatimah biar apa pun halangan dan cabaran di pertengahannya.