.

.

23 January 2015

Remaja Kahwin

Dulu. Ada satu berita. Remaja memilih untuk berkahwin. Tak lama kemudian, bercerai.

2014. Kembali ada cerita remaja berkahwin. Satu sebenarnya tahun 2012 lagi. Video dia viral ke mana-mana tanpa sempadan dan sekatan. Kemudian satu lagi. Yang lelaki calon PT3. Yang perempuan 17 tahun. Semoga mereka berbahagia ke akhir hayat.


Alasan

Alasan untuk berkahwin adalah tidak salah berkahwin muda. Dapat restu keluarga. Kerana cinta. Kau rasa? Sanggup berhenti sekolah. Mahu bekerja menyara keluarga yang telah dibina.

Alasannya tidak salah dari segi agama. Dapat mengelakkan maksiat. Dan seribu satu alasan yang diberi. Oh, ia bukan alasan. Ia adalah sejenis justifikasi.


Usia Baligh

Ketika meniti usia remaja, saya mendengar ceramah-ceramah mengenai keremajaan. Pra-baligh, seorang kanak-kanak tercari-cari identiti. Masa inilah jati diri remaja dibentuk. Siapa yang mereka mahu ikut. Rakan-rakan? Ibu bapa? Abang kakak? Atau hawa nafsu?

Pada waktu yang sama, mereka juga berhadapan dengan keinginan kepada yang berjantina berlawanan. 'Hormon gatal', 'hormon gelenyar', apa pun nama saintifiknya. Sementara menanti mimpi basah bagi anak-anak lelaki, dan musim berdarah bagi anak-anak perempuan, mereka sudah memperlihatkan kecenderungan sebegini.

Apa pun situasinya, usia baligh adalah penanda aras bahawa sistem reproduksi manusia dalam diri seorang anak sudah mula berfungsi.


Sosio Budaya

Ada pun membezakan situasi masa lalu, iaitu sebelum Malaysia merdeka. Atau awal merdeka. Ianya tidak seimbang, apabila yang dibezakan hanyalah usia. Usia remaja hari ini tidak sama dengan atuk nenek moyang yang seusia mereka di zaman dahulu.

Dahulu, bukan semua remaja bersekolah. Hanya yang mampu bersekolah sahaja mendapat pendidikan formal. Manakala yang lain dalam bentuk tidak formal, mungkin pembelajaran sepanjang hayat.

Hari ini, pada usia 10-17 tahun, adalah usia yang diwajibkan bersekolah. Dalam kata lain, mendapat pendidikan secara formal. Hanya ketika berusia 18 tahun diberi kebebasan untuk menyambung ke peringkat tetiari atau mahu bekerja, atau juga berkahwin.


Kesihatan

Kritikan demi kritikan diterima. Malah bab kesihatan juga diutarakan. Ibu muda berisiko tinggi? Hmmm... saya pun pening. Awal berisiko, lewat pun berisiko. Nak ideal sangat, susah juga. Kalau semua nak kejar umur ideal, hmmm.... ini topik panjang.


Worldwide

Yang kita terlupa, ibubapa remaja di barat bukan sesuatu yang pelik. Kenapa? Kerana budaya berzina adalah perbuatan jelik yang bertukar jadi kebiasaan. Tetapi kita lupa, mereka diajar pendidikan seks... yang mana di dalam silibus PMR (sebelum PT3), ia juga diajar (Bergantung kepada cara guru sains menerangkannya).


Agama

Apabila menyentuh soal mengelakkan maksiat, ia berkait dengan agama. Islam khususnya di Malaysia. Kerana orang Islam umumnya tahu perbuatan zina adalah dibawah kategori dosa besar. Maka, agama sering dijadikan jalan keluar. Pada saya, ini perbuatan terdesak. Macam menyalahkan agama. Almaklumlah, banyak sangat larangan agama. Haram sana, haram sini. Yang pandang larangan kenapa padahal banyak lagi perkara yang digalakkan,..


Sebenarnya...

Remaja adalah satu usia yang mana tenaga dan semangatnya seolah tak pernah habis. Mampu berjaga malam. Tidur tak cukup tak jadi hal, boleh lagi lah bagi kerja itu ini. Tapi sekali sorong bantal, mampu lelap seminggu.

Memandang semula lebih 1400 tahun lalu, remaja semasa itu sibuk nak belajar dari Nabi Muhammad. Remaja muslimlah. Yang tak muslim tengah berkira bapak aku betul ke Nabi Muhammad yang betul. Bila seruan jihad panggil ke medan perang, berebut dengan bapa nak pergi juga.

Remaja memerlukan penunjuk arah. Jika dapat buka mata tentang potensi, itu lebih baik. Bukan hanya sibuk mengintai anak dara/teruna orang cari peluang untuk bercinta. Bukan sibuk mencari idola lalu terjumpa K-Pop dan ikut sepenuh hati.

Remaja yang tahu mereka adalah kategori pemuda didalam al-Quran serta mempelajari bahawa usia muda begitu bermakna, tentunya mereka akan cuba memaksimumkan keupayaan dirinya. Cuba mendekati agama, menyusun jadual hidupnya seperti pemuda/remaja zaman nabi. Berusaha melengkapkan diri dengan ilmu... mereka berkahwin juga, tetapi fokusnya bukan pada perasaan mahupun kemampuan menyara keluarga... fokusnya tetap pada peningkatan diri dari segi ilmu dan amal.

Maka remaja, persiapkanlah diri untuk menghadapi masa dewasa mu.

20 January 2015

Buku: Selagi Masih Muda

Tajuk: Selagi Masih Muda Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Bermakna
Penulis: Dr. A'idh Al-Qarni
Penerbit: AQWAM Jembatan Ilmu
ISBN: 978-979-039-108-9

Buku yang masih belum habis dibaca. Masih sedang dibaca. Bukan di masa lapang tapi ketika bosan dalam perjalanan. Angkut sana sini. Maklumlah, rasa tak lengkap bila tak ada sebarang buku di dalam beg tangan.

Asal penulisan buku ini dalam bahasa Arab. Yang saya sedang baca ni terbitan syarikat Indonesia. Nak harap dalam bahasa Melayu? Lambat lagi lah. Kalau nak, ada je tapi bukan karya Dr. 'Aidh tapi karya Dr. Maszlee Malik. Lain kali saya ulas. Belum baca lagipun. Hihi.

Sempena AJL29 yang baru berlalu, satu bab dari buku ini terlalu dekat saya. Saya seorang yang mencintai nyanyian dan muzik. Pendek kata hiburan. Dulu saya pilih genre dahulu baru dengarkan lirik. Seperti apa, itu rahsia. Maaf, tak berminat nak mendedahkan diri *wink*.

Nyanyian dan muzik, ada fiqhnya. Ada yang berpandangan haram mutlak. Maksudnya tidak ada toleran. Tak boleh langsung. Bagaimana pun ada satu buku yang belum pernah saya baca berbicara mengenai hukumnya. Secara praktikalnya, saya mengambil hukum harus selagi ia tidak melalaikan. Mengapa begitu? Sekarang sudah ada lagu-lagu yang mengingatkan pada Tuhan... bukankah ia baik?

Namun begitu, saya terfikirkan perkara yang lebih serius. Mana boleh dicampur aduk dua perkara berbeza. Selepas itu saya tinggalkan fikiran ini tanpa menambah penyelidikan walaupun dengan membaca.

Semasa saya kecil dahulu, kenduri kahwin yang saya hadiri tidak pernah ada pasukan kompang apatah lagi sebarang nyanyian dan tarian. Mungkin orang kampung saya tidak berjiwa seni. Atau tak punya wang untuk membayar hiburan di hari kenduri (sewa peralatan, bayar perkhidmatan nyanyian). Tetapi kemungkinan lain ialah orang kampung saya ada ilmu agama yang berpegang nyanyian dan muzik itu haram.

Maklumlah, jika nak tok guru datang kena pastikan majlis itu 'halal', tidak ada maksiat. Tanda ada kenduri biasanya diletakkan bunga manggar. Sekadar itu.

Hari ini, saya melihat kebanyakan kenduri kahwin tak lepas dari nyanyian dan muzik. Ya, sekarang sudah ada lagu Maher Zain. Nasyid sebenarnya dari dulu dah banyak. Cari Pasangan - Rabbani contohnya, Isteri Solehah - The Zikr contohnya. Macam-macam lagi. Yang buat playlist campur-campur pun ada. Apa-apa sajalah.

Boleh ke tak boleh? Berpada-pada. Sederhana sudah. Tapi kalau buang dari persiapan kenduri, banyak juga dapat jimat. Hihi.

Berbalik kepada buku, saya baca kerana saya masih muda dan saya mahu manfaatkan masa muda. Apa yang Dr. 'Aidh tulis bukanlah baru tetapi saya perlukan sebagai refreshment mendepani sisa-sisa usia muda. Kalau boleh, nak sentiasa muda sebab nabi s.a.w. kata orang muda je masuk syurga. Apa boleh buat, sunnatullah tentang manusia ni bukan kawalan kita.

Sebaik sahaja saya kembali membaca buku ilmiah, saya rasa dapat dunia saya semula. Suka sangat!

Antara perkara yang perlu diambil berat; semangat sebagai orang muda, masa dan qudwah,

Sekian.

15 January 2015

Pelaburan

Pening juga nak memilih pelaburan.

Sekadar corat-coret aje la ni ye.

Rupa-rupanya simpan di Tabung Haji lebih tinggi pulangannya dari mana-mana akaun pelaburan perbankan yang ada. Ni tak termasuk Unit Trust. Belum belajar tentang unit trust. Baru godek-godek maklumat mengenai Commodity Murabahah KFH sepertimana yang diperkenalkan oleh Ummu Amjad.

Rupa-rupanya saham di Koperasi Islah Malaysia Berhad lebih tinggi ganjarannya berbanding Tabung Haji.

Ha kan dah jadi konflik di situ.

Cuba kira-kira di sinihttps://ringgitplus.com/en/fixed-deposit/islamic/, produk KFH. macam tak memberangsangkan pun! rasa macam penat pula nak melabur. Hmmm... Belum ada kekuatan nak salur seratus peratus ke KIMB.

Gaji adalah. Tapi kata menteri, nilai gaji saya kira miskin. Miskin jugaklah rasa dia sebab hanya mampu sewa bilik dan bergantung pada kenderaan awam. Hutang dah langsai. Ada simpanan. KWSP baru mencarum lebih kurang 20 bulan. Kerja baru tak ada kelebihan semua tu.

Keinginan terlalu banyak menjadikan keperluan kewangan tu meruncing. Mana ada benda percuma... Duduk rumah pun masih kena bayar elektrik dan air. Kalau nak membaca, kena beli buku. Mana ada benda percuma!

Sudah-sudahlah. Berbalik kepada perkara pokok, pelaburan. Hari ni, dianggarkan 2 juta diperlukan untuk menampung kehidupan selepas pencen hingga mati. Pegawai kerajaan ok lah, ada pencen. Kerja swasta, kalau tak ada takaful, memang sakit. Pendek kata, jika mahu pendapatan, kena kerja sampai mati. Tapi mampu ke nak kerja lagi masa umur 70? Jadi kena bijak, pandang ke hadapan.

Untuk jangka masa panjang, pilihlah emas. Lain-lain? Carilah alternatif. Saya pun masih belajar.

KIMB ialah Koperasi Islah Malaysia Berhad. Koperasi ni setakat hari ini, keahliannya eksklusif untuk ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia sahaja. Caruman minimum cuma RM25 sebulan yang merangkumi saham, simpanan, pengurusan, infak dan kebajikan. 2013, KIMB isytihar 7% pulangan saham dan 4% hibah atas simpanan. Kan lebih banyak dari Tabung Haji tu?

Apa pun, ini hanya sebahagian kecil aplikasi ilmu kewangan.

Saya tak bercita-cita besar. Sekadar mengimpikan mahu menunaikan haji waktu muda dan mampu bersedekah. Hidup tanpa hutang! Bercuti? Tenangkan fikiran dengan amal kebajikan. Lebih berbaloi. Tapi itu pilihan peribadi.

Apapun, pelaburan ni carilah yang shariah-compliance. Tak rugi ambil pendapat yang berat jika mahu berkat.

13 January 2015

Banjir 2014

Ketika bah melanda negeri Kelantan, saya baru pulang dari Kota Bharu.

Tiba di Kota Bharu pada hari cerah. Rupanya selepas berhari-hari hujan. Tak nampak air di mana-mana. Maklumlah Jambatan Sultan Yahya dah tak nampak kiri kanannya. Selamba sahaja beritahu rakan twitter kota bharu ok. Padahal baru lega dari ancaman banjir.

Hari kedua di rumah barulah merasa musim tengkujuh. Dan mula terasa ancaman banjir terutama semasa keluar dengan ayahanda. Bagai mengulang kisah-kisah dulu kala, memantau paras air setiap kali melalui jambatan. Dahulu ada bukit JPS yang menjadi penanda aras. Bukit JPS serta ladang-ladang semuanya diratakan atas nama pembangunan.

Banjir tiba di rumah. Walaupun reaksi tidak bimbang namun minda di luar sedar merisaukan sehingga tidur lewat. Whats app asyik dijengah bagi mendapatkan berita. 26 Disember 2014, talian internet terputus. Telefon masih berfungsi. Ahli keluarga semua selamat. Tak kira di Kuala Krai, Tanah Merah mahupun di Kutan Hilir sendiri.

Berita demi berita tiba. Amarah rakyat pada Najib kerana khabar bermain golf dengan Obama. Soalan bertanyakan sultan, TG Nik Aziz, MB Kelantan di media sosial. Di samping kritikan terhadap kerajaan negeri Kelantan yang sibuk mahu mengadakan mesyuarat berkenaan hudud pada 29 Disember yang mana akhirnya ditangguhkan. SUK pun banjir!

Risau tak risau, tak boleh buat apa-apa. Lebih baik tidak berkeras untuk pulang dan buat apa yang patut dari jauh. Menyertai pasukan sukarelawan misalnya. Hantarlah bantuan ke tempat yang dapat di capai sahaja, dengan harapan dengan usaha kecil ini Allah lihat dan Allah jaga ahli keluarga sendiri. Tawassul amal? Wallahu a'lam. Jauh di sudut hati, janganlah maksiat yang dilakukan menjadi penyebab kehilangan selama-lamanya.

Gelap kala cerah, umpama berada di tengah perut Nun. Maka berzikirlah mengingati TuhanMu Yang Maha Berkuasa. - Cetusan di Twitter pada 27 Disember 2014

Kelantan jadi pulau. Bantuan makanan tak dapat disalurkan dari Kota Bharu ke Pasir Pekan dan ke atas. Terasa gelap walau di siang hari. Lalu teringat pada keadaan Nabi Yunus a.s. berada di dalam perut ikan. Melihat gambar-gambar kucing yang comel mengingatkan pada kisah Bahtera Nabi Nuh a.s. Sungguh musibah ini menguji tak hanya penduduk setempat tetapi juga saudara mara yang berada jauh dari lokasi banjir. 

Kekuasaan dan Kebesaran Allah menghuni jiwa. Kemuncak banjir di Kelantan pada 26 Disember 2014, ulangtahun ke-10 bencana Tsunami!

Alhamdulillah, misi demi misi daerah yang dihuni, misi ke-4 ke Kuala Krai. Misi pertama dan kedua cuma membantu di pusat pengumpulan barang. Misi ke-3 jadi sukarelawan di lokasi. Juga misi ke-4. Peluang bertemu mangsa banjir dan melihat lokasi selepas banjir merupakan tinggalan buat mereka yang mahu berfikir.

Misi ke-3 ke Kemaman. Berpeluang menyampaikan bantuan. Misi ke-4 ke Kuala Krai, membantu membersihkan SMK Kuala Krai menjelang sekolah dibuka bersama beberapa agensi lain.

Titah sultan Kelantan meruntun jiwa:

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V

Perkembangan muktaakhir ini, negara pada amnya, dan negeri kelantan khasnya telah ditimpa musibah banjir yang agak luar biasa. Banjir yang menimpa rakyat beta adalah sebahagian dari qada dan taqdir allah. Hal ini harus di yakini dan di imani. 
 
Atas dasar keimanan, musibah perlu diterima dengan penuh berlapang dada, bersabar bertawwakal kepada Allah Yang Maha Kuasa. 
 
Ekoran musibah banjir yang melanda ini rakyat beta, berhadapan dengan ketakutan, kelaparan, kerusakan harta benda, kematian, dan kekurangan hasil mahsul. 
 
Beta berharap rakyat dapat menghadapi musibah ini dengan banyak berfikir dan berzikir ke hadrat Allah. 
 
Beta merakamkan ucapan tazkiah kepada mangsa banjir. Beta amat dukacita dan berkongsi rasa simpati atas kerusakan harta benda, kehilangan nyawa, rasa ketakutan dan gundah gulana.
 
Beta mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi negeri, persekutuan, pihak NGO, swasta, individu, seluruh masyarakat yang telah bersatu hati dalam usaha membantu, memberi pertolongan kepada mangsa-mangsa banjir. 
 
Kepada semua ahli masyarakat, harus bersikap peka dan sensitif terhadap musibah ini. Janganlah ada dikalangan ahli masyarakat yang tidak sensitif, ingin menangguk di air keruh, dengan menyebarkan berita-berita yang menambahkan kekeruhan dan kekusutan dalam masyarakat. Ujian sebegini rupa, bukan masa untuk mana-mana pihak menunding jari, menelanjang, menyalahkan pihak-pihak tertentu. 
 
Beta berharap kepada seluruh alim ulama, dan masyarakat terus berdoa, mengadakan sembahyang hajat dimasjid dan surau agar ujian dan musibah ini tidak bertambah buruk, malah segera pulih. 
 
Marilah kita segera meneropong diri, mohon keampunan daripada Allah, serta memperbaiki langkah-langkah kita, yang mungkin telah banyak membuat kesilapan. 
 
Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan dengan alam sekitar. Marilah kita sama-sama sedar bahawa segala macam musibah bencana dan malapetaka yang terjadi semua itu akibat dari olahan tangan-tangan kita. 
 
Semoga Allah mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak. 

Kisah penyertaan misi bantuan akan diceritakan jika saya rasa perlu. Jika tidak disambung, boleh lihat gambar-gambar di sini.

07 January 2015

2015

Bismillah.

Blog baru, alamatnya sama namun tidak menjanjikan sebarang perubahan. Yang menulis masih orang yang sama. Hanya jiwanya saja mengalami perubahan.

Fasa-fasa kehidupan yang kita tidak pernah impikan, tidak pernah sangkakan, tidak pernah dirancangkan, apabila ia berlaku merupakan ujian berlapang dada dengan Tuhan. Tuhan tahu semuanya, yang terluah mahupun tidak.

Ada bahagian jiwa berubah, ada bahagian jiwa masih sama. Jiwa ingin bertemu Tuhan itu yang perlu dikekalkan. Jiwa yang mempercayai Tuhan itu yang mesti diminta agar konsisten. Jiwa yang sering meminta perlindungan Tuhan yang harus diteruskan.

Saya. Bukan ahli sastera. Bukan juga pemuisi. Bukan penyair. Saya cuma menulis. Mungkin luahan sudut dalam jiwa. Mungkin tajuk-tajuk isu semasa. Mungkin juga isi-isi di dalam fikiran yang meminta diluahkan. Buat masa ini, saya obses dengan pengurusan kewangan secara praktikal.

Rabi'ul Awwal. Umur tahun hijrah bertambah lagi.

Berdoalah untuk husnul khatimah biar apa pun halangan dan cabaran di pertengahannya.