.

.

27.2.15

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat rahimahullah

Berita keberangkatannya diketahui ketika sedang sibuk mendengar perbincangan serius berkenaan amal kolektif. Hari Khamis 12 Februari 2015 jam 9.45 malam menurut saluran media perdana. Tidak kira jam berapa, akhirnya giliran beliau tiba jua.

Beberapa kali keluar masuk hospital, secara peribadi bersedia melepaskan tokoh awam ini yang begitu dekat dengan jiwa saya sebagai individu yang membesar di Kelantan. Kelantan adalah zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa (sebahagian). Ingin melepaskan beliau ke pangkuan Tuhan Rabbul 'Alamin kerana itulah pertemuan yang diimpikan oleh setiap mereka yang beriman.

Saya tidak dididik supaya mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi. Ketika orang berpusu-pusu mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi, saya berada di rumah. Namun saya mengenalnya lewat keluarga cikgu pencen yang punya rutin setiap Rabu malam Khamis dan pagi Jumaat mengikut 'pengajaran' beliau. Cikgu pencen juga merupakan pelanggan tetap akhbar Harakah.

Awalnya saya cuma mengenalnya sebagai Menteri Besar Kelantan. Masih buta politik tetapi mengenal bulan dan warna hijau putih sebagai lambang PAS. Malah, jika meminati warna biru ketika itu akan diejek sebagai BN dan ia sebagai lambang orang jahat. Itu zaman kanak-kanak saya. Usah dikritik. Kena tidak kena, ia sudah berlalu.

Apabila meningkat dewasa, terutama selepas era pemecatan DSAI dari takhta Timbalan Perdana Menteri, saya mula berkenalan dengan landskap politik Malaysia. Saya pernah dilibatkan dengan perbincangan sebuah parti politik semasa usia belum 20 tahun! Rekrutmen? Pada saya itu sebuah pengalaman. Apa kaitannya dengan TGNA?

Selepas peristiwa 1998, landskap politik Malaysia berubah. Tidak keterlaluan jika saya meletakkan sebanyak 180 darjah. Penulisan yang tertangguh menyebabkan saya kehilangan idea.

Bibliografi beliau saya khatamkan ketika usia remaja. Satu-satunya bibliografi ahli politik lokal yang saya baca ketika orangnya masih hidup. Waktu itu baca sekadar baca macam buku cerita, buku sejarah. Selepas itu saya ikuti blognya.

TGNA merupakan orang yang saya hormati lagi saya kasihi. Luasnya pengetahuan dan pemikiran. Jika kebanyakan ahli PAS terlalu memandang kelompok mereka paling baik, tidak boleh bercampur dengan yang lain, TGNA berbeza. TGNA mengalu-alukan badan-badan lain yang mempunyai persamaan mesej seperti PAS untuk bekerja bersama. Sesuai dengan motonya, "Membangun Bersama Islam." Bukan mencantas sedikit perbezaan.

Kala keberangkatannya, perkara pertama yang muncul adalah masa depan pakatan rakyat. 2014 menunjukkan kemerosotan hubungan sesama ahli PR. Muncul berita demi berita termasuk berita PAS yang kononnya mahu bergabung dengan UMNO. Perjuangan TGNA begitu konsisten dari muda hingga akhir hayat di bidang politik. Saya melihat satu perspektif, TGNA begitu mengenal sepak terajang dunia politik.

Politik sesuatu yang tabu. Politik digelar tong taik. Tetapi adanya orang seperti almarhum sebenarnya mengubah persepsi. Ulama' yang umara'. Ulama' yang warak. Meski saya bukan pendengar tegar ceramah-ceramah beliau, namun apa yang saya dengar dari beliau begitu dekat di hati. Tidak bercanggah dari apa yang diajar dalam silibus KBSM.

Apa yang paling saya suka tentang almarhum ialah intonasi suaranya. Saya begitu anti dengan ceramah-ceramah politik. Cuba lihat cara Najib di pentas ceramah politiknya. Lihat Anwar Ibrahim bila berucap di hadapan penyokongnya. Perbezaan ketara adalah gaya ucapannya. Almarhum TGNA, waktu memberi kuliah mahupun di pentas ceramah politik, nadanya sama. Apa yang dibawa tetap sama. Hanya pentas yang berbeza. Sebab itu apabila media massa memburuk-burukkan beliau, saya tidak mahu dengar. Saya tutup segala sumber.

TGNA akan terus diingati. Saya sukakan keberadaan beliau di tengah kemelut politik. Samar-samar dalam ingatan saya, beliau lah yang mendamaikan antara ketiga parti yang berpakat. Jika PAS terus tegar dengan pendirian yang bercanggah dengan pendirian PR, ahli-ahli PAS sebenarnya tidak mampu mendokong apa yang TGNA ajarkan. Sana-sini berforum mengingati murabbi, tetapi tak lain sekadar interest peribadi.

Saya tidak pasti berapa ramai yang seusia TGNA di dalam PAS. TGHH adalah generasi sezaman dengan DSAI juga almarhum Dato' Fadzil Noor. TGNA menggalakkan perpaduan, siapa kata kita berpecah? Jika benar menghormati TGNA, saya cuma mengharapkan PAS kembali kepada asas mengapa dulu bergabung dengan PR.

Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu. Damailah TGNA di sana menanti sebuah pertemuan abadi.

12.2.15

Penjara

Orang yang berjuang demi kebenaran rela dipenjarakan. Penjara adalah lokasi beruzlah. Penjara boleh jadi pusat islah. Penjara, walau negatif, adalah tempat yang indah jika pandai manipulasikan.

Dua hari lepas, DSAI telah dihukum penjara selama 5 tahun. Semasa beliau dipecat pada tahun 1998, saya adalah remaja yang baru menginjak usia 14 tahun. Baru mahu kenal dunia. Baru seronok mengenali agama. Tiba-tiba (bekas) Perdana Menteri pecat Timbalannya.

Remaja yang tidak mengenal DSAI ketika pemecatan, hari ni tentunya mengucap syukur DSAI dipenjarakan akhirnya! Tidak ingin menyebut tuduhan yang dikenakan terhadapnya, Ah, masa remaja apa peduli dengan politik mahupun pimpinan negara! Zaman remaja waktu itu adalah kegilaan filem hindustan dan cerita-cerita melayu ala-ala Cinta Metropolitan, Cinta Antara Benua, dan sebagainya. Tak dilupakan kegilaan pada Backstreet Boyz, Spice Girl, Elite, Newboyz dan lain-lain.

Saya, tidak mengikuti rapat kes yang dibicarakan. Namun, bila ia 'bikin panas', ambil tahu jugalah. Perkara yang 'obvious' perlu diberi perhatian. Seperti apa? Seperti pejabat PMO mengeluarkan kenyataan media sebelum hakim membaca keputusan. Seperti cerita ini mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Seperti, pilihanraya untuk permatang pauh perlu untuk menggantikan DSAI. Seperti siapa pengganti ketua pembangkang.

Semasa tuduhan kali kedua, mangsa berbeza, saya hampir-hampir percaya. Mujur dengar tazkirah di masjid, bagaimana orang buat cerita supaya masyarakat percaya kepada pembohongan. Ustaz tak sebut pun isu semasa. Ustaz cuma beri ilmu mengenai kisah-kisah terdahulu. Kisah di dalam al-Quran. Dalam surah al-Qalam. Bercerita mengenai nabi Muhammad yang digelar Majnun (orang gila) sehingga masyarakat Mekah percaya... menangis saya dibuatnya menyedari hakikat ini.

Pembohongan perlu diulang bagi meraih kepercayaan. Meskipun ia aib, Meski ia berlawanan dengan norma masyarakat. Meski tidak sesuai dengan semua golongan masyarakat.

Saya tidaklah mengenali DSAI secara dekat. Apa yang saya tahu mengenai beliau, sama banyak dengan maklumat yang boleh di'gugel' hari ini. Mungkin Google tahu lebih banyak. Tetapi, prinsipnya DSAI adalah Muslim dan mempunyai hak agar tidak 'ditelanjangkan' aibnya. Jika kita orang biasa cukup malu orang ambil gambar nampak gemuk dan dikutuk di media sosial, apa lagi DSAI yang sudah bercucu?

Membaca biografi Kak Wan, bahkan DSAI sendiri. Kedua-duanya sememangnya anak orang berada (bila dibandingkan dengan orang banyak yang lain). Dan berperanan dalam UMNO. Maka, tidak hairanlah DSAI menyertai UMNO suatu masa dahulu sehingga ditendang keluar lalu menubuhkan partinya sendiri. Bukan sebarang-sebarang orang yang sedang kita ceritakan.

Jika tahun 1999, minat saya pada DSAI yang dipecat kemudian kes-kes yang dibentangkan begitu memualkan hingga saya rasa orang yang memegang kuasa itu gila, terencat akal, tidak beragama. 2015 ini, orang yang berkuasa sudah hilang arah. Saya lebih berminat untuk menjatuhkan kekuasaan politik yang ada. Bagaimanapun gerimendering tetap akan menyelamatkan kekuasaan sekarang. Kecuali 100% masyarakat Malaysia ingin mengajar kepimpinan yang ada hari ini.

Siapa pun yang memulakan pertuduhan yang memualkan ini, beliau bertanggungjawab atas aib seluruh masyarakat Malaysia yang konon sudah kebaratan tetapi sebenarnya masih mempunyai nilai ketimuran yang mungkin tidak setinggi Jepun tetapi memadai sebagai 'guard'. Aib yang tak hanya mengundang perhatian ulama' besar di seluruh dunia tetapi juga kepimpinan dunia.

Beritahu saya jika ada pemimpin Malaysia lain yang akan dapat perhatian antarabangsa jika perkara yang sama berlaku kepada pemimpin tersebut seperti DSAI. 

Jika World War II itu dicanang merupakan rancangan zionis sekian lama, setakat DSAI sejak 1998 itu kacang saja! Mungkin mereka di kalangan 'The Adjustment Bureau'? Siapa tahu... Ah, movie aje...

Begitu pun, penjara bukan asing buat DSAI. Boleh 'gugel' berapa kali beliau dipenjarakan. Dan berapa ramai pemimpin dunia dipenjarakan. Dari zaman dahulu pun, ulama dipenjarakan. Atas 'kesalahan' politik. Sejarah menunjukkan bahawa penjara sememangnya permainan orang yang berkuasa.

Bukan nak menyamakan atau menaik tarafkan seorang DSAI di mata kalian, namun inilah realiti politik. DSAI ada rupa, ada aura. Ditambah dengan sejarah kepimpinannya dari zaman mahasiswa lagi. Siapa pun DSAI, atas nama kemanusiaan, mengapa tidak dihadapkan kesalahan lain seperti kesalahan rasuah? Fikir-fikirkanlah.

Gelanggang politik tidak kotor. Tetapi pemain yang ingin kekal berkuasa takutkan kekalahan yang mengotorkannya. Jika tidak takut, apa perlunya persempadanan semula?

Penjara hanya jasad. Bukan fikiran. Fikiran seperti internet, tak ada sempadan. Tak percaya, pergi tengok cerita Lucy.