.

.

27.2.15

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat rahimahullah

Berita keberangkatannya diketahui ketika sedang sibuk mendengar perbincangan serius berkenaan amal kolektif. Hari Khamis 12 Februari 2015 jam 9.45 malam menurut saluran media perdana. Tidak kira jam berapa, akhirnya giliran beliau tiba jua.

Beberapa kali keluar masuk hospital, secara peribadi bersedia melepaskan tokoh awam ini yang begitu dekat dengan jiwa saya sebagai individu yang membesar di Kelantan. Kelantan adalah zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa (sebahagian). Ingin melepaskan beliau ke pangkuan Tuhan Rabbul 'Alamin kerana itulah pertemuan yang diimpikan oleh setiap mereka yang beriman.

Saya tidak dididik supaya mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi. Ketika orang berpusu-pusu mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi, saya berada di rumah. Namun saya mengenalnya lewat keluarga cikgu pencen yang punya rutin setiap Rabu malam Khamis dan pagi Jumaat mengikut 'pengajaran' beliau. Cikgu pencen juga merupakan pelanggan tetap akhbar Harakah.

Awalnya saya cuma mengenalnya sebagai Menteri Besar Kelantan. Masih buta politik tetapi mengenal bulan dan warna hijau putih sebagai lambang PAS. Malah, jika meminati warna biru ketika itu akan diejek sebagai BN dan ia sebagai lambang orang jahat. Itu zaman kanak-kanak saya. Usah dikritik. Kena tidak kena, ia sudah berlalu.

Apabila meningkat dewasa, terutama selepas era pemecatan DSAI dari takhta Timbalan Perdana Menteri, saya mula berkenalan dengan landskap politik Malaysia. Saya pernah dilibatkan dengan perbincangan sebuah parti politik semasa usia belum 20 tahun! Rekrutmen? Pada saya itu sebuah pengalaman. Apa kaitannya dengan TGNA?

Selepas peristiwa 1998, landskap politik Malaysia berubah. Tidak keterlaluan jika saya meletakkan sebanyak 180 darjah. Penulisan yang tertangguh menyebabkan saya kehilangan idea.

Bibliografi beliau saya khatamkan ketika usia remaja. Satu-satunya bibliografi ahli politik lokal yang saya baca ketika orangnya masih hidup. Waktu itu baca sekadar baca macam buku cerita, buku sejarah. Selepas itu saya ikuti blognya.

TGNA merupakan orang yang saya hormati lagi saya kasihi. Luasnya pengetahuan dan pemikiran. Jika kebanyakan ahli PAS terlalu memandang kelompok mereka paling baik, tidak boleh bercampur dengan yang lain, TGNA berbeza. TGNA mengalu-alukan badan-badan lain yang mempunyai persamaan mesej seperti PAS untuk bekerja bersama. Sesuai dengan motonya, "Membangun Bersama Islam." Bukan mencantas sedikit perbezaan.

Kala keberangkatannya, perkara pertama yang muncul adalah masa depan pakatan rakyat. 2014 menunjukkan kemerosotan hubungan sesama ahli PR. Muncul berita demi berita termasuk berita PAS yang kononnya mahu bergabung dengan UMNO. Perjuangan TGNA begitu konsisten dari muda hingga akhir hayat di bidang politik. Saya melihat satu perspektif, TGNA begitu mengenal sepak terajang dunia politik.

Politik sesuatu yang tabu. Politik digelar tong taik. Tetapi adanya orang seperti almarhum sebenarnya mengubah persepsi. Ulama' yang umara'. Ulama' yang warak. Meski saya bukan pendengar tegar ceramah-ceramah beliau, namun apa yang saya dengar dari beliau begitu dekat di hati. Tidak bercanggah dari apa yang diajar dalam silibus KBSM.

Apa yang paling saya suka tentang almarhum ialah intonasi suaranya. Saya begitu anti dengan ceramah-ceramah politik. Cuba lihat cara Najib di pentas ceramah politiknya. Lihat Anwar Ibrahim bila berucap di hadapan penyokongnya. Perbezaan ketara adalah gaya ucapannya. Almarhum TGNA, waktu memberi kuliah mahupun di pentas ceramah politik, nadanya sama. Apa yang dibawa tetap sama. Hanya pentas yang berbeza. Sebab itu apabila media massa memburuk-burukkan beliau, saya tidak mahu dengar. Saya tutup segala sumber.

TGNA akan terus diingati. Saya sukakan keberadaan beliau di tengah kemelut politik. Samar-samar dalam ingatan saya, beliau lah yang mendamaikan antara ketiga parti yang berpakat. Jika PAS terus tegar dengan pendirian yang bercanggah dengan pendirian PR, ahli-ahli PAS sebenarnya tidak mampu mendokong apa yang TGNA ajarkan. Sana-sini berforum mengingati murabbi, tetapi tak lain sekadar interest peribadi.

Saya tidak pasti berapa ramai yang seusia TGNA di dalam PAS. TGHH adalah generasi sezaman dengan DSAI juga almarhum Dato' Fadzil Noor. TGNA menggalakkan perpaduan, siapa kata kita berpecah? Jika benar menghormati TGNA, saya cuma mengharapkan PAS kembali kepada asas mengapa dulu bergabung dengan PR.

Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu. Damailah TGNA di sana menanti sebuah pertemuan abadi.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan jejak! :)