.

.

20 May 2015

Rohingya: Kezaliman yang mesti dihentikan oleh dunia!

Saya pernah menemuramah beberapa wanita Rohingya, sebenarnya untuk didokumentasikan untuk dijadikan buku. Namun, oleh kerana bahan belum mencukupi, ianya masih tergantung.

Kisah Muslim di Burma, saya dihidangkan kisah mengenai mereka semasa di UIA. Malah, salah seorang yang pernah jadi rakan sebilik adalah Muslim dari Myanmar. Berkenalan dengan sebuah negara yang dikenali sebagai Myanmar. Cerita seorang pensyarah mengenai pengalaman beliau belajar.

Tidak lama dulu kita pernah dikejutkan dengan berita orang-orang Budha bergaduh dengan Muslim. Namun ia telah lenyap ditelan susur masa si burung biru dan juga muka buku.

Namun, keadaannya di sana, amat menyayat hati. Saya mungkin belum menemui mereka yang berasal dari Rakhine, tetapi di keseluruhan Burma itu, Muslim telah ditindas dengan menafikan mereka sebagai warganegara! Mereka diberi pendidikan tetapi harta mereka dirampas. Pekerjaan begitu terhad. Peluang-peluang untuk memajukan diri ditutup sepenuhnya. Muslim dibiarkan hidup dihimpit kemiskinan. Apabila rumah terbakar (saya merasakan ia sengaja dibakar), mereka duduk sementara di khemah penempatan sementara.

Saya sudah tiada jiwa ketika masyarakat Malaysia mengutuk kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand kerana tidak membuka pintu untuk mereka masuk. Kronologi yang panjang kerana mereka sebenarnya sudah berbulan-bulan di tengah laut. Bot rosak, baiki. Beri bantuan makanan.

Mereka tiada identiti yang sah. Mereka keluar dari Myanmar membawa satu harapan untuk kehidupan yang lebih baik. Saya secara peribadi, tidak ingin mereka pulang ke Myanmar, kerana nasib mereka bakal menjadi lebih buruk! Ya, ditangkap dan hilang begitu sahaja. Bukankah itu lebih buruk?

Terkandasnya mereka di perairan adalah suara yang perlu didengari. Ia tidak hanya suara memohon kebenaran untuk mendarat, tetapi bukti kezaliman yang dialami di negara asal mereka. Hak untuk menjadi warganegara, hak untuk mengamalkan agama, hak untuk belajar hingga peringkat tertinggi, hak untuk bekerja dan sebagainya.

Persoalannya, siapakah yang membela nasib mereka, di negara mereka?