.

.

15.10.15

Analisa pendirian dan pemikiran

Saya tidak tahu mahu bermula di mana. Tercampak ke satu arena yang tidak pernah termimpikan sekarang sudah pandai bermimpi. Inilah yang dikatakan rencana Tuhan, kan?

Saya tidak pernah berada di tengah gelanggang itu. Cuma bermain di tepian. Masuk jarang-jarang waktu diperlukan. Itupun bukan sebagai pemain utama. Setakat level buruh kasar. Tertolak masuk ke dalam gelanggang adalah perkara yang disangka. Level mana? Belum muktamad.

Alahai. Saya tidak pasti perkataan bahasa Melayu yang sesuai untuk statement. Penyataan? Yang ingin saya nyatakan disini bahawa kenyataan media 'mereka' tiada kelangsungan serta tidak menampakkan penyatuan (tidak selari). Mereka mendabik dada apabila berjaya menyingkirkan golongan profesional. Tetapi, sekarang mereka membayangkan jenama mereka masih terbahagi dua.

Siapa mereka? Awak rasa siapa? Saya rasa saya tak mahu sebut siapa.

Mereka sebenarnya telah buat saya keliru. Nasib baik pembimbing-pembimbing saya tidak. Jika tidak, tentu saya pun ditipu dan kena tipu. Kita, bila belajar, cari lah banyak guru/pembimbing/rujukan. Bukan berpandu pada satu guru. Yang mana satu yang nak dipakai? jika ada 3 guru, 2 darinya berlainan latarbelakang berpendapat yang sama, maka itulah dia. Selepas itu, pantau pula kelangsungan dan manfaatnya dalam kerangka yang besar. Jika kerangkanya kecil, maka tinggalkanlah kerana wawasan Islam ini besar!

Wawasan Islam ini melangkaui warna kulit, bangsa, agama dan sempadan negara. Wawasan Islam tidak mengundang perpecahan bahkan menggalakkan titik persetujuan bersama. Persetujuan melalui perbincangan, perbahasan dan penghujahan hingga menemui persefahaman perdamaian. Islam tidak mengajar kita agar patuh membuta tuli. Bahkan dalam soal solat pun, imam 4 mazhab bersepakat, jika kamu menemui hujah yang lebih sahih maka tinggalkan ijtihad mereka. Inikah pula hal kepartian yang masih hijau usianya (berbanding fiqh solat).

Cenderung kepada keterbukaan tidak bermakna kita tunduk sesama manusia... kita semua bersetuju bahawa perhambaan sudah tidak ada. Kita semua tahu risalah nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk semua, tidak terhad kepada bangsa tertentu. Mengapa mesti kita sempitkan rahmat itu kepada Melayu dan Islam? Walhal kita berada di dunia yang sama, menghirup udara (berjerebu waktu ini) ini sama-sama..

Berfikir di luar kotak tidak menjadikan anda liberal. Berfikir di luar kotak membawa pemikiran anda ke dimensi dakwah yang lebih besar. Dakwah adalah tawaran berbentuk penerangan. Persetujuan tidak semestinya penerimaan tetapi yang lebih penting adalah persefahaman. Jika sudah faham tetapi masih tidak bersetuju, di sana kita serahkan kepada mereka yang lebih memahami sepak terajang gelanggang ini.

Faham disini membawa maksud, penerimaan dan penolakan berdasarkan maklumat yang jitu yang tidak mempunyai pertikaian sama sekali. Apa yang saya lihat dari luar gelanggang, penyampaian maklumat tidak ada apatah lagi nak capai persefahaman akhirnya 'bertekak' di media massa. Kronologi yang tidak selari.

Gelanggang ini tiada fiqh yang muktamad, ijtihadnya terbuka. Jangan disempitkan dengan ideologi dan kecenderungan peribadi yang membataskan penerimaan manfaat. Gunakan akal sebaik-baiknya agar jadi ulul albab, bukan berfikiran lembab.