.

.

31.12.16

Johor: Circle Twitter

Jadinya, waktu cuti hujung minggu panjang, buat plan nak jumpa cik Lisa. Sebelum ke Jepun lagi dah tilik kalendar. Cuma kena execute plan aje.

Beli tiket online, mesej dengan Lisa, semuanya dah tersedia. Tapi kita manusia ni cuma merancang, Allah tentukan.

Konon ambil tiket awal pagi supaya dapat lunch di Warong Mak Leha. Tapi Allah tak kata kun, saya missed the bus sebab sistem TBS, walaupun dah beli online masih kena tukar tiket di kaunter! 

Eh salah sendiri juga, naik train ke TBS. Sampai betul-betul 8.30 pagi, nak jalan ke TBS dari stesen tren... Masa! Jadi, hanguskan tiket awal pagi dan beli tiket baharu jam 11.30 pagi. Begitulah pelajaran hari tersebut berharga sekeping tiket ke Larkin.

Tiba lewat di Larkin. Terus beli tiket balik. Mijer selaku tauke WML dah tutup kedai. Tak ada rezeki nak rasa chicken butter. Lisa bawa ke Kilang Bateri, pilih-pilih kedai akhirnya masuk i-Shell Out. Mulanya nak pilih ala carte, tengok harga tak berbaloi. Berdua dengan cik Lisa, order set untuk tiga orang dan licin! 

Sampai rumah Lisa, siap-siap untuk tidur. Sembang pun sekejap saja.

Kami tak ada proper plan. Cuma melunasi keinginan nak bertemu mata. Additional, jumpa Mijer. Seingat saya, kami pertama kali jumpa Disember 2012. Ni dah Disember 2016.

Lisa sudah maklumkan dari awal, dia mahu saya temankan ke kenduri. Jadi, aktiviti hari kedua dihabiskan sampai awal pagi.

Tak. Kami tak cucuk langit. Cuma termeleret sampai tengah malam haha. Dengan jalan jem. Kadang-kadang kita perlu break the rules, barulah hidup ada banyak warna. Tapi tak boleh hari-hari. Terakhir hari kedua, lepak dengan Mijer.

Hari nak balik, breakfast dulu di Larkin.

Trip to Johor, tak banyak boleh diceritakan. Banyak disimpan dalam hati dan memori saja. 

Moga berjumpa lagi!

13.12.16

Jepun: A Wrap Up

Harapnya lah. 

Cabaran selepas pulang adalah nak keep the momentum.. Happy moments created and need to be cherished... Keep myself busy...

Jepun khususnya Kyoto yang cantik diabadikan dalam jiwa dan ingatan. Moga satu hari nanti berpeluang lagi ke sana di musim yang sama dan musim cherry blossom. 

Orang-orangnya. Teknologinya. Pengalaman yang tak terungkap. Mungkin kerana terlalu banyak sampai tepu jadinya. Rindu Malaysia langsung tiada sehingga dua hari terakhir.

Dua minggu tak cukup untuk meneroka segalanya, kami ke sana untuk berkursus... Bekerjalah dalam erti kata lain. Masuk kelas, hari sedang cantik. Keluar kelas untuk pulang, langit sudah gelap. Jika tidak bersedia dengan kamera, melepaslah momen-momen cantik untuk dikongsi.

Pencarian buah tangan juga meninggalkan kenangan yang tak terungkap. Apa yang dilihat, beli saja. Itu pun tak cukup *sengih nampak gigi dan mata tertutup*

Dan setelah pulang, kesibukan berganda... Belum berkesempatan menggerakkan segala perancangan dan cadangan. 

Jepun.... Hanya mahu ingat yang baik-baik sahaja.

Next: Johor

30.11.16

Jepun: Kampus-kampus yang dijejaki

Kursus yang dihadiri dikendalikan oleh Ritsumeikan University. 

Sejarah universiti mereka amat saya sukai. Cabang-cabang institusi mereka, Asia Pacific University, sekolah, sampai ke tadika... membuat saya tertarik, kerana saya juga belajar di sekolah yang ada kesinambungan antara satu sama lain. Lebih penting, ianya swasta!

Ritsumeikan mempunyai empat kampus. Tapak asalnya di Suzaku. Namun Suzaku sudah menjadi kampus post-graduate dan juga pejabat. Kinugasa, letaknya pusat bencana dan mitigasi. Kampus yang tak kurang cantiknya tetapi tak berkesempatan ambil gambar sebab hujan.

Kampus ketiga kami jejaki ialah Osaka-Ibaraki. Kampus ini kampus terbaru, dan masih baru siap. Tetapi, fasilitinya buat kami takjub. Jejak kaki saja, buat saya rasa macam berada di Wichita State University. A feel like home. Dikenali sebagai kampus antarabangsa dan kursus yang ada adalah humanities.

Kampus terakhir, Biwako-Kusatsu. Turun saja bas, mata dijamu dengan pemandangan musim luruh yang amat cantik. Terpaku! Tapi kami mengejar masa, tak dapat ambil gambar. Disini juga kami berkenalan dengan pelajar Malaysia. Surau juga ada.

Mengimbau kenangan di sana buat jiwa merindui... aaa nak balik Kyoto!

Bak kata rakan-rakan seperjalanan, Kyoto tu kampung kita! Hahaha

TBC..

25.11.16

Jepun: Makan

Alhamdulillah, mampu habiskan semuanya. Hanya hari terakhir tekak mula menolak.

Prinsip makan di negara yang asing, makan apa yang boleh. Depan mata. Nak soal banyak-banyak, jangan keluar Malaysia dan bergantunglah pada sijil halal JAKIM.

Kake Udon dan tempura yang selalu diulang makan. Sedap! Dan yang penting murah dari menu-menu lain. Yeeha!

Paling-paling nak cari makanan halal, cari kedai Pakistan atau India. Masa jejak Osaka, akhirnya makan di restoran India. Di Kyoto, ada Kedai Ramen Ayam-Ya. Antara 3 malam terakhir itulah destinasi mencari makan malam. Teringat pula pada Turkish Kebab di Nishiki Market.

Dari stesen bas Kyoto, dekatlah jalan kaki. Begitu juga dari kedai Ayam-Ya ke hotel. Cuma sekali merasa Sushi. Bersyukur kerana kali pertama kami tak singgah ke restoran Sushi tersebut.

Takoyaki sememangnya dihidang dalam bekas berbentuk sampan. Di mana-mana pun, tak kira mahal atau murah. 

Dari tak pandai guna chopstick, jadi makin laju. Pengalaman kut!

Makan pagi di restoran hotel. Hari-hari ulang roti, jem dan telur. Jem dah disekalikan dengan marjerin. Patahkan dan larikan atas roti. Ada yang makan cereals. Dan belajar minum orange juice di pagi hari!

Tapi, makan onigiri pun boleh kenyang. Harga pun murah. Nak tahu jenis, senang beli di Lawson, ada nama dalam bahasa inggeris. Sama ada rice salt atau tuna mayonnaise. Boleh juga dimakan dengan serunding atau lauk pauk Brahims.

Nasi pun senang nak dapat... tak payah susah-susah bawa beras rice cooker... ada yang jenis panaskan guna microwave aje. Haa... jangan tak tahu, salad pun dijual di Lawson. Sayur, mentimun pun ada. 

Makanan memang buat kami berkumpul :)

Next!

24.11.16

Jepun: Paling Akhir

Seawal nak melepasi imigresen, saya jadi antara yang terakhir. Sampai ke akhir saya jadi orang terakhir.

Jika mengikut kebiasaan, saya tidak akan mampu mengurus rasa. Namun sepanjang berada jauh dari tanah air, saya divert semuanya. Kena lalu juga!

Hari pertama, dah la paling akhir, lewat pula 5 minit. Hahaha...

Dan bila berjalan-jalan dalam kumpulan, saya lebih suka berada di belakang. Malas lah nak berkejar-kejar. Enjoy dengan cara tersendiri.

Paling akhir siap makan. Mungkin cabaran chopstick? Hahaha... Tapi memang paling akhir habis... Episod lain cerita hal makan.

Insiden asyik kena langgar, akhirnya terpaksa bersuara minta jangan langgar. Dengan nada yang serius. Walaupun sekadar ter... Banyak kali takkan la ter lagi. Tak gitu? So takde dah ter lepas tu.

Yeah, sampai ke akhir pun masih jadi orang yang lambat, masa kadang terbabas kadang on-time. Jarang sangat mendahului. Hehe

Maaf! Gambar hanya untuk tatapan sendirian berhad. ",)

21.11.16

Anekdot ke Jepun

Tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kaki ke Jepun walaupun keinginan tercetus sesekali. Kala rasa gundah, kala fikiran celaru, kala kehidupan begitu hambar... Meski dicalonkan, tetap harapan dicantas rapi.

Yang selalu diulang tayang, "Awak pernah singgah lapangan terbang Tokyo." Dan itu cerita Januari 1986. Apabila harinya semakin hampir, "Cuba tengok baju panas awak tertinggal," pesan bonda. Ah, bonda!

Persiapan dilakukan. Desakan koordinator menghambat. Pandang kiri kanan, siapa yang boleh jadi dahan berpaut sekalipun sama-sama rapuh?

"Kyoto is beautiful during autumn. I would love to be there," kata seorang Experts di bahagian Disaster.

Akhirnya KLIA dijejaki. Dengan beg yang padat. Beg haji mereka panggil. Memanglah, itu kenangan makkatul mukarramah ayahanda dan bonda.

Balut beg. Timbang beg. Sarapan dibelanja. Mujur habis makan.

Imigresen dilepasi. Keretapi merah yang menjadi igauan selama mengenal KLIA dinaiki. ANA membawa diri ini merentasi langit yang tak bertiang dan tak bertali, walaupun tangguh selama sejam. Makannya sedap. Berselera, mungkin teruja. Borang imigresen Jepun diisi perlahan-lahan. Filem demi filem ditonton hingga mengantuk.

Tiba di Narita. Disambut wakil JICA. Berlari-berlari membawa bagasi untuk penerbangan ke Itami. Penerbangan domestik membenarkan bawa air mineral. Mujur! Itulah bekalan air yang ada.

Baru menapak di Itami sudah tersasar. Mujur ada yang mencari. Lalu ke Sannomiya Hotel. Bermalam semalaman. Merayau mencari makan malam. Oleh kerana tiada persiapan persalinan, bagasi dibongkar semahunya. Kemudian dikemas semula.

Hari pertama, ke JICA Kansai dengan menaiki bas carta. Taklimat beberapa perkara. Pengenalan JICA juga. Sejarah! Kemudian syarahan project cycle method dan persembahan. Pembetulan dibuat. Akhirnya dihantar.

Petangnya bergerak ke Kyoto Plaza Hotel. Dengan bas JICA.

Malam pertama sudah meronda bandar Kyoto. Dari aeon (dinner) kedai 22 street. Kemudian menapak ke kyoto tower. Masuk yodobashi dan kembali semula.

Hari kedua jam 8.45 bertemu Takama-san di lobi. Berjalan kaki ke stesen bas Kyoto. Naik bas 206 / JR Line ke Ritsumeikan University Kampus Suzaku. Syarahan dan syarahan dan syarahan. Kembali ke penginapan.

Malamnya tak ke mana-mana. Makan bekal dari Malaysia. Roti gardenia dan serunding. Sendiri.

Hari ketiga ke kampus Kinugasa. Menaiki bas yang sama, destinasinya lebih jauh. Syarahan, welcoming lunch, syarahan lagi dan lawatan pusat disaster mitigation. Hari gloomy. Hujan. Tak dapat menikmati keindahan Kinugasa. Jam 5 petang, hari sudah gelap. Malamnya makan sendiri, cuma mereka berkenduri jadi hantar serunding saja. Kemudian berjalan di sekitar.

Hari keempat, ke kampus Osaka-Ibaraki pula. Menaiki train pula. JR Line. Tiba saja terus terucap, "macam Wichita!" Syarahan lagi. Ada perkongsian dengan pelajar dan juga staf. Sempat menikmati keindahan kampus. Kampus yang masih baru siap. Sebahagian besar dibuka untuk dinikmati oleh local residents dan orang awam. Malamnya ke Nishiki Market. Menu makan malam cuma kebab turki.

Hari kelima, ke kampus Biwako-Kusatsu. Menaiki train dan bas. Pengalaman baru, tersasar dari perjalanan sebenar. Kampus ini juga cantik. Syarahan lagi. Berkenalan dengan student Malaysia. Dan lawatan ke makmal. Kemudian pulang. Sempat lagi ke Nishiki Market sebelumnya dan menikmati Kake Udon.

Hari keenam, acara jalan-jalan. Dari Arashiyama lajak ke Osaka. Naik shinkansen. Mujurlah balik naik train express. Akibat balik lewat, lalu esoknya liat nak bangun.

Hari ketujuh, hajat sebenar mahu jalan-jalan.. Tak jadi sebab lewat. Bangun kerana nak breakfast. Keluar lunch makan takoyaki dan menuju Nishiki Market. Pulangnya ke Yodobashi dan Bic Camera. Malamnya berkenduri lagi.

Hari kelapan, ke Kiyomizu Temple. Sebelumnya acara Tea Ceremony. Praktis apa yang tahu sebab jadi Guest of Honor. Kiyomizu-dera juga cantik! Terpesona macam di Arashiyama. Student Malaysia ikut sama. Balik ke Ayam-Ya.

Hari ke-9 dan ke-10, team up dengan Nadia untuk OJT ke 3 bahagian berbeza. Kedua-dua hari makan malam di Ayam-Ya. Tengahari hari ke9, makan tengahari di restoran sushi. Tengahari hari ke10 di cafeteria universiti.

Hari ke-11, bergabung kumpulan OJT untuk persembahan Action Plan. Kirim segala bekalan makanan Malaysia untuk pelajar Malaysia di Biwako-Kusatsu. Petangnya masa untuk buat pembetulan. Tambah beberapa point. Submit. Waktu pulang, singgah ke Yodobashi dan Kyoto Tower. Dinner dengan kenduri sekali lagi. Malamnya berkemas. Pakaian yang hendak dipakai, diasingkan.

Hari ke-12, final presentation dan farewell lunch. Kemudian bergerak ke Kobe. Berpisah dengan interpreter. Makan malam di restoran yang sama pada malam pertama ketibaan.

Hari ke-13, misi jalan-jalan ke zoo kobe dengan berjalan kaki. Gila orang Malaysia ni. Cari lunch. Lepas tu rehat di lobi hotel hingga teksi datang untuk ke Itami Airport. Dinner terakhir di airport Haneda. Menghabiskan air mineral Evian terakhir.

Flight ke KUL delay 2 jam setengah. 8.20 pagi akhirnya jejak semula bumi Malaysia.

2.11.16

Latihan Sabar Tak Berpenghujung

Sabar itu cantik!

Sabar itu indah!

Hakikatnya, kala sabar itu menipis bahkan ia koyak sekalipun tetap harus bersabar.

Fasbir. Isbir.

Sabar menahan lidah dari mencaci maki manusia. Apa salahnya mendoakan kesejahteraan dan kebaikan untuknya, siapa jua pun dia?

Sabar menerima perkara yang kita tidak ingini berlaku. Ya, bukan mudah. Harapan digunungkan tinggi tetapi berderai ibarat kaca yang murah.

Pasaknya hanya satu, Tuhan sudah punya rencana lain untuk kita. Walaupun buruk. Walaupun melukakan hati jiwa perasaan.

Seringkali kesalahan diadili sendiri. Lalu dicari punca sebab musabab. Kadangkala membawa prasangka buruk pada Tuhan.

Tuhan tak perlu sebab. Tuhan tak perlu akibat... Qaddarallah! Apakah ilmu kita ini infiniti berbanding pengetahuan Tuhan?

Sabarlah dengan karenah manusia. Jangan kita lupa tunduk pada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

27.10.16

A Sad Day

Hari ni kami adakan farewell & welcoming party di pejabat. Mengucapkan selamat kepada yang pergi dan yang baharu datang.

Macam biasa, makanan banyak! Hehe kita memang meriah makan-makan ni.

Tapi hati sayu. Sejak pasti koordinator projek akan tamat kontrak, saya sudah dilanda melankoli. Sedih sangat. Menangis ketika memandu pulang dari pejabat.

Sedih kerana, ini majikan yang memilih saya berada di pekerjaan sekarang. Majikan saya 4 orang semuanya. Yang pertama berundur, bulan Disember. Yang kedua, Januari. Sayu. Pilu. Tapi tak terucap. Menangis tak ada airmata. Sebelum Disember, chief of the mission berganti. Tak terasa sangat masa tu.

Dari awal bekerja, satu persatu sensei mengakhiri kontrak. Yang mana tak pernah dibantu, tak rasa sangat. By the time flies, banyak yang saya kenal cara dan peribadi. Inilah yang membuatkan hati terasa kosong dengan ketiadaan mereka.

Koordinator projek ini, saya tak dapat tahan hati. Sedih sangat-sangat. Awal-awal lagi sudah saya lepaskan tangisan. Malah, saya dan rakan sekerja beriya carikan hadiah.

Tak hanya koordinator projek berganti, chief of the mission turut berganti. Tak ke double triple sedih?

Inilah hakikat kehidupan. Setiap pertemuan ada perpisahan. Saya amat menghargai kehadiran koordinator dan berterima kasih dengan segala tunjuk ajar. Saya akan merinduinya.

Tapi taklah saya menidakkan kehadiran dan kewujudan majikan-majikan baharu. Saya alu-alukan mereka, dan ada banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari. Proses memecahkan ais masih lagi berjalan.

Terima kasih untuk yang pergi, selamat datang untuk yang baharu.

23.9.16

Kunyanyikan Lagu Ini...

Playlist lagu tak kira mp3 atau playlist youtube semua nasyid yang tak famous. Saya oldschool? Mungkin. Nasyid-nasyid yang buat diri rasa bersemangat cuma tinggal dari Palestin la kut.

Kadang-kadang, waktu iman kuat, ulang le hafalan walaupun sangkut. Alah, surah-surah lazim tapi tak berapa lazim di lidah saya. Hehe (malu la uols!) mungkin awak lebih banyak hafalan.

Playlist yang sama tak kira gembira atau sedih. Cuma kecenderungan nada nasyid tu memang kesan dari perasaan. Sikit je lah. Rajaa', pengharapan ni selalunya waktu sedih la kan. Tapi, lagu yang sama juga saya akan repeat banyak-banyak-banyak kali tak kira sedih atau gembira.

Perkataan lain, my universal playlist. Lagu tak favor, skip je lah.

Apa tah motif entri blog ni. Gara-gara tajuk keluar dulu lah ni.

Baiklah. Semoga awak dan saya sentiasa jadi hamba yang bersyukur. Selamat malam!

19.9.16

Cadangan Pindaan RUU Akta 355

Hari demi hari, isu ini semakin mendapat ulasan... Tak sabar menantikan bulan Oktober. Kita mahu lihat perincian cadangan... Bukan tidak setuju atas angin.

Rang Undang-undang Akta 355 ini, jika mahu lihat sejarahnya, dah ada yang tulis dan ulas panjang lebar. SS Dr. Zulkifli AlBakri juga telah menulis pendapatnya. Akta 355 ini juga dikenali sebagai 356; 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit, 6 sebatan.

Kafir mengkafir menghiasi ulasan dan komen. Hukum wajib sokong dilaung sana sini. Andaian umum cadangan pindaan RUU ini adalah untuk menegakkan Islam dan membawa maslahah, tidak kurang diasosiasi dengan hudud.

Walhal, isu awalnya bagaimana usul ini didahulukan di parlimen. Dah dapat laluan, ditangguh perbahasannya. MP Marang mendapat nama. Sudahlah beliau dikecam atas apa yang berlaku kepada parti yang dipimpinnya, yang mengakibatkan Pakatan Rakyat berkubur. Lihatlah isu, bukan individu.

Kemudian, perinciannya. Dr. Mujahid dari Amanah berulang-kali menyebut dalam kenyataan medianya bahawa pindaan ini perlu dilihat perinciannya. Sebagai rakyat yang berhak mengundi, anda perlu peka juga dengan kronologi sesuatu isu. Barulah kematangan dapat dicapai.

Saya merasakan kegusaran Dr. Shamrahayu ketika forum baru-baru ini. Pindaan yang belum dijelaskan perinciannya ini boleh membawa undang-undang syariah ke belakang kerana perlaksanaannya adalah mengikut negeri; bermakna pindaan ini hanya membawa ke hadapan untuk pemimpin yang mahu memperkasakan undang-undang ini.

Bukan Islam sudah boleh menarik nafas lega seketika, kerana undang-undang yang dipinda ini tidak berkaitan langsung dengan mereka kecuali mereka dibolehkan menjadi saksi di perbicaraan kes. (Melainkan ada pindaan dibahagian berkenaan)

Sudah beberapa cerita nenek bukan Islam mendidik dan membesarkan cucunya beragama Islam. Mengapa kita mesti menggusarkan hati mereka?

Islam bukan milik individu. Islam adalah agama langit. Jika Abdul Mutalib percaya ka'abah ada penjaganya ketika diserang Abrahah dan tentera bergajahnya, apakah Islam agama kebenaran ini tiada penjaganya?

Melihat dengan neraca yang lebih luas, kerangka lebih besar, tidak salah mahu memperkasakan undang-undang syariah... Namun, rakyat berhak mengetahui sejauh mana usaha kerajaan dalam memartabatkannya. Mahkamah Syariah beroperasi sampai malam di Selangor untuk menyelesaikan kes sedia ada dan bertambah setiap hari.

Mana dia usaha kerajaan? Institusi agama yang dipandang enteng itu sebenarnya sedang melakukan kerja mereka. Buat kajian, buat kempen yang mungkin tidak meluas liputannya. Pensyarah-pensyarah di IPT dengan gelar profesor bukan nak jaga kedudukan sangat, tetapi di peringkat menggubal sesuatu, kepakaran dan keilmuan mereka amat diperlukan. Khidmat mereka merentasi parti tetapi perkhidmatan kepada rakyat secara tidak langsung yang bukan di kerusi wakil rakyat.

Jangan kita hanya menyebut memperkasakan undang-undang Syariah sedang penjawat awam termasuk hakim gajinya jauh berbeza dari hakim mahkamah sivil.

Apa yang dibangga dengan undang-undang Syariah yang tidak seragam dari negeri ke negeri? Ketidakseragaman ini sudah menunjukkan indikator tertentu.

Undang-undang Syariah ini tertakluk kepada semua rakyat yang beragama Islam, maka janganlah dilaungkan untuk Melayu. Islam tidak eksklusif untuk sesuatu bangsa. Dan rahmatnya Islam tidak seharusnya dirasa oleh penganutnya sahaja. Islam pernah melindungi bukan Islam semasa berkuasa menguasai dua pertiga dunia. Mengapa dicari pasal di Malaysia yang entah berapa peratus dari negara USA?

Baiklah, untuk bersetuju dengan usul MP Marang, marilah kita sama-sama bersabar menanti perinciannya di bulan Oktober 2016 - jika ada. Taqlid buta mesti dijauhi kerana ruang perbincangan kita amat luas.

18.9.16

Hatred - Mengurus Kepelbagaian

Semalam, pada 16 September 2016, keberangkatan pulang Dato' Dr Haron Din, Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia, ke pangkuan Pencipta pada hari Jumaat jam 10.10 pagi waktu Malaysia di usia 76 tahun di USA. Sebelumnya ramai yang menyebarkan berita palsu.

Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali.

Moga Allah mengampuninya, merahmatinya, memberikan kesejahteraan terhadapnya dan memaafkannya...

Komen-komen melambangkan kebencian memenuhi ruang alam maya. Jika bukan kebencian, out of context juga menjadi sebahagian. Komen Jeff Ooi menjadi sebutan tapi melupakan ulasan si Sidek Kamiso?

Kita manusia merdeka punya akal yang mampu berfikir, yang secara umumnya cintakan kedamaian dan keadilan, mengapa sering memilih tajuk dan topik yang membawa kepada perpecahan dan kemudaratan?

Satu persatu peristiwa diungkit semula. Sewaktu pemergian mendiang Karpal Singh umpamanya. (Secara kebetulan, Jeff Ooi adalah MP Jelutong). Sepatutnya peristiwa lalu sudah mampu mendidik rakyat agar lebih sensitif dan menjaga airmuka antara satu sama lain. Kita tidak memerlukan peristiwa kedua dan ketiga, sepatutnya.

Ya, politik dianggap sebagai tong taik oleh sebahagian... Namun ia bukan alasan kukuh untuk melihat individu-individu di dalamnya sebusuk dan sekotor itu. Cukuplah permainan gerrymandering dan wang demi mengekalkan kuasa. Ingat ni, Lim Kit Siang setakat hari ini, tak ada kuasa untuk menukar sempadan kawasan pilihanraya (please read this in sarcasm).

Tidak kita nafikan, isu, topik mahupun pendirian individu semasa hidupnya lah yang menyebabkan segala komen negatif, walaupun pada hari kematiannya. Namun disinilah kewarasan akal dan sikap politik matang memainkan peranan. Orang-orang yang berpengaruh seharusnya mendidik 'pengikut' dan 'peminat' agar tidak melihat sesiapa pun dari sisi atau sudut yang sempit.

Mengambil contoh mendiang Karpal mahupun arwah Dato' Dr Haron Din, kedua-duanya ada sumbangan besar dalam masyarakat. Kita siapa mahu terus-terusan menyebut segala pendirian yang bagi sebahagian kita disifatkan melampau? Kebencian biarlah berakhir pada isu, bukan pada individu. Kita berjuang untuk kebebasan bersuara tetapi kita sendiri mahu menyekat? Dunia apa yang sedang jalani ini?

Tiada siapa yang boleh menghukum sesuatu pendirian sebagai benar dan salah secara mutlak. Ia cuma tidak kena pada adat dan budaya setempat. Mungkin tidak kena pada sesuatu agama, mungkin tidak dengan suasana berbilang bangsa dan agama... Namun, seperti yang telah saya ulaskan tadi, biar ia terhad kepada isu, bukan individu.

Kebencian adalah sel-sel tidak baik yang boleh mengakibatkan barah yang berdarah. Kebencian biasanya bermula dengan sentimen merebak kepada perkara lain, bangsa umpamanya. Ia menular dengan cepat di era Facebook, Whats App dan Twitter. Semudah klik forward atau screenshot lalu dikongsikan. Telegram susah sikit sebab dia beritahu perbuatan printscreen.

Respect. Hormat. Ia diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Walau munafiq walau musyrik, apabila nyawa sudah tidak dikandung badan, segala sengketa berakhir. Habis. Khalas. Finish. Bahkan agama apa pun, tidak ada yang mengajarkan agar menyebut perkara buruk mengenai si mati.

Bagi yang masih hidup, berhati-hatilah mengeluarkan kenyataan baik secara bertulis ataupun lisan yang dirakam.

Wallahu a'lam.

22.8.16

Simpan

Punyalah simpan modal nak tulis blog, last-last dah lebih sebulan terbiar. Fuh fuh fuh *tiup habuk*

Ya, hari tu saya berhari raya. Habis puasa 6, ada jemputan 'rumah terbuka' satu kampeni ni. Lokasinya? Hmmm rezeki lah kan, sambut raya hehe.

Lepas tu nak cerita apa ya? 21 Ogos adalah hari memperingati Al-Quds. Remembrance of Al-Quds. Moga Al-Quds menjadi milik kita semula.

Demam sebulan. Sihat baru 2 minggu lebih, demam balik. Habis antibiotik, demam lagi. Telan anti-histamine terus baik. Alhamdulillah.

Berhari raya dengan demam. Dari hujung Ramadhan. Dahlah nikmat beraya tak berapa nak ada, demam pulak. Apa pun, peristiwa demam ni lah yang menampakkan kemanjaan hahaha... Alah, manja dengan mak ayah sendiri apa lah sangat.

Tapi sangat perlu restrict personal appearance dekat majlis sanak saudara. Bukan apa, kita tak boleh fahamkan orang apa yang kita lakukan. Orang hanya nampak tindakan negatif tanpa berusaha memahami. Kalau cuba korek pun, saya pun malas nak justify. Let me and my life, ok!

Apa yang tinggal adalah membina aktiviti kehidupan supaya hidup lebih bermakna. Saya mahu tinggalkan media sosial dan keep private life. Boleh ke tak ye? Macam ni punya cerita, Facebook memang berkubur sampai bila-bila lah. Twitter, Instagram pun perlu tutup. Biar blog je bersuara pada hari yang saya mahu.

Dua hari berhari minggu, habislah 4 buah buku. Alhamdulillah. Semuanya gara-gara nak divert otak dari fikirkan topik di twitter tapi takde akses. Haish! Tak ada tu boleh je hidup. Dulu-dulu je tak boleh hidup tanpa internet. Dah berkali-kali berlaku, kita tahu kekosongan itu dan tahu cara mengisinya supaya lebih bermakna.

Apa pun, esok hari isnin. Sama-samalah kita berdoa agar tak perlu hadap cycle hari bekerja dan hari cuti lagi.. Setiap hari adalah sama yang kita bebas nak buat apa sahaja.. Ya, kemampuan itu.

15.7.16

Diari Syawal

Sesungguhnya tahun ni bersyukur kerana tak ada drama macam tahun sebelum ni. Alhamdulillah. Lagipun beraya dengan keadaan demam 😀

Drama diri sendiri tak adalah. Drama orang sekeliling? Banyak. Genre hantu atau horror pun ada. Hahaha saya kena update blog berkenaan.

Hari tu macam banyak nak cerita... Agaknya demam ni lah yang menyebabkan lupa segala benda... Apa pun, enjoy the raya. Yang penting, jangan ganggu emosi saya.

Walaupun permulaan cuti raya dah ada scene jiwa kacau, hari selepasnya ok saja.

Seronok sebab dapat sampaikan duit raya kepada semua orang dalam senarai. Tak tinggal satu pun. Adik-adik lelaki pun dapat bahagian mereka.

6.7.16

Diari Ramadan: 7

Walaupun dah 1 Syawal, tetap nak cerita pasal Ramadan lagi. Uhuks! Syawal ni entah macam mana rupa tahun ni.

Perjalanan Rawang - Simpang Pulai - Cameron - Lojing - Gua Musang - Kuala Krai - Pulai Chondong berakhir di Kok Lanas. Sampai di Pulai Chondong terus jiwa kacau. Rancangan asal nak berbuka dengan nenek dan atuk terus batal. 9 jam perjalanan, memang mencabar jiwa yang rapuh.

2 hari pulun buat kuih, onde-onde dan kuih cara. Suka buat banyak-banyak, gerenti habis. Ini motivasi untuk memasak! Kalau masak tak habis, dah la tak suka memasak, memang tak mahu masak dah laaa...

Persediaan raya tak beria langsung. Tapi baju siap juga dua pasang. Hahaha...

Baiklah.

تقبل الله منا ومنكم.

Moga kita jumpa lagi Ramadhan di tahun hadapan.

29.6.16

Diari Ramadan: 6

Malam tadi nekad nak bermalam di masjid UIA. Sampai sahaja disana, duduk di satu sudut menghayati bacaan imam. Suatu hal yang selalu dilakukan satu ketika dahulu, memerhati bacaan imam walaupun terawihnya cuma 8 rakaat. Entahlah, di masjid lain saya tak begitu. Hanya di masjid UIA. 

Memerhati bacaan imam bukan untuk mencari kesalahan. Tetapi mendengar bacaan al-Quran juga satu sumber pahala. Juga galakan dari al-Quran. Firman Allah Ta'ala:

{ وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ } [الأعراف:204]

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

Saya juga suka memerhati bacaan imam di tempat tertentu, untuk saya pelajari cara menyebutnya. Adalah tempat-tempat yang terkeliru.

Nak jadi cerita, masjid UIA sekarang ada skrin yang memaparkan imam. Tiba-tiba saya memerhati pergerakan imam lalu teringat kisah pensyarah yang kemalangan hingga kehilangan sebelah tangan. Ini orangnya barangkali, detik hati. Hari ini saya mencari namanya dan jumpa rakaman terawih tahun lepas, sahih beliau Ustaz Asfandyar.

Sekian catatan ke-6.

26.6.16

Diari Ramadan: 5

Selesai IRIS 2016. Seminggu je lagi nak kerja. Cuti raya belum mohon. Baju raya? Alamak! Lupa pulak nak basuh. Siap lah sepasang..

Nak catat ape ye? Penghujung Ramadan tahun ni tak seperti yang dirancang. Apa nak buat, Dia dah rancang dulu 😀.

Macam ada benda nak cerita tapi dah lupa. Hmm

22.6.16

Diari Ramadan: 4

Ramadan tahun ni kurang produktif 😭

Kesihatan yang merudum... Dari sebelum Ramadan memang gastrik tak baik-baik, 16 Ramadan alergi pada pengudaraan, 17 Ramadan demam tanpa selsema. Moga berkesempatan melaluinya sampai habis...

Quran masih tak sama dengan hari Ramadan. Malam ni dah malam ke 18, baru habiskan juzuk 15. Curi-curi masa macam tu lah.

Terawih masih di masjid As-Sobirin. Selagi tak ke mana-mana, tidak ada agenda. Terawih atau qiam Ramadhan ni ada di bulan puasa sahaja. Bulan lain tak ada, rugi jika tak buat.

Pasca PRK? Teruja dapat tengok borang 14.. Tapi stress la bagi yang Counting Agent bagi DM yang jumlah undi tak cantik. Hmm... Banyak perkara dipelajari. Banyak lagi yang perlu diperhalusi.

Yang penting, Ramadan dah nak pergi... 😭

Allahumma ballighna ramadhan....

13.6.16

Diari Ramadan: 3

Malam ke-9.

Sedang mahu makan nasi, perut memulas angin. Gastrik. Dan mahu memuntahkan isi yang tidak diperlukan. Sedar saja, setiap hari perut masuk angin. Malah, Ramadan kali ni setiap malam makan ubat gastrik. Terpaksalah bazirkan makanan tadi. *nangis* mujur ada Makcik Jawaher tolong teman balik. Sob sob sob.

Ingat-ingat tak pernah jadi macam ni dah lepas peristiwa kuih sri kaya dicampur nescafe. Memulas tu ada lah, cuma tak seteruk tadi. Teruk macam tadi pun pernah tapi bukan waktu Ramadan.

Hari demi hari sibuk. Padahal Ramadan ni. Tilawah tak capai target. Walhal tahun lepas 4 juzuk sehari tu relaks je.

Rindu juga masjid KLCC. Terutama tadarus dan aircond ruang solat. Hahaha. Makanan tahun lepas memang out, tapi masjidnya hidup dan tak ada makcik mulut laser. Makcik garang tu je.

Terpaksalah ni tidur dulu baru terawih. Tapi kena solat Isyak dulu. Sisa sakit perut masih ada.

Ya Allah! Sihatkanlah perutku... Agar aku mampu berpuasa esok hari. Amin.

8.6.16

Diari Ramadan: 2

Hujan sedang menggila di luar. Allahumma soiyyiban naafi'a.

Azam Ramadhan tahun ni nak update blog setiap hari. Pendek-pendek pun tak apa. Janji, tulis. Lagipun, kebiasaan tahun-tahun lepas sudah ditinggalkan. Dah Ramadhan ke-5 sejak bekerja.

Semalam tazkirahnya menarik. Anjuran bersyukur. Anjuran mengucapkan istirja' apabila ditimpa musibah.

Haa kan dah lupa, tazkirah di mana... Tahun ini mengubah rutin. Berbuka puasa di Masjid As-Sobirin. Balik sahaja rumah, mengaji sekejap, rehat, mandi dan ke masjid as-sobirin hingga habis terawih. Hati rindu tadarus masjid KLCC. Tapi terpaksa akur kerana perbelanjaan ke sana hanya menambah beban.

Di masjid as-sobirin, sebelum terawih ada tazkirah pendek. Masjid ini menarik juga rupanya. Nak ke uia, saya fikir elok utamakan pelajarnya. Biar mereka menikmati juadah... Zaman saya dah pun berlalu. Rindu, namun apakan daya.

Moga Allah izin untuk menghabiskan 10 malam terakhir di masjid uia because I love it.

Moga doa-doa sepanjang Ramadhan ini dimakbulkan Allah.

يا ربنا استجب لنا...

6.6.16

Diari Ramadan: 1

Tahun ini aktiviti Ramadhan ada sedikit perubahan. Malam pertama memulakan terawih ataupun Qiam Ramadhan di masjid UIA. Walaupun tak teruja sangat, tapi sangat bersyukur diberi peluang lagi beRamadhan di sana.

Ramadhan tanpa persiapan, tanpa perancangan. Tambah-tambah menjelang Ramadhan diuji dengan kesihatan. Namun bersyukur masih bertemu Ramadhan. Peluang untuk reset diri sekali lagi.

Tahun ini meninggalkan kebiasaan bertadarus di masjid KLCC. Nantilah bila-bila pegi lunaskan rindu. Jumpa makcik-makcik tu. Makcik yang garang tu, masih ada lagi?

Malam tadi kelaparan selepas terawih, jadi pegi bungkus makanan. Di kedai lah. Menunya nasi putih, telur dadar dan tomyam campur. Sampai rumah, bahagi dua, simpan untuk sahur. Dah nak tidur, tak elok makan banyak. Sahur menu yang sama.

Nak beli dan masak macam-macam tapi kongsi dapur. Semoga saya mampu duduk sendiri tak lama lagi. Dah la tilawah ke laut. Dah 1 Ramadhan masih gigih menghabiskan tilawah sebelum Ramadhan dulu. Hihihi...

Ramadhan kareem! Ramadhan mubarak! Moga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan tahun lepas.

Raya? Belum ada perancangan

28.5.16

Mayu dah nak habis

Tadi macam nak tulis sesuatu yang serius, ala nak buka diri sikit. Masa tu belum makan tengahari. Ni dah lepas makan tengahari, batal niat tadi.

Apa beza Maryam Abu Ahmad dulu dengan sekarang? Dulu dia memang tak boleh tak apdet blog. Sekarang? Sebulan sekali pun kedekut masa! Ahahaha

Ikutkan nak menulis, so many things can be written here. Tapi tu lah. Kita tak tahu masa depan bagaimana. Tambah-tambah blog bukan lagi medium utama. Mereka lebih suka berada di mukabuku dan burungbiru. Termasuklah Maryam ni.

Yang masih sama, Maryam masih single. Kawan-kawannya dah berkurang nombornya. Sepi? Hmmm.. Selesa sebenarnya menyendiri jauh dari kesesakan manusia. Tapi, dah biasa dengan kesibukan ahli keluarga yang ramai, sedikit sebanyak mati kutu juga lah. Separa introvert barangkali. Saya akan panik dan lost jika terlalu ramai di sekeliling saya.

Mood Ramadhan tak berapa nak ada. Tapi asyik dengar Ramadhan Tajalla. Hihi. Tahun ni moga dipermudahkan nak join tadarus masjid KLCC. Situ je buat lepas asar. Tempat lain? Tak tahu lah. Saya nak je jika ada tadarus petang atau hujung minggu. Tahun ni harap dapat puasa lebih dari separuh. Penuh is better. Nak 10 malam akhir...

Baiklah. Kita berundur dulu. Mayu dah nak habis.

10.5.16

Mayu

Banyak hal nak diceritakan dan dikongsi di sini. Tapi ni pun menaip sambil berjalan ke kafeteria.

Pilihanraya negeri Sarawak. Seminar Mengenai Syiah. Tragedi oktober ops helikopter. Apa lagi?

Kerja. Mood sewel.

Ni dah macam anekdot! Hahaha

Yang penting sekarang, saya lapar. Dan hutang puasa masih ada dua hari.

4.4.16

Tun M dan masa lalu

Maka bergegarlah jiwa-jiwa dengan berita Tun M masuk DAP. Sumbernya kerana Tun M bergambar sebaris dengan Lim Kit Siang. Saya ketawa gelihati. Lelucon yang tidak diundang. Namun berkesan meredakan resah buat seketika.

Tun M dibuang dari parti yang dibinanya semula. UMNO yang asal sudah diharamkan. UMNO baru siapa yang dirikan? Tun M! Galilah sejarah...

Lalu Tun M berceramah di pentas parti yang tidak sehaluan dengan UMNO. Ini bukan perkara baru, Tun M sudah melakukan perkara itu dahulu (katanya tahun 1969).

Pada saya, pandangan peribadi (yalah, ini blog percuma), saya tidak akan melupakan kezaliman dan kebobrokan yang dilakukannya di masa lalu. Ia meninggalkan luka dan parut entah bila akan sembuh. Seingat saya, saya tidak pernah mengatakan zaman Tun M lebih baik dari PM hari ini. Semoga saya tidak akan melakukan itu.

Namun hari ini, menuit kehadiran Tun M dalam rapat umum sekadar memaklumkan dunia (hahaha... dunialah sangat!). Saya perlu akui, Tun M ada pengaruhnya tersendiri. Di mata dunia mahupun konteks Malaysia sendiri. Jika dulu saya akan mengatakan yang berbaris menyambutnya adalah kerahan, tetapi melihat sendiri sambutan di dataran dua hari lepas adalah perkara yang real! terpaksa saya larikan diri dari kelompok orang yang berkerumun.

Tun M dan isu semasa kepimpinan Malaysia, adalah perkara yang kita persetujui bersama. Perkara pokok adalah perkara yang sama, walau di dalamnya mungkin berbeza. Arus dan gelombang ini harus diperhebatkan lagi kerana yang kita mahukan adalah perubahan dalam sistem.

15.3.16

Meneladeni Fatimah Abdul Malik

Satu persatu perbelanjaan mewah keluarga pemimpin didedahkan. Tidak kira pemimpin Malaysia tercinta mahupun anak perempuan Obama, parti mana sama sahaja. Ia mengingatkan saya akan satu kisah dari lipatan sejarah. Beliau ialah Fatimah binti Abdul Malik.

Kisah Fatimah adalah kisah yang sepatutnya dekat dengan ahli keluarga pemimpin yang berjiwa rakyat. Fatimah adalah anak kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Tatkala ayahandanya meninggal dunia, suaminya pula diangkat menjadi khalifah. Khalifah bukan hanya Perdana Menteri atau Presiden sesebuah negara. Khalifah adalah ketua seluruh tanah yang ditakluk oleh orang Islam.

Kala Umar Abdul Aziz menerima watikah perlantikan, perkara pertama yang dilakukan adalah mengembalikan seluruh harta yang bukan milik mereka dan kaum keluarga Abdul Malik bin Marwan ke Baitul Mal. Fatimah akur menyerahkan segala perhiasan yang diperolehi dari sumber Baitul Mal. Umar Abdul Aziz begitu tegas dengan pemilikan.

Sebagaimana yang kita ketahui, tempoh Umar Abdul Aziz memerintah tidak lah lama, kurang dari tiga tahun. Namun banyak sekali kisah-kisah berkenaan beliau diceritakan, bahkan kisah semasa dihantar belajar. Bagaimanapun, kisah ahli keluarganya kurang diberi perhatian.

Fatimah dengan relahati menyerahkan segala perhiasan dan harta kepada Baitul Mal apabila diberi pilihan sama ada suami atau harta kekayaan. Malah, selepas Umar Abdul Aziz meninggal dunia juga, Fatimah menolak dari mengambil semula harta yang telah dikembalikan.

Sikap ini seharusnya diberi perhatian oleh ahli keluarga pemimpin mana-mana negara, bukan memikirkan keuntungan yang bakal diperoleh apabila bergelar kepala negara.

Perbendaharaan negara adalah milik rakyat, seharusnya diberi kepada yang berhak. Apabila rakyat sudah tidak memerlukan barulah digunakan untuk pembangunan negara dan keperluan lain tetapi tidak untuk kegunaan peribadi.

3.3.16

Jalan Sultan Yahya Petra

Bersekolah di sekolah yang beralamatkan Jalan Sultan Yahya Petra, 16 tahun lalu. Setahun lebih di sana.

Setelah bekerja, juga di lokasi yang beralamatkan Jalan Sultan Yahya Petra, setelah jalannya ditukar nama Disember 2 tahun lalu.

Wilayah berbeza. Wilayah dalam bahasa arab membawa maksud negeri.

Beginilah kehidupan.

25.2.16

Mujahadah linafsih

Dah bertahun-tahun hafal ciri individu Muslim tapi tak semestinya kita faham waktu itu. Faham adakalanya ambil masa.

Mujahadah linafsih. Mampu menguasai diri? Ramai yang berjaya mengawal diri di khalayak tetapi tidak di media sosial. Apabila bersendirian? Allah Maha Mengetahui.

Pernah terbaca, jika ada perbuatan yang kita lakukan tetapi malu jika diketahui orang ianya adalah dosa. Susah sebenarnya jihad hawa nafsu. Belum lagi desakan-desakan manusiawi yang menjelma tetapi tidak dapat dilunasi kerana tiada ikatan yang menghalalkannya.

Melupakan, menghindarkan sambil mengalihkan perhatian. Perkataannya menahan diri. Ia sesungguhnya amat berat, lebih berat dari jihad qital dan jihad ekonomi. Mujahadah diterjemah kepada akhlak tidak kira bersama individu lain atau bersendirian akan perkara-perkara melalaikan tidak mendatangkan hasil.

Insan, kerana sifat pelupanya sering tewas di tangan nafsunya. Kuasa yang ada pada diri jinak apabila berhadapan dengan nafsu.

Ya musarrifal qulub, sarrif qulubana ila tho'atik. Rabbana wataqabbal du'a-ana.

12.2.16

Qawwam

Betapa pengharapan menggunung.

Lelaki pelindung wanita; ibunya, adik beradik perempuannya, isterinya, anak-anaknya, wanita-wanita ahli keluarganya, tidak lupa wanita-wanita seagama yang beriman. Juga mana-mana wanita yang memerlukan tidak bertujuan ambil kesempatan.

Tetapi, di mana lelaki ini?

Qawwam. Yang menguasai diri menghindari perkara Allah tak suka dan berusaha melakukan perkara yang Allah suka. Termasuklah menjaga akhlaknya, beriman, beramal, sentiasa berusaha menambah ilmu yang dirangkum oleh perkataan agama.

Qawwam. Yang bersifat melindungi. Tak hanya mara bahaya kejahatan manusia, tetapi juga membawa keluarganya menghindari api neraka.

Qawwam. Mendidik ahli keluarganya berakhlak, berilmu, beriman dan beramal. Bukan membiarkan mereka melakukan apa sahaja tanpa rasa malu.

Qawwam. Memberi pengertian kezaliman dan keadilan dalam konteks semasa. Kezaliman hari ini tidak lagi dihujung cemeti, tetapi dihumban ke dalam jeriji besi tanpa kesalahan yang pasti. Kezaliman juga mengingkari maslahah awam.

Qawwam. Menerapkan kemanusiaan, bukan mengejar perhatian sementara.

Lelaki, berburu itu cirimu dan antara sifat qawwam. Tetapi hari ini walau berburu bukan lagi aktiviti harian, apakah qawwam turut hilang?

11.2.16

membina dinding

Dinding itu sudah bertahun dibina. Bermula dengan pasaknya. Sekecil mana perselisihan hanya akan meninggikan temboknya. Pintunya sudah lama tertutup. Tingkapnya sudah lama tinted. Berkunci. Akan dipaku kekal bila-bila masa.

Maka, hati-hati.

Jika kotak ini meletup, entah berapa ramai yang akan terkorban. Hindari lah.

21.1.16

Krisis (dalam) Negara

Satu demi satu tragedi menimpa negara tercinta. Januari 2016 seolah menghampakan segala azam, segala hasrat. Sedang 2020 bakal menjelang tidak lama lagi.

Tragedi yang berupa krisis-krisis yang tiada upaya untuk rakyat tentang. Penindasan dan kezaliman mental dan cara hidup terus-terusan berlaku. Hak warganegara tetap juga dicabul oleh sang pemimpin yang entah dari mana datang suara sokongannya.

Krisis kepimpinan menjadikan rakyat tidak keruan. Idea-idea gila datang dari menteri sehingga namanya dijadikan vocab bagi menggambarkan perkataan-perkataan negatif. Sudah lah negara ini berbilang parti, ada lagi parti di dalam parti. Pangkat, kuasa, tidak keterlaluan jika mengatakan termasuk wang; menyebabkan kewarasan poli-tikus seolah tercicir tanpa dapat dikesan.

Yang terkenal sebagai pembangkang ada yang sudah melupakan ranjau dan duri. Tidak lagi dapat membezakan prinsip mana yang tetap, yang mana boleh berubah.

Saya tidak tahu di mana letaknya rakyat di hati dan fikiran pemimpin sebegini.

Krisis ekonomi semakin meruncing. Dari harga minyak yang turun naik diikuti perlaksanaan GST, seterusnya kedudukan ringgit yang menjunam, dan hari ini merosotnya harga minyak dunia. Kos pengurusan tak mampu lagi ditanggung oleh pengendali swasta, kesannya pekerja dikurangkan. Alternatifnya diganti dengan pekerja asing yang jauh lebih murah bayarannya.

Ketidakcukupan rakyat menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat menarik perhatian menteri. Namun saranan yang diberi adalah melakukan 2 kerja. Tahukah menteri, rakyat kamu nak dapatkan 1 pekerjaan pun susah? Bersempena tahun baharu, sesi persekolahan baharu, ada pula khabar ibubapa tak cukup wang untuk bayar yuran!

Krisis ekonomi juga memberi kesan kepada mahasiswa secara langsung. Pinjaman dipotong. Kisah mahasiswa lapar didedahkan. Mahasiswa yang diharap menjadi pemimpin di masa akan datang dikecam, dicemuh ekoran pendedahan ini. Mahasiswa dituduh tidak pandai mengurus belanjawan!

Pengusaha kafe di kampus berusaha mengadakan menu kategori mampu untuk mahasiswa. Makan adalah hak asasi, sekurang-kurangnya sekali sehari. Bagaimana dengan perbelanjaan sampingan untuk pelajaran? Mencemuh pelajar yang minum di cafe hipster, memiliki iphone 6s; adalah tidak adil disamaratakan berpuluh ribu mahasiswa di seluruh negara.

Dengan keadaan ekonomi kini, mahasiswa turut mendapat tempias susah mendapatkan tempat untuk latihan industri. Pengambilan dibekukan atau begitu minimum. Walau ada yang sanggup tidak dibayar bagi melengkapkan kursus, membenarkan seseorang berada di premis pejabat juga melibatkan kos. Bagaimana mungkin pendedahan kepada sektor pekerjaan dilakukan dalam keadaan begini?

BSN pantas menperketatkan syarat pinjaman bagi pekerja sektor oil and gas. Khabar terbaru pula biasiswa JPA dibekulan. Oh, negaraku! Sementara di utara tanah air, seorang MB mahu digantikan.

Siang tadi masyarakat twitter disibukkan dengan hal senggugut wanita. Begitu ramai yang mengulas padahal ianya perkara normal bagi wanita yang mempunyai rahim. Perkara begini sebenarnya hiburan sementara umpama commercial break ketika siaran berita perdana.

Pokok pangkalnya, kita berhadapan dengan krisis yang amat dahsyat. Krisis kepimpinan, ekonomi dan juga akhlak. Tersalah pilih pemimpin kah selama ini?

Jangan dilupakan isu TPPA yang mendapat jolokan jual negara. Membaca sepintas lalu apa itu TPPA, melihat Indonesia menolak TPPA, saya merasakan Malaysia akan menyaksikan seorang 'Bou Azizi' jika poli-tikus terus membaiki labu.

8.1.16

Madaya, Syria

Luluh perasaan membaca berita dari Syria. Madaya dikepung oleh pemerintahnya sendiri, kerana melawan kerajaan.

Madaya diancam kebuluran. Orang-orangnya kurus menampakkan tulang. Tua muda kanak-kanak semua tidak terlepas.

Madaya menggamit peristiwa boikot ke atas bani Hashim selama 3 tahun kerana dakwah Nabi Muhammad, hingga mereka memakan kulit pokok.

Madaya memanggil kita, masyarakat antarabangsa... sudahkah kita menyahutnya?

Madaya, moga kamu yang terkorban dikurniakan syahid.

Madaya, bertahanlah melawan kezaliman.

Madaya, Allah bersamamu!


Sungguh perasaan ini, ingin berada bersama mereka. Namun, apakan daya. Luluh perasaan mengingatkan nasib mereka.

Syria masih belum bebas dari regim al-Assad. Satu demi satu menimpa. Dari pemberontakan kerana grafiti yang dibuat oleh kanak-kanak hingga ke hari ini masih belum selesai. Sedang Mesir yang menerima impak Revolusi Jasmin jatuh semula.. Rabaah masih berlangsung saban minggu saban hari.

Dari pergolakan ISIS, pelarian yang lemas, dan hari ini Madaya. Mengirimkan doa dan harta adalah paling minima buat mereka.

Alaisa as-subhu biqarib?