.

.

19 September 2016

Cadangan Pindaan RUU Akta 355

Hari demi hari, isu ini semakin mendapat ulasan... Tak sabar menantikan bulan Oktober. Kita mahu lihat perincian cadangan... Bukan tidak setuju atas angin.

Rang Undang-undang Akta 355 ini, jika mahu lihat sejarahnya, dah ada yang tulis dan ulas panjang lebar. SS Dr. Zulkifli AlBakri juga telah menulis pendapatnya. Akta 355 ini juga dikenali sebagai 356; 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit, 6 sebatan.

Kafir mengkafir menghiasi ulasan dan komen. Hukum wajib sokong dilaung sana sini. Andaian umum cadangan pindaan RUU ini adalah untuk menegakkan Islam dan membawa maslahah, tidak kurang diasosiasi dengan hudud.

Walhal, isu awalnya bagaimana usul ini didahulukan di parlimen. Dah dapat laluan, ditangguh perbahasannya. MP Marang mendapat nama. Sudahlah beliau dikecam atas apa yang berlaku kepada parti yang dipimpinnya, yang mengakibatkan Pakatan Rakyat berkubur. Lihatlah isu, bukan individu.

Kemudian, perinciannya. Dr. Mujahid dari Amanah berulang-kali menyebut dalam kenyataan medianya bahawa pindaan ini perlu dilihat perinciannya. Sebagai rakyat yang berhak mengundi, anda perlu peka juga dengan kronologi sesuatu isu. Barulah kematangan dapat dicapai.

Saya merasakan kegusaran Dr. Shamrahayu ketika forum baru-baru ini. Pindaan yang belum dijelaskan perinciannya ini boleh membawa undang-undang syariah ke belakang kerana perlaksanaannya adalah mengikut negeri; bermakna pindaan ini hanya membawa ke hadapan untuk pemimpin yang mahu memperkasakan undang-undang ini.

Bukan Islam sudah boleh menarik nafas lega seketika, kerana undang-undang yang dipinda ini tidak berkaitan langsung dengan mereka kecuali mereka dibolehkan menjadi saksi di perbicaraan kes. (Melainkan ada pindaan dibahagian berkenaan)

Sudah beberapa cerita nenek bukan Islam mendidik dan membesarkan cucunya beragama Islam. Mengapa kita mesti menggusarkan hati mereka?

Islam bukan milik individu. Islam adalah agama langit. Jika Abdul Mutalib percaya ka'abah ada penjaganya ketika diserang Abrahah dan tentera bergajahnya, apakah Islam agama kebenaran ini tiada penjaganya?

Melihat dengan neraca yang lebih luas, kerangka lebih besar, tidak salah mahu memperkasakan undang-undang syariah... Namun, rakyat berhak mengetahui sejauh mana usaha kerajaan dalam memartabatkannya. Mahkamah Syariah beroperasi sampai malam di Selangor untuk menyelesaikan kes sedia ada dan bertambah setiap hari.

Mana dia usaha kerajaan? Institusi agama yang dipandang enteng itu sebenarnya sedang melakukan kerja mereka. Buat kajian, buat kempen yang mungkin tidak meluas liputannya. Pensyarah-pensyarah di IPT dengan gelar profesor bukan nak jaga kedudukan sangat, tetapi di peringkat menggubal sesuatu, kepakaran dan keilmuan mereka amat diperlukan. Khidmat mereka merentasi parti tetapi perkhidmatan kepada rakyat secara tidak langsung yang bukan di kerusi wakil rakyat.

Jangan kita hanya menyebut memperkasakan undang-undang Syariah sedang penjawat awam termasuk hakim gajinya jauh berbeza dari hakim mahkamah sivil.

Apa yang dibangga dengan undang-undang Syariah yang tidak seragam dari negeri ke negeri? Ketidakseragaman ini sudah menunjukkan indikator tertentu.

Undang-undang Syariah ini tertakluk kepada semua rakyat yang beragama Islam, maka janganlah dilaungkan untuk Melayu. Islam tidak eksklusif untuk sesuatu bangsa. Dan rahmatnya Islam tidak seharusnya dirasa oleh penganutnya sahaja. Islam pernah melindungi bukan Islam semasa berkuasa menguasai dua pertiga dunia. Mengapa dicari pasal di Malaysia yang entah berapa peratus dari negara USA?

Baiklah, untuk bersetuju dengan usul MP Marang, marilah kita sama-sama bersabar menanti perinciannya di bulan Oktober 2016 - jika ada. Taqlid buta mesti dijauhi kerana ruang perbincangan kita amat luas.

No comments: