.

.

5.6.18

79: Belasungkawa: Encik Imaen @ Mohd Rosdi Mohd Zin

Pagi Isnin, secara tak sengaja membuka Facebook, status mengenai Encik Imaen yang pertama menyapa pandangan. Laju sahaja tangan mencari berita. Allah! Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. Rupanya waktu itu sudah 12 jam Encik Imaen kembali ke rahmatullah. Secara automatik, saya teringatkan Kak Su. Moga Allah berikan kekuatan dan kesabaran buat Kak Su berhadapan dengan ujian ini.

Bertangguh nak jadi friends di Facebook kerana waktu itu musim pilihanraya dan Encik Imaen yang lebih mesra dipanggil Pak Di memilih menzahirkan yang berbeza dari pilihan saya. Ada sebab mahu jadi kawan, ianya rentetan perbualan pendek di hari terakhir PBAKL tahun ini. Dan ia mendatangkan ralat di hati.

Saya pernah jadi kawan di Facebook Imaen Pengarang. Sempat berbalas komen. Masih saya ingat gambar beliau ke protes BERSIH. Jangan tanya BERSIH mana, saya sudah lupa. Kemudian beliau berkeputusan untuk deactivate akaun tersebut. Saya pula tidak aktif Facebook dari 2012 hingga 2017.

Saya sudah lupa tahun bila, tetapi Jemari Seni pernah membuka booth di AIKOL, UIAM. Acara apa pun saya sudah lupa. AIKOL tu jiran KENMS, kuliyyah saya. Cuma perlu menyeberangi jambatan. Satu ketika saya singgah, waktu itu tidak ramai orang dan saya berpeluang berbual dengannya. Lama. Saya hanya beredar apabila pelajar lain mula mengerumuni.

Ketika perbualan pendek hari terakhir di PBAKL, Pak Di mengatakan dia ingat saya pernah berbual dengannya. Saya jadi teruja. Orang yang bertemu ramai orang punya ingatan yang begitu kuat. Selain perbualan itu, saya pernah menyertai piknik JS Adiwarna tetapi saya tidak berbual dengan Pak Di walaupun beliau berada di situ. Tetapi akan saya kenang ulasan-ulasannya waktu itu.

Ralat kedua dirasakan apabila saya bersungguh request pada Kak Su dan Kak Yah, agar mengadakan piknik terakhir selepas hari raya tetapi Pak Di sudah pergi dahulu. Sekiranya JS adakan piknik pun, tentu terasa kehilangan Pak Di.

Tugas Pak Di disini sudah berakhir. Jika sesiapa mengikuti penulisan Pak Di, sering beliau menyisipkan isu ekonomi dan politik. Pada saya, susah untuk menemui karya sebegitu. Sebab itu, selepas novel-novel Kak Su dan Syud, saya adalah peminat tegar karya Imaen. Yang lain saya baca juga, tapi tiga ini jadi keutamaan. Tidak dapat saya nafikan, apa yang Pak Di tulis tu berupaya mempengaruhi saya (walaupun 2018 menyaksikan pilihanraya lebih 3 penjuru dan kami berbeza pandangan).

Selamat berehat, Pak Di. Allahummaghrfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan jejak! :)