.

.

13.1.15

Banjir 2014

Ketika bah melanda negeri Kelantan, saya baru pulang dari Kota Bharu.

Tiba di Kota Bharu pada hari cerah. Rupanya selepas berhari-hari hujan. Tak nampak air di mana-mana. Maklumlah Jambatan Sultan Yahya dah tak nampak kiri kanannya. Selamba sahaja beritahu rakan twitter kota bharu ok. Padahal baru lega dari ancaman banjir.

Hari kedua di rumah barulah merasa musim tengkujuh. Dan mula terasa ancaman banjir terutama semasa keluar dengan ayahanda. Bagai mengulang kisah-kisah dulu kala, memantau paras air setiap kali melalui jambatan. Dahulu ada bukit JPS yang menjadi penanda aras. Bukit JPS serta ladang-ladang semuanya diratakan atas nama pembangunan.

Banjir tiba di rumah. Walaupun reaksi tidak bimbang namun minda di luar sedar merisaukan sehingga tidur lewat. Whats app asyik dijengah bagi mendapatkan berita. 26 Disember 2014, talian internet terputus. Telefon masih berfungsi. Ahli keluarga semua selamat. Tak kira di Kuala Krai, Tanah Merah mahupun di Kutan Hilir sendiri.

Berita demi berita tiba. Amarah rakyat pada Najib kerana khabar bermain golf dengan Obama. Soalan bertanyakan sultan, TG Nik Aziz, MB Kelantan di media sosial. Di samping kritikan terhadap kerajaan negeri Kelantan yang sibuk mahu mengadakan mesyuarat berkenaan hudud pada 29 Disember yang mana akhirnya ditangguhkan. SUK pun banjir!

Risau tak risau, tak boleh buat apa-apa. Lebih baik tidak berkeras untuk pulang dan buat apa yang patut dari jauh. Menyertai pasukan sukarelawan misalnya. Hantarlah bantuan ke tempat yang dapat di capai sahaja, dengan harapan dengan usaha kecil ini Allah lihat dan Allah jaga ahli keluarga sendiri. Tawassul amal? Wallahu a'lam. Jauh di sudut hati, janganlah maksiat yang dilakukan menjadi penyebab kehilangan selama-lamanya.

Gelap kala cerah, umpama berada di tengah perut Nun. Maka berzikirlah mengingati TuhanMu Yang Maha Berkuasa. - Cetusan di Twitter pada 27 Disember 2014

Kelantan jadi pulau. Bantuan makanan tak dapat disalurkan dari Kota Bharu ke Pasir Pekan dan ke atas. Terasa gelap walau di siang hari. Lalu teringat pada keadaan Nabi Yunus a.s. berada di dalam perut ikan. Melihat gambar-gambar kucing yang comel mengingatkan pada kisah Bahtera Nabi Nuh a.s. Sungguh musibah ini menguji tak hanya penduduk setempat tetapi juga saudara mara yang berada jauh dari lokasi banjir. 

Kekuasaan dan Kebesaran Allah menghuni jiwa. Kemuncak banjir di Kelantan pada 26 Disember 2014, ulangtahun ke-10 bencana Tsunami!

Alhamdulillah, misi demi misi daerah yang dihuni, misi ke-4 ke Kuala Krai. Misi pertama dan kedua cuma membantu di pusat pengumpulan barang. Misi ke-3 jadi sukarelawan di lokasi. Juga misi ke-4. Peluang bertemu mangsa banjir dan melihat lokasi selepas banjir merupakan tinggalan buat mereka yang mahu berfikir.

Misi ke-3 ke Kemaman. Berpeluang menyampaikan bantuan. Misi ke-4 ke Kuala Krai, membantu membersihkan SMK Kuala Krai menjelang sekolah dibuka bersama beberapa agensi lain.

Titah sultan Kelantan meruntun jiwa:

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V

Perkembangan muktaakhir ini, negara pada amnya, dan negeri kelantan khasnya telah ditimpa musibah banjir yang agak luar biasa. Banjir yang menimpa rakyat beta adalah sebahagian dari qada dan taqdir allah. Hal ini harus di yakini dan di imani. 
 
Atas dasar keimanan, musibah perlu diterima dengan penuh berlapang dada, bersabar bertawwakal kepada Allah Yang Maha Kuasa. 
 
Ekoran musibah banjir yang melanda ini rakyat beta, berhadapan dengan ketakutan, kelaparan, kerusakan harta benda, kematian, dan kekurangan hasil mahsul. 
 
Beta berharap rakyat dapat menghadapi musibah ini dengan banyak berfikir dan berzikir ke hadrat Allah. 
 
Beta merakamkan ucapan tazkiah kepada mangsa banjir. Beta amat dukacita dan berkongsi rasa simpati atas kerusakan harta benda, kehilangan nyawa, rasa ketakutan dan gundah gulana.
 
Beta mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi negeri, persekutuan, pihak NGO, swasta, individu, seluruh masyarakat yang telah bersatu hati dalam usaha membantu, memberi pertolongan kepada mangsa-mangsa banjir. 
 
Kepada semua ahli masyarakat, harus bersikap peka dan sensitif terhadap musibah ini. Janganlah ada dikalangan ahli masyarakat yang tidak sensitif, ingin menangguk di air keruh, dengan menyebarkan berita-berita yang menambahkan kekeruhan dan kekusutan dalam masyarakat. Ujian sebegini rupa, bukan masa untuk mana-mana pihak menunding jari, menelanjang, menyalahkan pihak-pihak tertentu. 
 
Beta berharap kepada seluruh alim ulama, dan masyarakat terus berdoa, mengadakan sembahyang hajat dimasjid dan surau agar ujian dan musibah ini tidak bertambah buruk, malah segera pulih. 
 
Marilah kita segera meneropong diri, mohon keampunan daripada Allah, serta memperbaiki langkah-langkah kita, yang mungkin telah banyak membuat kesilapan. 
 
Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan dengan alam sekitar. Marilah kita sama-sama sedar bahawa segala macam musibah bencana dan malapetaka yang terjadi semua itu akibat dari olahan tangan-tangan kita. 
 
Semoga Allah mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak. 

Kisah penyertaan misi bantuan akan diceritakan jika saya rasa perlu. Jika tidak disambung, boleh lihat gambar-gambar di sini.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan jejak! :)