.

.

31 December 2018

88: 2018

I

Setahun selepas menjalani pembedahan. Saya masih belum boleh melasak sepenuhnya. Bahagian dalaman, kan. Kita bukannya nampak. Kesakitan pasca pembedahan tidaklah ketara, tetapi dia menjengah sesekali. Setahun jugalah diberitahu menghidap endometriosis. 


II

Ada bulan yang terlupa mahu menulis. Masa ingat, bertangguh. Sedar-sedar dah masuk bulan lain. Sebenarnya, disibukkan dengan hal-hal tak penting. 


III

Kerajaan dah 7 bulan bertukar-tukar. Saya mendoakan kepimpinan baharu ini diberi taufik dan hidayah dalam memimpin supaya ramah dapat dirasa semua. Setelah sekian lama, akhirnya mitos BN tak terkalah berjaya dipecah rekod. 


IV

Saya belajar melukis. Dan sekarang amat suka melukis. Adalah beberapa lukisan sudah diberi pada orang. Pameran lukisan biasanya di muka buku, kalau rajin baru letak di cerita instagram dan cerita What's App. Perjalanan dengan berus masih panjang.


V

Pemergian Pok Su pada 18 November 2018. Pemergian Che Yah 33 hari selepas itu.


VII

Umrah. Nanti sambung di entri lain. 


Selamat tahun baru 2018.

18 October 2018

87: ADHD in Adult

Suasana politik kucar kacir dan saya tak berminat nak ulas. Mari bercakap tentang cuti umum sajalah.

Hujung minggu yang panjang masuk minggu ketiga dan tak ke mana-mana. Bosan akibat tak ada aktiviti, dan pergerakan terhad kerana faktor kewangan.

Sabtu 15 September lepas, saya mengikuti bengkel ADHD Dewasa. Dan? Rupanya simptom dia ada banyak. Rasa macam nampak cahaya je bila didedahkan dengan info tentang ADHD ni. Simptom taklah ketara tapi ada. 

Simptom ADHD ni biasanya dapat dikenal pasti dalam kalangan anak-anak lelaki. Anak-anak perempuan simptom tak dapat lihat. Apa yang terjadi, wanita biasanya tahu dia ada ADHD apabila ada anak dan anak disahkan ada ADHD.

ADHD adalah yang kedua tertinggi diwarisi selepas ketinggian. Dan ADHD sering disalah erti sebagai depression serta penyakit mental yang lain. Namun individu yang mempunyai ADHD akan dapat beraksi lebih baik apabila dikenalpasti minat dan kesukaannya. Selalunya ADHD bila masuk universiti akan alami masalah sebab perlu bimbingan secara khusus.

Berbalik kepada diri sendiri, 'daydreaming' tu paling ketara. Kelas pagi amat susah nak punctual. Pengalaman nak menghabiskan degree pun Tuhan sajalah yang tahu betapa struggle nya saya. Tapi course yang hands-on dan disukai, tak study pun boleh lulus. Saya audio learner, bila saya dengar saya mudah ingat berbanding baca. Saya suka membaca tetapi cepat boring. Dan saya pelupa! Lain-lain tu entah la.

Saya kena juga jumpa profesional untuk melihat keadaan ini.

25 August 2018

86: Hari Raya Korban

Raya korban tahun ni mengalah tak mahu hadap kesesakan jalan raya pulang ke kampung halaman. Jadi, beraya lah di KL. Ok je. Penyertaan ibadan korban, macam tahun sudah, melalui MyCare.

Khutbah raya, bosan. Tak ada point of view yang segar. Pasca Malaysia Baharu masih ulang-ulang teks sejarah nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail serta pengajaran yang sama.

Cuma, raya korban ni kedai makan semua tutup. Aduhai. Raya kedua lunch KFC ye. Raya ketiga apa saja yang dijual di pasar. 

Hari ni hari terakhir hari tasyrik. Tapi menjelang zohor dah potong kuku, sebab tak dapat tahan dah kuku panjang.

Taqabbalallahu minna waminkum.

08 August 2018

85: Menses Problem History

Ikutkan, ada je lah catatan dulu-dulu pasal ni. Tapi asyik lupa nak korek. So catat sini aje supaya senang nak refer. Sini public area yang orang tak peduli pun.

2006 - cuti belajar setahun

2007 - pindah hostel. Dapat bilik di ground floor. Bilik inilah yang bermula pro-long. Tapi tak sure jadi in year 2007 atau 2008. Lupa. 

Waktu tu sebenarnya dah nak habis period, tiba-tiba bangun pagi tu habis tilam warna coklat dibahagian berkaitan. Panties pun sama, seluruh material bertukar warna. Jenuh nak bersihkan. Tapi berjaya manage bersih betul.

Sejak hari tu menses jadi panjang. Duration tu berbeza-beza. Minimum stop, 1 hari lepas tu cycle period baru. Sehinggalah November 2016 perasan macam makin pendek. Tapi period pain gitulah, ada masa teruk, ada masa tak.

2010, mengadu pada doktor di uia... Siap pegi scan di bangunan DBKL (uia bayar). Nampaklah fibroid. Follow up di klinik Dr Hafidzah aje lah lepas tu, fibroid tu tak membesar pun. Jadi ignore je lah. Tambah-tambah gambar scan perut tu missing in action.

Fast forward 2017, bulan Julai... Sakit perut yang disangka appendicitis lalu ke kecemasan HKL... Katanya kencing kotor aje lah. Tapi beritahu doktor tentang fibroid jadi dapat refer O&G Specialist.

Appointment pertama Ogos. Nampak cyst, borderline kena operate, 5cm.. Tapi kena buat test dulu. November temujanji kedua. Non-cancerous. Plan operate bulan Jun 2018. Rezeki dapat tarikh end of December.. Syukurlah cepat gila.

Sekarang dah 7 bulan lepas operation. Dah tiga kali period. Oh masa operate tu la team doktor nampak endometriosis. Cumanya kali ketiga ni period pain severe nak mati! Macam radang/bengkak pun ye. Masalah besar adalah tak boleh kentut. Sakit dia Tuhan sajalah yang tahu.

Begitulah sedikit kronologi.

06 August 2018

84: Endometriosis

Masa awal-awal doktor beritahu tentang endometriosis, tenang je. Katanya tak ada apa-apa yang serius buat masa sekarang walaupun tahap tiga.

Tetapi setelah 7 bulan, kesan endometriosis ini semakin ketara. Masalah senggugut dan gastrik semakin meruncing dan berlarutan. 

Saya tidak biasa consume pain killer bernama paracetamol tu banyak-banyak. Sebelum ni saya melanggar peraturan suruh makan dua biji tiga kali sehari jadi sebiji tiga kali sehari, tak kiralah sakit apa pun termasuk demam berlarutan. Beberapa tahun kebelakangan ni je pandai dah consume 2 biji setiap kali, itu pun tak kerap - dimakan sekiranya sakit sahaja.

Sekarang ini 2 biji panadol itu bertahan tak sampai satu jam dan sambung sakit semula. Rasa nak berguling dan tidur tapi kesakitan ini menghalang dari tidur yang lena. Lalu saya nak jadi apa?

Ketika ini saya tidak mampu berdikari mengurus diri. Saya juga tak mampu menatap wajah ayahanda dan bonda susah hati melihat saya kesakitan yang tak dapat dilegakan meskipun sudah ke hospital dan juga menggunakan cara lain.

Saya fikir, saya mahu cari pasangan dan berkahwin. Doktor memang sarankan saya segera mendirikan rumahtangga. Entah lah. Saya tetap yakin, bila saya sakit Allah akan sembuhkan. Mungkin jugalah, penyembuhan itu dengan kematian.

17 July 2018

83: Masa Yang Pantas

Sejak sebelum Ramadhan hinggalah Syawal dah berakhir dan bermulanya Zulkaedah, terasa mahu masa tu extend sedikit. Terlalu cepat berlalu! Lebih-lebih lagi Ramadhan...

Kadang-kadang mengejar, kadang-kadang dikejar. Entah di mana silapnya. Ketenangan direnggut. Keinginan pula maha banyak. Sekali fikir, bersedia ke tidak nak mati? Sedangkan pertemuan dengan Tuhan sebenarnya amat didambakan tetapi amal soleh ke laut!

Astaghfirullahal 'azim. 

Pejam celik pejam celik, kontrak kerja berakhir. Pejam celik pejam celik dah kerja semula. Masa rasa tak cukup. Masa dirasakan terlalu pantas berlalu. Tak cukup untuk membaca, mengulang hafazan, mengaji... Tulis blog? 

Dan masa-masa tersebut tak sempat skrol timeline twitter, facebook, instagram. Semua. Apa terjadi pada saya? Rehat menjadi-jadi tak cukup. Sehingga hampir tak dapat khatam Quran di bulan Ramadan. Exercise berjalan? Pun ke laut. Ya, mesti mula semula secepat mungkin.

Sebelum Ramadan, sibuk dengan dengan pilihanraya ke-14. Awal ramadan juga masih sibuk dengan pasca Malaysia Baharu. Dan bahang Malaysia Baharu masih berlangsung. Seolah ia satu perayaan yang tak kunjung berakhir.

Sesungguhnya saya penat berhadapan dengan ketakcukupan masa ini. Saya mahu berhibur. Serius. Saya perlukan hiburan. 

Marilah bersangka baik dengan Allah.

03 July 2018

82: Penghujung Ramadan

Sepuluh malam akhir ramadhan. Rasa macam kurang produktif. Terkejar-terkejar. Sepuluh malam akhir ni, ada yang kira biar cukup 10 malam. Saya memilih untuk kira dari malam ke-21 tidak kira Ramadan 30 atau 29 hari. Ajaran ayahanda sebenarnya (saya sekadar bertanya pendapat, hehehe).

Tahun ni 10 malam akhir bertemankan Nun Amira dan cikgu Adura serta anak-anak mereka. Biasanya tak berteman. Jumpa kawan-kawan lama dengan mood berbeza. Sungguhlah, kami berhimpun di masjid merentasi fahaman politik, sempadan geografi, bangsa dan bahasa.

Saya kepenatan berkejaran dari tempat kerja ke masjid UIA. Tahun ini kami diuji dengan ketiadaan air. Maka terpaksalah balik rumah sebelum ke masjid. Malam ke-27 tidak penuh seperti kebiasaan. Khabarnya malam ke-25 dah pun kena serang. Faktor hujung minggu, cuti sekolah dan malam ganjil. 

Jiran tempat saya bermukim seorang Arab Mesir. Dapatlah saya asah sedikit vocabulary arab yang dah berkarat kerana beliau lebih gemar berbahasa arab.

Saya juga berkenalan dengan Rania dan kembarnya Kaisar yang berasal dari Aceh. Baru 5 tahun tetapi mampu bercerita hal tsunami dan masjid rayanya yang teguh berdiri selepas tsunami. Termenung jugalah saya kerana kepetahan mereka.

Di hari terakhir Ramadan, saya bertekak dengan seseorang. Saya rasa terganggu dengan sikapnya yang bercakap ikut suka hatinya tanpa mempedulikan gestures yang dipamerkan. Dari awal dia menegur lagi, iaitu hari-hari sebelumnya. Saya tidak menjawab sendiri soalan yang ditanya, dan dia terus bercakap. Isyarat itu tidak difahami bahawa saya tidak gemarkannya. Saya bersuara. Lepas tu sentap sendiri dan tuduh saya sensitif. Fuuuhhh berasaplah saya! Dah la interrupt perbualan saya dengan kawan. Huh!

Begitulah Ramadan tahun ni. Langsung tak jejak masjid KLCC kerana trafik yang amat tak membantu. Hari-hari berbuka di masjid As-Sobirin. Dan macam biasa, kecewa dengan qiamullail di masjid awam. Dah 5 tahun hadap solat sunat tasbih di 10 malam akhir. 

Semoga bertemu lagi, Ramadan yang sentiasa dirindu! Looking forward for 10 awal Zulhijjah pula.

26 June 2018

81: Giliran Yang Belum Tiba

Hari Khamis 21 Jun, beranikan diri mendapatkan kepastian. Dan khabarnya memang telah dijangka, tidak tersenarai tahun ini.

Kecewa tetapi pasrah. Beginilah keadaannya apabila sistemnya mengikut giliran, kuota dan syarat pengurusan. Waktu ini saya berada dalam keadaan mampu dan jatuh hukum wajib mengerjakan rukun Islam kelima. Berkemampuan dari segi tenaga, kesihatan, masa dan kewangan. Syarat perlu ada mahram juga sedia dipenuhi. Wallahu a'lam bisshowab. 

Sesungguhnya, ya Allah, aku bersaksi bahawa telah aku berdoa dan berusaha untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Sekiranya masih ada ruang untuk aku kerjakan tahun ini, ia tidak mustahil disisi-Mu ya Allah. Jika tidak, akan kuteruskan doa meminta padaMu.

Semoga pihak Tabung Haji tidak membuat carian yang membuatkan mereka tiba disini. 

Catatan diri: ingatan yang semakin merosot kesan dari major depression disorder. Penyakit hasad yang dihadapi. Hukum kewajipan yang jatuh ke atas diri pada ketika ini, dan aku memohon ampun kerana ianya diluar kawalanku.

Tanpa disedari, kegagalan mendapat giliran haji tahun ini membuatkan saya mengalami mental breakdown diluarkawal. Padahal khabar itu sudah dijangka dan hati ini beristighfar. Ya Rabb, moga dapat kuharungi episod ini.

Kehidupan ini tidak seperti yang kita rancang. Kita hanya mampu merancang, yang menentukan hanya Allah jua. 

Bukan hendak berehat selepas ibadah haji dilaksanakan... Namun perjalanan spiritual ini amat didambakan sejak sakit teruk... Tak mampu lagi memujuk diri untuk bersangka baik dengan semua perkara dan semua orang. Perjalanan spiritual ini memberi harapan untuk kehidupan yang sedang dijalani.

Ilahi, anta maqsudi wa ridhoka mathlubi
Ilahi, kepadaMu aku berserah.

24 June 2018

80: Belasungkawa: Kaydee Syayuti a.k.a Khadijah

Hari itu hari Rabu. Saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Cuti untuk berhari raya sudah tamat. Kesibukan memenuhi keinginan bertemu dengan orang-orang tua menyibukkan saya dari melihat mesej di awal pagi. Tengahari baru saya baca berita pemergian kak KD jam 7.55 pagi di HKL, 7 Syawal 1439H.

Saya berkenalan dengan Kak KD ketika permulaan pekerjaan kedua pada tahun 2014. Pernah sambut harijadi kak KD pada tahun tersebut. Kak KD cuma tua setahun dari saya. 

Apabila kami berpapasan, selalu saya panggilnya. Seorang yang sempoi, makan sendirian pun tak kisah. Kak KD adalah pengguna pengangkutan awam yang lebih tegar dari saya. Sejak saya berkereta, jika ternampak kak KD di bustop LRT Dato Keramat, saya akan ajak naik kereta... Tak hanya kak KD, tapi siapa pun yang saya kenal. Saya cuma tahu kak KD tinggal di Ampang.

Kak KD dikhabarkan jatuh sakit tidak sedarkan diri, seingat saya sekitar akhir Mac - awal April kerana meningitis. Padahal kami baru berpapasan minggu sebelumnya. Beberapa pembedahan dilakukan ke atasnya. Saya cuma berpeluang ziarah sekali dan waktu itu kak KD tidak sedarkan diri. Selepas itu saya berpeluang tetapi lupa sediakan facemask.

Sungguh, maut itu apabila tiba masanya tidak dipercepatkan atau dilambatkan walau sesaat. Beberapa hari sebelum, saya dapat berita kak KD kritikal. Saya sekadar jerit dalam hati, 'hang on, kak KD.. Saya nak jumpa!' tetapi malaikat maut tidak ikut jadual saya.

Apabila berita pemergian kak KD menyapa mata, sekali lagi saya kecewa kerana tidak dapat menyertai solat jenazah di Masjid Ubudiah, Ampang. Ketika perjalanan terakhir kak KD di dunia, saya sedang dalam perjalanan untuk meneruskan kehidupan selepas perayaan.

Allahummaghfirlaha warhamha wa'afiha wa'fu 'anhaHanya inilah yang mampu saya ungkapkan buat kak KD mengiringinya dari jauh. Berehatlah kak KD, dari kecamuk dunia.

Nota lain, ayah kepada Raja Siti Afiqah meninggal dunia dua hari lepas. Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu.

05 June 2018

79: Belasungkawa: Encik Imaen @ Mohd Rosdi Mohd Zin

Pagi Isnin, secara tak sengaja membuka Facebook, status mengenai Encik Imaen yang pertama menyapa pandangan. Laju sahaja tangan mencari berita. Allah! Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. Rupanya waktu itu sudah 12 jam Encik Imaen kembali ke rahmatullah. Secara automatik, saya teringatkan Kak Su. Moga Allah berikan kekuatan dan kesabaran buat Kak Su berhadapan dengan ujian ini.

Bertangguh nak jadi friends di Facebook kerana waktu itu musim pilihanraya dan Encik Imaen yang lebih mesra dipanggil Pak Di memilih menzahirkan yang berbeza dari pilihan saya. Ada sebab mahu jadi kawan, ianya rentetan perbualan pendek di hari terakhir PBAKL tahun ini. Dan ia mendatangkan ralat di hati.

Saya pernah jadi kawan di Facebook Imaen Pengarang. Sempat berbalas komen. Masih saya ingat gambar beliau ke protes BERSIH. Jangan tanya BERSIH mana, saya sudah lupa. Kemudian beliau berkeputusan untuk deactivate akaun tersebut. Saya pula tidak aktif Facebook dari 2012 hingga 2017.

Saya sudah lupa tahun bila, tetapi Jemari Seni pernah membuka booth di AIKOL, UIAM. Acara apa pun saya sudah lupa. AIKOL tu jiran KENMS, kuliyyah saya. Cuma perlu menyeberangi jambatan. Satu ketika saya singgah, waktu itu tidak ramai orang dan saya berpeluang berbual dengannya. Lama. Saya hanya beredar apabila pelajar lain mula mengerumuni.

Ketika perbualan pendek hari terakhir di PBAKL, Pak Di mengatakan dia ingat saya pernah berbual dengannya. Saya jadi teruja. Orang yang bertemu ramai orang punya ingatan yang begitu kuat. Selain perbualan itu, saya pernah menyertai piknik JS Adiwarna tetapi saya tidak berbual dengan Pak Di walaupun beliau berada di situ. Tetapi akan saya kenang ulasan-ulasannya waktu itu.

Ralat kedua dirasakan apabila saya bersungguh request pada Kak Su dan Kak Yah, agar mengadakan piknik terakhir selepas hari raya tetapi Pak Di sudah pergi dahulu. Sekiranya JS adakan piknik pun, tentu terasa kehilangan Pak Di.

Tugas Pak Di disini sudah berakhir. Jika sesiapa mengikuti penulisan Pak Di, sering beliau menyisipkan isu ekonomi dan politik. Pada saya, susah untuk menemui karya sebegitu. Sebab itu, selepas novel-novel Kak Su dan Syud, saya adalah peminat tegar karya Imaen. Yang lain saya baca juga, tapi tiga ini jadi keutamaan. Tidak dapat saya nafikan, apa yang Pak Di tulis tu berupaya mempengaruhi saya (walaupun 2018 menyaksikan pilihanraya lebih 3 penjuru dan kami berbeza pandangan).

Selamat berehat, Pak Di. Allahummaghrfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu.

16 May 2018

78: Ramadhan Mubarak

Segala pujian kepada Allah, dengan rahmat-Nya, kita menyambut Ramadhan kali ini dengan sinar dan harapan baharu.

Sesungguhnya, rasa ini tidak dapat digambarkan setelah makan hati bertahun-tahun. Pilihanraya ke-14 yang baru saja berlalu benar-benar menunjukkan rakyat Malaysia mahukan perubahan setelah berbagai skandal dan tekanan dikenakan. 

Meskipun si hijau masih tegar dengan pendiriannya mahu bersendirian, dia masih mengharapkan kerajaan yang kini diwakili Pakatan Harapan, tidak menganaktirikan negeri-negeri di dalam genggaman mereka. 

Ini hanyalah sebuah permulaan setelah berjaya menumpaskan tahayyul dan mitos bahawa Barisan Nasional tidak terkalah. Ini juga membuktikan bahawa Malaysia tercinta masih lagi negara demokrasi.

Hanya saya masih lagi bingung dengan suasana negeri Pantai Timur yang kini duanya di bawah PAS, satu BN. Negeri saya terutamanya. Bagaimana mahu membuka minda rakyat negeri ini, tidak kira berada di luar mahupun setempat, agar mempunyai pemikiran seperti Tok Janggut dan Tok Kenali. Mereka adalah tokoh yang berfikiran global tetapi aksinya di tempat sendiri. Yang ada adalah pemikiran yang jumud dan ditakut-takutkan. Moga Allah tunjukkan jalan.

Sambutlah Ramadhan dengan jiwa yang terbuka... Ramadhan tetap akan berlangsung meskipun kita ternanti-nanti 10 janji 100 hari Pakatan Harapan. 

Tahun ini persiapan Ramadhan kurang kencang. Entah apa faktornya. Rancangan juga tidak ada. Perasaan tidak tentu hala. Moga di Ramadhan, semuanya lebih baik dan mampu diteruskan ke bulan-bulan lain. 

Ramadhan yang ku rindu kini menjelma. Ramadhan Tajalla, Ramadhan Mubarak!

09 April 2018

77: Mengurus Keadaan

Saat berpuasa sunat, selain ianya ibadat untuk Allah, ianya anjuran bagi memperkuatkan diri menghadapi sihir. Doa orang berpuasa sesungguhnya tidak ditolak.

Sihir itu sentiasa mendatangi. Wallahu a'lam bis-showab. Selalu orang tanyakan apa mahunya sang pelaku? Sungguh saya penat mencari jawapan. Yang saya tahu dan jelas, saya mahu semua ini dihentikan dan ditarik balik.

Saat ini saya mendoakan adik beradik saya serta sepupu yang turut sama terkena sihir agar kuat melawan sehingga menang. Sihirnya berbeza mengikut orang. Telah 12 tahun saya hadapi, berkali-kali saya harapkan kematian ketika tidak mampu menggerakkan fizikal.

Prestasi diri merosot. Aktivisma semakin terhakis. Saya cuma berjuang untuk kehidupan dan akal yang waras. Saya sedaya upaya menghargai fizikal agar sihat supaya dapat beribadah dan mencari rezeki menampung kehidupan.

Untuk ayahanda dan bonda, sungguh sihir itu tidak mampu memisahkan kalian dan semoga ia tak akan pernah berhasil.

Untuk diri sendiri, yakinlah Allah Maha Melihat dan Allah Maha Menjaga, kerana sihir yang berhasil ini dengan izinNya bagi menguji hambaNya. Suatu hari saya pasti akan pulang dan saya mengharapkan pertemuan saya denganNya. Moga saya juga diizinkan bertemu Rasulullah.

Untuk adik-adik saya, terus melawan dan berkongsi apa yang dirasa. Thaghut itu tidak akan menang. Mari kita jaga hubungan sesama kita. Mari kita jaga sesama sendiri. Dan mari kita berlapang dada sesama kita. Kita perlu saling memahami sihir ini membesarkan perkara kecil dan menyuburkan negativiti.

Buat sepupu-sepupu berkenaan, usah mengalah! Biar dikata gila, hanya kita yang 'melihat' dan merasa sakit. Maka kita akan terus melawan sampai mereka tersungkur atau dijemput Ilahi.

Allah itu sentiasa ada dekat dengan makhluk. Dan Dia sentiasa mendengar rintihan hambaNya.

25 March 2018

76: Kesan Uqad

Setelah menulis entri terakhir, saya disakiti lagi. Akibatnya, sambungan tentang kesan bertangguh penulisannya. Hari ini saya nekad untuk menyambung kembali.

Agak sukar untuk menulis kerana ingatan tentang kronologi hampir kosong. Selepas dikenakan sihir melalui duit raya, saya tidak boleh berjumpa dengan adik sendiri. Tak boleh dengar namanya sekalipun. Kenapa? Sakit. Mood boleh berubah sekelip mata. 

Akibatnya, saya pernah tak bercakap dengan bonda dan ayahanda selama 6 bulan! Berhari raya sendirian. Paling saya marah, ayat yang terkeluar dari mulut kedua mereka. Bonda berulangkali memohon maaf tapi ayahanda, sepi perkataan maaf hingga ke hari ini (ketika entri ditulis). Kali kedua, saya tak hubungi selama 3 bulan.

Sakit perasaan saya tidak dipedulikan. Tidak ditanya, tidak dipujuk dan tidak cuba difahami. Menangis bersedih meratap tanpa dapat dirungkai puncanya. Saya menjalani kehidupan seharian seadanya kerana perinsip saya pegang, perintah Allah tetap mesti dilaksanakan walau apa jua keadaan saya.

Akhirnya saya lepaskan mereka. Saya berdoa memohon agar Allah hilangkan segala kesakitan di dalam dada waktu sedang berjalan pulang ke tempat hinggap. Allah makbulkan ketika itu juga, maka sejak itu saya jadi orang yang tidak berperasaan. Gembira pun biasa-biasa, sedih pun biasa-biasa.

Ia masih mengganggu fikiran saya. Saya terfikirkan banyak situasi yang tipikal yang kebiasaannya akan menyebabkan seseorang kesal seumur hidup terutama kematian. Namun Allah ilhamkan bahawa situasi saya hadapi ini adalah luar biasa, maka saya lepaskan mereka. Allah ilhamkan saya memikirkan lafaz istirja' (انا لله وانا اليه راجعون). 

Kebiasaan rakan-rakan saya akan melafazkan kalimah ini apabila ditimpa musibah seperti kehilangan barang dan juga kematian. Saya fikirkan bahawa Allah jua berhak mengambil sesiapa jua dalam kehidupan seharian, tidak semestinya melalui kematian. Tidak kira yang ada hubungan darah mahupun tidak.

Saya memahami sejak itu, selain nama hubungan yang ada, mereka adalah manusia biasa. Bezanya adalah taqwa dan ketaatan. Perasaan sayang adalah anugerah Allah. Maka mereka, tidak kira lah siapa, saya serahkan semula pada Allah sepenuh jiwa. Kerana tidak lagi dalam kemampuan saya untuk membendung rasa yang semakin menyakitkan. Bertahun-tahun saya sudah mohon, "Ya Allah, jangan Engkau bebankan diluar kemampuanku."

Untuk situasi-situasi tipikal, saya ingatkan diri berkali-kali bahawa keadaan saya ketika itu amat kritikal dan saya perlu selamatkan diri dari kesedihan yang melampau yang boleh menyebabkan depression.

Sepanjang tempoh ini, saya tidak berhubung dengan sesiapa termasuk kawan-kawan. Saya hanya sibuk dengan diri sendiri. Kerja, simpan duit. Tempoh 6 bulan tidak bercakap dengan ibubapa, saya beroleh pekerjaan. Saya jalani kehidupan seadanya untuk patuh perintah Allah yang lain.

Saya letak tepi bab berhubung dengan ibubapa, adik beradik mahupun extended family. Saya biarkan bab larangan tidak bertegur sapa lebih dari 3 hari. Saya hanya fikirkan untuk kekal waras dan tidak meninggalkan solat serta perintah wajib lain.

Seseorang pernah berkata kepada saya, keadaan saya ini susah untuk didekati lelaki untuk tujuan perkahwinan. Apa yang saya dapati hari ini, semua orang pun susah untuk mendekati dan didekati. Akhirnya, saya beginilah... Menyendiri.

Apa pun keadaan saya, saya harus terus teguh dengan keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama saya dan Allah sentiasa memerhatikan saya.

26 February 2018

75: Berhadapan Dengan An-Naffaasaat

Apa itu An-Naffaasaat?

وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ

"Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);

وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".

-Sura Al-Falaq, Ayah 4 & 5

Saya ambil perkataan An-Naffaasaat dari surah al-Falaq setelah bertahun-tahun berhadapan dengan gangguan, juga setelah bertahun mengetahui punca gangguan. Perkataan yang telah lama saya jumpa, sebab sering mengulangbaca surah Al-Falaq.


Percaya Sakit Disebabkan Jin?

Makhluk yang dinamakan jin ini wujud dan ada manusia yang aqidahnya tidak siap bergantung hidup padanya. Sakit disebabkannya ada tanda tertentu, setelah berkali-kali ke hospital mencari puncanya.

Manusia bergantung hidup dengan jin dengan mempelajari ilmu yang disebut dalam surah Al-Baqarah ayat 102. Tolonglah google sendiri. 

Pada hemat saya, permulaan manusia bertindak sedemikian mempunyai masalah psikologi atau tekanan jiwa. Ini hasil pemerhatian yang saya lakukan beberapa ketika dahulu.

Saya tidak menolak rawatan hospital. Masalah gastrik, demam, cirit birit, dan sebagainya, saya ke klinik terlebih dahulu. Demam tak kebah tetap saya telan paracetamol dengan doa semoga Allah sembuhkan demam. Baru-baru ni pun saya jalani minor operation untuk buang cyst.

Gangguan jin ini jatuh nombor kemudian. Kerana kita tahu jin ini suka menipu, maka tak payah lah kita bergantung pada satu fakta je.

Saya ada ingatan akan cebisan-cebisan peristiwa yang dilalui mengaitkan pada gangguan jin disebabkan manusia yang hasad. Kisahnya pernah saya blog di URL ini tapi saya dah sorok. Saya juga ada blog lain menceritakan kronologi semasa berkaitan gangguan ini yang mana diagnosis awal mengatakan saka sedangkan ia sebenarnya sihir. Selalunya saya gunakan istilah ilmu salah.


Sikap Terhadap Pelaku

Pertama kali saya yakin seseorang menjadi punca kesakitan yang saya tanggung adalah pada tahun 2012. Saya hanya sedar saya hilang ingatan selepas beberapa kali berulang alik ke Darussalam di Gombak. Akibatnya saya tidak boleh dengar apa-apa berkaitan adinda nombor 2 sehingga ia berakhir Julai 2017.

Kerana saya 'nampak' pelakunya siapa, maka saya tidak lagi mahu bersua muka dengan pelaku. Ketika itu saya rasa dikhianati. Serba salah pun ada kerana orangnya perlu disantuni, dihormati dan dirawat apabila perlu. Hal ini begitu sulit untuk saya. Hanya, saya bersyukur ayahanda tidak memaksa bertemu apabila saya putuskan tidak mahu.

Namun, saya hanya khususkan pada orang tersebut sahaja. Yang lain yang berkait dengannya saya masih boleh terima untuk bertemu muka. Asalkan tiada pelaku bersama. Akan tetapi, kini pelakunya ada team. Maka team tersebut saya elakkan dari tersua. Kesannya bukan setakat fizikal, tetapi juga pada emosi dan fikiran.

Di entri lain akan saya sambung tentang kesan. Semoga Allah berikan kesempatan.

25 February 2018

74: Temujanji Dengan Izrail

"Kullu nafsin za-iqatul maut (Arabic: كل نفس ذائقة الموت - setiap yang bernyawa pasti merasai Al-Maut)..."

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Ini adalah kitaran hidup seorang manusia, tidak kira beriman mahupun tidak, semua tahu. Bezanya cara mengendalikan manusia setelah tidak lagi bernyawa.

Kitaran ini sentiasa di sekeliling kita, tidak mengira usia hatta bayi di dalam kandungan. Maka, saya sering membayangkan diri sendiri pada keadaan sakaratul maut. Lebih-lebih lagi saya pernah terlantar berjam-jam tidak mampu bergerak tanpa sebab berkali-kali tetapi mampu mendengar dan menangis.


Jika Keadaan Terlantar

Saya tidak mahu sesiapa berbicara tentang dunia berdekatan dengan saya. Sebaliknya jika mahu berbual, biarlah isi perbualan mengingatkan dunia ini tidak kekal, ringankan beban perasaan saya agar dapat melepaskan dunia, juga ingatan akan pertemuan dengan Tuhan yang amat didambakan.

Jika tidak, bacakan al-Quran untuk saya. Tak mampu bacakan seluruh Al-Quran sehingga khatam, boleh lah ulang-ulang surah Yasin. Semua bahagian Al-Quran saya suka. Jika yakin bacaan baik, lontarkan suara baca Al-Quran bergilir-gilir sehingga khatam.

Sesekali, bisikkan tahlil (kalimah la ilaha illallah muhammadur Rasulullah) ke telinga, mudah-mudahan hati saya mahu ikut lafazkan.


Selepas Nyawa Bercerai Dari Badan

Masih tidak lepas dari Al-Quran. Selagi belum selesai urusan pengkebumian, usah dibiarkan jenazah saya mendengar perbualan duniawi.

Saya harap ada ahli keluarga yang mampu mengurus keadaan dapat mewujudkan dua kawasan ini; pertama kawasan orang yang mahu membaca Al-Quran dari awal sampai habis secara bergilir dan kedua kawasan orang yang mahu membacakan yasin sekali habis.

Yang mahu berbual untuk kemas kini aktiviti orang yang dah lama tak jumpa, saya mohon bergeraklah menjauhi jenazah.

Saya juga mengharapkan ada cara untuk mempromosi doa untuk orang yang baru dan telah meninggal dunia: Allahumaghfirlahu/a warhamhu/a wa 'afihi/a wa'fu'anhu/a. Macam orang dekor sambut birthday pun boleh diterima, ganti perkataan sambutan dengan doa tersebut. Doa ini juga dibaca di dalam solat  jenazah, takbir ketiga.

Kawasan tambahan boleh diwujudkan untuk mengajar hadirin cara menunaikan solat jenazah terutama kepada orang perempuan, jika mereka tak tahu.


Hak Terakhir

Saya amat menggalakkan saudara mara, rakan-rakan perempuan turut serta dalam solat jenazah. Itulah antara perkara terakhir yang boleh dilakukan selain iring jenazah ke kubur. Maka, saya juga menggalakkan semua orang untuk menyolatkan jenazah saya apabila masanya tiba.

Nota ini kerana, bertahun-tahun saya di UIA, asyik lupa tentang pelajaran solat jenazah. Berjuta kali mengadap encik Google tak juga belajar. Sehingga entri ini ditulis, baru dua kali saya berpeluang solat jenazah.


Jika teringatkan saya...

Ulanglah doa memohon keampunan untuk saya. Walaupun saya sedar diri tak siapa sudi mengenang saya, jika teringat, ulang lah Allahumaghfirlaha warhamha wa 'afiha wa'fu'anha.

Sekian nota peribadi saya kali ini.

12 February 2018

73: Kufu

Hal kufu selalu dibincangkan dalam fiqh munakahat bab pasangan. Selalunya diceritakan kufu ni dari latar belakang keluarga, status, tahap pendidikan dan sebagainya.

Pada saya, kufu ni tak setakat itu. Cara hidup merangkumi pemakanan, pemakaian, cara berfikir, cara berbelanja, aktiviti luar dan banyak lagi termasuk hal mengurus teknologi.

Saya sekitar 2011-2012, adalah seorang yang sudi bersusah payah dengan siapa pun bakal pasangan saya. Kiranya 'beriman' pada 'rezeki' selepas berkahwin itu tinggi. Masa tu peralihan pengangguran kepada mendapatkan pekerjaan. Apabila telah bekerja dengan gaji minima, saya beralih pada demand pada pasangan yang bergaji lebih tinggi untuk survival. Pendapatan waktu itu sekadar cukup-cukup makan.

Fast forward, hari ni saya adalah seorang yang tak mampu korbankan apa yang saya ada hari ini dari segi jadual dan kesusahan hidup. Ayahanda dan bonda juga telah meletakkan penanda aras tertentu secara tidak langsung.

Tambahan pula hari ni ada bermacam 'mazhab' muncul. Anti-vaksin, home birth with doula, taksub dengan parti politik... Banyak lagi sebenarnya tapi tak mampu gali sekarang segala isu berkenaan. Bab agama pun kena kufu, jenis syadid tak bertempat, memang saya ada potensi jadi isteri derhaka.

Cerita bab kufu ni kena sembang-sembang sambil minum coklat panas, jus buah-buahan (mangga, guava, epal) atau limau suam.

08 February 2018

72: Terseliuh

Tajuk belum diberi ilham. Macam-macam saya nak cerita di sini. Tadi dah dapat tajuk. Entah lah mana dia terbang.

Dah dapat tajuk, walaupun bukan tajuk dan topik awal yang mahu saya hurai. Hari ni kaki kanan terseliuh gara-gara tersalah langkah. Bengkak lah ni.

Kejadian ini terjadi lepas menziarahi kak Anum. Pagi-pagi buka whatsapp, tengok group kawan-kawan pejabat 'meriah'. Rupanya suami kak Anum meninggal dunia malam tadi. Terkesima. Speechless. Sampai pejabat, terus ikut kawan-kawan berziarah. Moga kak Anum dan anaknya diberi kekuatan berhadapan kehilangan besar ini. Sama-sama kita doakan keampunan buat arwah suami kak Anum. Allahummaghfirlahu warhamhu.

Berbalik pada kaki. Kes terseliuh ni kena rehatkan kaki, tapi saya banyak aktiviti esok dan lusa. Hmmm. Moga jadi kafarah dosa. 

Sekian.

02 February 2018

71: Alas Kaki

Kisah Cuti Hari Wilayah:

Jarang pegi kedai jumpa kasut berkenan di hati dan harga juga menang di hati.

Hari ni ada 3 pasang masuk senarai (display ada belah kanan sahaja). Setelah menggunakan talian hayat, satu pasang telah diketepikan. Minta tengok lagi dua pasang.

Bila dicuba-cuba, the indicisive behavior menyerang. Mengenangkan masa amat berharga, maka keputusannya ambil kedua-duanya. 

Saya jenis yang pakai kasut yang senang sarung. Sebarang alas kaki yang complicated memang tolak ketepi. Dan tak suka reben bunga bagai. Tapak kalau boleh flat yang tak nipis. Jadi pembelian tadi diharap 'alah membeli menang memakai'.

Sampai rumah, nekad buang dua pasang kasut yang dah rosak. Sepasang tu boleh baiki lagi sebenarnya tapi agak sengsara masa pakai. So just let them go.

Sekian cerita alas kaki.

*Status Whats App 1 Februari

30 January 2018

70: Masjid

Saya seorang yang sukakan masjid. Dapat tempat tinggal berdekatan dengan masjid adalah bonus paling besar dalam kehidupan. Senang nak ke masjid terutama di bulan Ramadan. Tak payah berkereta. Bagi peluang orang jauh la ruang letak kereta tu.

Jadi hari ini, saya mampu bangun awal. Seperti tahun-tahun lepas sejak berpindah ke Lembah Keramat, saya kena hadap bunyi dari speaker masjid yang terlalu kuat. Bunyi ini telah merampas semangat dan mood saya di pagi hari. Menjadikan saya tidak bersemangat untuk bangun pagi. Juga merampas rutin membaca al-Quran menanti azan subuh.

Menjelang subuh adalah waktu untuk saya bertenang dan merancang hari. Apabila ia dirampok, maka jadilah saya seperti hari ini, malas nak bangun pagi. Fikiran jadi berkecamuk. Mulut pun jadi senang je nak maki orang. Bila tanya pakcik Google, ni saya jumpa:


Macam-macam cara saya fikirkan untuk mengurangkan frekuensi bunyi tersebut, tapi punca bunyi tu dari masjid. Saya pernah doa supaya speaker yang menghala ke ruang peribadi saya tu rosak. Adalah beberapa ketika bunyinya tak ada. hahaha.

Akhirnya hari ini saya hilang sabar. Biasanya saya akan tidur setelah dah kunci jam supaya bangun lepas selesai azan. Hari ni saya rakam dan letak dalam group whats app info masjid. Ada pulak yang menaikkan darah berbicara tentang macam mana bunyi tu sampai. Saya panas hati tau. Saya bagi rakaman satu Jumaat di bulan Disember.

Saya nyatakan dengan jelas. Saya tak marahkan tahrim dan azan. Saya komplen tentang bunyi terlalu kuat sampai ke ruang peribadi saya. Mungkin tiba masanya untuk saya berpindah, barangkali. Padahal saya sukakan tempat tinggal sekarang, suka berada dekat masjid. Tarhim tak salah, tapi bantu saya atasi masalah bunyi terlalu kuat yang sampai ke ruang peribadi saya.

23 January 2018

69: Dua Ribu Lapan Belas

Azam baru? Nil. Masih lagi healing and recovery process.

Juga asimilasi keadaan baharu.

Khabarnya pentadbiran baharu.

Target baharu juga tiada. Masih mencuba target lama.

Petang-petang begini tumpul pula idea.

Sempena healing and recovery process, saya tidak berkereta. Jadi saya menggunakan perkhidmatan awam seperti dahulu jika tak tumpang orang.