.

.

24 June 2018

80: Belasungkawa: Kaydee Syayuti a.k.a Khadijah

Hari itu hari Rabu. Saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Cuti untuk berhari raya sudah tamat. Kesibukan memenuhi keinginan bertemu dengan orang-orang tua menyibukkan saya dari melihat mesej di awal pagi. Tengahari baru saya baca berita pemergian kak KD jam 7.55 pagi di HKL, 7 Syawal 1439H.

Saya berkenalan dengan Kak KD ketika permulaan pekerjaan kedua pada tahun 2014. Pernah sambut harijadi kak KD pada tahun tersebut. Kak KD cuma tua setahun dari saya. 

Apabila kami berpapasan, selalu saya panggilnya. Seorang yang sempoi, makan sendirian pun tak kisah. Kak KD adalah pengguna pengangkutan awam yang lebih tegar dari saya. Sejak saya berkereta, jika ternampak kak KD di bustop LRT Dato Keramat, saya akan ajak naik kereta... Tak hanya kak KD, tapi siapa pun yang saya kenal. Saya cuma tahu kak KD tinggal di Ampang.

Kak KD dikhabarkan jatuh sakit tidak sedarkan diri, seingat saya sekitar akhir Mac - awal April kerana meningitis. Padahal kami baru berpapasan minggu sebelumnya. Beberapa pembedahan dilakukan ke atasnya. Saya cuma berpeluang ziarah sekali dan waktu itu kak KD tidak sedarkan diri. Selepas itu saya berpeluang tetapi lupa sediakan facemask.

Sungguh, maut itu apabila tiba masanya tidak dipercepatkan atau dilambatkan walau sesaat. Beberapa hari sebelum, saya dapat berita kak KD kritikal. Saya sekadar jerit dalam hati, 'hang on, kak KD.. Saya nak jumpa!' tetapi malaikat maut tidak ikut jadual saya.

Apabila berita pemergian kak KD menyapa mata, sekali lagi saya kecewa kerana tidak dapat menyertai solat jenazah di Masjid Ubudiah, Ampang. Ketika perjalanan terakhir kak KD di dunia, saya sedang dalam perjalanan untuk meneruskan kehidupan selepas perayaan.

Allahummaghfirlaha warhamha wa'afiha wa'fu 'anhaHanya inilah yang mampu saya ungkapkan buat kak KD mengiringinya dari jauh. Berehatlah kak KD, dari kecamuk dunia.

Nota lain, ayah kepada Raja Siti Afiqah meninggal dunia dua hari lepas. Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu.

No comments: