.

.

30 April 2020

112: Days of Movement Control Order (MCO) - Phase 4

Sudah 90 hari jauh dari rumah keluarga. Mental sudah di gores luka kemudian diberi ubat, dia pulih seketika. Syukur atas nikmat begini, maka masih lagi berfungsi.

PKP dilanjutkan lagi. Tak apa, sehingga semua kawasan jadi hijau masih sanggup berkurung. Namun, kerana golongan kayangan, ketenangan direnggut. Dejavu. Macam filem Daulat di alam nyata.

Mahu tulis panjang tentang sikap dan mindset. Entah bila nak menghadap dan menulis. Mahu bercerita sikap orang yang bertanggungjawab dengan diri sendiri, masyarakat dan negara.

Esok hari buruh. Ramai 'buruh' tidak dapat bekerja kerana PKP. Meski ada sektor telah dibenarkan beroperasi sepenuhnya, namun dilema ibubapa mengenai taska belum ada jawapan. 

Benar-benar meluat melihat cara pemerintah mengurus keadaan. Kala rakyat kelaparan dan lumpuh ekonominya, mereka sibuk berbahagia jawatan. Tidak cukup jawatan, langgar PKP lagi. Rakyat langgar, kena gari kena penjara. Geng mereka langgar, ambil kenyataan dan denda saja. Dua darjat. Kayangan. 

Doa saya tidak mampu dizahirkan di sini. Sekiranya rakyat ada peruntukan undi tidak percaya, saya sanggup beratur menzahirkannya. 

20 April 2020

111: Days of Movement Control Order (MCO) - Kesihatan Mental & Keperluan Khas

Dalam tempoh 9 hari tidak menulis, video anak Puan Zarina Zainuddin melintas. Saya rasa ramai yang mengetahui bahawa anak kembar Puan Zarina mempunyai autisme. Amat mencabar mengurus mereka di musim PKP yang sudah fasa ketiga. Mereka punya rutin dan keinginan seperti orang lain, namun ada perkara tidak mampu difahami seperti kawalan pergerakan ini.

Bukan sahaja autisme, malah anak-anak berkeperluan khas juga menuntut kesabaran yang tiada batas untuk diurus, lebih-lebih lagi yang suka keluar ke sekolah dan berjalan-jalan.

Selain mereka, situasi berkurung juga sukar bagi mereka yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental. Yang menghadapi anxiety, mungkin terlalu risau dengan virus korona dan menyebabkan ketakutan yang tidak dapat diurus. Yang menghadapi depression pula mungkin jadi lebih tertekan. Belum lagi cabaran-cabaran lain.

Walaupun sudah ada nota-nota disebarkan bagi memastikan kesihatan mental terjaga semasa tempoh PKP, seperti pesanan bercakap dengan pokok, dinding dan binatang peliharaan itu normal, pada pendapat saya ia sukar bagi orang-orang yang sedang berperang dengan mental yang tidak sihat. Terutama bagi yang mempunyai suicidal thought

Meski saya bukan ahli dalam kesihatan mental, namun saya bersuara untuk diri dan juga mereka yang seperti saya. Ada yang mampu mendapatkan bantuan, ada yang masih mencari kekuatan berhadapan. Yang tidak mampu itu selama ini melarikan diri dengan caranya tersendiri. Namun PKP mungkin menyebabkan keadaan semakin memburuk dan tidak terkawal.

Kesihatan mental dan keperluan khas ini saya tekankan kerana kecewa dengan khabar demi khabar warga Malaysia tidak mematuhi arahan yang termaktub dalam undang-undang. Malah, bersikap mementingkan diri sendiri. Bukan hanya rakyat tetapi juga para pemimpin negara. Sedang tujuan Perintah Kawalan Pergerakan ini tujuannya untuk memutuskan rangkaian Covid-19 dari terus berleluasa.

Tidak dapat tidak, selain mengkritik tindakan warga Malaysia yang melanggar perintah, saya juga menyedari bahawa mengambil berat antara satu sama lain juga amat diperlukan sesama sendiri. Sekiranya ada rakan-rakan yang dikenali dan diketahui keadaan mentalnya tidak stabil, tanyalah khabar sekurang-kurangnya. Jika tidak dapat membantu, adalah perlu kita mengambil berat dengan apa jua cara yang kita mampu. Hashtag #KitaJagaKita.

Bagi yang menunjukkan gejala awal gangguan kesihatan mental, dinasihatkan agar anda berusaha mengawalnya. Jika ada suicidal thought, bertindak segera ke bahagian kecemasan.

11 April 2020

110: Days of Movement Control Order (MCO) part 3

Beberapa hari lepas, saya mula diuji dengan emosi kerana berkurung. Terasa sukarnya untuk berdiam di dalam rumah dengan cuaca dan gangguan bunyi dari masjid berdekatan.

Hujung Disember, saya rujuk diri sendiri ke bahagian psikiatri. Saya rasa saya tidak lagi dapat mengawal keadaan diri. Tertekan dengan rutin yang tidak boleh diperbaiki seperti biasa. Ya, saya biasanya akan study rutin yang tidak elok kemudian berusaha mengubahnya jadi lebih baik. Atau rutin yang baik berubah, saya akan cuba selesaikan agar saya kembali on track.

Tujuan ke psikiatri untuk melihat bahawa saya ini ada ADD (Attention Deficit Disorder) atau tidak. Tak banyak ciri saya ada, tetapi saya merasakan saya memerlukan bantuan. Ketika itu, sudah 16 bulan saya mengambil Vissane untuk mengurus keadaan Endometriosis. Ubat ini telah memberi amaran bahawa ia mungkin trigger depresi.

Benar, saya mengalami depressive mode berulang kali. Akhirnya selepas saya diberi anti-depressant, saya mengakui bahawa saya benar-benar depress sebelumnya lagi walaupun saya rasa terkawal dan rasa ok.

Bagi menangani simptom ADD, saya perlu melalui episod mengkaji keserasian ubat. Dipendekkan cerita, 5mg Ritalin membantu saya lebih produktif walaupun tidak capai tahap yang saya harapkan. Tidak mengapa, one step at one time. Kerana itu saya merancang aktiviti yang mahu saya lakukan tanpa target khusus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Perasaan tidak berguna apabila saya fikirkan perkara memasak. Saya tinggal menyewa bilik dan tidak mempunyai kenderaan. Saya tidak suka memasak walaupun tidak lah terlalu jahil. Goreng telur tu pandai lah. Makanan adalah keperluan asasi. Saya tidak kisah disuruh buat perkara lain, tapi tidak memasak. Setakat masak nasi, saya tak kisah pun.

Meski begitu, saya buat lah juga lempeng, cuba buat kuih dan jemput pisang. Itu sahaja kisah dapur saya. Selebihnya saya menumpang makan apa yang rakan serumah masak. 

Waktu ini saya amat menghargai anti-depressant. Hanya, saya sudah lupa bagaimana rutin saya dahulu semasa mengambil anti-depressant yang sama. Waktu itu saya mampu bangun awal. Saya boleh susun kegiatan harian dan gembirakan diri sendiri.

Ramadhan semakin menghampiri dan saya perlu berbuat sesuatu untuk memperbaiki rutin. Kali ini hanya kisah peribadi, mungkin saya perlu menulis untuk keadaan umum bagi kategori kesihatan mental semasa PKP berlangsung.

07 April 2020

109: Days of Movement Control Order (MCO) part 2

Macam-macam perkara yang saya senaraikan untuk dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP, singkatan bahasa inggerisnya MCO) ini. Dari pekerjaan, urusan bilik dan hobi. Ya, saya perlu bekerja dari rumah. Akan tetapi, saya limitkan pada hari bekerja sahaja. Hari minggu buat macam hari tak kerja lah.

Urusan bilik banyak telah saya selesaikan. Antaranya, gosok baju, tukar cadar, cuci kipas, bersihkan lantai, basuh kelambu. Urusan-urusan ini tidaklah selesai dalam masa sehari untuk saya. Ia mengambil masa berhari-hari. Dua hari lepas, saya panjat balkoni untuk lepaskan air bertakung atas porch kereta. Itulah antara punca nyamuk banyak.

Saya tidak ingat bila kelas hafazan mula beroperasi. Dan saya baru 4 kali mengambil bahagian (ketika entri ini ditulis). Kelas hafazan ini penting untuk saya. Awal-awal PKP berjayalah mengulang sendiri juzuk 1. Masuk juzuk 2 saya sudah liat dan tak ikut jadual. Bila ada tawaran kelas nak diteruskan, mestilah saya sambut. Tapi semalam saya sudah mula bosan. Aduhai!

Sebelum PKP, saya baru dapat rentak bertilawah. Kiranya, saya berjaya paksa diri baca al-Quran selain dari kelas dan sesi pertemuan mingguan. Saya sampaikan pada ayahanda, saya mahu khatam sebelum Ramadhan. Maka, waktu-waktu berPKP ini saya cuba baca sedikit setiap kali lepas solat fardhu. Tapi itulah, saya sudah mula bosan. Tolong!

Tulisan kali ini seolah laporan apa yang telah berjaya saya lakukan. Ya, saya berjaya baca 4 buah buku termasuk 2 ulang baca. Teruk betul memori saya sebab tak ingat langsung pernah baca. Lepas ni, saya rasa saya nak ulas buku Merantau Ke Deli dan Tuan Direktur tulisan Buya Hamka.

Menulis blog adalah satu lagi pencapaian. Bermula pada suatu malam yang saya tuliskan 3 entri sekali gus, ini entri ke-6 sepanjang PKP. Semoga saya terus rajin menulis.

Selain itu, saya juga melukis. Cuma sekarang, saya susah hati sebab kertas lukisan saya hampir habis. Baru 8 helai lukisan. Ada juga kertas yang dikorbankan sebab tak menjadi. Begitulah melukis.

Di antara semua aktiviti ini, saya selitkan juga aktiviti bervideo call dengan adik beradik, juga aktiviti agihan bantuan kewangan untuk keluarga.

Sambung lagi nanti, bahagian kesihatan mental.

05 April 2020

108: Days of Movement Control Order (MCO) - Tabung Keluarga

Apabila menyedari ada keluarga terdekat bakal terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka saya berbincang dengan bonda untuk kumpul sumbangan dari adik beradik untuk diagih. Waktu itu kerajaan masih tidak jelas perancangan dan insentif bagi menghadapi PKP.

Kebanyakan keluarga merupakan kumpulan pendapatan B40, tetapi tidak semua bakal merasai kesempitan kerana tidak dapat bekerja. Yang mana pekerjaannya merupakan kategori essentials service, sekurang-kurangnya mereka masih mendapat gaji. Bagaimana yang bekerja sendiri dan pendapatan diperoleh secara harian?

Kumpulan WhatsApp sesama kami diwujudkan, sasaran dikenalpasti dan agihan dilakukan. Apabila tempoh PKP dilanjutkan, agihan kali kedua dilakukan. 28 hari tanpa pendapatan benar-benar merunsingkan. Ini pula ura-ura mengatakan tempoh PKP bakal dilanjutkan sekali lagi. Waktu ini mereka bukan hanya memerlukan makanan, tetapi daya mempertahankan tempat tinggal sekiranya menyewa serta bil utiliti yang perlu dilunasi.

Selain makanan, keluarga yang mempunyai anak kecil juga memerlukan perhatian. Kebajikan si anak kecil yang masih menyusu dan menggunakan lampin perlu disantuni. Sumbangan kecil kami tak mungkin dapat menampung segalanya, namun ia tanda ingatan dan sokongan agar mereka dapat duduk di rumah seperti yang diminta Perdana Menteri ketika ini.

Meski ketika ini Bantuan Prihatin Nasional telah ramai diluluskan permohonannnya bagi yang layak, namun kita sedia maklum bantuan one-off tidak ke mana selagi wabak ini belum terkawal dan ditemui vaksinnya. Bahkan yang hanya selesa ketika ini cuma government servant. Selain itu, risiko kehilangan pekerjaan, tidak dibayar gaji dan sebagainya masih menghantui rakyat.

Semoga wabak ini segera berlalu
Semoga kegiatan ekonomi boleh dilakukan semula.