.

.

20 April 2020

111: Days of Movement Control Order (MCO) - Kesihatan Mental & Keperluan Khas

Dalam tempoh 9 hari tidak menulis, video anak Puan Zarina Zainuddin melintas. Saya rasa ramai yang mengetahui bahawa anak kembar Puan Zarina mempunyai autisme. Amat mencabar mengurus mereka di musim PKP yang sudah fasa ketiga. Mereka punya rutin dan keinginan seperti orang lain, namun ada perkara tidak mampu difahami seperti kawalan pergerakan ini.

Bukan sahaja autisme, malah anak-anak berkeperluan khas juga menuntut kesabaran yang tiada batas untuk diurus, lebih-lebih lagi yang suka keluar ke sekolah dan berjalan-jalan.

Selain mereka, situasi berkurung juga sukar bagi mereka yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental. Yang menghadapi anxiety, mungkin terlalu risau dengan virus korona dan menyebabkan ketakutan yang tidak dapat diurus. Yang menghadapi depression pula mungkin jadi lebih tertekan. Belum lagi cabaran-cabaran lain.

Walaupun sudah ada nota-nota disebarkan bagi memastikan kesihatan mental terjaga semasa tempoh PKP, seperti pesanan bercakap dengan pokok, dinding dan binatang peliharaan itu normal, pada pendapat saya ia sukar bagi orang-orang yang sedang berperang dengan mental yang tidak sihat. Terutama bagi yang mempunyai suicidal thought

Meski saya bukan ahli dalam kesihatan mental, namun saya bersuara untuk diri dan juga mereka yang seperti saya. Ada yang mampu mendapatkan bantuan, ada yang masih mencari kekuatan berhadapan. Yang tidak mampu itu selama ini melarikan diri dengan caranya tersendiri. Namun PKP mungkin menyebabkan keadaan semakin memburuk dan tidak terkawal.

Kesihatan mental dan keperluan khas ini saya tekankan kerana kecewa dengan khabar demi khabar warga Malaysia tidak mematuhi arahan yang termaktub dalam undang-undang. Malah, bersikap mementingkan diri sendiri. Bukan hanya rakyat tetapi juga para pemimpin negara. Sedang tujuan Perintah Kawalan Pergerakan ini tujuannya untuk memutuskan rangkaian Covid-19 dari terus berleluasa.

Tidak dapat tidak, selain mengkritik tindakan warga Malaysia yang melanggar perintah, saya juga menyedari bahawa mengambil berat antara satu sama lain juga amat diperlukan sesama sendiri. Sekiranya ada rakan-rakan yang dikenali dan diketahui keadaan mentalnya tidak stabil, tanyalah khabar sekurang-kurangnya. Jika tidak dapat membantu, adalah perlu kita mengambil berat dengan apa jua cara yang kita mampu. Hashtag #KitaJagaKita.

Bagi yang menunjukkan gejala awal gangguan kesihatan mental, dinasihatkan agar anda berusaha mengawalnya. Jika ada suicidal thought, bertindak segera ke bahagian kecemasan.

2 comments:

uncle gedek said...

Ooo, uncle pernah tengok video pn zarina di IG... besar dugaan dia tu....

Maryam said...

Betul, uncle. Yang dia tau, protest bila tak dapat dia hendak :(