.

.

26 June 2018

81: Giliran Yang Belum Tiba

Hari Khamis 21 Jun, beranikan diri mendapatkan kepastian. Dan khabarnya memang telah dijangka, tidak tersenarai tahun ini.

Kecewa tetapi pasrah. Beginilah keadaannya apabila sistemnya mengikut giliran, kuota dan syarat pengurusan. Waktu ini saya berada dalam keadaan mampu dan jatuh hukum wajib mengerjakan rukun Islam kelima. Berkemampuan dari segi tenaga, kesihatan, masa dan kewangan. Syarat perlu ada mahram juga sedia dipenuhi. Wallahu a'lam bisshowab. 

Sesungguhnya, ya Allah, aku bersaksi bahawa telah aku berdoa dan berusaha untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Sekiranya masih ada ruang untuk aku kerjakan tahun ini, ia tidak mustahil disisi-Mu ya Allah. Jika tidak, akan kuteruskan doa meminta padaMu.

Semoga pihak Tabung Haji tidak membuat carian yang membuatkan mereka tiba disini. 

Catatan diri: ingatan yang semakin merosot kesan dari major depression disorder. Penyakit hasad yang dihadapi. Hukum kewajipan yang jatuh ke atas diri pada ketika ini, dan aku memohon ampun kerana ianya diluar kawalanku.

Tanpa disedari, kegagalan mendapat giliran haji tahun ini membuatkan saya mengalami mental breakdown diluarkawal. Padahal khabar itu sudah dijangka dan hati ini beristighfar. Ya Rabb, moga dapat kuharungi episod ini.

Kehidupan ini tidak seperti yang kita rancang. Kita hanya mampu merancang, yang menentukan hanya Allah jua. 

Bukan hendak berehat selepas ibadah haji dilaksanakan... Namun perjalanan spiritual ini amat didambakan sejak sakit teruk... Tak mampu lagi memujuk diri untuk bersangka baik dengan semua perkara dan semua orang. Perjalanan spiritual ini memberi harapan untuk kehidupan yang sedang dijalani.

Ilahi, anta maqsudi wa ridhoka mathlubi
Ilahi, kepadaMu aku berserah.

24 June 2018

80: Belasungkawa: Kaydee Syayuti a.k.a Khadijah

Hari itu hari Rabu. Saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Cuti untuk berhari raya sudah tamat. Kesibukan memenuhi keinginan bertemu dengan orang-orang tua menyibukkan saya dari melihat mesej di awal pagi. Tengahari baru saya baca berita pemergian kak KD jam 7.55 pagi di HKL, 7 Syawal 1439H.

Saya berkenalan dengan Kak KD ketika permulaan pekerjaan kedua pada tahun 2014. Pernah sambut harijadi kak KD pada tahun tersebut. Kak KD cuma tua setahun dari saya. 

Apabila kami berpapasan, selalu saya panggilnya. Seorang yang sempoi, makan sendirian pun tak kisah. Kak KD adalah pengguna pengangkutan awam yang lebih tegar dari saya. Sejak saya berkereta, jika ternampak kak KD di bustop LRT Dato Keramat, saya akan ajak naik kereta... Tak hanya kak KD, tapi siapa pun yang saya kenal. Saya cuma tahu kak KD tinggal di Ampang.

Kak KD dikhabarkan jatuh sakit tidak sedarkan diri, seingat saya sekitar akhir Mac - awal April kerana meningitis. Padahal kami baru berpapasan minggu sebelumnya. Beberapa pembedahan dilakukan ke atasnya. Saya cuma berpeluang ziarah sekali dan waktu itu kak KD tidak sedarkan diri. Selepas itu saya berpeluang tetapi lupa sediakan facemask.

Sungguh, maut itu apabila tiba masanya tidak dipercepatkan atau dilambatkan walau sesaat. Beberapa hari sebelum, saya dapat berita kak KD kritikal. Saya sekadar jerit dalam hati, 'hang on, kak KD.. Saya nak jumpa!' tetapi malaikat maut tidak ikut jadual saya.

Apabila berita pemergian kak KD menyapa mata, sekali lagi saya kecewa kerana tidak dapat menyertai solat jenazah di Masjid Ubudiah, Ampang. Ketika perjalanan terakhir kak KD di dunia, saya sedang dalam perjalanan untuk meneruskan kehidupan selepas perayaan.

Allahummaghfirlaha warhamha wa'afiha wa'fu 'anhaHanya inilah yang mampu saya ungkapkan buat kak KD mengiringinya dari jauh. Berehatlah kak KD, dari kecamuk dunia.

Nota lain, ayah kepada Raja Siti Afiqah meninggal dunia dua hari lepas. Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu.

05 June 2018

79: Belasungkawa: Encik Imaen @ Mohd Rosdi Mohd Zin

Pagi Isnin, secara tak sengaja membuka Facebook, status mengenai Encik Imaen yang pertama menyapa pandangan. Laju sahaja tangan mencari berita. Allah! Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. Rupanya waktu itu sudah 12 jam Encik Imaen kembali ke rahmatullah. Secara automatik, saya teringatkan Kak Su. Moga Allah berikan kekuatan dan kesabaran buat Kak Su berhadapan dengan ujian ini.

Bertangguh nak jadi friends di Facebook kerana waktu itu musim pilihanraya dan Encik Imaen yang lebih mesra dipanggil Pak Di memilih menzahirkan yang berbeza dari pilihan saya. Ada sebab mahu jadi kawan, ianya rentetan perbualan pendek di hari terakhir PBAKL tahun ini. Dan ia mendatangkan ralat di hati.

Saya pernah jadi kawan di Facebook Imaen Pengarang. Sempat berbalas komen. Masih saya ingat gambar beliau ke protes BERSIH. Jangan tanya BERSIH mana, saya sudah lupa. Kemudian beliau berkeputusan untuk deactivate akaun tersebut. Saya pula tidak aktif Facebook dari 2012 hingga 2017.

Saya sudah lupa tahun bila, tetapi Jemari Seni pernah membuka booth di AIKOL, UIAM. Acara apa pun saya sudah lupa. AIKOL tu jiran KENMS, kuliyyah saya. Cuma perlu menyeberangi jambatan. Satu ketika saya singgah, waktu itu tidak ramai orang dan saya berpeluang berbual dengannya. Lama. Saya hanya beredar apabila pelajar lain mula mengerumuni.

Ketika perbualan pendek hari terakhir di PBAKL, Pak Di mengatakan dia ingat saya pernah berbual dengannya. Saya jadi teruja. Orang yang bertemu ramai orang punya ingatan yang begitu kuat. Selain perbualan itu, saya pernah menyertai piknik JS Adiwarna tetapi saya tidak berbual dengan Pak Di walaupun beliau berada di situ. Tetapi akan saya kenang ulasan-ulasannya waktu itu.

Ralat kedua dirasakan apabila saya bersungguh request pada Kak Su dan Kak Yah, agar mengadakan piknik terakhir selepas hari raya tetapi Pak Di sudah pergi dahulu. Sekiranya JS adakan piknik pun, tentu terasa kehilangan Pak Di.

Tugas Pak Di disini sudah berakhir. Jika sesiapa mengikuti penulisan Pak Di, sering beliau menyisipkan isu ekonomi dan politik. Pada saya, susah untuk menemui karya sebegitu. Sebab itu, selepas novel-novel Kak Su dan Syud, saya adalah peminat tegar karya Imaen. Yang lain saya baca juga, tapi tiga ini jadi keutamaan. Tidak dapat saya nafikan, apa yang Pak Di tulis tu berupaya mempengaruhi saya (walaupun 2018 menyaksikan pilihanraya lebih 3 penjuru dan kami berbeza pandangan).

Selamat berehat, Pak Di. Allahummaghrfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu.