.

.

03 December 2019

100: Penghujung 2019

Mentari petang yang begitu terik. Dari Taman Melati, kelihatan awan hitam berarak.

2019 yang diuji kesihatan berlainan. Tahun sudah disambut dengan endometriosis. Separuh kedua tahun ini pula diuji dengan batuk.

2020 please be nice? Berharap dah in progress nak jadi lebih baik dari sebelum ni. Entah lah. Usia bukan sekadar nombor, usia seharusnya seiring dengan peningkatan amalan yang konsisten.

Rasa seakan lemah tak bermaya. Spiritual dan jasad. Mahu bermula semula dan setakat ini, hanya ada mahu. Badanan hayyinan layyinan bitho3atih.

Allah beri dunia tanpa sekatan. Setakat ni banyak dah permintaan Allah makbulkan. Apa lagi alasan saya untuk tidak melakukan keta'atan?

Allahumma... 

Saya mahu melazimi semula ma'thurat dan manzil. 
Saya tidak mahu tinggalkan dhuha dan witir. 
Saya mahu khatam al-Quran sebelum Ramadhan akan datang. 
Saya rindu berqiamullail. 
Saya juga mahu baja sangka baik. Penat buruk sangka ni.

Ya Allah, 
Aku bersyukur kerana masih merasa dekat Mu, meski dosaku menggunung tinggi. 

11 November 2019

99: Pantai Suri Floating Market


Nekad balik Kota Bharu tanpa tahu orang Kelantan cuti panjang. Sampai 12 hari bulan! Kononnya nak selesaikan banyak perkara, dapat dua pertiga sahaja. Kecewa.

Tapi kekecewaan tu terubat sebab dapat ke Pantai Suri Floating Market di Tumpat. Tambang bot RM5 sehala perkepala dari Jeti Kok Masjid. Dari Jeti Kuala Besar pula RM2 sehala perkepala. 

Cuma operasi floating market ni sudah berakhir semalam bagi tahun 2019. Kalau berhajat nak ke sana, tunggu Februari 2020 pula.

Rupanya ia projek UMK. 
Dan pasar terapung pertama di Malaysia. 

Asalnya naik bot nak Pulau Sri Tanjung, tapi peserta perkhemahan ke Pulau Suri untuk sarapan. Rezeki lah menjejak tarikan baru di Kelantan.

Menariknya di sini, sebuah rumah memiliki sebuah bot sumbangan kerajaan. Jadi, mereka buat jeti sendiri untuk kegunaan sendiri. Suasananya pun tenang, tak kelam kabut. Jadi terapi. Cuma itulah, peluang pekerjaan terhad!

Syukur untuk pengalaman ini. 

17 October 2019

98: Temujanji

Saya dah agak serabut dengan temu janji yang bersusun dan tak nampak rupa akan surut. Makin bertambah, adalah. Dan memang nak tambah.

Gynae - sejak Ogos 2017
IPR - sejak Ogos 2019
ENT - sejak September 2019
Ortho - sejak Oktober 2019
Physio - bermula 23 Oktober 2019

Saya nak rujuk fasal kulit dan psikiatri ni. Apa la rupa jadual kerja saya ni. Tertekan juga masalah terlalu fokus dan tak boleh fokus bila diganggu. Ada tugas yang belum selesai dibawa dari awal tahun. 

Batuk masih tak nampak jalan keluar. Saya tahu puncanya. Dan sudah diusahakan untuk ruqyah. Akan tetapi kesannya masih ada. Saya tahu saya alah pada kesejukan. Batuk yang tidak terkawal ni bagaimana?

6 minggu batuk, 6 minggu hilang ingatan. Rasanya rupa saya bagaimana sekarang ni? Ya, hampir kepada depresi. Sakit kepala. Sakit dada. Dada macam kena sepit pakai penyepit. Tangan selalu kebas.

Saya juga perlu jumpa doktor gigi dan kesukaan saya berada di Kelantan. Saya rindu rumah juga. 

Apa faedahnya menyakiti saya? Maut tu kerehatan selamanya sekiranya kita beramal ikhlas kerana Allah. Tersentak saya bila Kak Long Syikin ungkap, "banyak pahala awak."

Allah! Moga saya dapat terus bersabar. 

03 September 2019

97: Lewat

Permulaan tahun hijrah lewat ke ofis. 8:09 pagi baru di persimpangan Ukay Perdana.

Lewat tapi tak cranky. Mungkin sebab semalam misi berjaya: cari kain baju warna ivory/off-white dan laci.

Lewat dan menulis di sini tanpa ada subjek yang nak diperkatakan. Tak apalah. Merepek apa sahaja.

Lewat yang berpunca dari bermain Gardenscape. Aduh! Sampai tangguh nak masuk alam mimpi.

Tapi saya mahu membaca dan melukis. 

31 August 2019

96: Merdeka

Sudah kah anda merdeka?

Saya belum. 
Belum dapat tudung. 
Nak bayar pun belum merdeka [kewangan].

Sedih betul mengenangkan kesilapan besar saya buat hari ini. 
Kesilapan yang selalu berulang waktu kecil dulu.
Hingga dewasa. 
Hari ni berlaku tanpa disedari. 
Moga Allah ampuni khilaf ku, meski aku harus tanggung kesannya.

Merdeka ni bila?
Saya ada banyak agenda. 
Tapi selalu tergadai dengan Gardenscape. 
Ah obses betul saya dengan game ni. 
Main sampai habis bateri telefon bimbit. 
Ini bukti saya belum merdeka. 

Lain macam je saya kali ni. 
Mungkin akibat berpuasa twitter. 
Atau terlalu bosan. 
Atau terlalu mengira kesilapan diri. 

Merdeka, merdeka juga. 
Takut mati ni macam mana nak atasi?
Ini bukan suicidal. 
Ini berkenaan pertemuan dengan Tuhan Yang Maha Agung. 
Nak jumpa, tapi requirement asyik diskaun ni apa cer?

Saya nak merdeka dari telefon pintar. 

Sekian repekan pada hari merdeka ke 62. Setahun lagi umur dia sampai umur Rasulullah wafat. 

19 July 2019

95: Istana Kelantan

Minggu yang kalut yang dengan berita demi berita mengenai Sultan Muhammad V. Rakyat masing-masing menyuarakan pendapat masing-masing. Lebih-lebih lagi Puan Rihana / Oksana melalui akaun instagram yang dikatakan palsu memuatnaik gambar dan video. Seperti naik hantu para netizan di jemari mereka.

Dunia tanpa sempadan ini benar-benar tiada had menyuarakan pendapat masing-masing. Apakah mereka baru terdedah dengan dunia istana, pun saya tidak tahu. Kerana, sebagai masyarakat setempat, kita dengar berita dari istana dari kerabat yang bergaul dengan rakyat akan hal yang tidak rasmi. Berdengung kemudian lenyap ditelan masa.

Memandangkan baginda pernah dinobatkan sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia, seluruh rakyat ingin tahu kesahihan berita yang disebarkan. Berita perkahwinan. Berita penceraian. Namun, pada saya, itu adalah hal peribadi di mana jika melibatkan pengumuman rasmi, implikasi nya melibatkan dana negara. Tak siapa peduli pun kan?

Pengiktirafan rasmi dari istana memberi banyak kesan besar. Oleh sebab itu, Istana Kelantan jarang memberikan kenyataan media. Era teknologi kini tidak menggugat 'bahagian korporat' mereka dari terus mengamalkan cara lama, iaitu dengan membiarkan khabar-khabar itu berlalu sendiri. Yang terkini, hanya berkenaan gelaran pihak istana keluarkan kenyataan.

Memanggil Oksana yang tidak diuar-uarkan sebagai isteri dengan gelaran queen / permaisuri / cik puan itu tidak kena. Dia (kerana tiada pengumuman rasmi) hanya perlu dinyatakan sebagai puan sebagaimana selayaknya wanita Malaysia yang telah berkahwin. Raja Perempuan Kelantan masih lagi bonda kepada Sultan Muhammad V, melainkan diumumkan selainnya. Begitu juga dengan (Tengku) Ismail Leon (Petra) sebagai Tengku Mahkota Kelantan, kerana sehingga hari ini adinda Sultan Kelantan sendiri yang masih memegang gelaran tersebut.

Hierarki istana ini pada saya tidak boleh dipandang enteng. Kita tidak bercakap tentang keluarga kenamaan biasa. Kenamaan ini ada adat dan istiadat tersendiri, yang punya undang-undang bertulis, ada pejabat pengurusannya. Cap mohor mereka masih lagi mahal, ya!

Saya melihat komen-komen yang instagram @rihanapetra. Ada yang merisaukan agamanya. Ada yang merisaukan kesihatan mentalnya. Ada yang sukakannya kerana cantik dan 'lovely'?Ada yang mempersoalkan peranan dan tanggungjawab Tuanku Sultan. Saya lebih tertanya apa motif pemilik akaun tersebut menyiarkan gambar, video dan kisah cintanya? Caranya tidak menggambarkan beliau menghormati Sultan Kelantan, pasangannya.

Saya kira netizen kurang tahu bahawa takhta kesultanan ini tidak semestinya anak sulung lelaki mewarisinya. Ia kembali kepada pengurusan istana menentukannya apabila timbul persoalan. Dan, jika ini juga mahu dikritik netizen, entah lah apa bentuk pemikiran mereka.

Bukan saya tidak tahu, ada yang mahu monarki 'ditiadakan', tidak mahu lagi sistem beraja. Tapi yang ini saya berkecuali untuk memberi pendapat. Kenapa? Sebab saya tidak arif pun.

18 June 2019

94: Keberangkatan Presiden Morsi

Tengah malam tadi dikejutkan dengan kematian Mohamad Morsi, presiden Mesir yang dipilih secara demokrasi kemudiannya dijatuhkan oleh kudeta pada tahun 2013.

Beliau ditempatkan dipenjara, dinafikan hak mendapat rawatan kesihatan, dinafikan dari makan makanan berkhasiat, dihalang bertemu ahli keluarga dan juga peguam dan banyak lagi. 

Asy-Syahid Mohamad Morsi jatuh di mahkamah kemudian disahkan meninggal dunia. Allahu yarhamhu. Moga Allah mengampuni, merahmati Dr Morsi dan menempatkannya di syurga tertinggi.

Sungguhpun tidak lama berkesempatan berkuasa, Dr. Morsi saya kira adalah singa sehingga musuh menjatuhkannya. Sempadan ke Gaza. Suaranya tentang Palestin. Orang ramai berpeluang mengunjungi pusara Asy-Syahid Hasan Al-Banna. Banyak lagi untuk disebut.

Terkini, jenazah Dr. Morsi tidak akan diserahkan kepada keluarganya. Sebaliknya pengebumian dilakukan secara tertutup dan hanya membenarkan dua anaknya mengikuti momen tersebut. 

Damailah Dr Morsi dari kecamuk dunia. Rehatlah dengan selepas segalanya kau usahakan untuk keamanan. 

PS: catatan ini hanya berpandukan serba sedikit yang ada dalam ingatan.. Hila Hila Ya Matar (Hamzah Namira) 

15 June 2019

93: Tragedi Syawal - Mimpi Ngeri Sebelum Tidur

Saya menulis ketika berada dalam bas Pancaran Matahari ke Kuala Lumpur dengan emosi yang kacau bilau.

Pembelian tiket dibuat seawal 38 hari sebelum tarikh perjalanan melalui sistem tiket dalam talian TBS. Untuk perjalanan ulang alik Kuala Lumpur ke Kota Bharu, hanya dua jenama yang menjadi pilihan peribadi. Namun ketika pembelian dibuat, satu jenama sudah habis dijual manakala satu lagi tidak dibuka pembelian dalam talian.

Buat kali pertama saya memilih Pancaran Matahari berdasarkan pengalaman ke utara dan ia juga kerana cadangan rakan ketika ke sana. Namun kejadian kali ini menyebabkan saya merasakan pilihan menaiki bas ini adalah satu kesilapan.

Musim ini musim anak Kelantan kembali ke tempat cari makan. Trafik amat tidak terkawal ke Terminal Bas Sementara di Lembah Sireh. Entahlah siapa yang sepatutnya bertanggungjawab memastikan kelancaran trafik di sini. Akibatnya, dengan banyak kekangan, saya tiba lewat satu jam dari jadual bas sedangkan saya telah bertolak awal dari rumah.

Semasa terperangkap dalam kesesakan trafik, saya intai bas yang sepatutnya saya naik tapi tak berselisih pun. Hanya bas ke Jitra dan Alor Star sahaja ditemui sedangkan jalan keluar cuma satu dari Lembah Sireh. 

Sekali lagi saya mahu beritahu, ini kali pertama saya menggunakan perkhidmatan Pancaran Matahari ke Kuala Lumpur. Apabila dijangka lewat, saya cuba hubungi kaunter Kota Bharu. Lebih 10 kali saya dial, tetapi talian tidak dapat dihubungi. Nombor telefon adalah hasil carian Google.

Bila saya ke kaunter, staff beritahu bas sudah bergerak jam 10 malam. Saya cuba dapatkan nombor telefon pemandu, sekadar cuba nasib jika sempat untuk saya jejak bas tersebut. Apa saya dapat? Nombor telefon HQ. Emosi jadi tidak terkawal. Saya tanya kenapa tak call penumpang kalau dah nombor kaunter tak berfungsi, staff jawab mereka hanya ada nombor penumpang yang beli di kaunter sahaja. Sistem dalam talian minta nombor telefon, syarikat bas tak boleh dapatkan ke? Dah kawalan emosi terlepas lagi.

Sambil ke kereta semula, saya hubungi nombor yang diberikan. Apa yang saya nak minta semua sudah hilang. Perkara pertama yang keluar pasal tak berselisih pun dengan bas yang sepatutnya saya naik. Kemarahan menguasai. Tapi saya tak sampai bodohkan orang ya. Saya jerit sekuat hati sahaja. Sekiranya orang dari Pancaran Matahari yang jawab panggilan saya tu baca, this is the truth. Yang bodohkan anda tu bukan saya. 

Saya komplen nombor kaunter tak dapat dihubungi, dia salahkan Telekom. Dia salahkan saya tak terus telefon nombor HQ. Mana saya ada nombor telefon HQ dan saya tak tahu pun kena call HQ. Saya pun peninglah, bukan tak ada rekod cara pembelian. Pertama kali saya hadap kena call HQ. Saya tanya kenapa tak call penumpang, jawapan dia syarikat memang tak call penumpang. Dia bagi justifikasi dia dah benarkan bas tunggu selama setengah jam. Kawalan perasaan dah terlepas tahap tiga.

Si penjawab panggilan tahu basnya baru keluar stesen tapi tak boleh nak tenangkan penumpang yang dah kena tinggal ni. It is an easy job just tell where is the bus and allow the passenger to contact bus driver sebelum kena jerit dan maki. Tapi, penumpang yang tengah marah ni pula bagi cadangan. 

Saya tak setuju dengan tagline customer is always right tapi customer service staff jenis simbah minyak dalam api ni memang tak patut jawab telefon. Dilarang keras membebel salahkan penumpang sedangkan dia dah cuba sedaya upaya nak sampai tepat pada masa dan dah cuba hubungi kaunter. Kali pertama dan terakhir lah kot mengunakan perkhidmatan mereka ni sebab cara mereka handle passenger kecewa. Marah saya lepas naik bas, memang saya buat kering je. Marah sebelum naik bas, memang berisiko saya melahar. Bas ok, lagi ok dari 2 syarikas bas pilihan saya.

Risiko ditinggalkan tu sentiasa ada, dan saya aware. Akan tetapi, cara mereka menangani panggilan saya tu hanya menambah kekecewaan. 

Ya, saya dapat juga menaiki bas tersebut walaupun si penjawab panggilan tu dah sakit hati dan berat hati dah nak tolong. Saya tak mahu ucapkan terima kasih sebab dia sendiri tidak cukup kemahiran menangani pelanggan. Cadangan saya agar beliau mendalami lagi cara berkomunikasi berkesan tak kira loghat apa pun yang digunakan. Dah la main passing line dari seorang perempuan kepada beliau seorang lelaki.

A well trained staff could handle any problem at front counter with enough information, even to cool down an angry customer. 

9A KB-SA01
(Ejaan Kota Bharu dalam kad pun salah)
Yang baru tiba jam 8.30 pagi
Malam 5 Syawal

13 June 2019

92: Puasa, Aidil Fitri dan Aidil Adha

Puasa 

Sungguh tak tipu, Ramadhan tahun ni sibuk sampai dapat khatam Quran dua kali. Sampai lupa nak tendang entri April ke bawah.

Tahun ni buat keputusan aktiviti ikut cuaca, dan kaki melangkah. Rancangan 10 malam akhir, Allah mudahkan ke UIA meskipun awal-awal tu dah buat perancangan lain. Alhamdulillah.

Dapat lah jumpa makcik-makcik di masjid KLCC tanpa meninggalkan masjid as-sobirin untuk 20 malam pertama. Tapi awal-awal dah beritahu, saya akan muncul jika tiada aral. Jika tidak, saya hilanglah. 

Tarawih, satu malam tak cukup 8 rakaat. 
Puasa, rezeki tak perlu tinggal. 
Sahur juga Allah rezeki kan tak missed walau satu malam. 

Buka puasa, memang gantung pada Allah.. Apa sahaja terhidang itulah rezeki hari itu. Dan jaga diet sungguh kecuali tak dapat elak. Nasi sangat-sangat kurang dibandingkan tahun-tahun lepas. Biasanya makan beria.

Demam dua kali. Pertama kali pada 5 Ramadhan. Kali kedua 26 Ramadhan sampai raya tak kebah. 

Semuanya Allah jua yang tentukan.
 

Aidil Fitri 

Tiket dibeli 2 hala sebulan sebelum. Balik Kota Bharu tak ada drama sangat. Balik KL yang ada drama. Nanti salin tampal entri di Facebook tu.

Beraya dengan keadaan demam memang tak semangat. Sebab nak beraya, makan ubat pun tak teratur. Akibatnya demam sampai sekarang, on off. 

Nak menolong pun tak mampu, rasa alam berpusing gitu. Tapi syukur sangat dapat jumpa semua penerima Duit Raya saya. Cuma tak ada duit lebih, jadi semua dapat sama rata.


Aidil Adha

Gayanya tak dapat giliran haji lagi tahun ni. Allah belum nak panggil la tu. Tak apalah, simpan dulu rindu. Akhir tahun nanti, rayu lagi. Jadi, kena ketepikan bajet untuk korban.

Rancang nak balik Kelantan tahun ni. Moga Allah permudahkan. 

23 April 2019

91: Mencari Makna Hidup

Mac, terlupa langsung meninggalkan jejak di sini. Kesibukan yang tidak ada dalam perancangan. Pertama kali begitu kerap pulang ke kampung. Ya, untuk askar kecil itu. Begitu juga bulan ini.

Akhir-akhir ini pintu hati diketuk-ketuk. Sudah dibuka tetapi tidak nampak apa-apa. Nil. Walaupun fikiran mahu menyelesaikan persoalan kewangan. 

Satu masa, ingatan menjengah bab keberkatan. Allah akbar! Betapa alpanya manusia bergelar hamba Tuhan ini. Padahal keinginan yang perlu dilunasi itu banyak sekali. Melukis, menulis, mengemaskini hal peribadi, menyelesaikan permohonan sambung belajar, berdoa juga berhubung dengan manusia.

Ramadhan tinggal beberapa hari lagi akan tiba. Sudah separuh akhir Sya'aban. Moga Allah sampaikan kita ke bulan Ramadhan. 

Tahun ini tidak ada perancangan khusus. Cuma keinginan masih seperti tahun-tahun dahulu. Sama. Hanya mampu berdoa agar diberi kekuatan untuk menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun lalu.

Allahumma ballighna Ramadhan... 

27 February 2019

90: Askar Kecilku

Khabar beliau menaiki ambulan.

Khabar beliau berada di bahagian kecemasan.

Khabar beliau perlu ditidurkan dan ditempatkan dibawah pengawasan 24 jam (ICU).

Akhirnya kakak-kakak dan abangnya pulang. Walau sekejap, untuknya.

Hari ini khabar gembira. Moga ia berpanjangan.

Sungguh, ia satu pelajaran buat yang ingin belajar.

Naid,
Kuatlah untuk dirimu
Bangkit dan hiduplah seadanya

Sungguh tak menyesal memaksanya bersama ke Hatyai.

14 January 2019

89: Umrah

Perjalanan umrah dan ziarah bermula pada 11 Disember dan tiba di tanah air pada 25 Disember. Perjalanan yang sekian lama diimpikan, terlalu ingin menjejakkan kaki ke sana.

Persiapan seperti mengikuti kursus, persiapan fizikal sekadar mampu, melangsaikan apa yang perlu dilangsaikan dibuat tetapi tidak mampu menghilangkan resah di hati. Malah, hampir-hampir menarik diri meski sudah nekad. 

Berniat di Bir Ali, kemudian meneruskan perjalanan ke Makkah Al-Mukarramah. Tidak mampu menghayati perjalanan hijrah air-Rasul dan para sahabat lantaran keletihan perjalanan udara. 

Tiba di Makkah, melangkah ke Mataf, rasa kosong sahaja melihat Kaabah. Hanya doa dilafaz tatkala melihatnya. Tawaf dilakukan dengan sedikit panduan sebelum Subuh, antara azan pertama dan azan kedua.

Usai Subuh, melangkah ke Mas'aa menyudahkan sa'ie seterusnya bertahallul. Kemudian dipanggil bertemu tokoh di Mataf. Dr Ismail Lutfi, Ustaz Muhammad Ismail, Ustaz Syukri.

Di Makkah, diberi kesempatan ke Jabal Rahmah, Taif dan Hudaibiah. Sempat umrah buat kali kedua serta sekali tawaf sunat. Ya, saya struggle dengan keadaan kesihatan fizikal saya.

Waktu-waktu doa mustajab tidak dilepaskan. Doa untuk semua yang hadir di ingatan dihamburkan dengan penuh harap agar dimakbulkan. Doa khusus buat mereka yang diketahui keadaannya. Selebihnya membaca Al-Quran. 

Sebelum berangkat ke Madinah, tawaf wida' dilaksanakan.. Sayu saja rasanya, moga Allah panggil lagi.

Tiba di Madinah menjelang Maghrib. Bonda tidak ikut ke Masjid Nabawi kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan malam pertama. 

Ternyata keadaan di masjid Nabawi tidak mudah untuk jatuh hati berbanding Makkah. Pertama kerana faktor cuaca, kedua kerana huru-haranya keadaan orangnya.

Hari kedua berperang dengan kesejukan. Dan khabar duka dari tanah air. Dan hari kedua berlalu begitu sahaja. Proses adaptasi dengan cuaca. 

Hari ketiga, separuh hari dihabiskan menanti giliran ke Raudhah dan makam Rasulullah. Tiga jam penantian, dapat jua peluang bersujud di Raudhah dan menyampaikan kiriman salam kepada Rasulullah. Sayu melihat umat berebut-rebut tidak mengutamakan adab ketika  berada berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. Petangnya ke muzium Al-Quran. 

Hari ke-empat , lawatan ke 4 tempat: maqbarah uhud, khandak, qiblatain dan quba. Sempat shopping di Quba'.

Hari keberangkatan pulang, akhirnya bertemu juga kesukaan. Dapat duduk membaca Al-Quran berlama-lama di dalam masjid Nabawi, antara zohor dan asar.

Ketika penantian penerbangan pulang, seorang jamaah dari kumpulan Ismazul rebah dan meninggal dunia. Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. Allah pilih dia untuk meninggal di Madinah jua meski kami dalam perjalanan pulang.

Semoga saya berpeluang menjejakkan kaki lagi ke Makkah dan Madinah. Oh rindunya saat 24 jam minum air zam-zam....