.

.

14.1.19

89: Umrah

Perjalanan umrah dan ziarah bermula pada 11 Disember dan tiba di tanah air pada 25 Disember. Perjalanan yang sekian lama diimpikan, terlalu ingin menjejakkan kaki ke sana.

Persiapan seperti mengikuti kursus, persiapan fizikal sekadar mampu, melangsaikan apa yang perlu dilangsaikan dibuat tetapi tidak mampu menghilangkan resah di hati. Malah, hampir-hampir menarik diri meski sudah nekad. 

Berniat di Bir Ali, kemudian meneruskan perjalanan ke Makkah Al-Mukarramah. Tidak mampu menghayati perjalanan hijrah air-Rasul dan para sahabat lantaran keletihan perjalanan udara. 

Tiba di Makkah, melangkah ke Mataf, rasa kosong sahaja melihat Kaabah. Hanya doa dilafaz tatkala melihatnya. Tawaf dilakukan dengan sedikit panduan sebelum Subuh, antara azan pertama dan azan kedua.

Usai Subuh, melangkah ke Mas'aa menyudahkan sa'ie seterusnya bertahallul. Kemudian dipanggil bertemu tokoh di Mataf. Dr Ismail Lutfi, Ustaz Muhammad Ismail, Ustaz Syukri.

Di Makkah, diberi kesempatan ke Jabal Rahmah, Taif dan Hudaibiah. Sempat umrah buat kali kedua serta sekali tawaf sunat. Ya, saya struggle dengan keadaan kesihatan fizikal saya.

Waktu-waktu doa mustajab tidak dilepaskan. Doa untuk semua yang hadir di ingatan dihamburkan dengan penuh harap agar dimakbulkan. Doa khusus buat mereka yang diketahui keadaannya. Selebihnya membaca Al-Quran. 

Sebelum berangkat ke Madinah, tawaf wida' dilaksanakan.. Sayu saja rasanya, moga Allah panggil lagi.

Tiba di Madinah menjelang Maghrib. Bonda tidak ikut ke Masjid Nabawi kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan malam pertama. 

Ternyata keadaan di masjid Nabawi tidak mudah untuk jatuh hati berbanding Makkah. Pertama kerana faktor cuaca, kedua kerana huru-haranya keadaan orangnya.

Hari kedua berperang dengan kesejukan. Dan khabar duka dari tanah air. Dan hari kedua berlalu begitu sahaja. Proses adaptasi dengan cuaca. 

Hari ketiga, separuh hari dihabiskan menanti giliran ke Raudhah dan makam Rasulullah. Tiga jam penantian, dapat jua peluang bersujud di Raudhah dan menyampaikan kiriman salam kepada Rasulullah. Sayu melihat umat berebut-rebut tidak mengutamakan adab ketika  berada berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. Petangnya ke muzium Al-Quran. 

Hari ke-empat , lawatan ke 4 tempat: maqbarah uhud, khandak, qiblatain dan quba. Sempat shopping di Quba'.

Hari keberangkatan pulang, akhirnya bertemu juga kesukaan. Dapat duduk membaca Al-Quran berlama-lama di dalam masjid Nabawi, antara zohor dan asar.

Ketika penantian penerbangan pulang, seorang jamaah dari kumpulan Ismazul rebah dan meninggal dunia. Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. Allah pilih dia untuk meninggal di Madinah jua meski kami dalam perjalanan pulang.

Semoga saya berpeluang menjejakkan kaki lagi ke Makkah dan Madinah. Oh rindunya saat 24 jam minum air zam-zam....