.

.

23 September 2016

Kunyanyikan Lagu Ini...

Playlist lagu tak kira mp3 atau playlist youtube semua nasyid yang tak famous. Saya oldschool? Mungkin. Nasyid-nasyid yang buat diri rasa bersemangat cuma tinggal dari Palestin la kut.

Kadang-kadang, waktu iman kuat, ulang le hafalan walaupun sangkut. Alah, surah-surah lazim tapi tak berapa lazim di lidah saya. Hehe (malu la uols!) mungkin awak lebih banyak hafalan.

Playlist yang sama tak kira gembira atau sedih. Cuma kecenderungan nada nasyid tu memang kesan dari perasaan. Sikit je lah. Rajaa', pengharapan ni selalunya waktu sedih la kan. Tapi, lagu yang sama juga saya akan repeat banyak-banyak-banyak kali tak kira sedih atau gembira.

Perkataan lain, my universal playlist. Lagu tak favor, skip je lah.

Apa tah motif entri blog ni. Gara-gara tajuk keluar dulu lah ni.

Baiklah. Semoga awak dan saya sentiasa jadi hamba yang bersyukur. Selamat malam!

19 September 2016

Cadangan Pindaan RUU Akta 355

Hari demi hari, isu ini semakin mendapat ulasan... Tak sabar menantikan bulan Oktober. Kita mahu lihat perincian cadangan... Bukan tidak setuju atas angin.

Rang Undang-undang Akta 355 ini, jika mahu lihat sejarahnya, dah ada yang tulis dan ulas panjang lebar. SS Dr. Zulkifli AlBakri juga telah menulis pendapatnya. Akta 355 ini juga dikenali sebagai 356; 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit, 6 sebatan.

Kafir mengkafir menghiasi ulasan dan komen. Hukum wajib sokong dilaung sana sini. Andaian umum cadangan pindaan RUU ini adalah untuk menegakkan Islam dan membawa maslahah, tidak kurang diasosiasi dengan hudud.

Walhal, isu awalnya bagaimana usul ini didahulukan di parlimen. Dah dapat laluan, ditangguh perbahasannya. MP Marang mendapat nama. Sudahlah beliau dikecam atas apa yang berlaku kepada parti yang dipimpinnya, yang mengakibatkan Pakatan Rakyat berkubur. Lihatlah isu, bukan individu.

Kemudian, perinciannya. Dr. Mujahid dari Amanah berulang-kali menyebut dalam kenyataan medianya bahawa pindaan ini perlu dilihat perinciannya. Sebagai rakyat yang berhak mengundi, anda perlu peka juga dengan kronologi sesuatu isu. Barulah kematangan dapat dicapai.

Saya merasakan kegusaran Dr. Shamrahayu ketika forum baru-baru ini. Pindaan yang belum dijelaskan perinciannya ini boleh membawa undang-undang syariah ke belakang kerana perlaksanaannya adalah mengikut negeri; bermakna pindaan ini hanya membawa ke hadapan untuk pemimpin yang mahu memperkasakan undang-undang ini.

Bukan Islam sudah boleh menarik nafas lega seketika, kerana undang-undang yang dipinda ini tidak berkaitan langsung dengan mereka kecuali mereka dibolehkan menjadi saksi di perbicaraan kes. (Melainkan ada pindaan dibahagian berkenaan)

Sudah beberapa cerita nenek bukan Islam mendidik dan membesarkan cucunya beragama Islam. Mengapa kita mesti menggusarkan hati mereka?

Islam bukan milik individu. Islam adalah agama langit. Jika Abdul Mutalib percaya ka'abah ada penjaganya ketika diserang Abrahah dan tentera bergajahnya, apakah Islam agama kebenaran ini tiada penjaganya?

Melihat dengan neraca yang lebih luas, kerangka lebih besar, tidak salah mahu memperkasakan undang-undang syariah... Namun, rakyat berhak mengetahui sejauh mana usaha kerajaan dalam memartabatkannya. Mahkamah Syariah beroperasi sampai malam di Selangor untuk menyelesaikan kes sedia ada dan bertambah setiap hari.

Mana dia usaha kerajaan? Institusi agama yang dipandang enteng itu sebenarnya sedang melakukan kerja mereka. Buat kajian, buat kempen yang mungkin tidak meluas liputannya. Pensyarah-pensyarah di IPT dengan gelar profesor bukan nak jaga kedudukan sangat, tetapi di peringkat menggubal sesuatu, kepakaran dan keilmuan mereka amat diperlukan. Khidmat mereka merentasi parti tetapi perkhidmatan kepada rakyat secara tidak langsung yang bukan di kerusi wakil rakyat.

Jangan kita hanya menyebut memperkasakan undang-undang Syariah sedang penjawat awam termasuk hakim gajinya jauh berbeza dari hakim mahkamah sivil.

Apa yang dibangga dengan undang-undang Syariah yang tidak seragam dari negeri ke negeri? Ketidakseragaman ini sudah menunjukkan indikator tertentu.

Undang-undang Syariah ini tertakluk kepada semua rakyat yang beragama Islam, maka janganlah dilaungkan untuk Melayu. Islam tidak eksklusif untuk sesuatu bangsa. Dan rahmatnya Islam tidak seharusnya dirasa oleh penganutnya sahaja. Islam pernah melindungi bukan Islam semasa berkuasa menguasai dua pertiga dunia. Mengapa dicari pasal di Malaysia yang entah berapa peratus dari negara USA?

Baiklah, untuk bersetuju dengan usul MP Marang, marilah kita sama-sama bersabar menanti perinciannya di bulan Oktober 2016 - jika ada. Taqlid buta mesti dijauhi kerana ruang perbincangan kita amat luas.

18 September 2016

Hatred - Mengurus Kepelbagaian

Semalam, pada 16 September 2016, keberangkatan pulang Dato' Dr Haron Din, Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia, ke pangkuan Pencipta pada hari Jumaat jam 10.10 pagi waktu Malaysia di usia 76 tahun di USA. Sebelumnya ramai yang menyebarkan berita palsu.

Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali.

Moga Allah mengampuninya, merahmatinya, memberikan kesejahteraan terhadapnya dan memaafkannya...

Komen-komen melambangkan kebencian memenuhi ruang alam maya. Jika bukan kebencian, out of context juga menjadi sebahagian. Komen Jeff Ooi menjadi sebutan tapi melupakan ulasan si Sidek Kamiso?

Kita manusia merdeka punya akal yang mampu berfikir, yang secara umumnya cintakan kedamaian dan keadilan, mengapa sering memilih tajuk dan topik yang membawa kepada perpecahan dan kemudaratan?

Satu persatu peristiwa diungkit semula. Sewaktu pemergian mendiang Karpal Singh umpamanya. (Secara kebetulan, Jeff Ooi adalah MP Jelutong). Sepatutnya peristiwa lalu sudah mampu mendidik rakyat agar lebih sensitif dan menjaga airmuka antara satu sama lain. Kita tidak memerlukan peristiwa kedua dan ketiga, sepatutnya.

Ya, politik dianggap sebagai tong taik oleh sebahagian... Namun ia bukan alasan kukuh untuk melihat individu-individu di dalamnya sebusuk dan sekotor itu. Cukuplah permainan gerrymandering dan wang demi mengekalkan kuasa. Ingat ni, Lim Kit Siang setakat hari ini, tak ada kuasa untuk menukar sempadan kawasan pilihanraya (please read this in sarcasm).

Tidak kita nafikan, isu, topik mahupun pendirian individu semasa hidupnya lah yang menyebabkan segala komen negatif, walaupun pada hari kematiannya. Namun disinilah kewarasan akal dan sikap politik matang memainkan peranan. Orang-orang yang berpengaruh seharusnya mendidik 'pengikut' dan 'peminat' agar tidak melihat sesiapa pun dari sisi atau sudut yang sempit.

Mengambil contoh mendiang Karpal mahupun arwah Dato' Dr Haron Din, kedua-duanya ada sumbangan besar dalam masyarakat. Kita siapa mahu terus-terusan menyebut segala pendirian yang bagi sebahagian kita disifatkan melampau? Kebencian biarlah berakhir pada isu, bukan pada individu. Kita berjuang untuk kebebasan bersuara tetapi kita sendiri mahu menyekat? Dunia apa yang sedang jalani ini?

Tiada siapa yang boleh menghukum sesuatu pendirian sebagai benar dan salah secara mutlak. Ia cuma tidak kena pada adat dan budaya setempat. Mungkin tidak kena pada sesuatu agama, mungkin tidak dengan suasana berbilang bangsa dan agama... Namun, seperti yang telah saya ulaskan tadi, biar ia terhad kepada isu, bukan individu.

Kebencian adalah sel-sel tidak baik yang boleh mengakibatkan barah yang berdarah. Kebencian biasanya bermula dengan sentimen merebak kepada perkara lain, bangsa umpamanya. Ia menular dengan cepat di era Facebook, Whats App dan Twitter. Semudah klik forward atau screenshot lalu dikongsikan. Telegram susah sikit sebab dia beritahu perbuatan printscreen.

Respect. Hormat. Ia diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Walau munafiq walau musyrik, apabila nyawa sudah tidak dikandung badan, segala sengketa berakhir. Habis. Khalas. Finish. Bahkan agama apa pun, tidak ada yang mengajarkan agar menyebut perkara buruk mengenai si mati.

Bagi yang masih hidup, berhati-hatilah mengeluarkan kenyataan baik secara bertulis ataupun lisan yang dirakam.

Wallahu a'lam.