.

.

25 February 2016

Mujahadah linafsih

Dah bertahun-tahun hafal ciri individu Muslim tapi tak semestinya kita faham waktu itu. Faham adakalanya ambil masa.

Mujahadah linafsih. Mampu menguasai diri? Ramai yang berjaya mengawal diri di khalayak tetapi tidak di media sosial. Apabila bersendirian? Allah Maha Mengetahui.

Pernah terbaca, jika ada perbuatan yang kita lakukan tetapi malu jika diketahui orang ianya adalah dosa. Susah sebenarnya jihad hawa nafsu. Belum lagi desakan-desakan manusiawi yang menjelma tetapi tidak dapat dilunasi kerana tiada ikatan yang menghalalkannya.

Melupakan, menghindarkan sambil mengalihkan perhatian. Perkataannya menahan diri. Ia sesungguhnya amat berat, lebih berat dari jihad qital dan jihad ekonomi. Mujahadah diterjemah kepada akhlak tidak kira bersama individu lain atau bersendirian akan perkara-perkara melalaikan tidak mendatangkan hasil.

Insan, kerana sifat pelupanya sering tewas di tangan nafsunya. Kuasa yang ada pada diri jinak apabila berhadapan dengan nafsu.

Ya musarrifal qulub, sarrif qulubana ila tho'atik. Rabbana wataqabbal du'a-ana.

12 February 2016

Qawwam

Betapa pengharapan menggunung.

Lelaki pelindung wanita; ibunya, adik beradik perempuannya, isterinya, anak-anaknya, wanita-wanita ahli keluarganya, tidak lupa wanita-wanita seagama yang beriman. Juga mana-mana wanita yang memerlukan tidak bertujuan ambil kesempatan.

Tetapi, di mana lelaki ini?

Qawwam. Yang menguasai diri menghindari perkara Allah tak suka dan berusaha melakukan perkara yang Allah suka. Termasuklah menjaga akhlaknya, beriman, beramal, sentiasa berusaha menambah ilmu yang dirangkum oleh perkataan agama.

Qawwam. Yang bersifat melindungi. Tak hanya mara bahaya kejahatan manusia, tetapi juga membawa keluarganya menghindari api neraka.

Qawwam. Mendidik ahli keluarganya berakhlak, berilmu, beriman dan beramal. Bukan membiarkan mereka melakukan apa sahaja tanpa rasa malu.

Qawwam. Memberi pengertian kezaliman dan keadilan dalam konteks semasa. Kezaliman hari ini tidak lagi dihujung cemeti, tetapi dihumban ke dalam jeriji besi tanpa kesalahan yang pasti. Kezaliman juga mengingkari maslahah awam.

Qawwam. Menerapkan kemanusiaan, bukan mengejar perhatian sementara.

Lelaki, berburu itu cirimu dan antara sifat qawwam. Tetapi hari ini walau berburu bukan lagi aktiviti harian, apakah qawwam turut hilang?

11 February 2016

membina dinding

Dinding itu sudah bertahun dibina. Bermula dengan pasaknya. Sekecil mana perselisihan hanya akan meninggikan temboknya. Pintunya sudah lama tertutup. Tingkapnya sudah lama tinted. Berkunci. Akan dipaku kekal bila-bila masa.

Maka, hati-hati.

Jika kotak ini meletup, entah berapa ramai yang akan terkorban. Hindari lah.