.

.

25 March 2018

76: Kesan Uqad

Setelah menulis entri terakhir, saya disakiti lagi. Akibatnya, sambungan tentang kesan bertangguh penulisannya. Hari ini saya nekad untuk menyambung kembali.

Agak sukar untuk menulis kerana ingatan tentang kronologi hampir kosong. Selepas dikenakan sihir melalui duit raya, saya tidak boleh berjumpa dengan adik sendiri. Tak boleh dengar namanya sekalipun. Kenapa? Sakit. Mood boleh berubah sekelip mata. 

Akibatnya, saya pernah tak bercakap dengan bonda dan ayahanda selama 6 bulan! Berhari raya sendirian. Paling saya marah, ayat yang terkeluar dari mulut kedua mereka. Bonda berulangkali memohon maaf tapi ayahanda, sepi perkataan maaf hingga ke hari ini (ketika entri ditulis). Kali kedua, saya tak hubungi selama 3 bulan.

Sakit perasaan saya tidak dipedulikan. Tidak ditanya, tidak dipujuk dan tidak cuba difahami. Menangis bersedih meratap tanpa dapat dirungkai puncanya. Saya menjalani kehidupan seharian seadanya kerana perinsip saya pegang, perintah Allah tetap mesti dilaksanakan walau apa jua keadaan saya.

Akhirnya saya lepaskan mereka. Saya berdoa memohon agar Allah hilangkan segala kesakitan di dalam dada waktu sedang berjalan pulang ke tempat hinggap. Allah makbulkan ketika itu juga, maka sejak itu saya jadi orang yang tidak berperasaan. Gembira pun biasa-biasa, sedih pun biasa-biasa.

Ia masih mengganggu fikiran saya. Saya terfikirkan banyak situasi yang tipikal yang kebiasaannya akan menyebabkan seseorang kesal seumur hidup terutama kematian. Namun Allah ilhamkan bahawa situasi saya hadapi ini adalah luar biasa, maka saya lepaskan mereka. Allah ilhamkan saya memikirkan lafaz istirja' (انا لله وانا اليه راجعون). 

Kebiasaan rakan-rakan saya akan melafazkan kalimah ini apabila ditimpa musibah seperti kehilangan barang dan juga kematian. Saya fikirkan bahawa Allah jua berhak mengambil sesiapa jua dalam kehidupan seharian, tidak semestinya melalui kematian. Tidak kira yang ada hubungan darah mahupun tidak.

Saya memahami sejak itu, selain nama hubungan yang ada, mereka adalah manusia biasa. Bezanya adalah taqwa dan ketaatan. Perasaan sayang adalah anugerah Allah. Maka mereka, tidak kira lah siapa, saya serahkan semula pada Allah sepenuh jiwa. Kerana tidak lagi dalam kemampuan saya untuk membendung rasa yang semakin menyakitkan. Bertahun-tahun saya sudah mohon, "Ya Allah, jangan Engkau bebankan diluar kemampuanku."

Untuk situasi-situasi tipikal, saya ingatkan diri berkali-kali bahawa keadaan saya ketika itu amat kritikal dan saya perlu selamatkan diri dari kesedihan yang melampau yang boleh menyebabkan depression.

Sepanjang tempoh ini, saya tidak berhubung dengan sesiapa termasuk kawan-kawan. Saya hanya sibuk dengan diri sendiri. Kerja, simpan duit. Tempoh 6 bulan tidak bercakap dengan ibubapa, saya beroleh pekerjaan. Saya jalani kehidupan seadanya untuk patuh perintah Allah yang lain.

Saya letak tepi bab berhubung dengan ibubapa, adik beradik mahupun extended family. Saya biarkan bab larangan tidak bertegur sapa lebih dari 3 hari. Saya hanya fikirkan untuk kekal waras dan tidak meninggalkan solat serta perintah wajib lain.

Seseorang pernah berkata kepada saya, keadaan saya ini susah untuk didekati lelaki untuk tujuan perkahwinan. Apa yang saya dapati hari ini, semua orang pun susah untuk mendekati dan didekati. Akhirnya, saya beginilah... Menyendiri.

Apa pun keadaan saya, saya harus terus teguh dengan keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama saya dan Allah sentiasa memerhatikan saya.