.

.

16 May 2018

78: Ramadhan Mubarak

Segala pujian kepada Allah, dengan rahmat-Nya, kita menyambut Ramadhan kali ini dengan sinar dan harapan baharu.

Sesungguhnya, rasa ini tidak dapat digambarkan setelah makan hati bertahun-tahun. Pilihanraya ke-14 yang baru saja berlalu benar-benar menunjukkan rakyat Malaysia mahukan perubahan setelah berbagai skandal dan tekanan dikenakan. 

Meskipun si hijau masih tegar dengan pendiriannya mahu bersendirian, dia masih mengharapkan kerajaan yang kini diwakili Pakatan Harapan, tidak menganaktirikan negeri-negeri di dalam genggaman mereka. 

Ini hanyalah sebuah permulaan setelah berjaya menumpaskan tahayyul dan mitos bahawa Barisan Nasional tidak terkalah. Ini juga membuktikan bahawa Malaysia tercinta masih lagi negara demokrasi.

Hanya saya masih lagi bingung dengan suasana negeri Pantai Timur yang kini duanya di bawah PAS, satu BN. Negeri saya terutamanya. Bagaimana mahu membuka minda rakyat negeri ini, tidak kira berada di luar mahupun setempat, agar mempunyai pemikiran seperti Tok Janggut dan Tok Kenali. Mereka adalah tokoh yang berfikiran global tetapi aksinya di tempat sendiri. Yang ada adalah pemikiran yang jumud dan ditakut-takutkan. Moga Allah tunjukkan jalan.

Sambutlah Ramadhan dengan jiwa yang terbuka... Ramadhan tetap akan berlangsung meskipun kita ternanti-nanti 10 janji 100 hari Pakatan Harapan. 

Tahun ini persiapan Ramadhan kurang kencang. Entah apa faktornya. Rancangan juga tidak ada. Perasaan tidak tentu hala. Moga di Ramadhan, semuanya lebih baik dan mampu diteruskan ke bulan-bulan lain. 

Ramadhan yang ku rindu kini menjelma. Ramadhan Tajalla, Ramadhan Mubarak!