.

.

31 March 2020

107: Days of Movement Control Order (MCO) part 1

Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Days of Movement Control Order (MCO), saya masih perlu keluar ke hospital untuk urusan ujian darah, tentukan tarikh temujanji akan datang dan ambil ubat.

Hari itu, saya tidak berkira. Walaupun saya suka menggunakan train dan bas, hari tersebut saya menggunakan perkhidmatan Grab. Lagipun kena buat penjarakkan sosial, maka pilihan menggunakan Grab lah yang terbaik. Senang hati betul. Lupa segala perkara termasuk hal yang menekan jiwa. Hajat mahu melunasi perkara yang penting sebelum buat perkara lain termasuk bekerja dari rumah.

Hari kedua, disebabkan khabar masyarakat tak dengar cakap supaya duduk di rumah, saya telah menulis di Facebook:
Duduk dumoh jange tubik!

Korona ni tok seghupo begheteh ko deme capok, adik kakok. Jadi gak duk dumoh senyak-senyak. Toksoh duk gelenya tubik gi jale la, make gula la, maing pata la, nok gi tengok ore sakit di spita la.

Duduk rumoh tu. Toksoh duk bejupo ore. Mugo ni takdok obak, takdok vaksin. Tokleh nok cocok biar tok keno. De keno, ambiule mari ambik pah rumoh keno cuci. Acu kaba de spita maghi ambik, tok tentu lagi kelik smula ko dok.

Sero nok tubik tu istighfar banyok. Cari la kijo dale rumoh.. mengaji ko, alih mari ko, mop lata ko, lipat baju ko.. ikut lah asal tok tubik. Jange sapa keno igak hok mano babil sangak tu.

#pesanankhidmatmasyarakat
#StayAtHome
#MovementControlOrderMY
#Covid19
#KitaJagaKita
#DatarkanKeluk
#FlatteningTheCurve

Kita tidak nafikan, ada yang keluar demi sesuap nasi. Tidak boleh disuruh untuk berada di rumah sedangkan bekalan makanan tidak ada. Maka saya berbincang dengan bonda, bahawa kami perlu bantu saudara mara yang kehilangan mata pencarian kerana penguatkuasaan PKP ini. Tabung adik beradik diwujudkan dan bantuan segera disalurkan.

Hari-hari seterusnya saya tidak keluar hingga hari ke-10, keluar sebentar membeli barang di Speedmart99. Ambil dan ambil sahaja barang yang diperlukan. Tidak ada di Speedmart baru lah ke kedai runcit. Di speedmart boleh guna kad, tunai hanya di kedai yang tiada kemudahan penggunaan kad.

Di Speedmart99, ada yang mencari sardin ayam. Mulanya saya rasa pelik, rupanya mencari Sardin Ayam Brand. Pakaiannya berwarna biru berlabel kontraktor. Ditunjukkan pada saya satu tin, saya katakan itu jagung jenama ayam. Saya suruh dia ke kedai runcit. Saya tidak tahu apakah pakcik tersebut di pengaruhi media sosial atau sememangnya dia pengguna setia. Sekiranya disebabkan perkara tular, alangkah sedihnya hati saya.

Cabaran duduk di rumah ialah ketidakhandalan saya memasak. Bukanlah tak pandai langsung memasak, cuma saya tidak yakin untuk bagi orang lain rasa masakan saya. Setakat nak isi perut sendiri lepaslah. Tidaklah saya kelaparan. Tapi saya hidup dengan orang lain. Tidak dapat membeli makanan adalah satu kesusahan untuk saya.

bersambung

30 March 2020

106: Movement Control Order Plan

Sebelum saya mula bercerita Hari-Hari Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Days of Movement Control Order (MCO), saya mahu rakam kan peristiwa malam sebelum PKP dan rancangan aktiviti.

Malam itu saya bervideo call dengan keluarga menggunakan dua telefon. Biasalah kami merepek sesama sendiri. Whatsapp Video Call hanya untuk 4 orang. Kami keluarga besar, sekurang-kurangnya 10 ruang diperlukan.

Sebelum arahan PKP, hashtag #KitaJagaKita dipopularkan. Rakyat Malaysia umumnya sudah keresahan melihat angka positif Covid-19. Apabila PKP diumumkan, hashtag #DudukRumah dan #StayAtHome mula digunakan. Selain itu, saya juga berminat dengan hashtag #BreakTheChain, #FlattenTheCurve dan #DatarkanKeluk.

Selain perlu waspada dengan email dan mesej berkenaan kerja, saya juga ingin mengatur semula diri. Keadaan mental dan emosi berada dibawah garisan normal. Saya perlu memujuk diri sendiri setelah kecewa. Kekecewaan yang telah dijangka tetapi diluar kawal. Istilah yang lebih tepat, kemurungan klinikal. Bukan kemurungan biasa-biasa.

Saya mahu selesaikan urusan-urusan pengurusan diri.
Selain itu, saya mahu melukis semahu saya.
Menulis? Saya tidak tahu mahu menulis apa. Tapi saya mahu baca semula cerita yang sudah lama terhenti ditulis. Sudah makan tahun kali terakhir mengembangkan idea.
Paling penting Al-Quran; tilawah dan i'adah. Saya mahu lancarkan bacaan hafazan saya, untuk diri sendiri.
Saya juga mahu kembali membaca buku. Betapa saya merindui momen tenggelam dalam imaginasi cerita dan ideologi tulisan.
Ketika ini, saya mahu menulis blog secara lebih kerap. Banyak sebenarnya perkara yang boleh ditulis. 

Semoga Allah berikan kekuatan hati untuk melakukan semua ini. Saya hari ini mudah larut dengan cerita di televisyen dan juga permainan di telefon, facebook dan komputer. Awak tahu solitaire tu sekarang banyak jenis game ada?

Seterusnya nanti saya ceritakan Hari-Hari Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Days of Movement Control Order (MCO) ya.

29 March 2020

105: Pre Movement Control Order (II)

Setelah mengetahui arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan melihat penerangannya, mulanya saya rasa ia biasa saja. Saya tidak tahu diluar sana pembelian panik sedang rancak berlangsung. 

Sehari sebelum PKP berlangsung, saya masih sibuk menyelesaikan tugasan kerja. Menjelang petang, barulah saya merasakan PKP itu sesuatu yang serius. Padahal saya telah merancang banyak perkara untuk 18 haribulan. Saya punya temujanji dan ia adalah saat yang saya tunggu. Sempat saya mencelah membuat panggilan ke kaunter klinik bertanyakan kehadiran untuk temujanji. Pihak klinik kata boleh datang.

Hari itu, saya buat keputusan untuk pulang awal. Tujuannya untuk mengambil bekalan ubat di Hospital Wanita Dan Kanak-kanak (WCH) dan Hospital Kuala Lumpur. Syukur urusan saya di sana dapat diselesaikan kurang dari satu jam. Bahkan farmasi di tingkat 6 bangunan klinik pakar itu lengang! Hanya saya disitu. Selesai kurang dari 5 minit. Lama sedikit di farmasi WCH.

Oleh kerana belum jam 5 petang dan waktu Asar sudah pun masuk, saya singgah surau untuk solat Asar. Kemudian baharulah saya bergerak pulang. Saya terlelap sepanjang jalan di dalam bas. Saya masih termangu.

Ketika menaiki bas kedua, ada yang menyapa, "esok tak boleh kerja ke, kak?" Saya tersentak lalu bertanya perihal pekerjaannya. Di tangannya plastik berisi barangan makanan. Yang jelas saya nampak sayuran hijau. Hati keliru. Saya mahukan PKP, tetapi ada yang mungkin terjejas. Saya katakan padanya buat kali kedua ketika dia mahu turun, "Tanya bos, ya!" Saya tidak berani tekankan tak boleh. Mujur sel otak saya berhubung mengingatkan ada majikan yang masih arahkan pekerjanya bekerja di saat itu.

Terlalu ralat perasaan saya waktu itu. Dia yang menggunakan perkhidmatan bas percuma, sudah tentu lah larangan bekerja bakal memberi kesan yang amat besar padanya.

Selepas itu saya terfikir untuk mendapatkan sedikit bekalan makanan. Saya singgah ke Speedmart99 dan kedai runcit. Roti Gardenia Wholemeal masih tersusun di kedai runcit. Di Speedmart99, rak roti sudah kosong. Selain roti, saya cuma beli biskut, mi segera dan sardin.

Hari belum berakhir. Saya terima panggilan dari doktor untuk konsultasi melalui panggilan telefon menjelang maghrib. Siap minta masa untuk selesakan diri kerana baru sampai ke rumah. Saya masih perlu ke hospital untuk ujian darah dan ambil ubat keesokan harinya.

Episod Pre Movement Control Order (MCO) hanya setakat ini.

Sabar! Nanti saya sambung kisah Hari-Hari Ketika PKP. Tajuk bahasa inggerisnnya mungkin Days of Movement Control Order la kut. Rasanya pendek sajalah nanti.

28 March 2020

104: Pre Movement Control Order (I)

I should write. As I skipped the anti-depressant this night. Welcome to my world, by the way.

Berita Wuhan menjadi topik hangat sejak awal tahun. Simbolik tahun 2020 yang digambarkan Malaysia punya kereta terbang kerana wawasan 2020. Sayang sekali, ia tidak berlaku. Malah, beberapa peristiwa telah berlaku. Antaranya saya kehilangan kawan dan atuk kesayangan selain kesibukan dengan rutin temujanji di hospital dan sebagainya.

Pada awal khabar #CoronaVirus tiba di Malaysia tidak merunsingkan saya. Kluster awal ternyata ia adalah kes dari luar. Kerana ia berkait dengan kerja, maka saya tetap mengikuti perkembangan berita tersebut. Lebih-lebih lagi ada yang dijangkiti ketika menghadiri acara di Bangkok. Isu ini juga hangat dibincangkan kerana ada staf akademik telah merancang untuk ke luar negara menghadiri seminar.

Namun, ketika ombak kedua yang berasal dari pesakit #26, saya mula tidak tenang. Meski saya bukan lah golongan VIP, persekitaran saya terdedah. Ketika ini hanya minda di luar sedar yang risau. Persekitaran tempat kerja juga menambah kebimbangan tersebut. Bagaimanapun, ia reda apabila pihak atasan mula menyekat tetamu dari luar negara.

Apabila ombak ketiga dari pesakit #136, kluster Tabligh menyebabkan angka positif Covid-19 ini meningkat mendadak. Saya mula runsing dan resah. Saya merupakan pengguna kenderaan awam. Ditambah pula khabar staf akademik dan pelajar ada menghadiri perhimpunan pendukung Tabligh itu. Terdapat risiko disitu

Saya tidak dapat #KekalTenang apabila dikhabarkan kawasan salah seorang majikan ada penghuninya yang positif dan beliau tetap mahu ke pejabat. Sejak hujung Jun tahun lalu, saya mengalami masalah pernafasan. Saya jadi peduli dengan persekitaran saya. Risiko saya telah bertambah.

Kepada majikan saya suarakan, bahawa saya tidak merasa selamat untuk bekerja dalam keadaan tersebut. Menjelang petang, majikan khabarkan kami dibenarkan bekerja dari rumah selama seminggu. Hanya datang jika diminta. Majikan ingatkan saya, saya mesti datang hari Selasa kerana saya perlu selesaikan tugas yang diberi dan dibenarkan pulang selepas itu.

Malam itu, 16 Mac 2020, Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

Macam mana saya nak hadiri temujanji pada 18hb Mac? 

26 March 2020

103: Belasungkawa - Atuk


Saya cuma mahu tampal catatan di Facebook pada 29 Januari 2020, 30 Januari 20201 Februari 2020 :
I

Innalillahi wa inna ilaihi roji’un.

Kembalinya atuk kesayangan saya ke rahmatullah tengahari tadi.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu ‘anhu.

27 Januari 2020

“Atok jatuh pagi tadi,” tulis Wan Fatimah

Bila tidak dijawab dalam masa yang singkat soalan di mana atuk jatuh, terus buat panggilan pada Chik Khairiah Kadir . Chik tak jawab. Dial nombor XueJah Siti Khadijah Kadir . Su minta hubungi MFauzi AsiahNur .

Asiah maklumkan atuk jatuh di bilik air. Pipi atuk luka, mata, lutut juga. Che Ngah Azizah Kadir bawa ke hospital.

Semalam dapat khabar, atuk dipindahkan ke Hospital Kuala Krai.

Hari ini bagitahu Asiah minta tolong peluk cium atuk. Tapi Asiah beritahu atuk sudah nazak. Fikiran fikir nak segera balik. Sedang cari jalan nak balik jumpa atuk, khabar atuk pergi pula menerpa.

Ya Allah, rahmati Atuk, ampunilah dia...



II

Alhamdulillah, urusan arwah Atuk di dunia selesai kira-kira jam 11 malam tadi. 85 tahun Allah kurniakan hayatnya di dunia.

Terima kasih buat semua yang mendoakan.

Urusan mandi jenazah sehingga kafan diketuai Nenek sendiri. Kafan menggunakan kain ihramnya sepertimana yang dipesan.

Solat Jenazah diketuai anaknya yang saya panggil Pok Nik.

Kubur Atuk bersebelahan dengan ayahandanya, Seman bin Jamal.

Arwah Atuk yang dikenali sebagai Pok Nik Kadir, sepanjang hayatnya mengebumikan 3 anak, 2 menantu, 1 cucu. Arwah Atuk juga yang mengebumikan semua adik-beradiknya; Do Mek Doh, Tok Do Sahak, Tok Chik Yah, Tok Nik Nab. Dua menantu yang tidak diuruskan kematiannya namun diambil berat.

Semoga Allah mengampuni dan merahmati arwah Atuk.



III

PEMERGIAN YANG TAK DIJANGKA

Beberapa tahun lepas, arwah atuk kerap ke klinik. Sampai satu masa, diketahui ada batu dalam hempedu. Pembedahan bukan pilihan untuk atuk kerana usia. Jadi hanya ada satu pilihan tapi risikonya tinggi. Atuk berkeras mahu buat. Syukur ia berjaya dan atuk kembali sihat.

Disember 2019. Hari saya dan adik-adik datang, Atuk ke kecemasan. Jadi hanya ada nenek.

Disember itu juga, arwah atuk menjalani saringan ECG. Doktor beritahu, keadaan jantung atuk agak lemah yang berkadar dengan usianya tapi tak perlu dirisaukan.

Hari arwah atuk jatuh, bila ditawarkan untuk ke hospital oleh Che Ngah, terus dia sambut. Dia suka ke hospital. Che Ngah memang nak bawa sebab luka di pipi tak berhenti berdarah. Atuk berjalan sendiri masuk kereta.

Dalam perjalanan ke hospital, arwah sebut pada Che Ngah, “Aku dah nak mati dah ni.”

Arwah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Machang dan terus ditahan memandangkan diberitahu atuk jatuh dan hospital ada rekod ECG lepas. Red alert bagi kakitangan. Tapi atuk masih rasa sihat dan tengok gambar dia pun kita rasa lega. Hati waktu tu dah gundah sebenarnya.

Hari kedua, arwah muntah darah. Mahu ke tandas sebab sakit perut. Mujur Chik Kak Nan cegah suruh buang dalam lampin. Pada arwah, dia masih mampu ke tandas.

SuJah beritahu, mudah jaga atuk. Tukar lampin pun dia mampu mengiring sendiri. Bila diminta angkat punggung, dia angkat.

Arwah dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut. Doktor mahu tengok keadaan dalam perut. Masa nak naik stretcher pun masih bergerak beralih sendiri.

Arwah dibawa menaiki ambulan ke Hospital Kuala Krai. Sekitar 10.45 pagi, arwah mula tidak sedarkan diri. Asiah hubungi saya ketika saya juga bergelut dengan kesihatan sendiri. Khabar atuk sedang nazak. Kata Chik, kakinya dah sejuk waktu tu.

Jam 1.20 tengahari, arwah disahkan meninggal dunia. Pemergian yang amat mudah dan tidak dijangka.

Pada saya, setiap pemerhatian doktor perlu diberi perhatian. Taklah ralat tak dapat jumpa Disember, sebab setiap kali jumpa saya akan cium pipinya bila nak balik. Cuma, ada keadaan tertentu yang sebenarnya red alert.