.

.

29 March 2020

105: Pre Movement Control Order (II)

Setelah mengetahui arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan melihat penerangannya, mulanya saya rasa ia biasa saja. Saya tidak tahu diluar sana pembelian panik sedang rancak berlangsung. 

Sehari sebelum PKP berlangsung, saya masih sibuk menyelesaikan tugasan kerja. Menjelang petang, barulah saya merasakan PKP itu sesuatu yang serius. Padahal saya telah merancang banyak perkara untuk 18 haribulan. Saya punya temujanji dan ia adalah saat yang saya tunggu. Sempat saya mencelah membuat panggilan ke kaunter klinik bertanyakan kehadiran untuk temujanji. Pihak klinik kata boleh datang.

Hari itu, saya buat keputusan untuk pulang awal. Tujuannya untuk mengambil bekalan ubat di Hospital Wanita Dan Kanak-kanak (WCH) dan Hospital Kuala Lumpur. Syukur urusan saya di sana dapat diselesaikan kurang dari satu jam. Bahkan farmasi di tingkat 6 bangunan klinik pakar itu lengang! Hanya saya disitu. Selesai kurang dari 5 minit. Lama sedikit di farmasi WCH.

Oleh kerana belum jam 5 petang dan waktu Asar sudah pun masuk, saya singgah surau untuk solat Asar. Kemudian baharulah saya bergerak pulang. Saya terlelap sepanjang jalan di dalam bas. Saya masih termangu.

Ketika menaiki bas kedua, ada yang menyapa, "esok tak boleh kerja ke, kak?" Saya tersentak lalu bertanya perihal pekerjaannya. Di tangannya plastik berisi barangan makanan. Yang jelas saya nampak sayuran hijau. Hati keliru. Saya mahukan PKP, tetapi ada yang mungkin terjejas. Saya katakan padanya buat kali kedua ketika dia mahu turun, "Tanya bos, ya!" Saya tidak berani tekankan tak boleh. Mujur sel otak saya berhubung mengingatkan ada majikan yang masih arahkan pekerjanya bekerja di saat itu.

Terlalu ralat perasaan saya waktu itu. Dia yang menggunakan perkhidmatan bas percuma, sudah tentu lah larangan bekerja bakal memberi kesan yang amat besar padanya.

Selepas itu saya terfikir untuk mendapatkan sedikit bekalan makanan. Saya singgah ke Speedmart99 dan kedai runcit. Roti Gardenia Wholemeal masih tersusun di kedai runcit. Di Speedmart99, rak roti sudah kosong. Selain roti, saya cuma beli biskut, mi segera dan sardin.

Hari belum berakhir. Saya terima panggilan dari doktor untuk konsultasi melalui panggilan telefon menjelang maghrib. Siap minta masa untuk selesakan diri kerana baru sampai ke rumah. Saya masih perlu ke hospital untuk ujian darah dan ambil ubat keesokan harinya.

Episod Pre Movement Control Order (MCO) hanya setakat ini.

Sabar! Nanti saya sambung kisah Hari-Hari Ketika PKP. Tajuk bahasa inggerisnnya mungkin Days of Movement Control Order la kut. Rasanya pendek sajalah nanti.

No comments: