.

.

26 March 2020

103: Belasungkawa - Atuk


Saya cuma mahu tampal catatan di Facebook pada 29 Januari 2020, 30 Januari 20201 Februari 2020 :
I

Innalillahi wa inna ilaihi roji’un.

Kembalinya atuk kesayangan saya ke rahmatullah tengahari tadi.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu ‘anhu.

27 Januari 2020

“Atok jatuh pagi tadi,” tulis Wan Fatimah

Bila tidak dijawab dalam masa yang singkat soalan di mana atuk jatuh, terus buat panggilan pada Chik Khairiah Kadir . Chik tak jawab. Dial nombor XueJah Siti Khadijah Kadir . Su minta hubungi MFauzi AsiahNur .

Asiah maklumkan atuk jatuh di bilik air. Pipi atuk luka, mata, lutut juga. Che Ngah Azizah Kadir bawa ke hospital.

Semalam dapat khabar, atuk dipindahkan ke Hospital Kuala Krai.

Hari ini bagitahu Asiah minta tolong peluk cium atuk. Tapi Asiah beritahu atuk sudah nazak. Fikiran fikir nak segera balik. Sedang cari jalan nak balik jumpa atuk, khabar atuk pergi pula menerpa.

Ya Allah, rahmati Atuk, ampunilah dia...



II

Alhamdulillah, urusan arwah Atuk di dunia selesai kira-kira jam 11 malam tadi. 85 tahun Allah kurniakan hayatnya di dunia.

Terima kasih buat semua yang mendoakan.

Urusan mandi jenazah sehingga kafan diketuai Nenek sendiri. Kafan menggunakan kain ihramnya sepertimana yang dipesan.

Solat Jenazah diketuai anaknya yang saya panggil Pok Nik.

Kubur Atuk bersebelahan dengan ayahandanya, Seman bin Jamal.

Arwah Atuk yang dikenali sebagai Pok Nik Kadir, sepanjang hayatnya mengebumikan 3 anak, 2 menantu, 1 cucu. Arwah Atuk juga yang mengebumikan semua adik-beradiknya; Do Mek Doh, Tok Do Sahak, Tok Chik Yah, Tok Nik Nab. Dua menantu yang tidak diuruskan kematiannya namun diambil berat.

Semoga Allah mengampuni dan merahmati arwah Atuk.



III

PEMERGIAN YANG TAK DIJANGKA

Beberapa tahun lepas, arwah atuk kerap ke klinik. Sampai satu masa, diketahui ada batu dalam hempedu. Pembedahan bukan pilihan untuk atuk kerana usia. Jadi hanya ada satu pilihan tapi risikonya tinggi. Atuk berkeras mahu buat. Syukur ia berjaya dan atuk kembali sihat.

Disember 2019. Hari saya dan adik-adik datang, Atuk ke kecemasan. Jadi hanya ada nenek.

Disember itu juga, arwah atuk menjalani saringan ECG. Doktor beritahu, keadaan jantung atuk agak lemah yang berkadar dengan usianya tapi tak perlu dirisaukan.

Hari arwah atuk jatuh, bila ditawarkan untuk ke hospital oleh Che Ngah, terus dia sambut. Dia suka ke hospital. Che Ngah memang nak bawa sebab luka di pipi tak berhenti berdarah. Atuk berjalan sendiri masuk kereta.

Dalam perjalanan ke hospital, arwah sebut pada Che Ngah, “Aku dah nak mati dah ni.”

Arwah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Machang dan terus ditahan memandangkan diberitahu atuk jatuh dan hospital ada rekod ECG lepas. Red alert bagi kakitangan. Tapi atuk masih rasa sihat dan tengok gambar dia pun kita rasa lega. Hati waktu tu dah gundah sebenarnya.

Hari kedua, arwah muntah darah. Mahu ke tandas sebab sakit perut. Mujur Chik Kak Nan cegah suruh buang dalam lampin. Pada arwah, dia masih mampu ke tandas.

SuJah beritahu, mudah jaga atuk. Tukar lampin pun dia mampu mengiring sendiri. Bila diminta angkat punggung, dia angkat.

Arwah dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut. Doktor mahu tengok keadaan dalam perut. Masa nak naik stretcher pun masih bergerak beralih sendiri.

Arwah dibawa menaiki ambulan ke Hospital Kuala Krai. Sekitar 10.45 pagi, arwah mula tidak sedarkan diri. Asiah hubungi saya ketika saya juga bergelut dengan kesihatan sendiri. Khabar atuk sedang nazak. Kata Chik, kakinya dah sejuk waktu tu.

Jam 1.20 tengahari, arwah disahkan meninggal dunia. Pemergian yang amat mudah dan tidak dijangka.

Pada saya, setiap pemerhatian doktor perlu diberi perhatian. Taklah ralat tak dapat jumpa Disember, sebab setiap kali jumpa saya akan cium pipinya bila nak balik. Cuma, ada keadaan tertentu yang sebenarnya red alert.


No comments: