.

.

31 March 2020

107: Days of Movement Control Order (MCO) part 1

Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Days of Movement Control Order (MCO), saya masih perlu keluar ke hospital untuk urusan ujian darah, tentukan tarikh temujanji akan datang dan ambil ubat.

Hari itu, saya tidak berkira. Walaupun saya suka menggunakan train dan bas, hari tersebut saya menggunakan perkhidmatan Grab. Lagipun kena buat penjarakkan sosial, maka pilihan menggunakan Grab lah yang terbaik. Senang hati betul. Lupa segala perkara termasuk hal yang menekan jiwa. Hajat mahu melunasi perkara yang penting sebelum buat perkara lain termasuk bekerja dari rumah.

Hari kedua, disebabkan khabar masyarakat tak dengar cakap supaya duduk di rumah, saya telah menulis di Facebook:
Duduk dumoh jange tubik!

Korona ni tok seghupo begheteh ko deme capok, adik kakok. Jadi gak duk dumoh senyak-senyak. Toksoh duk gelenya tubik gi jale la, make gula la, maing pata la, nok gi tengok ore sakit di spita la.

Duduk rumoh tu. Toksoh duk bejupo ore. Mugo ni takdok obak, takdok vaksin. Tokleh nok cocok biar tok keno. De keno, ambiule mari ambik pah rumoh keno cuci. Acu kaba de spita maghi ambik, tok tentu lagi kelik smula ko dok.

Sero nok tubik tu istighfar banyok. Cari la kijo dale rumoh.. mengaji ko, alih mari ko, mop lata ko, lipat baju ko.. ikut lah asal tok tubik. Jange sapa keno igak hok mano babil sangak tu.

#pesanankhidmatmasyarakat
#StayAtHome
#MovementControlOrderMY
#Covid19
#KitaJagaKita
#DatarkanKeluk
#FlatteningTheCurve

Kita tidak nafikan, ada yang keluar demi sesuap nasi. Tidak boleh disuruh untuk berada di rumah sedangkan bekalan makanan tidak ada. Maka saya berbincang dengan bonda, bahawa kami perlu bantu saudara mara yang kehilangan mata pencarian kerana penguatkuasaan PKP ini. Tabung adik beradik diwujudkan dan bantuan segera disalurkan.

Hari-hari seterusnya saya tidak keluar hingga hari ke-10, keluar sebentar membeli barang di Speedmart99. Ambil dan ambil sahaja barang yang diperlukan. Tidak ada di Speedmart baru lah ke kedai runcit. Di speedmart boleh guna kad, tunai hanya di kedai yang tiada kemudahan penggunaan kad.

Di Speedmart99, ada yang mencari sardin ayam. Mulanya saya rasa pelik, rupanya mencari Sardin Ayam Brand. Pakaiannya berwarna biru berlabel kontraktor. Ditunjukkan pada saya satu tin, saya katakan itu jagung jenama ayam. Saya suruh dia ke kedai runcit. Saya tidak tahu apakah pakcik tersebut di pengaruhi media sosial atau sememangnya dia pengguna setia. Sekiranya disebabkan perkara tular, alangkah sedihnya hati saya.

Cabaran duduk di rumah ialah ketidakhandalan saya memasak. Bukanlah tak pandai langsung memasak, cuma saya tidak yakin untuk bagi orang lain rasa masakan saya. Setakat nak isi perut sendiri lepaslah. Tidaklah saya kelaparan. Tapi saya hidup dengan orang lain. Tidak dapat membeli makanan adalah satu kesusahan untuk saya.

bersambung

No comments: