.

.

05 April 2020

108: Days of Movement Control Order (MCO) - Tabung Keluarga

Apabila menyedari ada keluarga terdekat bakal terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka saya berbincang dengan bonda untuk kumpul sumbangan dari adik beradik untuk diagih. Waktu itu kerajaan masih tidak jelas perancangan dan insentif bagi menghadapi PKP.

Kebanyakan keluarga merupakan kumpulan pendapatan B40, tetapi tidak semua bakal merasai kesempitan kerana tidak dapat bekerja. Yang mana pekerjaannya merupakan kategori essentials service, sekurang-kurangnya mereka masih mendapat gaji. Bagaimana yang bekerja sendiri dan pendapatan diperoleh secara harian?

Kumpulan WhatsApp sesama kami diwujudkan, sasaran dikenalpasti dan agihan dilakukan. Apabila tempoh PKP dilanjutkan, agihan kali kedua dilakukan. 28 hari tanpa pendapatan benar-benar merunsingkan. Ini pula ura-ura mengatakan tempoh PKP bakal dilanjutkan sekali lagi. Waktu ini mereka bukan hanya memerlukan makanan, tetapi daya mempertahankan tempat tinggal sekiranya menyewa serta bil utiliti yang perlu dilunasi.

Selain makanan, keluarga yang mempunyai anak kecil juga memerlukan perhatian. Kebajikan si anak kecil yang masih menyusu dan menggunakan lampin perlu disantuni. Sumbangan kecil kami tak mungkin dapat menampung segalanya, namun ia tanda ingatan dan sokongan agar mereka dapat duduk di rumah seperti yang diminta Perdana Menteri ketika ini.

Meski ketika ini Bantuan Prihatin Nasional telah ramai diluluskan permohonannnya bagi yang layak, namun kita sedia maklum bantuan one-off tidak ke mana selagi wabak ini belum terkawal dan ditemui vaksinnya. Bahkan yang hanya selesa ketika ini cuma government servant. Selain itu, risiko kehilangan pekerjaan, tidak dibayar gaji dan sebagainya masih menghantui rakyat.

Semoga wabak ini segera berlalu
Semoga kegiatan ekonomi boleh dilakukan semula.

2 comments:

Siti Hidayu said...

Terima kasih kerana berkongsi beban pihak-pihak yang memerlukan. In sha Allah saya akan cuba mainkan peranan lebih aktif untuk membantu mereka yang memerlukan.

Maryam said...

Jazakillah, Ayu.

Jika kita kenal saudara mara yang memerlukan, lebih baik utamakan mereka dahulu berbanding kutipan dana awam. Maklum mereka mungkin terima keperluan asas seperti beras, minyak, telur, tepung dsb, namun jika beri tunai juga amat dihargai mereka :)