.

.

19 July 2019

95: Istana Kelantan

Minggu yang kalut yang dengan berita demi berita mengenai Sultan Muhammad V. Rakyat masing-masing menyuarakan pendapat masing-masing. Lebih-lebih lagi Puan Rihana / Oksana melalui akaun instagram yang dikatakan palsu memuatnaik gambar dan video. Seperti naik hantu para netizan di jemari mereka.

Dunia tanpa sempadan ini benar-benar tiada had menyuarakan pendapat masing-masing. Apakah mereka baru terdedah dengan dunia istana, pun saya tidak tahu. Kerana, sebagai masyarakat setempat, kita dengar berita dari istana dari kerabat yang bergaul dengan rakyat akan hal yang tidak rasmi. Berdengung kemudian lenyap ditelan masa.

Memandangkan baginda pernah dinobatkan sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia, seluruh rakyat ingin tahu kesahihan berita yang disebarkan. Berita perkahwinan. Berita penceraian. Namun, pada saya, itu adalah hal peribadi di mana jika melibatkan pengumuman rasmi, implikasi nya melibatkan dana negara. Tak siapa peduli pun kan?

Pengiktirafan rasmi dari istana memberi banyak kesan besar. Oleh sebab itu, Istana Kelantan jarang memberikan kenyataan media. Era teknologi kini tidak menggugat 'bahagian korporat' mereka dari terus mengamalkan cara lama, iaitu dengan membiarkan khabar-khabar itu berlalu sendiri. Yang terkini, hanya berkenaan gelaran pihak istana keluarkan kenyataan.

Memanggil Oksana yang tidak diuar-uarkan sebagai isteri dengan gelaran queen / permaisuri / cik puan itu tidak kena. Dia (kerana tiada pengumuman rasmi) hanya perlu dinyatakan sebagai puan sebagaimana selayaknya wanita Malaysia yang telah berkahwin. Raja Perempuan Kelantan masih lagi bonda kepada Sultan Muhammad V, melainkan diumumkan selainnya. Begitu juga dengan (Tengku) Ismail Leon (Petra) sebagai Tengku Mahkota Kelantan, kerana sehingga hari ini adinda Sultan Kelantan sendiri yang masih memegang gelaran tersebut.

Hierarki istana ini pada saya tidak boleh dipandang enteng. Kita tidak bercakap tentang keluarga kenamaan biasa. Kenamaan ini ada adat dan istiadat tersendiri, yang punya undang-undang bertulis, ada pejabat pengurusannya. Cap mohor mereka masih lagi mahal, ya!

Saya melihat komen-komen yang instagram @rihanapetra. Ada yang merisaukan agamanya. Ada yang merisaukan kesihatan mentalnya. Ada yang sukakannya kerana cantik dan 'lovely'?Ada yang mempersoalkan peranan dan tanggungjawab Tuanku Sultan. Saya lebih tertanya apa motif pemilik akaun tersebut menyiarkan gambar, video dan kisah cintanya? Caranya tidak menggambarkan beliau menghormati Sultan Kelantan, pasangannya.

Saya kira netizen kurang tahu bahawa takhta kesultanan ini tidak semestinya anak sulung lelaki mewarisinya. Ia kembali kepada pengurusan istana menentukannya apabila timbul persoalan. Dan, jika ini juga mahu dikritik netizen, entah lah apa bentuk pemikiran mereka.

Bukan saya tidak tahu, ada yang mahu monarki 'ditiadakan', tidak mahu lagi sistem beraja. Tapi yang ini saya berkecuali untuk memberi pendapat. Kenapa? Sebab saya tidak arif pun.

No comments: