.

.

25 February 2018

74: Temujanji Dengan Izrail

"Kullu nafsin za-iqatul maut (Arabic: كل نفس ذائقة الموت - setiap yang bernyawa pasti merasai Al-Maut)..."

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Ini adalah kitaran hidup seorang manusia, tidak kira beriman mahupun tidak, semua tahu. Bezanya cara mengendalikan manusia setelah tidak lagi bernyawa.

Kitaran ini sentiasa di sekeliling kita, tidak mengira usia hatta bayi di dalam kandungan. Maka, saya sering membayangkan diri sendiri pada keadaan sakaratul maut. Lebih-lebih lagi saya pernah terlantar berjam-jam tidak mampu bergerak tanpa sebab berkali-kali tetapi mampu mendengar dan menangis.


Jika Keadaan Terlantar

Saya tidak mahu sesiapa berbicara tentang dunia berdekatan dengan saya. Sebaliknya jika mahu berbual, biarlah isi perbualan mengingatkan dunia ini tidak kekal, ringankan beban perasaan saya agar dapat melepaskan dunia, juga ingatan akan pertemuan dengan Tuhan yang amat didambakan.

Jika tidak, bacakan al-Quran untuk saya. Tak mampu bacakan seluruh Al-Quran sehingga khatam, boleh lah ulang-ulang surah Yasin. Semua bahagian Al-Quran saya suka. Jika yakin bacaan baik, lontarkan suara baca Al-Quran bergilir-gilir sehingga khatam.

Sesekali, bisikkan tahlil (kalimah la ilaha illallah muhammadur Rasulullah) ke telinga, mudah-mudahan hati saya mahu ikut lafazkan.


Selepas Nyawa Bercerai Dari Badan

Masih tidak lepas dari Al-Quran. Selagi belum selesai urusan pengkebumian, usah dibiarkan jenazah saya mendengar perbualan duniawi.

Saya harap ada ahli keluarga yang mampu mengurus keadaan dapat mewujudkan dua kawasan ini; pertama kawasan orang yang mahu membaca Al-Quran dari awal sampai habis secara bergilir dan kedua kawasan orang yang mahu membacakan yasin sekali habis.

Yang mahu berbual untuk kemas kini aktiviti orang yang dah lama tak jumpa, saya mohon bergeraklah menjauhi jenazah.

Saya juga mengharapkan ada cara untuk mempromosi doa untuk orang yang baru dan telah meninggal dunia: Allahumaghfirlahu/a warhamhu/a wa 'afihi/a wa'fu'anhu/a. Macam orang dekor sambut birthday pun boleh diterima, ganti perkataan sambutan dengan doa tersebut. Doa ini juga dibaca di dalam solat  jenazah, takbir ketiga.

Kawasan tambahan boleh diwujudkan untuk mengajar hadirin cara menunaikan solat jenazah terutama kepada orang perempuan, jika mereka tak tahu.


Hak Terakhir

Saya amat menggalakkan saudara mara, rakan-rakan perempuan turut serta dalam solat jenazah. Itulah antara perkara terakhir yang boleh dilakukan selain iring jenazah ke kubur. Maka, saya juga menggalakkan semua orang untuk menyolatkan jenazah saya apabila masanya tiba.

Nota ini kerana, bertahun-tahun saya di UIA, asyik lupa tentang pelajaran solat jenazah. Berjuta kali mengadap encik Google tak juga belajar. Sehingga entri ini ditulis, baru dua kali saya berpeluang solat jenazah.


Jika teringatkan saya...

Ulanglah doa memohon keampunan untuk saya. Walaupun saya sedar diri tak siapa sudi mengenang saya, jika teringat, ulang lah Allahumaghfirlaha warhamha wa 'afiha wa'fu'anha.

Sekian nota peribadi saya kali ini.

No comments: