.

.

04 April 2016

Tun M dan masa lalu

Maka bergegarlah jiwa-jiwa dengan berita Tun M masuk DAP. Sumbernya kerana Tun M bergambar sebaris dengan Lim Kit Siang. Saya ketawa gelihati. Lelucon yang tidak diundang. Namun berkesan meredakan resah buat seketika.

Tun M dibuang dari parti yang dibinanya semula. UMNO yang asal sudah diharamkan. UMNO baru siapa yang dirikan? Tun M! Galilah sejarah...

Lalu Tun M berceramah di pentas parti yang tidak sehaluan dengan UMNO. Ini bukan perkara baru, Tun M sudah melakukan perkara itu dahulu (katanya tahun 1969).

Pada saya, pandangan peribadi (yalah, ini blog percuma), saya tidak akan melupakan kezaliman dan kebobrokan yang dilakukannya di masa lalu. Ia meninggalkan luka dan parut entah bila akan sembuh. Seingat saya, saya tidak pernah mengatakan zaman Tun M lebih baik dari PM hari ini. Semoga saya tidak akan melakukan itu.

Namun hari ini, menuit kehadiran Tun M dalam rapat umum sekadar memaklumkan dunia (hahaha... dunialah sangat!). Saya perlu akui, Tun M ada pengaruhnya tersendiri. Di mata dunia mahupun konteks Malaysia sendiri. Jika dulu saya akan mengatakan yang berbaris menyambutnya adalah kerahan, tetapi melihat sendiri sambutan di dataran dua hari lepas adalah perkara yang real! terpaksa saya larikan diri dari kelompok orang yang berkerumun.

Tun M dan isu semasa kepimpinan Malaysia, adalah perkara yang kita persetujui bersama. Perkara pokok adalah perkara yang sama, walau di dalamnya mungkin berbeza. Arus dan gelombang ini harus diperhebatkan lagi kerana yang kita mahukan adalah perubahan dalam sistem.

15 March 2016

Meneladeni Fatimah Abdul Malik

Satu persatu perbelanjaan mewah keluarga pemimpin didedahkan. Tidak kira pemimpin Malaysia tercinta mahupun anak perempuan Obama, parti mana sama sahaja. Ia mengingatkan saya akan satu kisah dari lipatan sejarah. Beliau ialah Fatimah binti Abdul Malik.

Kisah Fatimah adalah kisah yang sepatutnya dekat dengan ahli keluarga pemimpin yang berjiwa rakyat. Fatimah adalah anak kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Tatkala ayahandanya meninggal dunia, suaminya pula diangkat menjadi khalifah. Khalifah bukan hanya Perdana Menteri atau Presiden sesebuah negara. Khalifah adalah ketua seluruh tanah yang ditakluk oleh orang Islam.

Kala Umar Abdul Aziz menerima watikah perlantikan, perkara pertama yang dilakukan adalah mengembalikan seluruh harta yang bukan milik mereka dan kaum keluarga Abdul Malik bin Marwan ke Baitul Mal. Fatimah akur menyerahkan segala perhiasan yang diperolehi dari sumber Baitul Mal. Umar Abdul Aziz begitu tegas dengan pemilikan.

Sebagaimana yang kita ketahui, tempoh Umar Abdul Aziz memerintah tidak lah lama, kurang dari tiga tahun. Namun banyak sekali kisah-kisah berkenaan beliau diceritakan, bahkan kisah semasa dihantar belajar. Bagaimanapun, kisah ahli keluarganya kurang diberi perhatian.

Fatimah dengan relahati menyerahkan segala perhiasan dan harta kepada Baitul Mal apabila diberi pilihan sama ada suami atau harta kekayaan. Malah, selepas Umar Abdul Aziz meninggal dunia juga, Fatimah menolak dari mengambil semula harta yang telah dikembalikan.

Sikap ini seharusnya diberi perhatian oleh ahli keluarga pemimpin mana-mana negara, bukan memikirkan keuntungan yang bakal diperoleh apabila bergelar kepala negara.

Perbendaharaan negara adalah milik rakyat, seharusnya diberi kepada yang berhak. Apabila rakyat sudah tidak memerlukan barulah digunakan untuk pembangunan negara dan keperluan lain tetapi tidak untuk kegunaan peribadi.

03 March 2016

Jalan Sultan Yahya Petra

Bersekolah di sekolah yang beralamatkan Jalan Sultan Yahya Petra, 16 tahun lalu. Setahun lebih di sana.

Setelah bekerja, juga di lokasi yang beralamatkan Jalan Sultan Yahya Petra, setelah jalannya ditukar nama Disember 2 tahun lalu.

Wilayah berbeza. Wilayah dalam bahasa arab membawa maksud negeri.

Beginilah kehidupan.

25 February 2016

Mujahadah linafsih

Dah bertahun-tahun hafal ciri individu Muslim tapi tak semestinya kita faham waktu itu. Faham adakalanya ambil masa.

Mujahadah linafsih. Mampu menguasai diri? Ramai yang berjaya mengawal diri di khalayak tetapi tidak di media sosial. Apabila bersendirian? Allah Maha Mengetahui.

Pernah terbaca, jika ada perbuatan yang kita lakukan tetapi malu jika diketahui orang ianya adalah dosa. Susah sebenarnya jihad hawa nafsu. Belum lagi desakan-desakan manusiawi yang menjelma tetapi tidak dapat dilunasi kerana tiada ikatan yang menghalalkannya.

Melupakan, menghindarkan sambil mengalihkan perhatian. Perkataannya menahan diri. Ia sesungguhnya amat berat, lebih berat dari jihad qital dan jihad ekonomi. Mujahadah diterjemah kepada akhlak tidak kira bersama individu lain atau bersendirian akan perkara-perkara melalaikan tidak mendatangkan hasil.

Insan, kerana sifat pelupanya sering tewas di tangan nafsunya. Kuasa yang ada pada diri jinak apabila berhadapan dengan nafsu.

Ya musarrifal qulub, sarrif qulubana ila tho'atik. Rabbana wataqabbal du'a-ana.

12 February 2016

Qawwam

Betapa pengharapan menggunung.

Lelaki pelindung wanita; ibunya, adik beradik perempuannya, isterinya, anak-anaknya, wanita-wanita ahli keluarganya, tidak lupa wanita-wanita seagama yang beriman. Juga mana-mana wanita yang memerlukan tidak bertujuan ambil kesempatan.

Tetapi, di mana lelaki ini?

Qawwam. Yang menguasai diri menghindari perkara Allah tak suka dan berusaha melakukan perkara yang Allah suka. Termasuklah menjaga akhlaknya, beriman, beramal, sentiasa berusaha menambah ilmu yang dirangkum oleh perkataan agama.

Qawwam. Yang bersifat melindungi. Tak hanya mara bahaya kejahatan manusia, tetapi juga membawa keluarganya menghindari api neraka.

Qawwam. Mendidik ahli keluarganya berakhlak, berilmu, beriman dan beramal. Bukan membiarkan mereka melakukan apa sahaja tanpa rasa malu.

Qawwam. Memberi pengertian kezaliman dan keadilan dalam konteks semasa. Kezaliman hari ini tidak lagi dihujung cemeti, tetapi dihumban ke dalam jeriji besi tanpa kesalahan yang pasti. Kezaliman juga mengingkari maslahah awam.

Qawwam. Menerapkan kemanusiaan, bukan mengejar perhatian sementara.

Lelaki, berburu itu cirimu dan antara sifat qawwam. Tetapi hari ini walau berburu bukan lagi aktiviti harian, apakah qawwam turut hilang?

11 February 2016

membina dinding

Dinding itu sudah bertahun dibina. Bermula dengan pasaknya. Sekecil mana perselisihan hanya akan meninggikan temboknya. Pintunya sudah lama tertutup. Tingkapnya sudah lama tinted. Berkunci. Akan dipaku kekal bila-bila masa.

Maka, hati-hati.

Jika kotak ini meletup, entah berapa ramai yang akan terkorban. Hindari lah.

21 January 2016

Krisis (dalam) Negara

Satu demi satu tragedi menimpa negara tercinta. Januari 2016 seolah menghampakan segala azam, segala hasrat. Sedang 2020 bakal menjelang tidak lama lagi.

Tragedi yang berupa krisis-krisis yang tiada upaya untuk rakyat tentang. Penindasan dan kezaliman mental dan cara hidup terus-terusan berlaku. Hak warganegara tetap juga dicabul oleh sang pemimpin yang entah dari mana datang suara sokongannya.

Krisis kepimpinan menjadikan rakyat tidak keruan. Idea-idea gila datang dari menteri sehingga namanya dijadikan vocab bagi menggambarkan perkataan-perkataan negatif. Sudah lah negara ini berbilang parti, ada lagi parti di dalam parti. Pangkat, kuasa, tidak keterlaluan jika mengatakan termasuk wang; menyebabkan kewarasan poli-tikus seolah tercicir tanpa dapat dikesan.

Yang terkenal sebagai pembangkang ada yang sudah melupakan ranjau dan duri. Tidak lagi dapat membezakan prinsip mana yang tetap, yang mana boleh berubah.

Saya tidak tahu di mana letaknya rakyat di hati dan fikiran pemimpin sebegini.

Krisis ekonomi semakin meruncing. Dari harga minyak yang turun naik diikuti perlaksanaan GST, seterusnya kedudukan ringgit yang menjunam, dan hari ini merosotnya harga minyak dunia. Kos pengurusan tak mampu lagi ditanggung oleh pengendali swasta, kesannya pekerja dikurangkan. Alternatifnya diganti dengan pekerja asing yang jauh lebih murah bayarannya.

Ketidakcukupan rakyat menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat menarik perhatian menteri. Namun saranan yang diberi adalah melakukan 2 kerja. Tahukah menteri, rakyat kamu nak dapatkan 1 pekerjaan pun susah? Bersempena tahun baharu, sesi persekolahan baharu, ada pula khabar ibubapa tak cukup wang untuk bayar yuran!

Krisis ekonomi juga memberi kesan kepada mahasiswa secara langsung. Pinjaman dipotong. Kisah mahasiswa lapar didedahkan. Mahasiswa yang diharap menjadi pemimpin di masa akan datang dikecam, dicemuh ekoran pendedahan ini. Mahasiswa dituduh tidak pandai mengurus belanjawan!

Pengusaha kafe di kampus berusaha mengadakan menu kategori mampu untuk mahasiswa. Makan adalah hak asasi, sekurang-kurangnya sekali sehari. Bagaimana dengan perbelanjaan sampingan untuk pelajaran? Mencemuh pelajar yang minum di cafe hipster, memiliki iphone 6s; adalah tidak adil disamaratakan berpuluh ribu mahasiswa di seluruh negara.

Dengan keadaan ekonomi kini, mahasiswa turut mendapat tempias susah mendapatkan tempat untuk latihan industri. Pengambilan dibekukan atau begitu minimum. Walau ada yang sanggup tidak dibayar bagi melengkapkan kursus, membenarkan seseorang berada di premis pejabat juga melibatkan kos. Bagaimana mungkin pendedahan kepada sektor pekerjaan dilakukan dalam keadaan begini?

BSN pantas menperketatkan syarat pinjaman bagi pekerja sektor oil and gas. Khabar terbaru pula biasiswa JPA dibekulan. Oh, negaraku! Sementara di utara tanah air, seorang MB mahu digantikan.

Siang tadi masyarakat twitter disibukkan dengan hal senggugut wanita. Begitu ramai yang mengulas padahal ianya perkara normal bagi wanita yang mempunyai rahim. Perkara begini sebenarnya hiburan sementara umpama commercial break ketika siaran berita perdana.

Pokok pangkalnya, kita berhadapan dengan krisis yang amat dahsyat. Krisis kepimpinan, ekonomi dan juga akhlak. Tersalah pilih pemimpin kah selama ini?

Jangan dilupakan isu TPPA yang mendapat jolokan jual negara. Membaca sepintas lalu apa itu TPPA, melihat Indonesia menolak TPPA, saya merasakan Malaysia akan menyaksikan seorang 'Bou Azizi' jika poli-tikus terus membaiki labu.