.

.

24 November 2016

Jepun: Paling Akhir

Seawal nak melepasi imigresen, saya jadi antara yang terakhir. Sampai ke akhir saya jadi orang terakhir.

Jika mengikut kebiasaan, saya tidak akan mampu mengurus rasa. Namun sepanjang berada jauh dari tanah air, saya divert semuanya. Kena lalu juga!

Hari pertama, dah la paling akhir, lewat pula 5 minit. Hahaha...

Dan bila berjalan-jalan dalam kumpulan, saya lebih suka berada di belakang. Malas lah nak berkejar-kejar. Enjoy dengan cara tersendiri.

Paling akhir siap makan. Mungkin cabaran chopstick? Hahaha... Tapi memang paling akhir habis... Episod lain cerita hal makan.

Insiden asyik kena langgar, akhirnya terpaksa bersuara minta jangan langgar. Dengan nada yang serius. Walaupun sekadar ter... Banyak kali takkan la ter lagi. Tak gitu? So takde dah ter lepas tu.

Yeah, sampai ke akhir pun masih jadi orang yang lambat, masa kadang terbabas kadang on-time. Jarang sangat mendahului. Hehe

Maaf! Gambar hanya untuk tatapan sendirian berhad. ",)

21 November 2016

Anekdot ke Jepun

Tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kaki ke Jepun walaupun keinginan tercetus sesekali. Kala rasa gundah, kala fikiran celaru, kala kehidupan begitu hambar... Meski dicalonkan, tetap harapan dicantas rapi.

Yang selalu diulang tayang, "Awak pernah singgah lapangan terbang Tokyo." Dan itu cerita Januari 1986. Apabila harinya semakin hampir, "Cuba tengok baju panas awak tertinggal," pesan bonda. Ah, bonda!

Persiapan dilakukan. Desakan koordinator menghambat. Pandang kiri kanan, siapa yang boleh jadi dahan berpaut sekalipun sama-sama rapuh?

"Kyoto is beautiful during autumn. I would love to be there," kata seorang Experts di bahagian Disaster.

Akhirnya KLIA dijejaki. Dengan beg yang padat. Beg haji mereka panggil. Memanglah, itu kenangan makkatul mukarramah ayahanda dan bonda.

Balut beg. Timbang beg. Sarapan dibelanja. Mujur habis makan.

Imigresen dilepasi. Keretapi merah yang menjadi igauan selama mengenal KLIA dinaiki. ANA membawa diri ini merentasi langit yang tak bertiang dan tak bertali, walaupun tangguh selama sejam. Makannya sedap. Berselera, mungkin teruja. Borang imigresen Jepun diisi perlahan-lahan. Filem demi filem ditonton hingga mengantuk.

Tiba di Narita. Disambut wakil JICA. Berlari-berlari membawa bagasi untuk penerbangan ke Itami. Penerbangan domestik membenarkan bawa air mineral. Mujur! Itulah bekalan air yang ada.

Baru menapak di Itami sudah tersasar. Mujur ada yang mencari. Lalu ke Sannomiya Hotel. Bermalam semalaman. Merayau mencari makan malam. Oleh kerana tiada persiapan persalinan, bagasi dibongkar semahunya. Kemudian dikemas semula.

Hari pertama, ke JICA Kansai dengan menaiki bas carta. Taklimat beberapa perkara. Pengenalan JICA juga. Sejarah! Kemudian syarahan project cycle method dan persembahan. Pembetulan dibuat. Akhirnya dihantar.

Petangnya bergerak ke Kyoto Plaza Hotel. Dengan bas JICA.

Malam pertama sudah meronda bandar Kyoto. Dari aeon (dinner) kedai 22 street. Kemudian menapak ke kyoto tower. Masuk yodobashi dan kembali semula.

Hari kedua jam 8.45 bertemu Takama-san di lobi. Berjalan kaki ke stesen bas Kyoto. Naik bas 206 / JR Line ke Ritsumeikan University Kampus Suzaku. Syarahan dan syarahan dan syarahan. Kembali ke penginapan.

Malamnya tak ke mana-mana. Makan bekal dari Malaysia. Roti gardenia dan serunding. Sendiri.

Hari ketiga ke kampus Kinugasa. Menaiki bas yang sama, destinasinya lebih jauh. Syarahan, welcoming lunch, syarahan lagi dan lawatan pusat disaster mitigation. Hari gloomy. Hujan. Tak dapat menikmati keindahan Kinugasa. Jam 5 petang, hari sudah gelap. Malamnya makan sendiri, cuma mereka berkenduri jadi hantar serunding saja. Kemudian berjalan di sekitar.

Hari keempat, ke kampus Osaka-Ibaraki pula. Menaiki train pula. JR Line. Tiba saja terus terucap, "macam Wichita!" Syarahan lagi. Ada perkongsian dengan pelajar dan juga staf. Sempat menikmati keindahan kampus. Kampus yang masih baru siap. Sebahagian besar dibuka untuk dinikmati oleh local residents dan orang awam. Malamnya ke Nishiki Market. Menu makan malam cuma kebab turki.

Hari kelima, ke kampus Biwako-Kusatsu. Menaiki train dan bas. Pengalaman baru, tersasar dari perjalanan sebenar. Kampus ini juga cantik. Syarahan lagi. Berkenalan dengan student Malaysia. Dan lawatan ke makmal. Kemudian pulang. Sempat lagi ke Nishiki Market sebelumnya dan menikmati Kake Udon.

Hari keenam, acara jalan-jalan. Dari Arashiyama lajak ke Osaka. Naik shinkansen. Mujurlah balik naik train express. Akibat balik lewat, lalu esoknya liat nak bangun.

Hari ketujuh, hajat sebenar mahu jalan-jalan.. Tak jadi sebab lewat. Bangun kerana nak breakfast. Keluar lunch makan takoyaki dan menuju Nishiki Market. Pulangnya ke Yodobashi dan Bic Camera. Malamnya berkenduri lagi.

Hari kelapan, ke Kiyomizu Temple. Sebelumnya acara Tea Ceremony. Praktis apa yang tahu sebab jadi Guest of Honor. Kiyomizu-dera juga cantik! Terpesona macam di Arashiyama. Student Malaysia ikut sama. Balik ke Ayam-Ya.

Hari ke-9 dan ke-10, team up dengan Nadia untuk OJT ke 3 bahagian berbeza. Kedua-dua hari makan malam di Ayam-Ya. Tengahari hari ke9, makan tengahari di restoran sushi. Tengahari hari ke10 di cafeteria universiti.

Hari ke-11, bergabung kumpulan OJT untuk persembahan Action Plan. Kirim segala bekalan makanan Malaysia untuk pelajar Malaysia di Biwako-Kusatsu. Petangnya masa untuk buat pembetulan. Tambah beberapa point. Submit. Waktu pulang, singgah ke Yodobashi dan Kyoto Tower. Dinner dengan kenduri sekali lagi. Malamnya berkemas. Pakaian yang hendak dipakai, diasingkan.

Hari ke-12, final presentation dan farewell lunch. Kemudian bergerak ke Kobe. Berpisah dengan interpreter. Makan malam di restoran yang sama pada malam pertama ketibaan.

Hari ke-13, misi jalan-jalan ke zoo kobe dengan berjalan kaki. Gila orang Malaysia ni. Cari lunch. Lepas tu rehat di lobi hotel hingga teksi datang untuk ke Itami Airport. Dinner terakhir di airport Haneda. Menghabiskan air mineral Evian terakhir.

Flight ke KUL delay 2 jam setengah. 8.20 pagi akhirnya jejak semula bumi Malaysia.

02 November 2016

Latihan Sabar Tak Berpenghujung

Sabar itu cantik!

Sabar itu indah!

Hakikatnya, kala sabar itu menipis bahkan ia koyak sekalipun tetap harus bersabar.

Fasbir. Isbir.

Sabar menahan lidah dari mencaci maki manusia. Apa salahnya mendoakan kesejahteraan dan kebaikan untuknya, siapa jua pun dia?

Sabar menerima perkara yang kita tidak ingini berlaku. Ya, bukan mudah. Harapan digunungkan tinggi tetapi berderai ibarat kaca yang murah.

Pasaknya hanya satu, Tuhan sudah punya rencana lain untuk kita. Walaupun buruk. Walaupun melukakan hati jiwa perasaan.

Seringkali kesalahan diadili sendiri. Lalu dicari punca sebab musabab. Kadangkala membawa prasangka buruk pada Tuhan.

Tuhan tak perlu sebab. Tuhan tak perlu akibat... Qaddarallah! Apakah ilmu kita ini infiniti berbanding pengetahuan Tuhan?

Sabarlah dengan karenah manusia. Jangan kita lupa tunduk pada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

27 October 2016

A Sad Day

Hari ni kami adakan farewell & welcoming party di pejabat. Mengucapkan selamat kepada yang pergi dan yang baharu datang.

Macam biasa, makanan banyak! Hehe kita memang meriah makan-makan ni.

Tapi hati sayu. Sejak pasti koordinator projek akan tamat kontrak, saya sudah dilanda melankoli. Sedih sangat. Menangis ketika memandu pulang dari pejabat.

Sedih kerana, ini majikan yang memilih saya berada di pekerjaan sekarang. Majikan saya 4 orang semuanya. Yang pertama berundur, bulan Disember. Yang kedua, Januari. Sayu. Pilu. Tapi tak terucap. Menangis tak ada airmata. Sebelum Disember, chief of the mission berganti. Tak terasa sangat masa tu.

Dari awal bekerja, satu persatu sensei mengakhiri kontrak. Yang mana tak pernah dibantu, tak rasa sangat. By the time flies, banyak yang saya kenal cara dan peribadi. Inilah yang membuatkan hati terasa kosong dengan ketiadaan mereka.

Koordinator projek ini, saya tak dapat tahan hati. Sedih sangat-sangat. Awal-awal lagi sudah saya lepaskan tangisan. Malah, saya dan rakan sekerja beriya carikan hadiah.

Tak hanya koordinator projek berganti, chief of the mission turut berganti. Tak ke double triple sedih?

Inilah hakikat kehidupan. Setiap pertemuan ada perpisahan. Saya amat menghargai kehadiran koordinator dan berterima kasih dengan segala tunjuk ajar. Saya akan merinduinya.

Tapi taklah saya menidakkan kehadiran dan kewujudan majikan-majikan baharu. Saya alu-alukan mereka, dan ada banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari. Proses memecahkan ais masih lagi berjalan.

Terima kasih untuk yang pergi, selamat datang untuk yang baharu.

23 September 2016

Kunyanyikan Lagu Ini...

Playlist lagu tak kira mp3 atau playlist youtube semua nasyid yang tak famous. Saya oldschool? Mungkin. Nasyid-nasyid yang buat diri rasa bersemangat cuma tinggal dari Palestin la kut.

Kadang-kadang, waktu iman kuat, ulang le hafalan walaupun sangkut. Alah, surah-surah lazim tapi tak berapa lazim di lidah saya. Hehe (malu la uols!) mungkin awak lebih banyak hafalan.

Playlist yang sama tak kira gembira atau sedih. Cuma kecenderungan nada nasyid tu memang kesan dari perasaan. Sikit je lah. Rajaa', pengharapan ni selalunya waktu sedih la kan. Tapi, lagu yang sama juga saya akan repeat banyak-banyak-banyak kali tak kira sedih atau gembira.

Perkataan lain, my universal playlist. Lagu tak favor, skip je lah.

Apa tah motif entri blog ni. Gara-gara tajuk keluar dulu lah ni.

Baiklah. Semoga awak dan saya sentiasa jadi hamba yang bersyukur. Selamat malam!

19 September 2016

Cadangan Pindaan RUU Akta 355

Hari demi hari, isu ini semakin mendapat ulasan... Tak sabar menantikan bulan Oktober. Kita mahu lihat perincian cadangan... Bukan tidak setuju atas angin.

Rang Undang-undang Akta 355 ini, jika mahu lihat sejarahnya, dah ada yang tulis dan ulas panjang lebar. SS Dr. Zulkifli AlBakri juga telah menulis pendapatnya. Akta 355 ini juga dikenali sebagai 356; 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit, 6 sebatan.

Kafir mengkafir menghiasi ulasan dan komen. Hukum wajib sokong dilaung sana sini. Andaian umum cadangan pindaan RUU ini adalah untuk menegakkan Islam dan membawa maslahah, tidak kurang diasosiasi dengan hudud.

Walhal, isu awalnya bagaimana usul ini didahulukan di parlimen. Dah dapat laluan, ditangguh perbahasannya. MP Marang mendapat nama. Sudahlah beliau dikecam atas apa yang berlaku kepada parti yang dipimpinnya, yang mengakibatkan Pakatan Rakyat berkubur. Lihatlah isu, bukan individu.

Kemudian, perinciannya. Dr. Mujahid dari Amanah berulang-kali menyebut dalam kenyataan medianya bahawa pindaan ini perlu dilihat perinciannya. Sebagai rakyat yang berhak mengundi, anda perlu peka juga dengan kronologi sesuatu isu. Barulah kematangan dapat dicapai.

Saya merasakan kegusaran Dr. Shamrahayu ketika forum baru-baru ini. Pindaan yang belum dijelaskan perinciannya ini boleh membawa undang-undang syariah ke belakang kerana perlaksanaannya adalah mengikut negeri; bermakna pindaan ini hanya membawa ke hadapan untuk pemimpin yang mahu memperkasakan undang-undang ini.

Bukan Islam sudah boleh menarik nafas lega seketika, kerana undang-undang yang dipinda ini tidak berkaitan langsung dengan mereka kecuali mereka dibolehkan menjadi saksi di perbicaraan kes. (Melainkan ada pindaan dibahagian berkenaan)

Sudah beberapa cerita nenek bukan Islam mendidik dan membesarkan cucunya beragama Islam. Mengapa kita mesti menggusarkan hati mereka?

Islam bukan milik individu. Islam adalah agama langit. Jika Abdul Mutalib percaya ka'abah ada penjaganya ketika diserang Abrahah dan tentera bergajahnya, apakah Islam agama kebenaran ini tiada penjaganya?

Melihat dengan neraca yang lebih luas, kerangka lebih besar, tidak salah mahu memperkasakan undang-undang syariah... Namun, rakyat berhak mengetahui sejauh mana usaha kerajaan dalam memartabatkannya. Mahkamah Syariah beroperasi sampai malam di Selangor untuk menyelesaikan kes sedia ada dan bertambah setiap hari.

Mana dia usaha kerajaan? Institusi agama yang dipandang enteng itu sebenarnya sedang melakukan kerja mereka. Buat kajian, buat kempen yang mungkin tidak meluas liputannya. Pensyarah-pensyarah di IPT dengan gelar profesor bukan nak jaga kedudukan sangat, tetapi di peringkat menggubal sesuatu, kepakaran dan keilmuan mereka amat diperlukan. Khidmat mereka merentasi parti tetapi perkhidmatan kepada rakyat secara tidak langsung yang bukan di kerusi wakil rakyat.

Jangan kita hanya menyebut memperkasakan undang-undang Syariah sedang penjawat awam termasuk hakim gajinya jauh berbeza dari hakim mahkamah sivil.

Apa yang dibangga dengan undang-undang Syariah yang tidak seragam dari negeri ke negeri? Ketidakseragaman ini sudah menunjukkan indikator tertentu.

Undang-undang Syariah ini tertakluk kepada semua rakyat yang beragama Islam, maka janganlah dilaungkan untuk Melayu. Islam tidak eksklusif untuk sesuatu bangsa. Dan rahmatnya Islam tidak seharusnya dirasa oleh penganutnya sahaja. Islam pernah melindungi bukan Islam semasa berkuasa menguasai dua pertiga dunia. Mengapa dicari pasal di Malaysia yang entah berapa peratus dari negara USA?

Baiklah, untuk bersetuju dengan usul MP Marang, marilah kita sama-sama bersabar menanti perinciannya di bulan Oktober 2016 - jika ada. Taqlid buta mesti dijauhi kerana ruang perbincangan kita amat luas.

18 September 2016

Hatred - Mengurus Kepelbagaian

Semalam, pada 16 September 2016, keberangkatan pulang Dato' Dr Haron Din, Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia, ke pangkuan Pencipta pada hari Jumaat jam 10.10 pagi waktu Malaysia di usia 76 tahun di USA. Sebelumnya ramai yang menyebarkan berita palsu.

Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali.

Moga Allah mengampuninya, merahmatinya, memberikan kesejahteraan terhadapnya dan memaafkannya...

Komen-komen melambangkan kebencian memenuhi ruang alam maya. Jika bukan kebencian, out of context juga menjadi sebahagian. Komen Jeff Ooi menjadi sebutan tapi melupakan ulasan si Sidek Kamiso?

Kita manusia merdeka punya akal yang mampu berfikir, yang secara umumnya cintakan kedamaian dan keadilan, mengapa sering memilih tajuk dan topik yang membawa kepada perpecahan dan kemudaratan?

Satu persatu peristiwa diungkit semula. Sewaktu pemergian mendiang Karpal Singh umpamanya. (Secara kebetulan, Jeff Ooi adalah MP Jelutong). Sepatutnya peristiwa lalu sudah mampu mendidik rakyat agar lebih sensitif dan menjaga airmuka antara satu sama lain. Kita tidak memerlukan peristiwa kedua dan ketiga, sepatutnya.

Ya, politik dianggap sebagai tong taik oleh sebahagian... Namun ia bukan alasan kukuh untuk melihat individu-individu di dalamnya sebusuk dan sekotor itu. Cukuplah permainan gerrymandering dan wang demi mengekalkan kuasa. Ingat ni, Lim Kit Siang setakat hari ini, tak ada kuasa untuk menukar sempadan kawasan pilihanraya (please read this in sarcasm).

Tidak kita nafikan, isu, topik mahupun pendirian individu semasa hidupnya lah yang menyebabkan segala komen negatif, walaupun pada hari kematiannya. Namun disinilah kewarasan akal dan sikap politik matang memainkan peranan. Orang-orang yang berpengaruh seharusnya mendidik 'pengikut' dan 'peminat' agar tidak melihat sesiapa pun dari sisi atau sudut yang sempit.

Mengambil contoh mendiang Karpal mahupun arwah Dato' Dr Haron Din, kedua-duanya ada sumbangan besar dalam masyarakat. Kita siapa mahu terus-terusan menyebut segala pendirian yang bagi sebahagian kita disifatkan melampau? Kebencian biarlah berakhir pada isu, bukan pada individu. Kita berjuang untuk kebebasan bersuara tetapi kita sendiri mahu menyekat? Dunia apa yang sedang jalani ini?

Tiada siapa yang boleh menghukum sesuatu pendirian sebagai benar dan salah secara mutlak. Ia cuma tidak kena pada adat dan budaya setempat. Mungkin tidak kena pada sesuatu agama, mungkin tidak dengan suasana berbilang bangsa dan agama... Namun, seperti yang telah saya ulaskan tadi, biar ia terhad kepada isu, bukan individu.

Kebencian adalah sel-sel tidak baik yang boleh mengakibatkan barah yang berdarah. Kebencian biasanya bermula dengan sentimen merebak kepada perkara lain, bangsa umpamanya. Ia menular dengan cepat di era Facebook, Whats App dan Twitter. Semudah klik forward atau screenshot lalu dikongsikan. Telegram susah sikit sebab dia beritahu perbuatan printscreen.

Respect. Hormat. Ia diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Walau munafiq walau musyrik, apabila nyawa sudah tidak dikandung badan, segala sengketa berakhir. Habis. Khalas. Finish. Bahkan agama apa pun, tidak ada yang mengajarkan agar menyebut perkara buruk mengenai si mati.

Bagi yang masih hidup, berhati-hatilah mengeluarkan kenyataan baik secara bertulis ataupun lisan yang dirakam.

Wallahu a'lam.