.

.

25 February 2016

Mujahadah linafsih

Dah bertahun-tahun hafal ciri individu Muslim tapi tak semestinya kita faham waktu itu. Faham adakalanya ambil masa.

Mujahadah linafsih. Mampu menguasai diri? Ramai yang berjaya mengawal diri di khalayak tetapi tidak di media sosial. Apabila bersendirian? Allah Maha Mengetahui.

Pernah terbaca, jika ada perbuatan yang kita lakukan tetapi malu jika diketahui orang ianya adalah dosa. Susah sebenarnya jihad hawa nafsu. Belum lagi desakan-desakan manusiawi yang menjelma tetapi tidak dapat dilunasi kerana tiada ikatan yang menghalalkannya.

Melupakan, menghindarkan sambil mengalihkan perhatian. Perkataannya menahan diri. Ia sesungguhnya amat berat, lebih berat dari jihad qital dan jihad ekonomi. Mujahadah diterjemah kepada akhlak tidak kira bersama individu lain atau bersendirian akan perkara-perkara melalaikan tidak mendatangkan hasil.

Insan, kerana sifat pelupanya sering tewas di tangan nafsunya. Kuasa yang ada pada diri jinak apabila berhadapan dengan nafsu.

Ya musarrifal qulub, sarrif qulubana ila tho'atik. Rabbana wataqabbal du'a-ana.

12 February 2016

Qawwam

Betapa pengharapan menggunung.

Lelaki pelindung wanita; ibunya, adik beradik perempuannya, isterinya, anak-anaknya, wanita-wanita ahli keluarganya, tidak lupa wanita-wanita seagama yang beriman. Juga mana-mana wanita yang memerlukan tidak bertujuan ambil kesempatan.

Tetapi, di mana lelaki ini?

Qawwam. Yang menguasai diri menghindari perkara Allah tak suka dan berusaha melakukan perkara yang Allah suka. Termasuklah menjaga akhlaknya, beriman, beramal, sentiasa berusaha menambah ilmu yang dirangkum oleh perkataan agama.

Qawwam. Yang bersifat melindungi. Tak hanya mara bahaya kejahatan manusia, tetapi juga membawa keluarganya menghindari api neraka.

Qawwam. Mendidik ahli keluarganya berakhlak, berilmu, beriman dan beramal. Bukan membiarkan mereka melakukan apa sahaja tanpa rasa malu.

Qawwam. Memberi pengertian kezaliman dan keadilan dalam konteks semasa. Kezaliman hari ini tidak lagi dihujung cemeti, tetapi dihumban ke dalam jeriji besi tanpa kesalahan yang pasti. Kezaliman juga mengingkari maslahah awam.

Qawwam. Menerapkan kemanusiaan, bukan mengejar perhatian sementara.

Lelaki, berburu itu cirimu dan antara sifat qawwam. Tetapi hari ini walau berburu bukan lagi aktiviti harian, apakah qawwam turut hilang?

11 February 2016

membina dinding

Dinding itu sudah bertahun dibina. Bermula dengan pasaknya. Sekecil mana perselisihan hanya akan meninggikan temboknya. Pintunya sudah lama tertutup. Tingkapnya sudah lama tinted. Berkunci. Akan dipaku kekal bila-bila masa.

Maka, hati-hati.

Jika kotak ini meletup, entah berapa ramai yang akan terkorban. Hindari lah.

21 January 2016

Krisis (dalam) Negara

Satu demi satu tragedi menimpa negara tercinta. Januari 2016 seolah menghampakan segala azam, segala hasrat. Sedang 2020 bakal menjelang tidak lama lagi.

Tragedi yang berupa krisis-krisis yang tiada upaya untuk rakyat tentang. Penindasan dan kezaliman mental dan cara hidup terus-terusan berlaku. Hak warganegara tetap juga dicabul oleh sang pemimpin yang entah dari mana datang suara sokongannya.

Krisis kepimpinan menjadikan rakyat tidak keruan. Idea-idea gila datang dari menteri sehingga namanya dijadikan vocab bagi menggambarkan perkataan-perkataan negatif. Sudah lah negara ini berbilang parti, ada lagi parti di dalam parti. Pangkat, kuasa, tidak keterlaluan jika mengatakan termasuk wang; menyebabkan kewarasan poli-tikus seolah tercicir tanpa dapat dikesan.

Yang terkenal sebagai pembangkang ada yang sudah melupakan ranjau dan duri. Tidak lagi dapat membezakan prinsip mana yang tetap, yang mana boleh berubah.

Saya tidak tahu di mana letaknya rakyat di hati dan fikiran pemimpin sebegini.

Krisis ekonomi semakin meruncing. Dari harga minyak yang turun naik diikuti perlaksanaan GST, seterusnya kedudukan ringgit yang menjunam, dan hari ini merosotnya harga minyak dunia. Kos pengurusan tak mampu lagi ditanggung oleh pengendali swasta, kesannya pekerja dikurangkan. Alternatifnya diganti dengan pekerja asing yang jauh lebih murah bayarannya.

Ketidakcukupan rakyat menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat menarik perhatian menteri. Namun saranan yang diberi adalah melakukan 2 kerja. Tahukah menteri, rakyat kamu nak dapatkan 1 pekerjaan pun susah? Bersempena tahun baharu, sesi persekolahan baharu, ada pula khabar ibubapa tak cukup wang untuk bayar yuran!

Krisis ekonomi juga memberi kesan kepada mahasiswa secara langsung. Pinjaman dipotong. Kisah mahasiswa lapar didedahkan. Mahasiswa yang diharap menjadi pemimpin di masa akan datang dikecam, dicemuh ekoran pendedahan ini. Mahasiswa dituduh tidak pandai mengurus belanjawan!

Pengusaha kafe di kampus berusaha mengadakan menu kategori mampu untuk mahasiswa. Makan adalah hak asasi, sekurang-kurangnya sekali sehari. Bagaimana dengan perbelanjaan sampingan untuk pelajaran? Mencemuh pelajar yang minum di cafe hipster, memiliki iphone 6s; adalah tidak adil disamaratakan berpuluh ribu mahasiswa di seluruh negara.

Dengan keadaan ekonomi kini, mahasiswa turut mendapat tempias susah mendapatkan tempat untuk latihan industri. Pengambilan dibekukan atau begitu minimum. Walau ada yang sanggup tidak dibayar bagi melengkapkan kursus, membenarkan seseorang berada di premis pejabat juga melibatkan kos. Bagaimana mungkin pendedahan kepada sektor pekerjaan dilakukan dalam keadaan begini?

BSN pantas menperketatkan syarat pinjaman bagi pekerja sektor oil and gas. Khabar terbaru pula biasiswa JPA dibekulan. Oh, negaraku! Sementara di utara tanah air, seorang MB mahu digantikan.

Siang tadi masyarakat twitter disibukkan dengan hal senggugut wanita. Begitu ramai yang mengulas padahal ianya perkara normal bagi wanita yang mempunyai rahim. Perkara begini sebenarnya hiburan sementara umpama commercial break ketika siaran berita perdana.

Pokok pangkalnya, kita berhadapan dengan krisis yang amat dahsyat. Krisis kepimpinan, ekonomi dan juga akhlak. Tersalah pilih pemimpin kah selama ini?

Jangan dilupakan isu TPPA yang mendapat jolokan jual negara. Membaca sepintas lalu apa itu TPPA, melihat Indonesia menolak TPPA, saya merasakan Malaysia akan menyaksikan seorang 'Bou Azizi' jika poli-tikus terus membaiki labu.

08 January 2016

Madaya, Syria

Luluh perasaan membaca berita dari Syria. Madaya dikepung oleh pemerintahnya sendiri, kerana melawan kerajaan.

Madaya diancam kebuluran. Orang-orangnya kurus menampakkan tulang. Tua muda kanak-kanak semua tidak terlepas.

Madaya menggamit peristiwa boikot ke atas bani Hashim selama 3 tahun kerana dakwah Nabi Muhammad, hingga mereka memakan kulit pokok.

Madaya memanggil kita, masyarakat antarabangsa... sudahkah kita menyahutnya?

Madaya, moga kamu yang terkorban dikurniakan syahid.

Madaya, bertahanlah melawan kezaliman.

Madaya, Allah bersamamu!


Sungguh perasaan ini, ingin berada bersama mereka. Namun, apakan daya. Luluh perasaan mengingatkan nasib mereka.

Syria masih belum bebas dari regim al-Assad. Satu demi satu menimpa. Dari pemberontakan kerana grafiti yang dibuat oleh kanak-kanak hingga ke hari ini masih belum selesai. Sedang Mesir yang menerima impak Revolusi Jasmin jatuh semula.. Rabaah masih berlangsung saban minggu saban hari.

Dari pergolakan ISIS, pelarian yang lemas, dan hari ini Madaya. Mengirimkan doa dan harta adalah paling minima buat mereka.

Alaisa as-subhu biqarib?

29 December 2015

Akhir Tahun 2015

Sejak cik Sony merajuk, memang tak ada mood nak tambah entri. Walhal banyak perkara berlaku.

2015, berlalulah.

2016, selamat datang!

Entri terakhir bagi 2015? Tak tahu.

Menjelang 2016, saya kuncikan hati dan lupakan kata kuncinya. Ngeri untuk buka semula. Biar ia terkurung tidak nampak dunia dari terdedah kepada bahaya yang tidak tertanggung.

31 Disember adalah ulang tahun yang mengerikan. Biarkan ia.

Doa dan pengharapan pada Tuhan.

22 November 2015

A message

Ada seseorang yang saya sudah berkali-kali beritahu, saya tak mahu jumpa mahupun berkomunikasi dengannya walau apa jua cara. Dengan itu, saya beritahu pula di sini, walaupun sudah saya minta seseorang sampaikan. Tak usah cuba-cuba muncul kerana anda mengganggu ketenteraman hidup saya.

Anda tahu siapa diri anda. Sudah berkali-kali saya sampaikan pesan. Tindakan anda yang pada saya adalah degil, menyebabkan ramai orang saya tidak peduli termasuk orang-orang yang Allah perintahkan supaya berbuat baik. Anda adalah salah satu sebab tekanan untuk saya. Sila jauhkan diri anda.

Anda telah membuat pilihan hidup anda sebelum ini, maka biarkan saya dengan pilihan saya. Jiwa saya, setakat ini tidak mudah goyah.

Saya tidak bermaksud untuk bermegah atas kemampuan berdiri sendiri. Tetapi saya hari ini adalah hasil dibiar menyendiri hingga pendirian ini terbina. Maka, jangan sesekali dicabar kerana saya sanggup berbuat apa sahaja agar tidak diganggu gugat.

Ya, saya hari ini sudah tidak sama dengan saya pada tahun 2011, untuk anda khususnya. Harap maklum.

PS: tidak perlu tinggalkan sebarang komen kerana ia pasti dibuang tanpa dibaca. Ya, saya halang anda untuk hubungi saya apa jua cara sekalipun.