.

.

09 April 2018

77: Mengurus Keadaan

Saat berpuasa sunat, selain ianya ibadat untuk Allah, ianya anjuran bagi memperkuatkan diri menghadapi sihir. Doa orang berpuasa sesungguhnya tidak ditolak.

Sihir itu sentiasa mendatangi. Wallahu a'lam bis-showab. Selalu orang tanyakan apa mahunya sang pelaku? Sungguh saya penat mencari jawapan. Yang saya tahu dan jelas, saya mahu semua ini dihentikan dan ditarik balik.

Saat ini saya mendoakan adik beradik saya serta sepupu yang turut sama terkena sihir agar kuat melawan sehingga menang. Sihirnya berbeza mengikut orang. Telah 12 tahun saya hadapi, berkali-kali saya harapkan kematian ketika tidak mampu menggerakkan fizikal.

Prestasi diri merosot. Aktivisma semakin terhakis. Saya cuma berjuang untuk kehidupan dan akal yang waras. Saya sedaya upaya menghargai fizikal agar sihat supaya dapat beribadah dan mencari rezeki menampung kehidupan.

Untuk ayahanda dan bonda, sungguh sihir itu tidak mampu memisahkan kalian dan semoga ia tak akan pernah berhasil.

Untuk diri sendiri, yakinlah Allah Maha Melihat dan Allah Maha Menjaga, kerana sihir yang berhasil ini dengan izinNya bagi menguji hambaNya. Suatu hari saya pasti akan pulang dan saya mengharapkan pertemuan saya denganNya. Moga saya juga diizinkan bertemu Rasulullah.

Untuk adik-adik saya, terus melawan dan berkongsi apa yang dirasa. Thaghut itu tidak akan menang. Mari kita jaga hubungan sesama kita. Mari kita jaga sesama sendiri. Dan mari kita berlapang dada sesama kita. Kita perlu saling memahami sihir ini membesarkan perkara kecil dan menyuburkan negativiti.

Buat sepupu-sepupu berkenaan, usah mengalah! Biar dikata gila, hanya kita yang 'melihat' dan merasa sakit. Maka kita akan terus melawan sampai mereka tersungkur atau dijemput Ilahi.

Allah itu sentiasa ada dekat dengan makhluk. Dan Dia sentiasa mendengar rintihan hambaNya.

25 March 2018

76: Kesan Uqad

Setelah menulis entri terakhir, saya disakiti lagi. Akibatnya, sambungan tentang kesan bertangguh penulisannya. Hari ini saya nekad untuk menyambung kembali.

Agak sukar untuk menulis kerana ingatan tentang kronologi hampir kosong. Selepas dikenakan sihir melalui duit raya, saya tidak boleh berjumpa dengan adik sendiri. Tak boleh dengar namanya sekalipun. Kenapa? Sakit. Mood boleh berubah sekelip mata. 

Akibatnya, saya pernah tak bercakap dengan bonda dan ayahanda selama 6 bulan! Berhari raya sendirian. Paling saya marah, ayat yang terkeluar dari mulut kedua mereka. Bonda berulangkali memohon maaf tapi ayahanda, sepi perkataan maaf hingga ke hari ini (ketika entri ditulis). Kali kedua, saya tak hubungi selama 3 bulan.

Sakit perasaan saya tidak dipedulikan. Tidak ditanya, tidak dipujuk dan tidak cuba difahami. Menangis bersedih meratap tanpa dapat dirungkai puncanya. Saya menjalani kehidupan seharian seadanya kerana perinsip saya pegang, perintah Allah tetap mesti dilaksanakan walau apa jua keadaan saya.

Akhirnya saya lepaskan mereka. Saya berdoa memohon agar Allah hilangkan segala kesakitan di dalam dada waktu sedang berjalan pulang ke tempat hinggap. Allah makbulkan ketika itu juga, maka sejak itu saya jadi orang yang tidak berperasaan. Gembira pun biasa-biasa, sedih pun biasa-biasa.

Ia masih mengganggu fikiran saya. Saya terfikirkan banyak situasi yang tipikal yang kebiasaannya akan menyebabkan seseorang kesal seumur hidup terutama kematian. Namun Allah ilhamkan bahawa situasi saya hadapi ini adalah luar biasa, maka saya lepaskan mereka. Allah ilhamkan saya memikirkan lafaz istirja' (انا لله وانا اليه راجعون). 

Kebiasaan rakan-rakan saya akan melafazkan kalimah ini apabila ditimpa musibah seperti kehilangan barang dan juga kematian. Saya fikirkan bahawa Allah jua berhak mengambil sesiapa jua dalam kehidupan seharian, tidak semestinya melalui kematian. Tidak kira yang ada hubungan darah mahupun tidak.

Saya memahami sejak itu, selain nama hubungan yang ada, mereka adalah manusia biasa. Bezanya adalah taqwa dan ketaatan. Perasaan sayang adalah anugerah Allah. Maka mereka, tidak kira lah siapa, saya serahkan semula pada Allah sepenuh jiwa. Kerana tidak lagi dalam kemampuan saya untuk membendung rasa yang semakin menyakitkan. Bertahun-tahun saya sudah mohon, "Ya Allah, jangan Engkau bebankan diluar kemampuanku."

Untuk situasi-situasi tipikal, saya ingatkan diri berkali-kali bahawa keadaan saya ketika itu amat kritikal dan saya perlu selamatkan diri dari kesedihan yang melampau yang boleh menyebabkan depression.

Sepanjang tempoh ini, saya tidak berhubung dengan sesiapa termasuk kawan-kawan. Saya hanya sibuk dengan diri sendiri. Kerja, simpan duit. Tempoh 6 bulan tidak bercakap dengan ibubapa, saya beroleh pekerjaan. Saya jalani kehidupan seadanya untuk patuh perintah Allah yang lain.

Saya letak tepi bab berhubung dengan ibubapa, adik beradik mahupun extended family. Saya biarkan bab larangan tidak bertegur sapa lebih dari 3 hari. Saya hanya fikirkan untuk kekal waras dan tidak meninggalkan solat serta perintah wajib lain.

Seseorang pernah berkata kepada saya, keadaan saya ini susah untuk didekati lelaki untuk tujuan perkahwinan. Apa yang saya dapati hari ini, semua orang pun susah untuk mendekati dan didekati. Akhirnya, saya beginilah... Menyendiri.

Apa pun keadaan saya, saya harus terus teguh dengan keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama saya dan Allah sentiasa memerhatikan saya.

26 February 2018

75: Berhadapan Dengan An-Naffaasaat

Apa itu An-Naffaasaat?

وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ

"Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);

وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".

-Sura Al-Falaq, Ayah 4 & 5

Saya ambil perkataan An-Naffaasaat dari surah al-Falaq setelah bertahun-tahun berhadapan dengan gangguan, juga setelah bertahun mengetahui punca gangguan. Perkataan yang telah lama saya jumpa, sebab sering mengulangbaca surah Al-Falaq.


Percaya Sakit Disebabkan Jin?

Makhluk yang dinamakan jin ini wujud dan ada manusia yang aqidahnya tidak siap bergantung hidup padanya. Sakit disebabkannya ada tanda tertentu, setelah berkali-kali ke hospital mencari puncanya.

Manusia bergantung hidup dengan jin dengan mempelajari ilmu yang disebut dalam surah Al-Baqarah ayat 102. Tolonglah google sendiri. 

Pada hemat saya, permulaan manusia bertindak sedemikian mempunyai masalah psikologi atau tekanan jiwa. Ini hasil pemerhatian yang saya lakukan beberapa ketika dahulu.

Saya tidak menolak rawatan hospital. Masalah gastrik, demam, cirit birit, dan sebagainya, saya ke klinik terlebih dahulu. Demam tak kebah tetap saya telan paracetamol dengan doa semoga Allah sembuhkan demam. Baru-baru ni pun saya jalani minor operation untuk buang cyst.

Gangguan jin ini jatuh nombor kemudian. Kerana kita tahu jin ini suka menipu, maka tak payah lah kita bergantung pada satu fakta je.

Saya ada ingatan akan cebisan-cebisan peristiwa yang dilalui mengaitkan pada gangguan jin disebabkan manusia yang hasad. Kisahnya pernah saya blog di URL ini tapi saya dah sorok. Saya juga ada blog lain menceritakan kronologi semasa berkaitan gangguan ini yang mana diagnosis awal mengatakan saka sedangkan ia sebenarnya sihir. Selalunya saya gunakan istilah ilmu salah.


Sikap Terhadap Pelaku

Pertama kali saya yakin seseorang menjadi punca kesakitan yang saya tanggung adalah pada tahun 2012. Saya hanya sedar saya hilang ingatan selepas beberapa kali berulang alik ke Darussalam di Gombak. Akibatnya saya tidak boleh dengar apa-apa berkaitan adinda nombor 2 sehingga ia berakhir Julai 2017.

Kerana saya 'nampak' pelakunya siapa, maka saya tidak lagi mahu bersua muka dengan pelaku. Ketika itu saya rasa dikhianati. Serba salah pun ada kerana orangnya perlu disantuni, dihormati dan dirawat apabila perlu. Hal ini begitu sulit untuk saya. Hanya, saya bersyukur ayahanda tidak memaksa bertemu apabila saya putuskan tidak mahu.

Namun, saya hanya khususkan pada orang tersebut sahaja. Yang lain yang berkait dengannya saya masih boleh terima untuk bertemu muka. Asalkan tiada pelaku bersama. Akan tetapi, kini pelakunya ada team. Maka team tersebut saya elakkan dari tersua. Kesannya bukan setakat fizikal, tetapi juga pada emosi dan fikiran.

Di entri lain akan saya sambung tentang kesan. Semoga Allah berikan kesempatan.

25 February 2018

74: Temujanji Dengan Izrail

"Kullu nafsin za-iqatul maut (Arabic: كل نفس ذائقة الموت - setiap yang bernyawa pasti merasai Al-Maut)..."

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Ini adalah kitaran hidup seorang manusia, tidak kira beriman mahupun tidak, semua tahu. Bezanya cara mengendalikan manusia setelah tidak lagi bernyawa.

Kitaran ini sentiasa di sekeliling kita, tidak mengira usia hatta bayi di dalam kandungan. Maka, saya sering membayangkan diri sendiri pada keadaan sakaratul maut. Lebih-lebih lagi saya pernah terlantar berjam-jam tidak mampu bergerak tanpa sebab berkali-kali tetapi mampu mendengar dan menangis.


Jika Keadaan Terlantar

Saya tidak mahu sesiapa berbicara tentang dunia berdekatan dengan saya. Sebaliknya jika mahu berbual, biarlah isi perbualan mengingatkan dunia ini tidak kekal, ringankan beban perasaan saya agar dapat melepaskan dunia, juga ingatan akan pertemuan dengan Tuhan yang amat didambakan.

Jika tidak, bacakan al-Quran untuk saya. Tak mampu bacakan seluruh Al-Quran sehingga khatam, boleh lah ulang-ulang surah Yasin. Semua bahagian Al-Quran saya suka. Jika yakin bacaan baik, lontarkan suara baca Al-Quran bergilir-gilir sehingga khatam.

Sesekali, bisikkan tahlil (kalimah la ilaha illallah muhammadur Rasulullah) ke telinga, mudah-mudahan hati saya mahu ikut lafazkan.


Selepas Nyawa Bercerai Dari Badan

Masih tidak lepas dari Al-Quran. Selagi belum selesai urusan pengkebumian, usah dibiarkan jenazah saya mendengar perbualan duniawi.

Saya harap ada ahli keluarga yang mampu mengurus keadaan dapat mewujudkan dua kawasan ini; pertama kawasan orang yang mahu membaca Al-Quran dari awal sampai habis secara bergilir dan kedua kawasan orang yang mahu membacakan yasin sekali habis.

Yang mahu berbual untuk kemas kini aktiviti orang yang dah lama tak jumpa, saya mohon bergeraklah menjauhi jenazah.

Saya juga mengharapkan ada cara untuk mempromosi doa untuk orang yang baru dan telah meninggal dunia: Allahumaghfirlahu/a warhamhu/a wa 'afihi/a wa'fu'anhu/a. Macam orang dekor sambut birthday pun boleh diterima, ganti perkataan sambutan dengan doa tersebut. Doa ini juga dibaca di dalam solat  jenazah, takbir ketiga.

Kawasan tambahan boleh diwujudkan untuk mengajar hadirin cara menunaikan solat jenazah terutama kepada orang perempuan, jika mereka tak tahu.


Hak Terakhir

Saya amat menggalakkan saudara mara, rakan-rakan perempuan turut serta dalam solat jenazah. Itulah antara perkara terakhir yang boleh dilakukan selain iring jenazah ke kubur. Maka, saya juga menggalakkan semua orang untuk menyolatkan jenazah saya apabila masanya tiba.

Nota ini kerana, bertahun-tahun saya di UIA, asyik lupa tentang pelajaran solat jenazah. Berjuta kali mengadap encik Google tak juga belajar. Sehingga entri ini ditulis, baru dua kali saya berpeluang solat jenazah.


Jika teringatkan saya...

Ulanglah doa memohon keampunan untuk saya. Walaupun saya sedar diri tak siapa sudi mengenang saya, jika teringat, ulang lah Allahumaghfirlaha warhamha wa 'afiha wa'fu'anha.

Sekian nota peribadi saya kali ini.

12 February 2018

73: Kufu

Hal kufu selalu dibincangkan dalam fiqh munakahat bab pasangan. Selalunya diceritakan kufu ni dari latar belakang keluarga, status, tahap pendidikan dan sebagainya.

Pada saya, kufu ni tak setakat itu. Cara hidup merangkumi pemakanan, pemakaian, cara berfikir, cara berbelanja, aktiviti luar dan banyak lagi termasuk hal mengurus teknologi.

Saya sekitar 2011-2012, adalah seorang yang sudi bersusah payah dengan siapa pun bakal pasangan saya. Kiranya 'beriman' pada 'rezeki' selepas berkahwin itu tinggi. Masa tu peralihan pengangguran kepada mendapatkan pekerjaan. Apabila telah bekerja dengan gaji minima, saya beralih pada demand pada pasangan yang bergaji lebih tinggi untuk survival. Pendapatan waktu itu sekadar cukup-cukup makan.

Fast forward, hari ni saya adalah seorang yang tak mampu korbankan apa yang saya ada hari ini dari segi jadual dan kesusahan hidup. Ayahanda dan bonda juga telah meletakkan penanda aras tertentu secara tidak langsung.

Tambahan pula hari ni ada bermacam 'mazhab' muncul. Anti-vaksin, home birth with doula, taksub dengan parti politik... Banyak lagi sebenarnya tapi tak mampu gali sekarang segala isu berkenaan. Bab agama pun kena kufu, jenis syadid tak bertempat, memang saya ada potensi jadi isteri derhaka.

Cerita bab kufu ni kena sembang-sembang sambil minum coklat panas, jus buah-buahan (mangga, guava, epal) atau limau suam.

08 February 2018

72: Terseliuh

Tajuk belum diberi ilham. Macam-macam saya nak cerita di sini. Tadi dah dapat tajuk. Entah lah mana dia terbang.

Dah dapat tajuk, walaupun bukan tajuk dan topik awal yang mahu saya hurai. Hari ni kaki kanan terseliuh gara-gara tersalah langkah. Bengkak lah ni.

Kejadian ini terjadi lepas menziarahi kak Anum. Pagi-pagi buka whatsapp, tengok group kawan-kawan pejabat 'meriah'. Rupanya suami kak Anum meninggal dunia malam tadi. Terkesima. Speechless. Sampai pejabat, terus ikut kawan-kawan berziarah. Moga kak Anum dan anaknya diberi kekuatan berhadapan kehilangan besar ini. Sama-sama kita doakan keampunan buat arwah suami kak Anum. Allahummaghfirlahu warhamhu.

Berbalik pada kaki. Kes terseliuh ni kena rehatkan kaki, tapi saya banyak aktiviti esok dan lusa. Hmmm. Moga jadi kafarah dosa. 

Sekian.

02 February 2018

71: Alas Kaki

Kisah Cuti Hari Wilayah:

Jarang pegi kedai jumpa kasut berkenan di hati dan harga juga menang di hati.

Hari ni ada 3 pasang masuk senarai (display ada belah kanan sahaja). Setelah menggunakan talian hayat, satu pasang telah diketepikan. Minta tengok lagi dua pasang.

Bila dicuba-cuba, the indicisive behavior menyerang. Mengenangkan masa amat berharga, maka keputusannya ambil kedua-duanya. 

Saya jenis yang pakai kasut yang senang sarung. Sebarang alas kaki yang complicated memang tolak ketepi. Dan tak suka reben bunga bagai. Tapak kalau boleh flat yang tak nipis. Jadi pembelian tadi diharap 'alah membeli menang memakai'.

Sampai rumah, nekad buang dua pasang kasut yang dah rosak. Sepasang tu boleh baiki lagi sebenarnya tapi agak sengsara masa pakai. So just let them go.

Sekian cerita alas kaki.

*Status Whats App 1 Februari