.

.

03 December 2019

100: Penghujung 2019

Mentari petang yang begitu terik. Dari Taman Melati, kelihatan awan hitam berarak.

2019 yang diuji kesihatan berlainan. Tahun sudah disambut dengan endometriosis. Separuh kedua tahun ini pula diuji dengan batuk.

2020 please be nice? Berharap dah in progress nak jadi lebih baik dari sebelum ni. Entah lah. Usia bukan sekadar nombor, usia seharusnya seiring dengan peningkatan amalan yang konsisten.

Rasa seakan lemah tak bermaya. Spiritual dan jasad. Mahu bermula semula dan setakat ini, hanya ada mahu. Badanan hayyinan layyinan bitho3atih.

Allah beri dunia tanpa sekatan. Setakat ni banyak dah permintaan Allah makbulkan. Apa lagi alasan saya untuk tidak melakukan keta'atan?

Allahumma... 

Saya mahu melazimi semula ma'thurat dan manzil. 
Saya tidak mahu tinggalkan dhuha dan witir. 
Saya mahu khatam al-Quran sebelum Ramadhan akan datang. 
Saya rindu berqiamullail. 
Saya juga mahu baja sangka baik. Penat buruk sangka ni.

Ya Allah, 
Aku bersyukur kerana masih merasa dekat Mu, meski dosaku menggunung tinggi. 

11 November 2019

99: Pantai Suri Floating Market


Nekad balik Kota Bharu tanpa tahu orang Kelantan cuti panjang. Sampai 12 hari bulan! Kononnya nak selesaikan banyak perkara, dapat dua pertiga sahaja. Kecewa.

Tapi kekecewaan tu terubat sebab dapat ke Pantai Suri Floating Market di Tumpat. Tambang bot RM5 sehala perkepala dari Jeti Kok Masjid. Dari Jeti Kuala Besar pula RM2 sehala perkepala. 

Cuma operasi floating market ni sudah berakhir semalam bagi tahun 2019. Kalau berhajat nak ke sana, tunggu Februari 2020 pula.

Rupanya ia projek UMK. 
Dan pasar terapung pertama di Malaysia. 

Asalnya naik bot nak Pulau Sri Tanjung, tapi peserta perkhemahan ke Pulau Suri untuk sarapan. Rezeki lah menjejak tarikan baru di Kelantan.

Menariknya di sini, sebuah rumah memiliki sebuah bot sumbangan kerajaan. Jadi, mereka buat jeti sendiri untuk kegunaan sendiri. Suasananya pun tenang, tak kelam kabut. Jadi terapi. Cuma itulah, peluang pekerjaan terhad!

Syukur untuk pengalaman ini. 

17 October 2019

98: Temujanji

Saya dah agak serabut dengan temu janji yang bersusun dan tak nampak rupa akan surut. Makin bertambah, adalah. Dan memang nak tambah.

Gynae - sejak Ogos 2017
IPR - sejak Ogos 2019
ENT - sejak September 2019
Ortho - sejak Oktober 2019
Physio - bermula 23 Oktober 2019

Saya nak rujuk fasal kulit dan psikiatri ni. Apa la rupa jadual kerja saya ni. Tertekan juga masalah terlalu fokus dan tak boleh fokus bila diganggu. Ada tugas yang belum selesai dibawa dari awal tahun. 

Batuk masih tak nampak jalan keluar. Saya tahu puncanya. Dan sudah diusahakan untuk ruqyah. Akan tetapi kesannya masih ada. Saya tahu saya alah pada kesejukan. Batuk yang tidak terkawal ni bagaimana?

6 minggu batuk, 6 minggu hilang ingatan. Rasanya rupa saya bagaimana sekarang ni? Ya, hampir kepada depresi. Sakit kepala. Sakit dada. Dada macam kena sepit pakai penyepit. Tangan selalu kebas.

Saya juga perlu jumpa doktor gigi dan kesukaan saya berada di Kelantan. Saya rindu rumah juga. 

Apa faedahnya menyakiti saya? Maut tu kerehatan selamanya sekiranya kita beramal ikhlas kerana Allah. Tersentak saya bila Kak Long Syikin ungkap, "banyak pahala awak."

Allah! Moga saya dapat terus bersabar. 

03 September 2019

97: Lewat

Permulaan tahun hijrah lewat ke ofis. 8:09 pagi baru di persimpangan Ukay Perdana.

Lewat tapi tak cranky. Mungkin sebab semalam misi berjaya: cari kain baju warna ivory/off-white dan laci.

Lewat dan menulis di sini tanpa ada subjek yang nak diperkatakan. Tak apalah. Merepek apa sahaja.

Lewat yang berpunca dari bermain Gardenscape. Aduh! Sampai tangguh nak masuk alam mimpi.

Tapi saya mahu membaca dan melukis. 

31 August 2019

96: Merdeka

Sudah kah anda merdeka?

Saya belum. 
Belum dapat tudung. 
Nak bayar pun belum merdeka [kewangan].

Sedih betul mengenangkan kesilapan besar saya buat hari ini. 
Kesilapan yang selalu berulang waktu kecil dulu.
Hingga dewasa. 
Hari ni berlaku tanpa disedari. 
Moga Allah ampuni khilaf ku, meski aku harus tanggung kesannya.

Merdeka ni bila?
Saya ada banyak agenda. 
Tapi selalu tergadai dengan Gardenscape. 
Ah obses betul saya dengan game ni. 
Main sampai habis bateri telefon bimbit. 
Ini bukti saya belum merdeka. 

Lain macam je saya kali ni. 
Mungkin akibat berpuasa twitter. 
Atau terlalu bosan. 
Atau terlalu mengira kesilapan diri. 

Merdeka, merdeka juga. 
Takut mati ni macam mana nak atasi?
Ini bukan suicidal. 
Ini berkenaan pertemuan dengan Tuhan Yang Maha Agung. 
Nak jumpa, tapi requirement asyik diskaun ni apa cer?

Saya nak merdeka dari telefon pintar. 

Sekian repekan pada hari merdeka ke 62. Setahun lagi umur dia sampai umur Rasulullah wafat. 

19 July 2019

95: Istana Kelantan

Minggu yang kalut yang dengan berita demi berita mengenai Sultan Muhammad V. Rakyat masing-masing menyuarakan pendapat masing-masing. Lebih-lebih lagi Puan Rihana / Oksana melalui akaun instagram yang dikatakan palsu memuatnaik gambar dan video. Seperti naik hantu para netizan di jemari mereka.

Dunia tanpa sempadan ini benar-benar tiada had menyuarakan pendapat masing-masing. Apakah mereka baru terdedah dengan dunia istana, pun saya tidak tahu. Kerana, sebagai masyarakat setempat, kita dengar berita dari istana dari kerabat yang bergaul dengan rakyat akan hal yang tidak rasmi. Berdengung kemudian lenyap ditelan masa.

Memandangkan baginda pernah dinobatkan sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia, seluruh rakyat ingin tahu kesahihan berita yang disebarkan. Berita perkahwinan. Berita penceraian. Namun, pada saya, itu adalah hal peribadi di mana jika melibatkan pengumuman rasmi, implikasi nya melibatkan dana negara. Tak siapa peduli pun kan?

Pengiktirafan rasmi dari istana memberi banyak kesan besar. Oleh sebab itu, Istana Kelantan jarang memberikan kenyataan media. Era teknologi kini tidak menggugat 'bahagian korporat' mereka dari terus mengamalkan cara lama, iaitu dengan membiarkan khabar-khabar itu berlalu sendiri. Yang terkini, hanya berkenaan gelaran pihak istana keluarkan kenyataan.

Memanggil Oksana yang tidak diuar-uarkan sebagai isteri dengan gelaran queen / permaisuri / cik puan itu tidak kena. Dia (kerana tiada pengumuman rasmi) hanya perlu dinyatakan sebagai puan sebagaimana selayaknya wanita Malaysia yang telah berkahwin. Raja Perempuan Kelantan masih lagi bonda kepada Sultan Muhammad V, melainkan diumumkan selainnya. Begitu juga dengan (Tengku) Ismail Leon (Petra) sebagai Tengku Mahkota Kelantan, kerana sehingga hari ini adinda Sultan Kelantan sendiri yang masih memegang gelaran tersebut.

Hierarki istana ini pada saya tidak boleh dipandang enteng. Kita tidak bercakap tentang keluarga kenamaan biasa. Kenamaan ini ada adat dan istiadat tersendiri, yang punya undang-undang bertulis, ada pejabat pengurusannya. Cap mohor mereka masih lagi mahal, ya!

Saya melihat komen-komen yang instagram @rihanapetra. Ada yang merisaukan agamanya. Ada yang merisaukan kesihatan mentalnya. Ada yang sukakannya kerana cantik dan 'lovely'?Ada yang mempersoalkan peranan dan tanggungjawab Tuanku Sultan. Saya lebih tertanya apa motif pemilik akaun tersebut menyiarkan gambar, video dan kisah cintanya? Caranya tidak menggambarkan beliau menghormati Sultan Kelantan, pasangannya.

Saya kira netizen kurang tahu bahawa takhta kesultanan ini tidak semestinya anak sulung lelaki mewarisinya. Ia kembali kepada pengurusan istana menentukannya apabila timbul persoalan. Dan, jika ini juga mahu dikritik netizen, entah lah apa bentuk pemikiran mereka.

Bukan saya tidak tahu, ada yang mahu monarki 'ditiadakan', tidak mahu lagi sistem beraja. Tapi yang ini saya berkecuali untuk memberi pendapat. Kenapa? Sebab saya tidak arif pun.

18 June 2019

94: Keberangkatan Presiden Morsi

Tengah malam tadi dikejutkan dengan kematian Mohamad Morsi, presiden Mesir yang dipilih secara demokrasi kemudiannya dijatuhkan oleh kudeta pada tahun 2013.

Beliau ditempatkan dipenjara, dinafikan hak mendapat rawatan kesihatan, dinafikan dari makan makanan berkhasiat, dihalang bertemu ahli keluarga dan juga peguam dan banyak lagi. 

Asy-Syahid Mohamad Morsi jatuh di mahkamah kemudian disahkan meninggal dunia. Allahu yarhamhu. Moga Allah mengampuni, merahmati Dr Morsi dan menempatkannya di syurga tertinggi.

Sungguhpun tidak lama berkesempatan berkuasa, Dr. Morsi saya kira adalah singa sehingga musuh menjatuhkannya. Sempadan ke Gaza. Suaranya tentang Palestin. Orang ramai berpeluang mengunjungi pusara Asy-Syahid Hasan Al-Banna. Banyak lagi untuk disebut.

Terkini, jenazah Dr. Morsi tidak akan diserahkan kepada keluarganya. Sebaliknya pengebumian dilakukan secara tertutup dan hanya membenarkan dua anaknya mengikuti momen tersebut. 

Damailah Dr Morsi dari kecamuk dunia. Rehatlah dengan selepas segalanya kau usahakan untuk keamanan. 

PS: catatan ini hanya berpandukan serba sedikit yang ada dalam ingatan.. Hila Hila Ya Matar (Hamzah Namira)