.

.

17 July 2018

83: Masa Yang Pantas

Sejak sebelum Ramadhan hinggalah Syawal dah berakhir dan bermulanya Zulkaedah, terasa mahu masa tu extend sedikit. Terlalu cepat berlalu! Lebih-lebih lagi Ramadhan...

Kadang-kadang mengejar, kadang-kadang dikejar. Entah di mana silapnya. Ketenangan direnggut. Keinginan pula maha banyak. Sekali fikir, bersedia ke tidak nak mati? Sedangkan pertemuan dengan Tuhan sebenarnya amat didambakan tetapi amal soleh ke laut!

Astaghfirullahal 'azim. 

Pejam celik pejam celik, kontrak kerja berakhir. Pejam celik pejam celik dah kerja semula. Masa rasa tak cukup. Masa dirasakan terlalu pantas berlalu. Tak cukup untuk membaca, mengulang hafazan, mengaji... Tulis blog? 

Dan masa-masa tersebut tak sempat skrol timeline twitter, facebook, instagram. Semua. Apa terjadi pada saya? Rehat menjadi-jadi tak cukup. Sehingga hampir tak dapat khatam Quran di bulan Ramadan. Exercise berjalan? Pun ke laut. Ya, mesti mula semula secepat mungkin.

Sebelum Ramadan, sibuk dengan dengan pilihanraya ke-14. Awal ramadan juga masih sibuk dengan pasca Malaysia Baharu. Dan bahang Malaysia Baharu masih berlangsung. Seolah ia satu perayaan yang tak kunjung berakhir.

Sesungguhnya saya penat berhadapan dengan ketakcukupan masa ini. Saya mahu berhibur. Serius. Saya perlukan hiburan. 

Marilah bersangka baik dengan Allah.

03 July 2018

82: Penghujung Ramadan

Sepuluh malam akhir ramadhan. Rasa macam kurang produktif. Terkejar-terkejar. Sepuluh malam akhir ni, ada yang kira biar cukup 10 malam. Saya memilih untuk kira dari malam ke-21 tidak kira Ramadan 30 atau 29 hari. Ajaran ayahanda sebenarnya (saya sekadar bertanya pendapat, hehehe).

Tahun ni 10 malam akhir bertemankan Nun Amira dan cikgu Adura serta anak-anak mereka. Biasanya tak berteman. Jumpa kawan-kawan lama dengan mood berbeza. Sungguhlah, kami berhimpun di masjid merentasi fahaman politik, sempadan geografi, bangsa dan bahasa.

Saya kepenatan berkejaran dari tempat kerja ke masjid UIA. Tahun ini kami diuji dengan ketiadaan air. Maka terpaksalah balik rumah sebelum ke masjid. Malam ke-27 tidak penuh seperti kebiasaan. Khabarnya malam ke-25 dah pun kena serang. Faktor hujung minggu, cuti sekolah dan malam ganjil. 

Jiran tempat saya bermukim seorang Arab Mesir. Dapatlah saya asah sedikit vocabulary arab yang dah berkarat kerana beliau lebih gemar berbahasa arab.

Saya juga berkenalan dengan Rania dan kembarnya Kaisar yang berasal dari Aceh. Baru 5 tahun tetapi mampu bercerita hal tsunami dan masjid rayanya yang teguh berdiri selepas tsunami. Termenung jugalah saya kerana kepetahan mereka.

Di hari terakhir Ramadan, saya bertekak dengan seseorang. Saya rasa terganggu dengan sikapnya yang bercakap ikut suka hatinya tanpa mempedulikan gestures yang dipamerkan. Dari awal dia menegur lagi, iaitu hari-hari sebelumnya. Saya tidak menjawab sendiri soalan yang ditanya, dan dia terus bercakap. Isyarat itu tidak difahami bahawa saya tidak gemarkannya. Saya bersuara. Lepas tu sentap sendiri dan tuduh saya sensitif. Fuuuhhh berasaplah saya! Dah la interrupt perbualan saya dengan kawan. Huh!

Begitulah Ramadan tahun ni. Langsung tak jejak masjid KLCC kerana trafik yang amat tak membantu. Hari-hari berbuka di masjid As-Sobirin. Dan macam biasa, kecewa dengan qiamullail di masjid awam. Dah 5 tahun hadap solat sunat tasbih di 10 malam akhir. 

Semoga bertemu lagi, Ramadan yang sentiasa dirindu! Looking forward for 10 awal Zulhijjah pula.

26 June 2018

81: Giliran Yang Belum Tiba

Hari Khamis 21 Jun, beranikan diri mendapatkan kepastian. Dan khabarnya memang telah dijangka, tidak tersenarai tahun ini.

Kecewa tetapi pasrah. Beginilah keadaannya apabila sistemnya mengikut giliran, kuota dan syarat pengurusan. Waktu ini saya berada dalam keadaan mampu dan jatuh hukum wajib mengerjakan rukun Islam kelima. Berkemampuan dari segi tenaga, kesihatan, masa dan kewangan. Syarat perlu ada mahram juga sedia dipenuhi. Wallahu a'lam bisshowab. 

Sesungguhnya, ya Allah, aku bersaksi bahawa telah aku berdoa dan berusaha untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Sekiranya masih ada ruang untuk aku kerjakan tahun ini, ia tidak mustahil disisi-Mu ya Allah. Jika tidak, akan kuteruskan doa meminta padaMu.

Semoga pihak Tabung Haji tidak membuat carian yang membuatkan mereka tiba disini. 

Catatan diri: ingatan yang semakin merosot kesan dari major depression disorder. Penyakit hasad yang dihadapi. Hukum kewajipan yang jatuh ke atas diri pada ketika ini, dan aku memohon ampun kerana ianya diluar kawalanku.

Tanpa disedari, kegagalan mendapat giliran haji tahun ini membuatkan saya mengalami mental breakdown diluarkawal. Padahal khabar itu sudah dijangka dan hati ini beristighfar. Ya Rabb, moga dapat kuharungi episod ini.

Kehidupan ini tidak seperti yang kita rancang. Kita hanya mampu merancang, yang menentukan hanya Allah jua. 

Bukan hendak berehat selepas ibadah haji dilaksanakan... Namun perjalanan spiritual ini amat didambakan sejak sakit teruk... Tak mampu lagi memujuk diri untuk bersangka baik dengan semua perkara dan semua orang. Perjalanan spiritual ini memberi harapan untuk kehidupan yang sedang dijalani.

Ilahi, anta maqsudi wa ridhoka mathlubi
Ilahi, kepadaMu aku berserah.

24 June 2018

80: Belasungkawa: Kaydee Syayuti a.k.a Khadijah

Hari itu hari Rabu. Saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Cuti untuk berhari raya sudah tamat. Kesibukan memenuhi keinginan bertemu dengan orang-orang tua menyibukkan saya dari melihat mesej di awal pagi. Tengahari baru saya baca berita pemergian kak KD jam 7.55 pagi di HKL, 7 Syawal 1439H.

Saya berkenalan dengan Kak KD ketika permulaan pekerjaan kedua pada tahun 2014. Pernah sambut harijadi kak KD pada tahun tersebut. Kak KD cuma tua setahun dari saya. 

Apabila kami berpapasan, selalu saya panggilnya. Seorang yang sempoi, makan sendirian pun tak kisah. Kak KD adalah pengguna pengangkutan awam yang lebih tegar dari saya. Sejak saya berkereta, jika ternampak kak KD di bustop LRT Dato Keramat, saya akan ajak naik kereta... Tak hanya kak KD, tapi siapa pun yang saya kenal. Saya cuma tahu kak KD tinggal di Ampang.

Kak KD dikhabarkan jatuh sakit tidak sedarkan diri, seingat saya sekitar akhir Mac - awal April kerana meningitis. Padahal kami baru berpapasan minggu sebelumnya. Beberapa pembedahan dilakukan ke atasnya. Saya cuma berpeluang ziarah sekali dan waktu itu kak KD tidak sedarkan diri. Selepas itu saya berpeluang tetapi lupa sediakan facemask.

Sungguh, maut itu apabila tiba masanya tidak dipercepatkan atau dilambatkan walau sesaat. Beberapa hari sebelum, saya dapat berita kak KD kritikal. Saya sekadar jerit dalam hati, 'hang on, kak KD.. Saya nak jumpa!' tetapi malaikat maut tidak ikut jadual saya.

Apabila berita pemergian kak KD menyapa mata, sekali lagi saya kecewa kerana tidak dapat menyertai solat jenazah di Masjid Ubudiah, Ampang. Ketika perjalanan terakhir kak KD di dunia, saya sedang dalam perjalanan untuk meneruskan kehidupan selepas perayaan.

Allahummaghfirlaha warhamha wa'afiha wa'fu 'anhaHanya inilah yang mampu saya ungkapkan buat kak KD mengiringinya dari jauh. Berehatlah kak KD, dari kecamuk dunia.

Nota lain, ayah kepada Raja Siti Afiqah meninggal dunia dua hari lepas. Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu.

05 June 2018

79: Belasungkawa: Encik Imaen @ Mohd Rosdi Mohd Zin

Pagi Isnin, secara tak sengaja membuka Facebook, status mengenai Encik Imaen yang pertama menyapa pandangan. Laju sahaja tangan mencari berita. Allah! Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. Rupanya waktu itu sudah 12 jam Encik Imaen kembali ke rahmatullah. Secara automatik, saya teringatkan Kak Su. Moga Allah berikan kekuatan dan kesabaran buat Kak Su berhadapan dengan ujian ini.

Bertangguh nak jadi friends di Facebook kerana waktu itu musim pilihanraya dan Encik Imaen yang lebih mesra dipanggil Pak Di memilih menzahirkan yang berbeza dari pilihan saya. Ada sebab mahu jadi kawan, ianya rentetan perbualan pendek di hari terakhir PBAKL tahun ini. Dan ia mendatangkan ralat di hati.

Saya pernah jadi kawan di Facebook Imaen Pengarang. Sempat berbalas komen. Masih saya ingat gambar beliau ke protes BERSIH. Jangan tanya BERSIH mana, saya sudah lupa. Kemudian beliau berkeputusan untuk deactivate akaun tersebut. Saya pula tidak aktif Facebook dari 2012 hingga 2017.

Saya sudah lupa tahun bila, tetapi Jemari Seni pernah membuka booth di AIKOL, UIAM. Acara apa pun saya sudah lupa. AIKOL tu jiran KENMS, kuliyyah saya. Cuma perlu menyeberangi jambatan. Satu ketika saya singgah, waktu itu tidak ramai orang dan saya berpeluang berbual dengannya. Lama. Saya hanya beredar apabila pelajar lain mula mengerumuni.

Ketika perbualan pendek hari terakhir di PBAKL, Pak Di mengatakan dia ingat saya pernah berbual dengannya. Saya jadi teruja. Orang yang bertemu ramai orang punya ingatan yang begitu kuat. Selain perbualan itu, saya pernah menyertai piknik JS Adiwarna tetapi saya tidak berbual dengan Pak Di walaupun beliau berada di situ. Tetapi akan saya kenang ulasan-ulasannya waktu itu.

Ralat kedua dirasakan apabila saya bersungguh request pada Kak Su dan Kak Yah, agar mengadakan piknik terakhir selepas hari raya tetapi Pak Di sudah pergi dahulu. Sekiranya JS adakan piknik pun, tentu terasa kehilangan Pak Di.

Tugas Pak Di disini sudah berakhir. Jika sesiapa mengikuti penulisan Pak Di, sering beliau menyisipkan isu ekonomi dan politik. Pada saya, susah untuk menemui karya sebegitu. Sebab itu, selepas novel-novel Kak Su dan Syud, saya adalah peminat tegar karya Imaen. Yang lain saya baca juga, tapi tiga ini jadi keutamaan. Tidak dapat saya nafikan, apa yang Pak Di tulis tu berupaya mempengaruhi saya (walaupun 2018 menyaksikan pilihanraya lebih 3 penjuru dan kami berbeza pandangan).

Selamat berehat, Pak Di. Allahummaghrfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu.

16 May 2018

78: Ramadhan Mubarak

Segala pujian kepada Allah, dengan rahmat-Nya, kita menyambut Ramadhan kali ini dengan sinar dan harapan baharu.

Sesungguhnya, rasa ini tidak dapat digambarkan setelah makan hati bertahun-tahun. Pilihanraya ke-14 yang baru saja berlalu benar-benar menunjukkan rakyat Malaysia mahukan perubahan setelah berbagai skandal dan tekanan dikenakan. 

Meskipun si hijau masih tegar dengan pendiriannya mahu bersendirian, dia masih mengharapkan kerajaan yang kini diwakili Pakatan Harapan, tidak menganaktirikan negeri-negeri di dalam genggaman mereka. 

Ini hanyalah sebuah permulaan setelah berjaya menumpaskan tahayyul dan mitos bahawa Barisan Nasional tidak terkalah. Ini juga membuktikan bahawa Malaysia tercinta masih lagi negara demokrasi.

Hanya saya masih lagi bingung dengan suasana negeri Pantai Timur yang kini duanya di bawah PAS, satu BN. Negeri saya terutamanya. Bagaimana mahu membuka minda rakyat negeri ini, tidak kira berada di luar mahupun setempat, agar mempunyai pemikiran seperti Tok Janggut dan Tok Kenali. Mereka adalah tokoh yang berfikiran global tetapi aksinya di tempat sendiri. Yang ada adalah pemikiran yang jumud dan ditakut-takutkan. Moga Allah tunjukkan jalan.

Sambutlah Ramadhan dengan jiwa yang terbuka... Ramadhan tetap akan berlangsung meskipun kita ternanti-nanti 10 janji 100 hari Pakatan Harapan. 

Tahun ini persiapan Ramadhan kurang kencang. Entah apa faktornya. Rancangan juga tidak ada. Perasaan tidak tentu hala. Moga di Ramadhan, semuanya lebih baik dan mampu diteruskan ke bulan-bulan lain. 

Ramadhan yang ku rindu kini menjelma. Ramadhan Tajalla, Ramadhan Mubarak!

09 April 2018

77: Mengurus Keadaan

Saat berpuasa sunat, selain ianya ibadat untuk Allah, ianya anjuran bagi memperkuatkan diri menghadapi sihir. Doa orang berpuasa sesungguhnya tidak ditolak.

Sihir itu sentiasa mendatangi. Wallahu a'lam bis-showab. Selalu orang tanyakan apa mahunya sang pelaku? Sungguh saya penat mencari jawapan. Yang saya tahu dan jelas, saya mahu semua ini dihentikan dan ditarik balik.

Saat ini saya mendoakan adik beradik saya serta sepupu yang turut sama terkena sihir agar kuat melawan sehingga menang. Sihirnya berbeza mengikut orang. Telah 12 tahun saya hadapi, berkali-kali saya harapkan kematian ketika tidak mampu menggerakkan fizikal.

Prestasi diri merosot. Aktivisma semakin terhakis. Saya cuma berjuang untuk kehidupan dan akal yang waras. Saya sedaya upaya menghargai fizikal agar sihat supaya dapat beribadah dan mencari rezeki menampung kehidupan.

Untuk ayahanda dan bonda, sungguh sihir itu tidak mampu memisahkan kalian dan semoga ia tak akan pernah berhasil.

Untuk diri sendiri, yakinlah Allah Maha Melihat dan Allah Maha Menjaga, kerana sihir yang berhasil ini dengan izinNya bagi menguji hambaNya. Suatu hari saya pasti akan pulang dan saya mengharapkan pertemuan saya denganNya. Moga saya juga diizinkan bertemu Rasulullah.

Untuk adik-adik saya, terus melawan dan berkongsi apa yang dirasa. Thaghut itu tidak akan menang. Mari kita jaga hubungan sesama kita. Mari kita jaga sesama sendiri. Dan mari kita berlapang dada sesama kita. Kita perlu saling memahami sihir ini membesarkan perkara kecil dan menyuburkan negativiti.

Buat sepupu-sepupu berkenaan, usah mengalah! Biar dikata gila, hanya kita yang 'melihat' dan merasa sakit. Maka kita akan terus melawan sampai mereka tersungkur atau dijemput Ilahi.

Allah itu sentiasa ada dekat dengan makhluk. Dan Dia sentiasa mendengar rintihan hambaNya.