.

.

27 August 2015

Amanah

Apabila dibangkitkan semula isu tahalluf siasi, saya terasa begitu jahil dan asing. Rupanya istilahnya sahaja yang menyebabkan saya bingung. Rupanya saya faham pelaksanaannya tanpa mengetahui istilah. Macam baca al-Quran secara tartil dan bertajwid tapi bila tanya hukum? Tak dapat ingat.

Ketika PAS mula mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur perpecahan khususnya Pakatan Rakyat, saya sekadar memerhati. Bertenang, segelintir sahaja yang begini. Saya pujuk diri. Namun, apabila ia semakin menjadi-jadi, saya hilang arah. Saya bukan ahli PAS tetapi menaruh harapan yang tinggi pada PAS selaku parti tunggal yang melaungkan perjuangan Islam meski tidak menepati 'citarasa' kefahaman peribadi.

Pada saat PAS mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dianggotai oleh bangsa bukan Melayu dan tidak beragama Islam, pimpinan PAS mula syok sendiri. Kenyataan demi kenyataan saya perhatikan, tidak mengambil kira langsung hati-hati penyokong bukan Islam dan bukan Melayu. Padahal undi dan sokongan mereka sama penting dengan golongan Melayu Islam. Kita semua warganegara yang mempunyai hak sama; memilih pemimpin.

Membaca catatan Khalid Samad di web GHB, saya mengimbau saat almarhum TGNA yang seringkali memurnikan semula pendirian-pendirian yang berbaur perpecahan. Allahu a'lam. Namun suasana hari inilah yang saya bimbangkan apabila mendapat berita TGNA kembali kepada Rabb beberapa bulan lalu. Bukan sahaja TGNA, waktu almarhum UFN pun perasaannya sama. Cuma, waktu itu saya mampu menenangkan diri kerana masih ada TGNA.

Menjelang Bersih 4, PAS semakin agresif menunjukkan perasaan 'unsecure'. Berbagai tohmahan dilemparkan yang mana PAS cuba mempopularkan diri sebagai organisasi tunggal 'keagamaan' sebenar. Membandingkan kekuatan unit Amal dan ARIF adalah suatu perkara yang saya rasakan paling 'ridiculous' di mana, hanya PAS lah yang beramal dengan Islam dari segi pergaulan. Mengapa highlight pergaulan sedang pimpinan kamu tidak menjaga perkataan?

Kita masih dalam proses bereksperimen untuk melihat demokrasi sebenar. Landskap politik Malaysia ini kita mahu ubah agar UMNO tidak lagi berdiri angkuh dengan kuasa kuku besi berselindung di sebalik demokrasi. Kita tidak hanya mahu #NajibTurun tetapi kita mahu memberi pengajaran kepada semua yang menyalahgunakan kuasa. Kuasa ini buat manusia gelap mata seterusnya mengenepikan semua demi mengekalkan kuasa. Kuasa yang menidakkan undang-undang. Kuasa yang membolehkan mereka menyamun dan merompak serta mengenakan 'caj perkhidmatan' atas satu transaksi atau pengurusan projek melibatkan aliran wang negara.

Kita mahu buktikan bahawa suara semua warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas lebih berkuasa dari kuasa yang dimiliki ahli politik. Tidak kira mereka UMNO, MIC, MCA, Gerakan, PKR, PAS, DAP, GHB atau siapa jua. Dan kita tidak mahu pemimpin yang tidak bermoral dan tidak berakhlak. Kita juga tidak mahu pemimpin yang sentiasa mendabik dada dan hanya tahu memekik merekalah paling ikhlas dan paling benar. Apakah amal perbuatan bukan gambaran nafsu?

Kuasa adalah amanah, bukan milik total individu. Sokongan akan sentiasa diperolehi bilamana prinsip perjuangan itu konsisten dan selari dengan perbuatan dan perkataan. Namun, apabila ia bercanggah bersiap sedialah menerima tentangan. Dan ini adalah terjemahan iman!

Moga Allah ampuni kita semua.

No comments: