.

.

31 August 2015

BERSIH 4

Sebulan lalu, apabila mendapat tahu penganjuran BERSIH 4, hati meronta ingin turut serta. 3 Bersih tiada peluang... Maka BERSIH 4 saya nekad untuk ambil bahagian. Perkara pertama adalah kawan.

29 Ogos 2014

Dengan makcik Yan, saya melangkah ke lokasi. Dihantar kak Zanirah ke LRT berdekatan, kami ke Sogo. Sebelum bertolak, saya dapatkan bekalan makanan dan kami juga menunaikan solat Zuhur.

2.05 pm - Setibanya di Sogo, kami meredah lautan kuning mencari port yang sesuai. Saya kelaparan. Duduk dan buka bekal. Ucapan demi ucapan berlangsung. Saari Sungib, Wan Azizah, Rafizi Ramli, Azmin Ali dan ramai lagi. Line internet mula terganggu.

3.10 pm - mula berarak ke Dataran Merdeka. Team up dengan makcik Lina, kak Anfaal dan abang Ammar. Lautan manusia ni kita perlu berada dalam team. Pandang kiri kanan depan belakang... Ya, seperti dalam laporan, majoriti yang turun adalah Cina.

3.47 pm - duduk di atas jalan. Vuvuzela mula menjadi halangan peserta mendengar ucapan. Tetap duduk tidak berganjak. Asap rokok serta vape juga mengganggu keselesaan.

Kami diajar lagu:
Walau panas atau hujan
Kau tetap bersama kami
Di jalanan bersuara
Rakyat Malaysia

Terima kasih
Terima kasih
Abam polis

Menjelang Asar, saya mula susah hati. Kerana tidak tahu jadual perjalanan program selama 34 jam, masuk saja waktu solat, terus solat sambil duduk. Wuduk? Hmmm.. Perlu kreatif dalam keadaan begini.

Antara yang berucap di sini ialah Tuan Haji Nahar dan Lim Guan Eng. Ramai yang berucap tapi begitulah, bukan boleh fokus. Tapi semuanya berkisahkan matlamat BERSIH 4.

Satu perkara yang saya tidak suka ialah bendera parti PKR dan slogan Bebas Anwar. Kita berkumpul untuk 5 tuntutan. Kita tidak melupakan Anwar, tetapi tak usahlah bawa sentimen itu di sini. Hormati penganjur dan peserta yang 'tidak favor' Anwar.

6.00 pm - majlis berehat. Saya dan makcik Yan bergerak ke masjid Jamek. Duduk di sini barulah nampak wajah-wajah Melayu Islam serta orang-orang yang dikenali. Dalam perjalanan, saya katakan pada makcik Yan, "inilah suasana Mina, kan?"

Dari whats app, kami dapat maklumat solat berjemaah akan diadakan di dataran depan pentas. Pada masa yang sama, ABIM juga menganjurkan solat hajat di Masjid Jamek. Saya dan makcik Yan memilih dataran. Kami juga sampaikan maklumat berkenaan kepada orang-orang kami kenali.

Azan Maghrib berkumandang. Pengumuman solat akan diadakan dan peserta diseru berwuduk menggunakan air mineral. Demonstran memberi ruang kepada kami untuk menunaikan solat. Mereka juga bekerjasama untuk diam seketika. Vuvuzela hanya kedengaran dari jauh, bukan berdekatan.

Lelaki dapat banner besar sebagai alas solat. Manakala perempuan cuma sebaris. Kami solat tanpa buka kasut. Ia umpama program street solat. Usai Maghrib, solat hajat pula. Selepas itu diikuti tazkirah Maghrib oleh Tuan Haji Nahar.

Sementara menanti waktu Isyak, Mandeep membuat pengumuman berkenaan keselamatan. Waktu Isyak, yang Muslim terus tunaikan fardhu Isyak.

Pengumuman berkenaan tahajjud dan qiamullail akan diadakan esok pagi dibuat.

9.00 pm - program bersambung semula. Saya dan makcik Yan bercadang pulang jam 10 malam. Jadi kami berjalan-jalan sementara program terus berlangsung.

Dalam perjalanan ke LRT Masjid Jamek, saya dapati ada sesi lain di satu sudut. Malah, jam 9 malam sudah ada yang tidur di atas jalanraya. Apabila sudah mendapat akses internet, barulah tahu bahawa ada kuliah UTAM. Di lorong yang sedikit jauh dari dataran, ada satu lagi pentas yang tidak kurang rancaknya.

Saya dan makcik Yan tidak ingin pulang tetapi kami punya tanggungjawab dan jadual lain esok hari. Tetapi kami akan datang lagi selepas selesai urusan kami.

Saya hantar mesej kepada kak Zanirah minta bantuan untuk ambil kami di stesen LRT. Lebih kurang jam 11 malam, tiba di rumah.

Hari pertama: 8 jam

30 Ogos 2015

Selesai program hari ini, saya terus bergerak ke Dataran Merdeka. Sebelumnya, di media sosial diberitakan Tun M dan Tun Siti muncul di Pasar Seni. Hari sebelumnya, mereka berdua muncul di Dataran Merdeka.

Tiba di masjid Jamek jam 7.10 malam. Hantar sms pada makcik Yan maklumkan mahu berwuduk di Masjid Jamek sebelum ke dataran. Hari ini presiden IKRAM diwara-warakan akan memberikan tazkirah Maghrib.

7.20 pm - ternyata crowd hari ini berbeza dari semalam. Orang dilihat lebih ramai. Lautan manusia berarak dan bunyi bingit vuvuzela perlu saya harungi. Redah dan redah hingga tiba ke depan pentas. Di pertengahan jalan, isyarat supaya diam diberi. Rupanya sudah masuk waktu solat Maghrib.

Usai solat Maghrib dan sunat hajat, Husam Musa diberi peluang berucap. Dikhabarkan beliau tidak sihat dan dinasihatkan supaya tidak hadir ke BERSIH 4 namun beliau tetap terpanggil. Usai ucapan beliau, Presiden IKRAM memberikan tazkirah Maghrib.

Tazkirah Maghrib berkisar amar ma'ruf nahi munkar dan berkenaan pemimpin dan keadilan sosial. Perumpamaan kapal menarik perhatian saya. Yang mana, tidak kira yang diatas atau yang dibawah buat salah dan pentingkan diri, seluruh kapal berhadapan risiko karam.

Acara solat Isyak ditiadakan kerana waktu yang terhad. Tirai acara dibuka dengan persembahan BangsArt. Sebelumnya perkongsian pengalaman beberapa peserta. Saya tertarik dengan ungkapan nenek Damiati dari Bentong, "...yang di dalam hutan sudah keluar..."

Ucapan demi ucapan berlangsung. Rafizi, Dr. Siti Mariah, Tijah mewakili orang Asal, ketua persatuan kumpulan flight attendan, Mat Sabu, Wan Azizah, wakil masyarakat India (ayahnya datang satu kapal dengan ayah Tun M, Tun M sudah jadi Melayu beliau masih India), setiausaha parti Sosialis, Lim Kit Siang, makcik Nashita dan anaknya Asiah, Fadiah Nadwa, steering committee BERSIH 4, Ambiga, Ustaz Ahmad Awang, Maria Chin dan lain-lain diselangi persembahan-persembahan menarik.

Lebih kurang jam 11.20 malam, kedengaran bunyi letupan. Namun MC menenangkan kami.

Menjelang jam 12 malam, saya menyertai makcik Yan dan pakcik Othman bergerak ke LRT. Dalam perjalanan sempat kami sumbangkan sedikit bakti mengutip sampah.

Dalam perjalanan, jumpa orang jual t-shirt, terus beli 2 helai atas permintaan.

12.03 am - sedang memanjat tangga masuk ke stesen LRT, lagu Negaraku berkumandang.

Hari kedua: 5 jam

Jumlah 13 jam tidak mampu menyaingi mereka yang berada di sana selama 34 jam berhujan dan berpanas.

Pengalaman perhimpunan yang benar-benar aman. Lebih utama, kerjasama yang baik dari pihak polis. Helikopter lalu, kami lambai. Drone malaysiakini lalu, kami lambai. Semuanya mahu dilambai. Perhimpunan yang dilabel haram dan baju kuning bernombor 4 diharamkan.

Tahniah warga Malaysia yang telah menjayakan perhimpunan 34 jam ini! Kita telah menjadi sejarah...

No comments: