.

.

27 April 2015

Ahad 19 April 2014

Mendoakan keluarga makcik terutama anak-anaknya tabah. Hari pertama belum terasa. Lepas ni cabarannya.

Pak Chik (gelaran kami pada arwah) berusia 45 tahun manakala Chik (panggilan manja) berusia 41 tahun. Alhamdulillah, bila Pak Chik mendapat serangan angin ahmar lepas asar hari Sabtu, Chik dah redha untuk menghadapi kehilangan.

Arwah Pak Chik meninggalkan 7 orang anak berusia antara 3 hingga 16 tahun.

Kata XueJah; 3 orang dalam keluarga kami yang sebaya. Pak Chik, Ayah Teh dan Pak Teh (PokNe). Satu sudah pergi.


Denial

Saat saya menatap mesej jam 5 pagi, saya tidak percaya. Saya tidak dapat khabar Pak Chik sakit mahupun kemalangan. Mesej yang penuh tanda tanya. Hanya seketika sebelum subuh saya mendapat pengesahan. Saya bertanya soalan tetapi tiada jawapan.

6.30 pagi. Otak ligat mencari jalan mahu mendapatkan maklumat. Lalu saya menghubungi XueJah. Xue sudah hendak bertolak dari Kampar jam 7 pagi. Sudah tentulah saya tidak sempat mengejarnya dari Klang!

Saya hubungi nombor 5 bertanyakan mahu pulang atau tidak. Dia mamai tidak tahu apa yang berlaku. Saya hubungi ayah mengatakan mahu pulang. Ayah seolah tidak tahu apa yang sedang berlaku. Ya, telefon bonda mati dan mereka tidak tahu khabar.

7.30 pagi. Nombor 5 menyatakan mahu pulang. Dan saya memang mahu pulang. Minta penganjur bantu urus transport dan saya bersiap untuk ke Subang Airport.


Subang Airport

Dua tiket penerbangan jam 9.45 pagi.

"Awak di mana?"

"KL Sentral."

"Ha? Naik teksi!"

Aduhai adik. Ini kecemasan! Mujur kakak kaunter Malindo bantu untuk check-in!


Kami tidak sempat jua. Terlewat 10 minit gara-gara trafik yang lembab.


Kenangan

Pok Chik adalah keluarga kami sejak 1998. Sejak 1998, saya tak perlu naik bas ke rumah atuk di hari raya. Pok Chik akan singgah ambil kami. Sebelum itu, adalah beberapa kali naik bas. Sekali tu, Pok Chik jemput kami di stesen bas bila dia tahu kami nak ke rumah atuk menaiki bas.

Dengan Pok Chik, kami yang muda boleh berbicara macam-macam isu dari politik sampai ke hal mengaji. Pok Chik kadang-kadang jadi motivator. Pok Chik jugalah melayan kegilaan kami nak tonton hindi movie masa musim itu.

Pok Chik mengajar kami kepentingan pengetahuan mengenai kereta.

Pok Chik mengajar kami tak usah berkurang ajar dengan orangtua kerana berbeza fahaman politik. "Mereka sudah tua, kita yang sekolah ni biar lebih cerdik," katanya dulu.

Pok Chik juga mengajar kami kepentingan menabung secara tidak langsung.

Baru saja hujung bulan Mac, Chik ceritakan hadiah yang diberi Pok Chik. Sedih. Sebak.


Anak-anak

Wajdi. "Kita jual lah rumah kita tu umi, kita duduk rumah atuk."

Pesan saya untuk Kak Ya, "Kalau ingat dekat abah, doakan abah, baca Quran untuk abah."


Monolog diri: orang baik selalu cepat pulangnya. orang lain sakit dulu, orang lain balik dulu. Allah, ampuni Pok Chik, rahmatilah dia.

14 April 2015

Mencari Ikhlas... Sudahkah Bertemu?

Seringkali kita mendengarkan ucapan, nak bertudung kena ikhlas. Buat ibadat kena ikhlas... Ikhlas itu di mana?

The question keep puzzles in my mind. Cakap orang putih sekali sekala. Saya dah tak confident macam dulu. Walaupun bahasa orang putih dah jadi bahasa perbualan sehari-hari sebab persekitaran kerja dengan bukan orang Malaysia.

Ikhlas itu di mana? Apa rupanya? Macam mana nak kenal? Cukup ke sekadar mengetahui maksud ikhlas di dalam buku? Saiz dia macam mana? Cantik ke tidak? Ada jual tak di kedai? Apa ukuran dia? Apa measurement dia? Ada sales tak? Kena GST tak?

Soalan-soalan yang buat sesiapa yang membaca berfikir. Paling-paling tidak akan kata, "apa kaitannya?" ataupun, "betul ke tidak penulis ni?" Hashtag husnuzhon.

Ikhlas ni kompleks. Cerita tentang ikhlas, saya amat gemar memetik scene di dalam filem Kiamat Sudah Dekat. Sebab lebih senang untuk difahami.

Ikhlas dari segi definisi, kata akarnya kho-la-so. Maksudnya habis, finish. Teringat guru-guru bahasa Arab akan tanya, "Kholas?" yang membawa konteks, "dah siap?" bila diberi masa menjawab latihan atau peperiksaan.

Yang saya nak cerita adalah, ikhlas tu tak ada piawai tertentu. Tetapi kita mengenalnya lewat perbuatannya, perkataannya, buah fikirannya. Ikhlas tidak dapat dilafaz. Tetapi dikenal melalui prosa yang digunakan.

Mengapa saya bangkitkan mengenai ikhlas? Kerana perintah itu mesti dilaksanakan. Siapa kata ada option? Larangan pula mesti ditinggalkan. Tidak dapat tidak. La budda.

Boleh pilih masa nak buat? Oh, waktu ajal tu kita boleh set ye dengan malaikat izrail pencabut nyawa? Masuk dalam google calender, set reminder, alarm berbunyi kita snooze dulu; tak juga bertaubat, macam mana? Takkan nak minta second chance yang pasti tak dapat...

Ketahuilah hakikat sebagai hamba. Setiap saat yang kita lalui ini bakal diaudit, dihisab. Masa amat berharga. Cara kita menggunakan masa juga boleh jadi indikator ikhlas. Ingat, bukan manusia yang menilai.

Akhiran, melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya itu sebahagian dari ibadah, maka berusahalah untuk melaksanakannya sekalipun dalam keadaan terpaksa memaksa diri.

13 April 2015

Sementara Menanti...

...makanan siap dimasak.

Orang bujang, duduk menyewa tapi semua urusan sendiri-sendiri. Jadi memang buat semua benda sendiri sendiri. Boleh kongsi masak, tapi saya lah yang tak pandai masak. Tidak adil untuk kongsi.

Saya bukan perajin. Tambah-tambah di rumah saya ada ramai orang yang akan peduli hal sampah dan kebersihan. Makan? Sejak saya dewasa ni, beli aje. Bonda masak jarang-jarang.

Bajet makan harian cuma 15 ringgit maksimum. Nak naikkan, belum berkesempatan. Kalau nak makan mewah, memang saya tengok dulu bajet hari-hari sebelum. Kalau jauh dari RM15, boleh lah bermewah sedikit. Itupun sebulan beberapa kali sahaja. Begini, barulah berbelanja ikut apa yang kita ada. Dengan cara ini juga, di hujung bulan ada baki.

Sebab itu juga, sebelum ni saya jarang shopping. Walaupun rumah sewa sebelum ni dekat dengan giant, saya berbelanja ikut apa yang ada di tangan. Kalau kita belanja dahulu, kemudian nanti jika ada kecemasan, mana nak cekau duit? Dah lah jauh dari mak ayah, simpanan di tempat pegun susah nak keluarkan... Hehe simpanan tu disengajakan. Tapi inilah realiti.

Perkara lain yang menyebabkan saya dah tak merajinkan diri masuk dapur, sebab saya malas nak buang sampah orang. Kalau saya buang sekali, dia seolah komitmen pula saya kena buang.

Makan, pada saya yang tak mahir dan tak gemar memasak, sekadar untuk kelangsungan hidup. Sesekali nak merasa makan sedap tu boleh, tapi hari-hari nak penuhi kehendak usus ni bala di kemudian hari. Obesiti contohnya. Lain-lain; kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi. Faktanya orang di Malaysia ni banyak mati sebab terlebih makan.

Kena ada falsafah makan, bukan orang beritahu sana sini sedap, pegi lah dapatkan. Nafsu makan kena kawal. Sampah pun banyak juga sisa makanan. Cuba bayangkan, ramai yang boleh makan sebenarnya jika kita tidak membazir. Homeless contohnya.

Kalau masak, biar genap-genap je. Setakat makan seorang, kos dia lebih baik beli siap. Bungkus ikat tepi. Eh? Hahaha

Berbelanja begini kena ingat pada yang mampu makan tapi takdelah sampai kita tak cukup makan. Tanda syukur tu. Sebabnya ada orang, Allah tarik nikmat makan. Selera. Sakit yang tak dapat mengunyah. Dan lain lain lagi.

Beringatlah sebelum kena. Itu saja pesanan khidmat masyarakat dari saya.

07 April 2015

Entri ke-10: POTA ~ Prevention of Terrorism Act

Tengah malam tadi, kecoh sebab parlimen masih lagi bersidang. Kerana membahaskan POTA. Bahas punya bahas, berakhir jam 2.30 pagi. [Sumber: twitter]

Saya skrol susur masa. Susur masa ni terjemahan kepada timeline. Dari sebelum tidur sampai bangun tidur, POTA belum habis dibicarakan. Mencari info mengenai POTA. Cadangan POTA di bulan berapa entah sudah boleh dibaca, tetapi rakyat marhaen macam saya, tentulah gelabah bila ia diluluskan. Nasib baik tahu juga sebelum diluluskan malam tadi. Mana peduli sebelum ini.

Sebagai orang yang membantah kekejaman ISA, mana mungkin saya boleh redha dengan POTA. Ya, terdapat rakyat Malaysia berhajat mahu berjuang angkat senjata. Malah ada yang lolos sampai ke Syria. Ada yang syahid, itu saya tidak dapat pastikan.

Harus diingat, rakyat Malaysia yang menyertai juang angkat senjata di Afghanistan tak seorang pun terlepas dari ISA, termasuklah anak kepada almarhum TGNA. Belum cerita hal Al-Maunah. Perjuangan angkat senjata ini tidak pernah direstui oleh mana-mana pemegang kuasa sesebuah negara. Jangan dilupa ahli-ahli Ikhwan yang ditangkap sejurus kembali dari peperangan Palestin. 

Undang-undang yang kejam. Tidak cukup Seditious Act untuk menutup mulut rakyat serta ahli politik tidak lupa kartunis, POTA pula. Takut dengan bayang-bayang sendiri? Ironinya, yang membentang itu merupakan bekas tahanan ISA. Alah, beliau keluar dengan senyum manis. Masa saya baca kisah ahli Ikhwan yang belot.... 

Katanya pro-POTA, yang menyalahkan 22 orang ahli parlimen PR yang gagal hadir persidangan semalam. Kegagalan untuk hadir yang menyebabkan POTA diluluskan, Tidak cukup undi untuk tidak diluluskan. Satu aspek, ianya benar. Dipilih oleh rakyat tapi sidang dewan rakyat gagal hadir, awak bawa suara siapa sebenarnya?

Di bahagian lain, POTA ini entah nak puaskan hati siapa. Setakat sedisyes pun rakyat marhaen acah-acah berani lari ke negara lain. POTA? Setakat sedisyes pun layanan tidak sama rata. Mentang-mentang pro kerajaan, tanya melalui telefon sahaja. Yang kerja membangkang, siap sarung baju penjara diiring tanpa alas kaki.

Oh, POTA ni menyenangkan kerja polis.

Pada saat ini, saya memahami tindakan Polpot. Mana ada dia bagi muka kepada penyokong mahupun pembangkang. Semua dia sapu rata.

18 March 2015

Pening-pening Lalat

Semangat merapu tu masih tinggi. Cuma masa tidak mengizinkan. Kalau ada masa, idea pula hilang. Begitulah lumrah berperang antara keperluan dan kehendak.

Sejak rahsia terbongkar memang tenang sikit. Entahlah. Bukan senang nak berahsia. Cara orang yang berilmu dan beramal tak sama dengan orang yang sekadar berilmu. Ilmu tanpa amal memang tak berguna. Tak dapat memberi manfaat di alam barzakh menanti akhirat.

Bukannya tak takut tak dapat jumpa Tuhan yang dirindu, namun manusia ni memang tak mampu nak buat semua. Tapi jangan pula lupa nak berlapang dada dengan Tuhan. Katanya percaya, tak usahlah pertikai apa yang Tuhan beri.

Mensyukuri nikmat setiap hari pun belum tentu, jadi segan juga nak minta banyak-banyak-banyak. Kerana satu kepercayaan, maka kena minta. Tutup segala pintu ke arah sangka buruk, memburuk-burukkan orang. Jangan sampai aib sendiri dijaja sana-sini.

Kadang tak sekadar aib sendiri tapi juga aib semua orang yang terlibat. Oleh itu diam adalah lebih baik. Elok-elok tutup litup sendiri pegi selak. Seksi, auwww! Seksi itu seksa, tau!

Memang tak mudah tapi kalau dulu tak pernah fikirkan, sekarang masa muhasabah. Nak baiki? Ada hal yang boleh dibaik pulih, jangan lupa ada total lost. Pulangkan pada Tuhan, serahkan pada Tuhan. Namun, perkara yang dalam kawalan perlu diambil kira.

Hidup menanti mati yang pasti macam hidup selama-lamanya. Apa guna bebankan jiwa dengan perkara di luar kawalan? Dulu tak pernah ambil kira consequences, sekarang terhegeh-hegeh?

Hidup terbentang banyak pilihan tapi kebanyakan hanya memilih apa yang dia mahukan. Diri sendiri dan diri sendiri dan diri sendiri. Selepas memilih mahu rewind? Kau ada mesin masa kah?

Masa amat berharga. Yang berlalu terlalu jauh untuk didapatkan semula. Kau sudah memilih, kenapa pilihanku tidak direstu? Hanya kerana pilihan kau menggembirakan manakala pilihanku negatif. Siapa kamu nak memaksa aku?

Ya, entri ini tuju-tuju secara spontan. Untuk ahli keluarga yang punya pertalian darah.

Paksa. Desak. Memang mahu aku gila agaknya. Tak ada insaniyatul bashar betul. Ya, mahu aku lupa? Jangan. Banyak lagi perkara penting perlu diingat.

Kena berhenti. Airmata mengalir.

12 March 2015

Entri ke lapan bagi dua ribu lima belas

Di twitter, indeks isu semasa bergantung kepada trending topic (TT) yang kadang-kadang panasnya 30 minit sahaja jarang-jarang berhari-hari. Penggunaan hashtag turut menyumbang peranannya demi mengekalkan sesuatu isu supaya diletakkan sebagai dalam pemerhatian.

Di mukabuku, maaf, saya tak layak nak komen sebab saya sudah meninggalkannya sejak dua ribu dua belas. Harap maklum.

Di blog, saya masih menggemari penulisan blog. Hanya masa yang tidak mengizinkan untuk blog walking dan mencari blog-blog best untuk dibaca. Blog-blog yang selalu diziarahi dahulu kebanyakannya sudah bersawang, malah ada yang telah menguncikannya sebab tak ada masa nak kemaskini.

Di whats app, saya meninggalkan banyak kumpulan. Cuma ada satu kumpulan tak mampu nak keluar demi maklumat kelas ada atau tidak. Percaya atau tidak, semua grup yang saya sertai tidak ada yang membawa khabar angin. Ya, saya kembali kepada niat asal berwhats app, untuk jalan-yang-diwarisi-dari-ayahanda-dan-bonda.

Di instagram, dah lama tak melepak secara serius memandangkan IG makan banyak data. Malas nak mewahkan telco demi nafsu stalking life orang dekat IG. Sikit-sikit sudah.

Dalam pada itu, kehidupan di alam realiti adalah seperti biasa. Malas juga nak hebah. Blog bukan lagi siaran langsung... Yalah, dulu tu, kalau cerita tiga hari lepas, kira dah basi. Kecuali awak adalah stok-stok terhad dan hot! Ada satu masa tu, diam sehari pun dah kecoh!

Baiklah. Entri pertama di bulan ketiga untuk tahun dua ribu lima belas.

27 February 2015

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat rahimahullah

Berita keberangkatannya diketahui ketika sedang sibuk mendengar perbincangan serius berkenaan amal kolektif. Hari Khamis 12 Februari 2015 jam 9.45 malam menurut saluran media perdana. Tidak kira jam berapa, akhirnya giliran beliau tiba jua.

Beberapa kali keluar masuk hospital, secara peribadi bersedia melepaskan tokoh awam ini yang begitu dekat dengan jiwa saya sebagai individu yang membesar di Kelantan. Kelantan adalah zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa (sebahagian). Ingin melepaskan beliau ke pangkuan Tuhan Rabbul 'Alamin kerana itulah pertemuan yang diimpikan oleh setiap mereka yang beriman.

Saya tidak dididik supaya mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi. Ketika orang berpusu-pusu mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi, saya berada di rumah. Namun saya mengenalnya lewat keluarga cikgu pencen yang punya rutin setiap Rabu malam Khamis dan pagi Jumaat mengikut 'pengajaran' beliau. Cikgu pencen juga merupakan pelanggan tetap akhbar Harakah.

Awalnya saya cuma mengenalnya sebagai Menteri Besar Kelantan. Masih buta politik tetapi mengenal bulan dan warna hijau putih sebagai lambang PAS. Malah, jika meminati warna biru ketika itu akan diejek sebagai BN dan ia sebagai lambang orang jahat. Itu zaman kanak-kanak saya. Usah dikritik. Kena tidak kena, ia sudah berlalu.

Apabila meningkat dewasa, terutama selepas era pemecatan DSAI dari takhta Timbalan Perdana Menteri, saya mula berkenalan dengan landskap politik Malaysia. Saya pernah dilibatkan dengan perbincangan sebuah parti politik semasa usia belum 20 tahun! Rekrutmen? Pada saya itu sebuah pengalaman. Apa kaitannya dengan TGNA?

Selepas peristiwa 1998, landskap politik Malaysia berubah. Tidak keterlaluan jika saya meletakkan sebanyak 180 darjah. Penulisan yang tertangguh menyebabkan saya kehilangan idea.

Bibliografi beliau saya khatamkan ketika usia remaja. Satu-satunya bibliografi ahli politik lokal yang saya baca ketika orangnya masih hidup. Waktu itu baca sekadar baca macam buku cerita, buku sejarah. Selepas itu saya ikuti blognya.

TGNA merupakan orang yang saya hormati lagi saya kasihi. Luasnya pengetahuan dan pemikiran. Jika kebanyakan ahli PAS terlalu memandang kelompok mereka paling baik, tidak boleh bercampur dengan yang lain, TGNA berbeza. TGNA mengalu-alukan badan-badan lain yang mempunyai persamaan mesej seperti PAS untuk bekerja bersama. Sesuai dengan motonya, "Membangun Bersama Islam." Bukan mencantas sedikit perbezaan.

Kala keberangkatannya, perkara pertama yang muncul adalah masa depan pakatan rakyat. 2014 menunjukkan kemerosotan hubungan sesama ahli PR. Muncul berita demi berita termasuk berita PAS yang kononnya mahu bergabung dengan UMNO. Perjuangan TGNA begitu konsisten dari muda hingga akhir hayat di bidang politik. Saya melihat satu perspektif, TGNA begitu mengenal sepak terajang dunia politik.

Politik sesuatu yang tabu. Politik digelar tong taik. Tetapi adanya orang seperti almarhum sebenarnya mengubah persepsi. Ulama' yang umara'. Ulama' yang warak. Meski saya bukan pendengar tegar ceramah-ceramah beliau, namun apa yang saya dengar dari beliau begitu dekat di hati. Tidak bercanggah dari apa yang diajar dalam silibus KBSM.

Apa yang paling saya suka tentang almarhum ialah intonasi suaranya. Saya begitu anti dengan ceramah-ceramah politik. Cuba lihat cara Najib di pentas ceramah politiknya. Lihat Anwar Ibrahim bila berucap di hadapan penyokongnya. Perbezaan ketara adalah gaya ucapannya. Almarhum TGNA, waktu memberi kuliah mahupun di pentas ceramah politik, nadanya sama. Apa yang dibawa tetap sama. Hanya pentas yang berbeza. Sebab itu apabila media massa memburuk-burukkan beliau, saya tidak mahu dengar. Saya tutup segala sumber.

TGNA akan terus diingati. Saya sukakan keberadaan beliau di tengah kemelut politik. Samar-samar dalam ingatan saya, beliau lah yang mendamaikan antara ketiga parti yang berpakat. Jika PAS terus tegar dengan pendirian yang bercanggah dengan pendirian PR, ahli-ahli PAS sebenarnya tidak mampu mendokong apa yang TGNA ajarkan. Sana-sini berforum mengingati murabbi, tetapi tak lain sekadar interest peribadi.

Saya tidak pasti berapa ramai yang seusia TGNA di dalam PAS. TGHH adalah generasi sezaman dengan DSAI juga almarhum Dato' Fadzil Noor. TGNA menggalakkan perpaduan, siapa kata kita berpecah? Jika benar menghormati TGNA, saya cuma mengharapkan PAS kembali kepada asas mengapa dulu bergabung dengan PR.

Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu. Damailah TGNA di sana menanti sebuah pertemuan abadi.