.

.

08 January 2016

Madaya, Syria

Luluh perasaan membaca berita dari Syria. Madaya dikepung oleh pemerintahnya sendiri, kerana melawan kerajaan.

Madaya diancam kebuluran. Orang-orangnya kurus menampakkan tulang. Tua muda kanak-kanak semua tidak terlepas.

Madaya menggamit peristiwa boikot ke atas bani Hashim selama 3 tahun kerana dakwah Nabi Muhammad, hingga mereka memakan kulit pokok.

Madaya memanggil kita, masyarakat antarabangsa... sudahkah kita menyahutnya?

Madaya, moga kamu yang terkorban dikurniakan syahid.

Madaya, bertahanlah melawan kezaliman.

Madaya, Allah bersamamu!


Sungguh perasaan ini, ingin berada bersama mereka. Namun, apakan daya. Luluh perasaan mengingatkan nasib mereka.

Syria masih belum bebas dari regim al-Assad. Satu demi satu menimpa. Dari pemberontakan kerana grafiti yang dibuat oleh kanak-kanak hingga ke hari ini masih belum selesai. Sedang Mesir yang menerima impak Revolusi Jasmin jatuh semula.. Rabaah masih berlangsung saban minggu saban hari.

Dari pergolakan ISIS, pelarian yang lemas, dan hari ini Madaya. Mengirimkan doa dan harta adalah paling minima buat mereka.

Alaisa as-subhu biqarib?

29 December 2015

Akhir Tahun 2015

Sejak cik Sony merajuk, memang tak ada mood nak tambah entri. Walhal banyak perkara berlaku.

2015, berlalulah.

2016, selamat datang!

Entri terakhir bagi 2015? Tak tahu.

Menjelang 2016, saya kuncikan hati dan lupakan kata kuncinya. Ngeri untuk buka semula. Biar ia terkurung tidak nampak dunia dari terdedah kepada bahaya yang tidak tertanggung.

31 Disember adalah ulang tahun yang mengerikan. Biarkan ia.

Doa dan pengharapan pada Tuhan.

22 November 2015

A message

Ada seseorang yang saya sudah berkali-kali beritahu, saya tak mahu jumpa mahupun berkomunikasi dengannya walau apa jua cara. Dengan itu, saya beritahu pula di sini, walaupun sudah saya minta seseorang sampaikan. Tak usah cuba-cuba muncul kerana anda mengganggu ketenteraman hidup saya.

Anda tahu siapa diri anda. Sudah berkali-kali saya sampaikan pesan. Tindakan anda yang pada saya adalah degil, menyebabkan ramai orang saya tidak peduli termasuk orang-orang yang Allah perintahkan supaya berbuat baik. Anda adalah salah satu sebab tekanan untuk saya. Sila jauhkan diri anda.

Anda telah membuat pilihan hidup anda sebelum ini, maka biarkan saya dengan pilihan saya. Jiwa saya, setakat ini tidak mudah goyah.

Saya tidak bermaksud untuk bermegah atas kemampuan berdiri sendiri. Tetapi saya hari ini adalah hasil dibiar menyendiri hingga pendirian ini terbina. Maka, jangan sesekali dicabar kerana saya sanggup berbuat apa sahaja agar tidak diganggu gugat.

Ya, saya hari ini sudah tidak sama dengan saya pada tahun 2011, untuk anda khususnya. Harap maklum.

PS: tidak perlu tinggalkan sebarang komen kerana ia pasti dibuang tanpa dibaca. Ya, saya halang anda untuk hubungi saya apa jua cara sekalipun.

15 October 2015

Analisa pendirian dan pemikiran

Saya tidak tahu mahu bermula di mana. Tercampak ke satu arena yang tidak pernah termimpikan sekarang sudah pandai bermimpi. Inilah yang dikatakan rencana Tuhan, kan?

Saya tidak pernah berada di tengah gelanggang itu. Cuma bermain di tepian. Masuk jarang-jarang waktu diperlukan. Itupun bukan sebagai pemain utama. Setakat level buruh kasar. Tertolak masuk ke dalam gelanggang adalah perkara yang disangka. Level mana? Belum muktamad.

Alahai. Saya tidak pasti perkataan bahasa Melayu yang sesuai untuk statement. Penyataan? Yang ingin saya nyatakan disini bahawa kenyataan media 'mereka' tiada kelangsungan serta tidak menampakkan penyatuan (tidak selari). Mereka mendabik dada apabila berjaya menyingkirkan golongan profesional. Tetapi, sekarang mereka membayangkan jenama mereka masih terbahagi dua.

Siapa mereka? Awak rasa siapa? Saya rasa saya tak mahu sebut siapa.

Mereka sebenarnya telah buat saya keliru. Nasib baik pembimbing-pembimbing saya tidak. Jika tidak, tentu saya pun ditipu dan kena tipu. Kita, bila belajar, cari lah banyak guru/pembimbing/rujukan. Bukan berpandu pada satu guru. Yang mana satu yang nak dipakai? jika ada 3 guru, 2 darinya berlainan latarbelakang berpendapat yang sama, maka itulah dia. Selepas itu, pantau pula kelangsungan dan manfaatnya dalam kerangka yang besar. Jika kerangkanya kecil, maka tinggalkanlah kerana wawasan Islam ini besar!

Wawasan Islam ini melangkaui warna kulit, bangsa, agama dan sempadan negara. Wawasan Islam tidak mengundang perpecahan bahkan menggalakkan titik persetujuan bersama. Persetujuan melalui perbincangan, perbahasan dan penghujahan hingga menemui persefahaman perdamaian. Islam tidak mengajar kita agar patuh membuta tuli. Bahkan dalam soal solat pun, imam 4 mazhab bersepakat, jika kamu menemui hujah yang lebih sahih maka tinggalkan ijtihad mereka. Inikah pula hal kepartian yang masih hijau usianya (berbanding fiqh solat).

Cenderung kepada keterbukaan tidak bermakna kita tunduk sesama manusia... kita semua bersetuju bahawa perhambaan sudah tidak ada. Kita semua tahu risalah nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk semua, tidak terhad kepada bangsa tertentu. Mengapa mesti kita sempitkan rahmat itu kepada Melayu dan Islam? Walhal kita berada di dunia yang sama, menghirup udara (berjerebu waktu ini) ini sama-sama..

Berfikir di luar kotak tidak menjadikan anda liberal. Berfikir di luar kotak membawa pemikiran anda ke dimensi dakwah yang lebih besar. Dakwah adalah tawaran berbentuk penerangan. Persetujuan tidak semestinya penerimaan tetapi yang lebih penting adalah persefahaman. Jika sudah faham tetapi masih tidak bersetuju, di sana kita serahkan kepada mereka yang lebih memahami sepak terajang gelanggang ini.

Faham disini membawa maksud, penerimaan dan penolakan berdasarkan maklumat yang jitu yang tidak mempunyai pertikaian sama sekali. Apa yang saya lihat dari luar gelanggang, penyampaian maklumat tidak ada apatah lagi nak capai persefahaman akhirnya 'bertekak' di media massa. Kronologi yang tidak selari.

Gelanggang ini tiada fiqh yang muktamad, ijtihadnya terbuka. Jangan disempitkan dengan ideologi dan kecenderungan peribadi yang membataskan penerimaan manfaat. Gunakan akal sebaik-baiknya agar jadi ulul albab, bukan berfikiran lembab.

24 September 2015

Eidul Adha Mubarak

Ibadah Korban

Berlegar-legar di timeline twitter bahawasanya ada yang memilih yang murah sedangkan itu ibadah. Lalu justify pilihan sendiri tahun ini. Entah. Ibadah korban ni sunat muakkad. Ada satu tahun terpaksa lupakan ibadah ini sebab nak bayar deposit sewa bilik. Tahun mula-mula lagi lah! Kongsi ramai-ramai satu bahagian, punyalah nak belajar...

Nak kata pilih yang murah sebab kedekut... sebenarnya ekonomi kita menuntut supaya memilih yang lebih berpatutan dan ia mestilah memenuhi kriteria mampu. Jika memang kedekut, tak boleh nak kata apa-apa. Tahun ini pemilihan bukan sebab kemampuan tapi sebab lokasi. Dan, tanpa disangka-sangka, harga 1 bahagian lembu di dalam negara lebih RM500!

Jadi, pada saya, ia adalah bergantung pada kemampuan. Selain itu adalah terpulang pada pilihan masing-masing dari segi lokasi. Korban khas hantar daging yang ditinkan ke Palestin cuma RM400 tahun ini. Selain ini, RM420. Ke Syria, RM880. Ini dibawah program Qurban anjuran MyCare Malaysia.

Galakkan diri untuk berkorban, itu lebih utama.

Khutbah Hari Raya

Tiba-tiba tersedar, bahawa selain mahukan anak setampan Nabi Yusuf (padahal Nabi Muhammad pun kacak dan tampan juga), kita juga perlu impikan anak setaat Nabi Ismail... padahal perintah tu dalam mimpi, boleh pertikai... tapi Nabi Ismail memilih taat sekaligus memadam keraguan ayahandanya. Bukan hal korban sahaja, malah bab pasangan hidup! Padahal nabi Ismail ni cuma jumpa ayahandanya beberapa kali sahaja seumur hidup.

Dengar khutbah tapi tak bawa alat mencatat... sedih! Smartphone sedang merajuk. Pening kepala saya... hehe. Tapi suka, khatib sebut tentang muamalat dengan non-Muslim dengan cara yang baik. Dengar cerita di satu felda di Pahang, siap sebut parti tertentu sebagai musuh..

Ada lagi tapi sudah lupa.

Merayakan Eidul Adha

Sudah kali ke empat berhari raya sendiri. Sebagai introvert, memang tak reti nak bersosial jika tiada yang mula. Jadi, hari raya memang sekadar menghadiri solat sunat eid dan mendengar khutbah. Tambah-tambah tak suka nak cerita personal dan berkait keluarga, jadi lebih baik menyendiri.

Pengorbanan

Berkorban sampai terkorban. Apa sahaja demi menyelamatkan pegangan, pendirian dan perasaan. Tak minta pengertian. Dan sekarang, sokongan pun letak tepi. Tak lagi harap apa-apa dari manusia walau kerabat kerana harapan dimusnahkan setiap kali. Jika terjatuh lagi, takkan mampu berdiri lagi untuk selamanya.

31 August 2015

BERSIH 4

Sebulan lalu, apabila mendapat tahu penganjuran BERSIH 4, hati meronta ingin turut serta. 3 Bersih tiada peluang... Maka BERSIH 4 saya nekad untuk ambil bahagian. Perkara pertama adalah kawan.

29 Ogos 2014

Dengan makcik Yan, saya melangkah ke lokasi. Dihantar kak Zanirah ke LRT berdekatan, kami ke Sogo. Sebelum bertolak, saya dapatkan bekalan makanan dan kami juga menunaikan solat Zuhur.

2.05 pm - Setibanya di Sogo, kami meredah lautan kuning mencari port yang sesuai. Saya kelaparan. Duduk dan buka bekal. Ucapan demi ucapan berlangsung. Saari Sungib, Wan Azizah, Rafizi Ramli, Azmin Ali dan ramai lagi. Line internet mula terganggu.

3.10 pm - mula berarak ke Dataran Merdeka. Team up dengan makcik Lina, kak Anfaal dan abang Ammar. Lautan manusia ni kita perlu berada dalam team. Pandang kiri kanan depan belakang... Ya, seperti dalam laporan, majoriti yang turun adalah Cina.

3.47 pm - duduk di atas jalan. Vuvuzela mula menjadi halangan peserta mendengar ucapan. Tetap duduk tidak berganjak. Asap rokok serta vape juga mengganggu keselesaan.

Kami diajar lagu:
Walau panas atau hujan
Kau tetap bersama kami
Di jalanan bersuara
Rakyat Malaysia

Terima kasih
Terima kasih
Abam polis

Menjelang Asar, saya mula susah hati. Kerana tidak tahu jadual perjalanan program selama 34 jam, masuk saja waktu solat, terus solat sambil duduk. Wuduk? Hmmm.. Perlu kreatif dalam keadaan begini.

Antara yang berucap di sini ialah Tuan Haji Nahar dan Lim Guan Eng. Ramai yang berucap tapi begitulah, bukan boleh fokus. Tapi semuanya berkisahkan matlamat BERSIH 4.

Satu perkara yang saya tidak suka ialah bendera parti PKR dan slogan Bebas Anwar. Kita berkumpul untuk 5 tuntutan. Kita tidak melupakan Anwar, tetapi tak usahlah bawa sentimen itu di sini. Hormati penganjur dan peserta yang 'tidak favor' Anwar.

6.00 pm - majlis berehat. Saya dan makcik Yan bergerak ke masjid Jamek. Duduk di sini barulah nampak wajah-wajah Melayu Islam serta orang-orang yang dikenali. Dalam perjalanan, saya katakan pada makcik Yan, "inilah suasana Mina, kan?"

Dari whats app, kami dapat maklumat solat berjemaah akan diadakan di dataran depan pentas. Pada masa yang sama, ABIM juga menganjurkan solat hajat di Masjid Jamek. Saya dan makcik Yan memilih dataran. Kami juga sampaikan maklumat berkenaan kepada orang-orang kami kenali.

Azan Maghrib berkumandang. Pengumuman solat akan diadakan dan peserta diseru berwuduk menggunakan air mineral. Demonstran memberi ruang kepada kami untuk menunaikan solat. Mereka juga bekerjasama untuk diam seketika. Vuvuzela hanya kedengaran dari jauh, bukan berdekatan.

Lelaki dapat banner besar sebagai alas solat. Manakala perempuan cuma sebaris. Kami solat tanpa buka kasut. Ia umpama program street solat. Usai Maghrib, solat hajat pula. Selepas itu diikuti tazkirah Maghrib oleh Tuan Haji Nahar.

Sementara menanti waktu Isyak, Mandeep membuat pengumuman berkenaan keselamatan. Waktu Isyak, yang Muslim terus tunaikan fardhu Isyak.

Pengumuman berkenaan tahajjud dan qiamullail akan diadakan esok pagi dibuat.

9.00 pm - program bersambung semula. Saya dan makcik Yan bercadang pulang jam 10 malam. Jadi kami berjalan-jalan sementara program terus berlangsung.

Dalam perjalanan ke LRT Masjid Jamek, saya dapati ada sesi lain di satu sudut. Malah, jam 9 malam sudah ada yang tidur di atas jalanraya. Apabila sudah mendapat akses internet, barulah tahu bahawa ada kuliah UTAM. Di lorong yang sedikit jauh dari dataran, ada satu lagi pentas yang tidak kurang rancaknya.

Saya dan makcik Yan tidak ingin pulang tetapi kami punya tanggungjawab dan jadual lain esok hari. Tetapi kami akan datang lagi selepas selesai urusan kami.

Saya hantar mesej kepada kak Zanirah minta bantuan untuk ambil kami di stesen LRT. Lebih kurang jam 11 malam, tiba di rumah.

Hari pertama: 8 jam

30 Ogos 2015

Selesai program hari ini, saya terus bergerak ke Dataran Merdeka. Sebelumnya, di media sosial diberitakan Tun M dan Tun Siti muncul di Pasar Seni. Hari sebelumnya, mereka berdua muncul di Dataran Merdeka.

Tiba di masjid Jamek jam 7.10 malam. Hantar sms pada makcik Yan maklumkan mahu berwuduk di Masjid Jamek sebelum ke dataran. Hari ini presiden IKRAM diwara-warakan akan memberikan tazkirah Maghrib.

7.20 pm - ternyata crowd hari ini berbeza dari semalam. Orang dilihat lebih ramai. Lautan manusia berarak dan bunyi bingit vuvuzela perlu saya harungi. Redah dan redah hingga tiba ke depan pentas. Di pertengahan jalan, isyarat supaya diam diberi. Rupanya sudah masuk waktu solat Maghrib.

Usai solat Maghrib dan sunat hajat, Husam Musa diberi peluang berucap. Dikhabarkan beliau tidak sihat dan dinasihatkan supaya tidak hadir ke BERSIH 4 namun beliau tetap terpanggil. Usai ucapan beliau, Presiden IKRAM memberikan tazkirah Maghrib.

Tazkirah Maghrib berkisar amar ma'ruf nahi munkar dan berkenaan pemimpin dan keadilan sosial. Perumpamaan kapal menarik perhatian saya. Yang mana, tidak kira yang diatas atau yang dibawah buat salah dan pentingkan diri, seluruh kapal berhadapan risiko karam.

Acara solat Isyak ditiadakan kerana waktu yang terhad. Tirai acara dibuka dengan persembahan BangsArt. Sebelumnya perkongsian pengalaman beberapa peserta. Saya tertarik dengan ungkapan nenek Damiati dari Bentong, "...yang di dalam hutan sudah keluar..."

Ucapan demi ucapan berlangsung. Rafizi, Dr. Siti Mariah, Tijah mewakili orang Asal, ketua persatuan kumpulan flight attendan, Mat Sabu, Wan Azizah, wakil masyarakat India (ayahnya datang satu kapal dengan ayah Tun M, Tun M sudah jadi Melayu beliau masih India), setiausaha parti Sosialis, Lim Kit Siang, makcik Nashita dan anaknya Asiah, Fadiah Nadwa, steering committee BERSIH 4, Ambiga, Ustaz Ahmad Awang, Maria Chin dan lain-lain diselangi persembahan-persembahan menarik.

Lebih kurang jam 11.20 malam, kedengaran bunyi letupan. Namun MC menenangkan kami.

Menjelang jam 12 malam, saya menyertai makcik Yan dan pakcik Othman bergerak ke LRT. Dalam perjalanan sempat kami sumbangkan sedikit bakti mengutip sampah.

Dalam perjalanan, jumpa orang jual t-shirt, terus beli 2 helai atas permintaan.

12.03 am - sedang memanjat tangga masuk ke stesen LRT, lagu Negaraku berkumandang.

Hari kedua: 5 jam

Jumlah 13 jam tidak mampu menyaingi mereka yang berada di sana selama 34 jam berhujan dan berpanas.

Pengalaman perhimpunan yang benar-benar aman. Lebih utama, kerjasama yang baik dari pihak polis. Helikopter lalu, kami lambai. Drone malaysiakini lalu, kami lambai. Semuanya mahu dilambai. Perhimpunan yang dilabel haram dan baju kuning bernombor 4 diharamkan.

Tahniah warga Malaysia yang telah menjayakan perhimpunan 34 jam ini! Kita telah menjadi sejarah...

27 August 2015

Amanah

Apabila dibangkitkan semula isu tahalluf siasi, saya terasa begitu jahil dan asing. Rupanya istilahnya sahaja yang menyebabkan saya bingung. Rupanya saya faham pelaksanaannya tanpa mengetahui istilah. Macam baca al-Quran secara tartil dan bertajwid tapi bila tanya hukum? Tak dapat ingat.

Ketika PAS mula mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur perpecahan khususnya Pakatan Rakyat, saya sekadar memerhati. Bertenang, segelintir sahaja yang begini. Saya pujuk diri. Namun, apabila ia semakin menjadi-jadi, saya hilang arah. Saya bukan ahli PAS tetapi menaruh harapan yang tinggi pada PAS selaku parti tunggal yang melaungkan perjuangan Islam meski tidak menepati 'citarasa' kefahaman peribadi.

Pada saat PAS mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dianggotai oleh bangsa bukan Melayu dan tidak beragama Islam, pimpinan PAS mula syok sendiri. Kenyataan demi kenyataan saya perhatikan, tidak mengambil kira langsung hati-hati penyokong bukan Islam dan bukan Melayu. Padahal undi dan sokongan mereka sama penting dengan golongan Melayu Islam. Kita semua warganegara yang mempunyai hak sama; memilih pemimpin.

Membaca catatan Khalid Samad di web GHB, saya mengimbau saat almarhum TGNA yang seringkali memurnikan semula pendirian-pendirian yang berbaur perpecahan. Allahu a'lam. Namun suasana hari inilah yang saya bimbangkan apabila mendapat berita TGNA kembali kepada Rabb beberapa bulan lalu. Bukan sahaja TGNA, waktu almarhum UFN pun perasaannya sama. Cuma, waktu itu saya mampu menenangkan diri kerana masih ada TGNA.

Menjelang Bersih 4, PAS semakin agresif menunjukkan perasaan 'unsecure'. Berbagai tohmahan dilemparkan yang mana PAS cuba mempopularkan diri sebagai organisasi tunggal 'keagamaan' sebenar. Membandingkan kekuatan unit Amal dan ARIF adalah suatu perkara yang saya rasakan paling 'ridiculous' di mana, hanya PAS lah yang beramal dengan Islam dari segi pergaulan. Mengapa highlight pergaulan sedang pimpinan kamu tidak menjaga perkataan?

Kita masih dalam proses bereksperimen untuk melihat demokrasi sebenar. Landskap politik Malaysia ini kita mahu ubah agar UMNO tidak lagi berdiri angkuh dengan kuasa kuku besi berselindung di sebalik demokrasi. Kita tidak hanya mahu #NajibTurun tetapi kita mahu memberi pengajaran kepada semua yang menyalahgunakan kuasa. Kuasa ini buat manusia gelap mata seterusnya mengenepikan semua demi mengekalkan kuasa. Kuasa yang menidakkan undang-undang. Kuasa yang membolehkan mereka menyamun dan merompak serta mengenakan 'caj perkhidmatan' atas satu transaksi atau pengurusan projek melibatkan aliran wang negara.

Kita mahu buktikan bahawa suara semua warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas lebih berkuasa dari kuasa yang dimiliki ahli politik. Tidak kira mereka UMNO, MIC, MCA, Gerakan, PKR, PAS, DAP, GHB atau siapa jua. Dan kita tidak mahu pemimpin yang tidak bermoral dan tidak berakhlak. Kita juga tidak mahu pemimpin yang sentiasa mendabik dada dan hanya tahu memekik merekalah paling ikhlas dan paling benar. Apakah amal perbuatan bukan gambaran nafsu?

Kuasa adalah amanah, bukan milik total individu. Sokongan akan sentiasa diperolehi bilamana prinsip perjuangan itu konsisten dan selari dengan perbuatan dan perkataan. Namun, apabila ia bercanggah bersiap sedialah menerima tentangan. Dan ini adalah terjemahan iman!

Moga Allah ampuni kita semua.