.

.

29 March 2020

105: Pre Movement Control Order (II)

Setelah mengetahui arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan melihat penerangannya, mulanya saya rasa ia biasa saja. Saya tidak tahu diluar sana pembelian panik sedang rancak berlangsung. 

Sehari sebelum PKP berlangsung, saya masih sibuk menyelesaikan tugasan kerja. Menjelang petang, barulah saya merasakan PKP itu sesuatu yang serius. Padahal saya telah merancang banyak perkara untuk 18 haribulan. Saya punya temujanji dan ia adalah saat yang saya tunggu. Sempat saya mencelah membuat panggilan ke kaunter klinik bertanyakan kehadiran untuk temujanji. Pihak klinik kata boleh datang.

Hari itu, saya buat keputusan untuk pulang awal. Tujuannya untuk mengambil bekalan ubat di Hospital Wanita Dan Kanak-kanak (WCH) dan Hospital Kuala Lumpur. Syukur urusan saya di sana dapat diselesaikan kurang dari satu jam. Bahkan farmasi di tingkat 6 bangunan klinik pakar itu lengang! Hanya saya disitu. Selesai kurang dari 5 minit. Lama sedikit di farmasi WCH.

Oleh kerana belum jam 5 petang dan waktu Asar sudah pun masuk, saya singgah surau untuk solat Asar. Kemudian baharulah saya bergerak pulang. Saya terlelap sepanjang jalan di dalam bas. Saya masih termangu.

Ketika menaiki bas kedua, ada yang menyapa, "esok tak boleh kerja ke, kak?" Saya tersentak lalu bertanya perihal pekerjaannya. Di tangannya plastik berisi barangan makanan. Yang jelas saya nampak sayuran hijau. Hati keliru. Saya mahukan PKP, tetapi ada yang mungkin terjejas. Saya katakan padanya buat kali kedua ketika dia mahu turun, "Tanya bos, ya!" Saya tidak berani tekankan tak boleh. Mujur sel otak saya berhubung mengingatkan ada majikan yang masih arahkan pekerjanya bekerja di saat itu.

Terlalu ralat perasaan saya waktu itu. Dia yang menggunakan perkhidmatan bas percuma, sudah tentu lah larangan bekerja bakal memberi kesan yang amat besar padanya.

Selepas itu saya terfikir untuk mendapatkan sedikit bekalan makanan. Saya singgah ke Speedmart99 dan kedai runcit. Roti Gardenia Wholemeal masih tersusun di kedai runcit. Di Speedmart99, rak roti sudah kosong. Selain roti, saya cuma beli biskut, mi segera dan sardin.

Hari belum berakhir. Saya terima panggilan dari doktor untuk konsultasi melalui panggilan telefon menjelang maghrib. Siap minta masa untuk selesakan diri kerana baru sampai ke rumah. Saya masih perlu ke hospital untuk ujian darah dan ambil ubat keesokan harinya.

Episod Pre Movement Control Order (MCO) hanya setakat ini.

Sabar! Nanti saya sambung kisah Hari-Hari Ketika PKP. Tajuk bahasa inggerisnnya mungkin Days of Movement Control Order la kut. Rasanya pendek sajalah nanti.

28 March 2020

104: Pre Movement Control Order (I)

I should write. As I skipped the anti-depressant this night. Welcome to my world, by the way.

Berita Wuhan menjadi topik hangat sejak awal tahun. Simbolik tahun 2020 yang digambarkan Malaysia punya kereta terbang kerana wawasan 2020. Sayang sekali, ia tidak berlaku. Malah, beberapa peristiwa telah berlaku. Antaranya saya kehilangan kawan dan atuk kesayangan selain kesibukan dengan rutin temujanji di hospital dan sebagainya.

Pada awal khabar #CoronaVirus tiba di Malaysia tidak merunsingkan saya. Kluster awal ternyata ia adalah kes dari luar. Kerana ia berkait dengan kerja, maka saya tetap mengikuti perkembangan berita tersebut. Lebih-lebih lagi ada yang dijangkiti ketika menghadiri acara di Bangkok. Isu ini juga hangat dibincangkan kerana ada staf akademik telah merancang untuk ke luar negara menghadiri seminar.

Namun, ketika ombak kedua yang berasal dari pesakit #26, saya mula tidak tenang. Meski saya bukan lah golongan VIP, persekitaran saya terdedah. Ketika ini hanya minda di luar sedar yang risau. Persekitaran tempat kerja juga menambah kebimbangan tersebut. Bagaimanapun, ia reda apabila pihak atasan mula menyekat tetamu dari luar negara.

Apabila ombak ketiga dari pesakit #136, kluster Tabligh menyebabkan angka positif Covid-19 ini meningkat mendadak. Saya mula runsing dan resah. Saya merupakan pengguna kenderaan awam. Ditambah pula khabar staf akademik dan pelajar ada menghadiri perhimpunan pendukung Tabligh itu. Terdapat risiko disitu

Saya tidak dapat #KekalTenang apabila dikhabarkan kawasan salah seorang majikan ada penghuninya yang positif dan beliau tetap mahu ke pejabat. Sejak hujung Jun tahun lalu, saya mengalami masalah pernafasan. Saya jadi peduli dengan persekitaran saya. Risiko saya telah bertambah.

Kepada majikan saya suarakan, bahawa saya tidak merasa selamat untuk bekerja dalam keadaan tersebut. Menjelang petang, majikan khabarkan kami dibenarkan bekerja dari rumah selama seminggu. Hanya datang jika diminta. Majikan ingatkan saya, saya mesti datang hari Selasa kerana saya perlu selesaikan tugas yang diberi dan dibenarkan pulang selepas itu.

Malam itu, 16 Mac 2020, Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

Macam mana saya nak hadiri temujanji pada 18hb Mac? 

26 March 2020

103: Belasungkawa - Atuk


Saya cuma mahu tampal catatan di Facebook pada 29 Januari 2020, 30 Januari 20201 Februari 2020 :
I

Innalillahi wa inna ilaihi roji’un.

Kembalinya atuk kesayangan saya ke rahmatullah tengahari tadi.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu ‘anhu.

27 Januari 2020

“Atok jatuh pagi tadi,” tulis Wan Fatimah

Bila tidak dijawab dalam masa yang singkat soalan di mana atuk jatuh, terus buat panggilan pada Chik Khairiah Kadir . Chik tak jawab. Dial nombor XueJah Siti Khadijah Kadir . Su minta hubungi MFauzi AsiahNur .

Asiah maklumkan atuk jatuh di bilik air. Pipi atuk luka, mata, lutut juga. Che Ngah Azizah Kadir bawa ke hospital.

Semalam dapat khabar, atuk dipindahkan ke Hospital Kuala Krai.

Hari ini bagitahu Asiah minta tolong peluk cium atuk. Tapi Asiah beritahu atuk sudah nazak. Fikiran fikir nak segera balik. Sedang cari jalan nak balik jumpa atuk, khabar atuk pergi pula menerpa.

Ya Allah, rahmati Atuk, ampunilah dia...



II

Alhamdulillah, urusan arwah Atuk di dunia selesai kira-kira jam 11 malam tadi. 85 tahun Allah kurniakan hayatnya di dunia.

Terima kasih buat semua yang mendoakan.

Urusan mandi jenazah sehingga kafan diketuai Nenek sendiri. Kafan menggunakan kain ihramnya sepertimana yang dipesan.

Solat Jenazah diketuai anaknya yang saya panggil Pok Nik.

Kubur Atuk bersebelahan dengan ayahandanya, Seman bin Jamal.

Arwah Atuk yang dikenali sebagai Pok Nik Kadir, sepanjang hayatnya mengebumikan 3 anak, 2 menantu, 1 cucu. Arwah Atuk juga yang mengebumikan semua adik-beradiknya; Do Mek Doh, Tok Do Sahak, Tok Chik Yah, Tok Nik Nab. Dua menantu yang tidak diuruskan kematiannya namun diambil berat.

Semoga Allah mengampuni dan merahmati arwah Atuk.



III

PEMERGIAN YANG TAK DIJANGKA

Beberapa tahun lepas, arwah atuk kerap ke klinik. Sampai satu masa, diketahui ada batu dalam hempedu. Pembedahan bukan pilihan untuk atuk kerana usia. Jadi hanya ada satu pilihan tapi risikonya tinggi. Atuk berkeras mahu buat. Syukur ia berjaya dan atuk kembali sihat.

Disember 2019. Hari saya dan adik-adik datang, Atuk ke kecemasan. Jadi hanya ada nenek.

Disember itu juga, arwah atuk menjalani saringan ECG. Doktor beritahu, keadaan jantung atuk agak lemah yang berkadar dengan usianya tapi tak perlu dirisaukan.

Hari arwah atuk jatuh, bila ditawarkan untuk ke hospital oleh Che Ngah, terus dia sambut. Dia suka ke hospital. Che Ngah memang nak bawa sebab luka di pipi tak berhenti berdarah. Atuk berjalan sendiri masuk kereta.

Dalam perjalanan ke hospital, arwah sebut pada Che Ngah, “Aku dah nak mati dah ni.”

Arwah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Machang dan terus ditahan memandangkan diberitahu atuk jatuh dan hospital ada rekod ECG lepas. Red alert bagi kakitangan. Tapi atuk masih rasa sihat dan tengok gambar dia pun kita rasa lega. Hati waktu tu dah gundah sebenarnya.

Hari kedua, arwah muntah darah. Mahu ke tandas sebab sakit perut. Mujur Chik Kak Nan cegah suruh buang dalam lampin. Pada arwah, dia masih mampu ke tandas.

SuJah beritahu, mudah jaga atuk. Tukar lampin pun dia mampu mengiring sendiri. Bila diminta angkat punggung, dia angkat.

Arwah dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut. Doktor mahu tengok keadaan dalam perut. Masa nak naik stretcher pun masih bergerak beralih sendiri.

Arwah dibawa menaiki ambulan ke Hospital Kuala Krai. Sekitar 10.45 pagi, arwah mula tidak sedarkan diri. Asiah hubungi saya ketika saya juga bergelut dengan kesihatan sendiri. Khabar atuk sedang nazak. Kata Chik, kakinya dah sejuk waktu tu.

Jam 1.20 tengahari, arwah disahkan meninggal dunia. Pemergian yang amat mudah dan tidak dijangka.

Pada saya, setiap pemerhatian doktor perlu diberi perhatian. Taklah ralat tak dapat jumpa Disember, sebab setiap kali jumpa saya akan cium pipinya bila nak balik. Cuma, ada keadaan tertentu yang sebenarnya red alert.


29 February 2020

102: Demokrasi

I

Demokrasi dikhianati 
Kerna hati tidak ingat mati
Leka dengan keempukan kerusi
Dek kepentingan peribadi

Mencalon diri menjadi waibi
Merayu rakyat agar diundi
Ini balasan yang kamu beri
Menggadai perinsip yang dipercayai


II

Munajat di tengah malam sunyi
Mohon dibalik hati-hati
Agar kekal dengan prinsip yang disepakati
Dengan redha Tuhan Rabbul Izzati
Demi rakyat yang ternanti


III

Demokrasi kini disangsi
Kleptokrasi menguasai
Hati rakyat berbelah bahagi kini pasti
Apakah kita hanya mampu terus bermimpi?

Ahli politik paling tidak dipercayai
Kerana harapan yang diberi
Masing-masing berusaha dengan cara tersendiri untuk direalisasi
Kini mereka menarik diri

Rakyat Malaysia ini mandiri
Meski patah hati
Hidup masih perlu didepani

Maryam
27 - 29 Februari 2020

20 January 2020

101: Belasungkawa - Ukhti Zinnirah Kasim

"Yam, dah dua orang ahli usrah kita di UIA meninggal dunia," cetus Sarah dalam bulatan gembira kami minggu lalu.

Saya secara peribadi, telah kehilangan 3 orang rakan weekly circle. Mereka telah kembali ke rahmatullah. Semuanya sebaya saya.

5 September 2010, khabar pemergian Raihana Zainuddin akibat kemalangan. Orang yang pernah tumpangkan rumah, tumpangkan kereta, malah berlawak jenaka. Hana pergi dalam bulan Ramadhan.

4 Jun 2012 pada hari pertama saya baru nak belajar berdikari, Siti Hasnah Hamzah meninggal dunia kerana kemalangan. Meninggalkan anaknya Nabila Husna yang masih menyusu. Arwah Hasnah merupakan bekas rakan sebilik di matrikulasi UIAM.

9 Januari 2020 saya kehilangan insan yang sentiasa tersenyum dan selalu menegur tika bertemu. Zinnirah Kasim. Insan yang saya kenali melalui STEADFAST dan diingati kerana ungkapan "ini daulat ni". Kemudian kami sekumpulan usrah seketika. Saya hadir majlis akad nikahnya. Kemudian anak sulungnya nama seperti adik sulung lelaki saya, Ahmad Ibrahim.

Ketika mendapat berita pemergiannya, saya berfikir ada tak sesiapa yang perlu saya sampaikan. Hari Kak Zin pergi menyambungkan saya dengan rakan-rakan STEADFAST melalui abang Din. Kak Yani saya temui di masjid.

Saya skrol aplikasi whats app, rupanya selain perbualan singkat di pertemuan-pertemuan umum, ada masa kami berbual di whats app. Walaupun tiada gambar bersama, banyak rupanya proses tafahum antara kami. Beliau pernah berkongsi pengalamannya belajar di Jerman. Selain itu, selalu sama rasa tak puas hati. Kami bercakap tentangnya dan saling mengingatkan untuk berlapang dada. Paling penting, kak Zin adalah pelawat tegar blog saya suatu masa dahulu.

Pakcik Kasim menulis kisah kak Zin dengan begitu cantik tanpa meninggalkan satu pun watak dalam kehidupannya. Malah saya tertanya, apakah ada orang yang akan menulis tentang saya sekiranya saya pergi dahulu.

Allahummaghfirlahunna warhamhunna wa 'aafihinna wa'fu' anhunna wa akrim nuzulahunna wa wassi' mudkhalahunna waj'al qabrahunna raudhatun min riyadhil jannah wa askanhunnal firdausil a'la.

03 December 2019

100: Penghujung 2019

Mentari petang yang begitu terik. Dari Taman Melati, kelihatan awan hitam berarak.

2019 yang diuji kesihatan berlainan. Tahun sudah disambut dengan endometriosis. Separuh kedua tahun ini pula diuji dengan batuk.

2020 please be nice? Berharap dah in progress nak jadi lebih baik dari sebelum ni. Entah lah. Usia bukan sekadar nombor, usia seharusnya seiring dengan peningkatan amalan yang konsisten.

Rasa seakan lemah tak bermaya. Spiritual dan jasad. Mahu bermula semula dan setakat ini, hanya ada mahu. Badanan hayyinan layyinan bitho3atih.

Allah beri dunia tanpa sekatan. Setakat ni banyak dah permintaan Allah makbulkan. Apa lagi alasan saya untuk tidak melakukan keta'atan?

Allahumma... 

Saya mahu melazimi semula ma'thurat dan manzil. 
Saya tidak mahu tinggalkan dhuha dan witir. 
Saya mahu khatam al-Quran sebelum Ramadhan akan datang. 
Saya rindu berqiamullail. 
Saya juga mahu baja sangka baik. Penat buruk sangka ni.

Ya Allah, 
Aku bersyukur kerana masih merasa dekat Mu, meski dosaku menggunung tinggi. 

11 November 2019

99: Pantai Suri Floating Market


Nekad balik Kota Bharu tanpa tahu orang Kelantan cuti panjang. Sampai 12 hari bulan! Kononnya nak selesaikan banyak perkara, dapat dua pertiga sahaja. Kecewa.

Tapi kekecewaan tu terubat sebab dapat ke Pantai Suri Floating Market di Tumpat. Tambang bot RM5 sehala perkepala dari Jeti Kok Masjid. Dari Jeti Kuala Besar pula RM2 sehala perkepala. 

Cuma operasi floating market ni sudah berakhir semalam bagi tahun 2019. Kalau berhajat nak ke sana, tunggu Februari 2020 pula.

Rupanya ia projek UMK. 
Dan pasar terapung pertama di Malaysia. 

Asalnya naik bot nak Pulau Sri Tanjung, tapi peserta perkhemahan ke Pulau Suri untuk sarapan. Rezeki lah menjejak tarikan baru di Kelantan.

Menariknya di sini, sebuah rumah memiliki sebuah bot sumbangan kerajaan. Jadi, mereka buat jeti sendiri untuk kegunaan sendiri. Suasananya pun tenang, tak kelam kabut. Jadi terapi. Cuma itulah, peluang pekerjaan terhad!

Syukur untuk pengalaman ini.